Posting mengikut label

Wednesday, July 30, 2008

Tuesday, July 29, 2008

Monday, July 21, 2008

WAWASAN



MELODI DAN MUZIK DISUSUN OLEH : MAHDI HMS

Tuesday, July 1, 2008

TANGANI ISU JAMINAN SISOAL DENGAN LEBIH BERKESAN

LIMBARUH HIJAU 1 JULAI 2008 - ISU jaminan sosial dalam konteks penyediaan perumahan rakyat dan isu keselamatan permakanan perlu di tangani dengan lebih baik dan berkesan demi memastikan kesejahteraan rakyat akan terus terpelihara.

Isu perumahan negara, contohnya, sehingga ke hari ini masih lagi merupakan masalah yang belum dapat di selesaikan dengan sebaiknya oleh Jabatan Kemajuan Perumahan Negara di Kementeran Pembangunan.

Berhubung isu keselamatan permakanan pula, negara sehingga ke hari ini masih sangat bergantung kepada negara luar untuk memastikan rakyat dan penduduknya berterusan mendapat bekalan bahan makanan asas yang mencukupi.

Dalam erti kata lain, jaminan sosial di negara ini dalam konteks rakyat dan penduduk Brunei tidak menghadapi masalah memileki tempat tinggal yang selesa dan bekalan bahan makanan asas yang mencukupi tanpa menghadapi risiko ianya akan terputus atau harga akan melambung tinggi, belum lagi begitu mantap.

Keadaan ini sangat merisaukan dan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) turut sama berasa bimbang dengan risiko yang dihadapi oleh negara jika perkara ini tidak di tangani dengan lebih baik dan berkesan.

Menyentuh mengenai isu perumahan negara Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy dalam Ucapan Dasar Presiden di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 berkata laporan rasmi kerajaan mencatitkan daripada 9,000 unit rumah yang dirancang untuk dibina di bawah RKN8 berakhir tahun 2005, hanya 969 unit sahaja yang telah disiapkan.

Menurut Presiden NDP (dalam Ucapan dasar yang di sampaikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP), penghasilan yang rendah ini dikatakan berkait dengan soal tenaga manusia, perancangan, penyediaan rekabentuk dan pelaksanaan projek serta penyelarasan.

"Adalah sesuatu yang tidak membanggakan sesiapa pun jika rakyat terpaksa menunggu selama 15 tahun atau lebih untuk mendapat rumah yang mereka pohonkan".

"Saya tidak fikir akan ada golongan rakyat yang dahagakan kediaman boleh menerima norma masa 15 tahun itu sebagai satu norma yang munasabah", ujar Presiden NDP lagi.

Katanya sebagai rakyat, kita sebenarnya tidak berminat dengan alasan kegagalan tersebut tetapi yang kita mahu ialah bagaimana jalan penyelesaiannya.

"Saya rasa soal pelaksanaan perumahan negara ini bukanlah perkara yang baru. Skim-skim perumahan ini telah dilaksanakan sejak beberapa RKN yang lalu".

"Saya percaya dalam pelaksanan tersebut kita menghadapi masalah yang sama dan justerunya kita sepatutnya sudah lebih bijaksana dan telah mendapat jawapan kepada permasalahan tersebut", tegas Presiden NDP.

Akan tetapi, keluhnya, dari kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini memperlihatkan yang kita masih tidak belajar dari pengalaman yang lalu.

"Andainya sistem dan kaedah yang kita praktikkan selama ini terbukti gagal mencapai sasaran sejak lebih 20 tahun lalu, apakah kita akan terus berpegang dengan amalan tersebut?"

"Tidakkah terfikir untuk kita keluar dari zon selesa dan kotak pemikiran yang jumud untuk meneroka pendekatan baru yang lebih pragmatik?"

Pepatah Melayu, kata Presiden NDP, ada menyebut kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih.

"Yang jelas, jika tidak dilakukan satu anjakan paradigma dan perubahan strategi perlaksanaan, sasaran 9,000 unit di bawah RKN9 pastinya tidak akan tercapai, dan kita akan mengulangi sejarah kegagalan yang sama", tegas Presiden NDP sambil menambah, sehingga kini terdapat lebih 43,000 pemohon perumahan, tidak termasuk permohonan lebih 10,000 lot tanah untuk tapak perumahan.

"Jabatan yang di amanahkan hendaklah memberi perhatian serius kepada perkara ini. Kita tidak mahu melihat Brunei sebagai sebuah negara yang mensasarkan kedudukan 10 tertinggi di dunia dikalangan Negara maju tetapi tidak berupaya menyelesaikan masalah keperluan rakyat yang begitu asasi, yakni perumahan", ujar Presiden NDP.

Dalam hubungan ini Presiden NDP mengesyorkan, dalam tempoh OSPD pertama, kerajaan bertekad untuk menyelesaikan semua masalah perumahan rakyat yang tertangguh sejak sekian lama.

"Ini berhajat kepada satu pendekatan dan tindakan yang berani", tegas Presiden NDP lagi.


Keselamatan Permakanan

Menyentuh isu keselamatan permakanan, Presiden NDP berkata negara perlu mengambil iktibar masalah bekalan beras yang berlaku di beberapa buah negara baru-baru ini.

"Kemelut bekalan beras telah menjejaskan kestabilan dan menggugat keselamatan beberapa buah negara yang terlalu bergantung dengan beras import yang menjadi makanan asasi rakyat mereka sehingga kerajaan-kerajaan berkenaan terpaksa mengambil tindakan yang paling drastik untuk mengawal keadaan".

"Dari peristiwa tersebut kita boleh mengambil iktibar betapa perlu dan mendesaknya di wujudkan satu dasar keselamatan pemakanan yang kemas dan jitu", tegas Presiden NDP lagi.

Katanya kita tidak mahu kehidupan rakyat terjejas disebabkan masalah kekurangan bahan makanan terutamanya beras, kerana sebahagian besar dari keperluan ini adalah barangan import.

"Kita mungkin boleh mendapat bekalan keperluan asasi dari negara-negara tertentu, tetapi mungkin pada satu masa terpaksa pula membayar dengan harga yang berlipat ganda".

Walau pun kita mampu membelinya, tambah Presiden NDP, bagaimana pula keadaannya jika negara pengeksport mengalami kemerosotan hasil kerana faktor cuaca yang tidak menentu atau politik negara berkenaan tidak stabil atau negara berkenaan menghadapi tekanan dari negara pro demokrasi supaya menyekat ekspot beras ke negara kita?.

Ini pastinya membebankan rakyat, tegas Presiden NDP sambil menekankan pihak berkenaan hendaklah mewujudkan satu stockpile bahan makanan ruji sekurang-kurangnya untuk satu tahun bagi memastikan bekalan yang terjamin pada masa krisis, pada harga yang berpatutan.

Presiden NDP seterusnya mengesa supaya pihak-pihak berkenaan meningkatkan usaha berlipat ganda membangunkan sektor persawahan dan penanaman rumbia yang merupakan makanan asas kedua penduduk negara ini.

Presiden NDP dalam Uacapan Dasar Presiden tersebut mengajak semua pihak, khasnya kerajaan dan rakyat untuk mengambil ingatan di atas amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai krisis makanan yang dihadapi dunia pada hari ini dan ancaman kekurangan makanan yang berterusan.

Tegasnya sebagai sebuah negara Islam, adalah menjadi kewajipan kerajaan mempastikan bahawa setiap rakyat mendapat bahan makanan yang mencukupi, berkhasiat dan halal sebagai salah satu keperluan asas kehidupan.

"Tanggungjawab ini adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sama ada semasa aman atau semasa krisis".

"Oleh itu adalah tepat sekali titah Kebawah DYMM sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2006, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import", ujar Presiden NDP.

Katanya kita harus sedar betapa kedaulatan bangsa dan negara boleh tergugat akibat terlalu bergantung kepada negara-negara luar untuk mendapatkan keperluan bekalan makanan asas.

Sehubungan dengan itu, Presiden NDP juga menarik perhatian semua pihak berhubung dengan kenaikan kos kehidupan terutamanya yang melibatkan barang-barang makanan dan gunaan asasi rakyat.

"Kenaikan harga yang mendadak sejak akhir-akhir ini pastinya menjejaskan kualiti kehidupan rakyat biasa, dan sekiranya tidak dibendung dengan segera boleh menggugat kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini".

Bagi mengatasi masalah Presiden NDP menggesa pihak-pihak berkenaan didalam kerajaan supaya mewujudkan satu mekanisma kawalan harga yang berkesan demi mempastikan kualiti kehidupan rakyat terjamin.

"Segala permasalahan rakyat terutama sekali yang menyentuh keperluan asas, menuntut kepada perhatian dan tindakan yang segera apatah lagi dalam rangka kita menuju kepada Wawasan 2035 yang antara lain mensasarkan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi", kata Presiden NDP.

PETIKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) DI MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KONGRES AGUNG TAHUNAN KE-3 BERTEMPAT DI ICC BERAKAS