Posting mengikut label

Tuesday, February 28, 2017

Ahli-Ahli NDP turut serta dalam acara perbarisan lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-33 pada 23 Februari 2017





Hujan yang turun tidak mematahkan semangat peserta perbarisan



Titah Kebawah DYMM sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, 2017



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

MARILAH kita merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat menyambut Hari Kebangsaan Ke-33 pada tahun ini dalam keadaan aman dan makmur.

Pada tahun ini, kita menyambutnya dengan tema 'Menjayakan Wawasan Negara'. Tema ini sangatlah bersesuaian setelah tiga tahun berturut-turut kita memakai tema 'Generasi Berwawasan'.

Wawasan Brunei 2035 telah menetapkan Tiga Matlamat Utamanya. Bagi merealisasikan matlamat ini, beta telah pun memperkenankan Kerangka Kerja, yang antara lain, menggariskan bidang-bidang utama yang perlu diberikan perhatian serta ke arah pencapaian hasil-hasil yang perlu dicapai. Peneraju-peneraju bagi setiap strategi juga telah dilantik.

Kita tidaklah wajar membiarkan wawasan ini sebagai satu retorik intelektual sematamata, yang cuma indah dalam sebutan. Tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Untuk ini semua, kita diperlukan terlebih dahulu, untuk bersatu padu. Jangan berpecah-belah. Pastikan, semua usaha yang dibuat adalah secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa. Inilah rahsia atau kunci kejayaan bagi Wawasan Negara 2035.

Ini, meliputi untuk semua, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta adalah mustahak untuk memupuk kerjasama dan persefahaman, dalam makna, semua kita adalah dikehendaki untuk bekerja dalam satu pasukan tanpa melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau undang-undang.

Walaupun kita sudah memiliki infrastruktur, teknologi, peralatan, mekanisme dan sistem yang baik, namun jika 'dalaman' kita tidak baik, maka hasilnya tetap tidak baik juga. Misalnya apabila di dalam kerajaan terdapat mekanisme yang 'korup', mati sekalipun ianya dari kalangan ilmuan dan mempunyai kemahiran tinggi, namun sikapnya yang 'korup' itu tidak akan menolong untuk membawa kebaikan, malah sebaliknya menjerumuskan negara kepada keburukan.

Inilah yang perlu kita kawal untuk mengelakkan negara dari mengalami perkara-perkara yang tidak diingini.

Kita sudah melihat atau mendengar, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku di mana-mana, seperti amalan-amalan pecah amanah, rasuah dan lain-lain. Kita juga turut mengetahui, bahawa tempat-tempat yang dilanda oleh gejala-gejala seperti ini tidak sunyi dari mengalami pelbagai kesusahan. Oleh itu, dalam hubungan ini, Brunei mestilah selalu waspada, sambil mengambil iktibar daripadanya.

Pengisian Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, eloklah lebih menekankan kepada pembentukan sifat-sifat dalaman yang sihat, seperti jujur, amanah dan setia. Tanpa semua sifat-sifat ini, jentera kehidupan atau jentera pentadbiran tidak akan dapat berjalan baik, bahkan sebaliknya boleh bermasalah dan lemah.

Semua program adalah wajar bersifat ilmiah dan bercorak inklusif serta mampu untuk merentasi semua generasi. Tujuan kita dengan ini, ialah supaya semua peringkat, secara sambung bersambung, akan dapat memahami erti sebenar kemerdekaan.

Maka dengan itu, barulah nanti akan dapat diharapkan semua pihak, khasnya para generasi yang menyusul kemudian, akan benar-benar terikat kepada menghargai dan menyayangi kemerdekaan.

Seyogia diingat, bahawa kemerdekaan adalah sebahagian dari sejarah bangsa, dan malah merupakan 'mahkota' bangsa. Mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah, serta sekali gus 'menyambaranakan' mahkota bangsa.

Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, meliputi juga mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.