Posting mengikut label

ABDB (18) ADUAN (18) AGAMA (127) ALAM SEKITAR (22) ANTARABANGSA (35) ASEAN (110) BELIA (37) DEMOKRASI (95) EKONOMI (200) HAK ASASI (89) HALAL (7) HUBUNGAN LUAR (61) ISU LIMBANG (4) ISU PALESTIN (12) ISU ROHINGYA (37) ISU SELATAN THAI (1) ISU SPRATLY (165) ISU SYRIA (1) ISU UYGHUR (4) JENAYAH (35) KANAK-KANAK (10) KEBAJIKAN (19) KEKAYAAN (9) KEMALANGAN (11) KEMANUSIAAN (45) KEMISKINAN (62) KEPENTINGAN AWAM (78) KERAJAAN (55) KESELAMATAN AIR (6) KESELAMATAN MAKANAN (70) KESELAMATAN NASIONAL (72) KESELAMATAN SERANTAU (265) KESELAMATAN TENAGA (10) KESIHATAN (45) KETIDAKCEKAPAN (2) KEWANGAN (34) KHUTBAH (3) KOMUNIKASI (4) KONGRES (26) LAMAN ASPIRASI (20) MANIFESTO NDP (6) MENYUSUR DESA (1) MIB (15) MILF (54) MINYAK (83) MMN (85) NDP (157) NEGARA (5) NEGARA ZIKIR (4) PEKERJAAN (79) PELANCONGAN (8) PEMBANGUNAN (16) PEMBRUNEIAN (17) PENDAPATAN (6) PENDIDIKAN (46) PENGANGKUTAN (5) PERIKANAN (9) PERTANIAN (25) PERUMAHAN (29) PERUNDANGAN (45) PKS (44) POLITIK (152) RAJA (102) SEJARAH (76) SOSIAL (61) SWASTA (13) SYARIAH (68) TAKZIAH (14) TARBIAH (22) TAZKIRAH (37) TEKNOLOGI (10) TITAH (120) TPPA (43) UCAPAN (16) USUL (10) WANITA (24) WAWASAN 2035 (12)
Showing posts with label LAMAN ASPIRASI. Show all posts
Showing posts with label LAMAN ASPIRASI. Show all posts

Monday, April 4, 2016

PEMBANGUNAN PANTAI TUNGKU JANGAN KUBURKAN SEMANGAT BERDIKARI BANGSA






KENYATAAN RASMI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)

MUKADIMAH

Badan Perhubungan NDP Brunei-Muara dibawah pimpinan Naib Presiden Haji Mohiddin DPP Haji Othman telah menganjurkan lawatan kerja ke Pantai Tungku berikutan aduan dan sungutan dari pengusaha pengusaha yang bimbang akan kemungkinan mereka tidak lagi dibenarkan berniaga di kawasan tersebut. Ini kerana kawasan tersebut akan dimajukan oleh Brunei Investment Agency selaku pemilek kawasan tersebut.

TYT Presiden NDP, sdra Malai Hassan Othman juga diundang bersama untuk menyertai lawatan kerja pada hari Ahad 27 Mac 2016 itu. Juga turut serta Setiausaha Agung NDP sdri Hajah Seamah Kefli, Ketua Himpunan Wanita Puan Hajah Kartini, PSUA sdra Mohamad Abdullah Peter, Penolong Ketua Perhubungan NDP Brunei-Muara merangkap Setiausaha Politik Presiden sdra Ahmad Timpus, Ketua Biro Kemajuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Dr Hajah Raiyah dan beberapa ahli-ahli Majlis Tertinggi dan JASA yang lain.

Berikutan lawatan kerja tersebut NDP telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian dan pandangan parti berhubung perkara tersebut seperti berikut:


1- PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat mengalu-alukan dan menyokong penuh sebarang rancangan untuk memajukan dan mencantikan lagi Pantai Tungku yang sudah terkenal dengan keindahanya dikalangan pengunjung pengunjung tempatan dan luar negara sebagai sebuah kawasan riadah dan tempat bersantai-santai dihujung hujung minggu

2- NDP juga menyokong penuh sebarang usaha kearah memajukan kawasan kawasan peranginan dan riadah termasuklah usaha untuk menswastakan pengurusan kawasan kawasan yang akan dikenalpasti sebagai kawasan yang boleh dimajukan selaras dengan perancangan kemajuan sektor pelancongan di negara ini

3- Dalam hal ini adalah menjadi dasar dan pegangan NDP agar pihak yang berwajib sentiasa mengambil kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan atau membangunkan negara, di mana kajian secara objektif dan telus perlu diadakan sebelum sebarang projek pembangunan atau projek mega dimulakan, agar kesejahteraan rakyat Kebawah DYMM dan generasi akan datang, serta alam sekitar tidak akan terjejas dan lebih terjamin

4- Namun demikian dalam hal memajukan dan membangun semula Pantai Tungku, NDP juga berharap dan menyeru agar pemilek dan pihak yang berkuasa atas kawasan tersebut serta pihak kerajaan sendiri dapat melaksanakan sebarang rancangan kemajuan Pantai Tungku dengan mempastikan ianya mendatangkan kebaikan dan manfa'at kepada semua pihak termasuklah kepada pengusaha pengusaha kecil yang sudah bertahun-tahun menjadikan kawasan tersebut sebagai sumber rezeki mereka bukan sebaliknya

5- NDP bimbang sejarah akan berulang dalam mana inisiatif pihak kerajaan beberapa tahun yang lalu untuk mengubahsuai Pantai Serasa turut memutuskan mata pencarian beberapa pengusaha pengusaha kecil yang mencari makan dikawasan tersebut tetapi tidak pula mematahkan semangat mereka yang terjejas untuk terus berusaha untuk menyara hidup di kawasan riadah yang lain. Ramai dari kalangan mereka yang terjejas telah berpindah ke Pantai Tungku

6- Setelah lebih dua tahun berlalu mereka sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan akan dipapat lagi mata pencarian mereka apabila kawasan Pantai Tungku yang merupakan milek Brunei Investent Agency (BIA) akan dimajukan. Wallahu wa'alam sama ada ia akan dimajukan sebagai kemudahan riadah yang eklusif atau sebaliknya belum dapat dipastikan

7- Apa yang pasti lebih 100 pengusaha pengusaha sekarang tidur tak lena makan tak kenyang memikirkan masa hadapan mereka

8- NDP turut bimbang kemungkinan usaha untuk memajukan Pantai Tungku akan turut menguburkan semangat berdikari, bekarih, bejarih, belurih anak bangsa yang telah terbukti tidak kenal penat lelah untuk mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk hidup

9- NDP juga bimbang jika permasalahan mereka ini tidak diberikan perhatian sewajarnya akan melahirkan kekecewaan dikalangan mereka dan sekali gus boleh menjejaskan keyakinan mereka dan keluarga mereka kepada pihak kerajaan serta boleh menjejaskan kredibiliti usaha kerajaan untuk memudahkan pertumbuhan pengusaha pengusaha kecil dan sederhana yang sedang diuar-uarkan

10- Untuk itu dikesempatan ini NDP mengingatkan pihak pihak berkuasa dan yang berkepentingan agar mengambil ingat akan titah Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam di majlis Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) baru baru ini tentang pentingnya mengambil kira dan kaedah menyelesaikan permasalahan rakyat yang dipetik seperti berikut:

“Pendek kata, apa jua perancangan dan inisiatif adalah perlu untuk mengambil pendekatan delivery atau delivery approach untuk mencapai hasil yang dihasratkan.
Untuk itu, sangat perlu bagi ahli-ahli mempunyai pandangan yang jauh dan cepat ke hadapan. Mereka perlu mengambil langkah-langkah mitigasi dan membuat persediaan sewajarnya sebelum didatangi oleh sebarang persoalan.

Akhir kalam beta menyeru kepada Ahli-Ahli Majlis-Mesyuarat supaya dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan luar bandar.
Apa jua permasalahan itu perlu ditangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding. Semoga usaha-usaha yang kita buat akan menghasilkan buah yang baik dan ranum untuk semua.”

11- Dalam hubungan ini NDP menyarankan pihak pihak berkenaan agar mengambil sikap terbuka dan pandangan yang jauh iaitu dengan mengambil kira pengusaha pengusaha kecil yang sudah bertapak di Pantai Tungku dan semangat mereka atas konsep Bekarih, Bejarih dan Belurih untuk berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan sebagai satu aset penting dalam rancangan untuk memajukan kawasan kawasan riadah dan pantai pantai peranginan bukannya satu liabiliti yang hendak dihapuskan dan dikubur di Pantai Tungku yang baru demi kepentingan beberapa pihak sahaja

12- NDP juga berpandangan bahawa pengusaha pengusaha kecil tersebut merupakan satu aset kepada rancangan kemajauan sektor pelancogan negara yang wajar dikembangmajukan

13- Untuk itu pihak pihak berkenaan perlu berlapang dada dan dengan minda terbuka untuk membantu dan memudahkan mereka meneruskan perusahaan mereka masing masing dalam masa sama memajukan dan membangun Pantai Tungku sebagai kawasan peranginan dan riadah yang mesra alam sekitar, selamat dan bertaraf antarabangsa

14- Sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir, NDP juga sukacita mengingatkan akan pentingnya setiap perancangan kemajuan dilandaskan atas konsep keadilan dan ihsan yang merupakan ciri ciri pemerintahan KDYMM

15- Dalam konteks ini NDP meyarankan agar pihak pihak berkenaan berpegang dan mengambil iktibar titah nasihat KDYMM semasa merasmikan perlantikan barisan Menteri kabinet yang baru pada Oktober 2015 yang lalu:

“Allah mengurniakan nikmat, sementara kita berkewajipan mensyukurinya. Syukur itulah pemangkin segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat akan hakis, tidak dapat bertahan lama.

Bagaimanakah caranya bersyukur itu? Di samping mengucapkannya dengan lidah, kita juga dituntut untuk bersyukur melalui ‘urustadbir' di dalam kehidupan. Kerana itulah kita memerlukan kerajaan, dan dalam kerajaan itu pula terdapat jentera yang terdiri daripada para pemimpin dan pegawai-pegawai serta kakitangan di bawah mereka.

Di tangan merekalah, terutama para pemimpin, kewajipan untuk membawa negara ini menjalani amalan bersyukur, iaitu melalui pimpinan dan urustadbir mereka dalam kerajaan.

Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.

Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman.

Sebab itulah kadang-kadang, bersedia mendengar suara orang di bawah, atau menerima idea-idea yang baik, atau keluhan atau rintihan mereka dapat dianggap sebagai ciri melaksanakan keadilan”.

16- Semoga pandangan dan saranan NDP ini dapat diberikan perhatian oleh pihak pihak berkenaan demi kepentingan bangsa dan negara dan selaras dengan tanggungjawab semua untuk memelihara negara sebagai sebuah negara yang aman makmur lagi sejahtera serta sentiasa mendapat perlindungan Allah.


Sumber - Laman Aspirasi

Wednesday, March 16, 2016

KENYATAAN RASMI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)


PENILAIAN KPI PEMBANGUNAN YANG PATUH SYARIAH
SELARAS DENGAN OBJEKTIF NEGARA ZIKIR

  • Urustadbir patuh syariah
  • Keadilan dan ihsan dalam semua aspek pembangunan: politik, ekonomi dan sosial
  • Konsultasi dan perundingan
  • Pendekatan Delivery
1. PRESIDEN DAN AHLI-AHLI MAJLIS TERTINGGI (MT) PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) dengan rendah hati sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan menjunjung tinggi atas titah yang dikurniakan oleh baginda di Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kedua Belas Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada 5 Mac 2016

2. Ahli-Ahli MT NDP dalam mesyuarat kali ke-3 untuk tahun 2016 pada 12 Mac 2016 yang lalu juga turut merakamkan setinggi harapan agar Ahli-Ahli MMN akan sentiasa akur dengan apa yang tersirat dalam titah baginda yang sewajarnya dijadikan azimat kepada semua yang terlibat dalam memikirkan dan dalam menjalankan amanah memelihara kepentingan agama, bangsa dan negara

3. Seperti yang dititahkan NDP juga turut berharap agar Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat terus istiqamah dalam melipatgandakan usaha memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini ‘tanpa diskriminasi dan pilih kasih'

4. NDP juga berharap dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab memeduli maslahah negara dan rakyat, Ahli-Ahli MMN akan terus komited menanai keadilan dan ihsan yang merupakan ciri-ciri pemerintahan baginda sultan

5. Seperti yang dihasratkan oleh baginda sultan, tidak kira mereka ini bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan luar bandar, sama ada mereka dari golongan borjuis atau merhaen semua mesti dikelinga atas semangat keadilan dan ihsan yang berlandaskan ketaqwaan kepada Allah SWT dan bukannya atas dasar kepentingan sendiri, sifat pilih kasih dan diskriminasi

6. NDP juga menjunjung titah baginda sultan yang telah mengingatkan supaya apa jua permasalahan perlu ditangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding. Harapan baginda ialah semoga usaha-usaha sedemikian akan menghasilkan buah yang baik dan ranum untuk semua

7. NDP juga turut meningatkan akan titah yang telah menekankan apa pun saranan-saranan mahupun buah fikiran hendaklah dibuat bukan atas kepentingan diri sendiri atau hanya mendengar dari satu pihak sahaja tanpa membuat kajian mendalam mengenainya

8. Seterusnya Ahli-Ahli MMN juga diharapkan akan terus mengambil perhatian akan nasihat KDYMM tentang perlunya setiap perancangan dan inisiatif mengambil pendekatan delivery atau delivery approach untuk mencapai hasil yang dihasratkan serta perlunya Ahli-Ahli MMN mengambil langkah-langkah mitigasi dan membuat persediaan sewajarnya sebelum didatangi oleh sebarang persoalan

9. NDP berpandangan titah tersebut dapatlah dirumuskan kepada 4 perkara pokok yang perlu diperhatikan dan jadi panduan dalam proses membuat keputusan besar melalui pelantar MMN yang menyangkut kepentingan bangsa dan bangsa, Iaitu:

i. Keadilan dan ihsan dalam memeduli permasalahan rakyat
ii. Segala permasalahan perlu diselesaikan dengan sempurna melalui perundingan
iii. Perlunya pendekatan delivery dalam membuat perancangan
iv. Memberikan perhatian kepada langkah-langkah strategik seperti langkah mitigasi dan persediaan awal sebagai langkah persiapan sebelum didatangi oleh sebarang persoalan
10. Selain itu NDP juga berkongsi pandangan dengan Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal yang telah mengarisbawahkan bahawa titah baginda selari dengan rangsangan Al-Quran terutama sekali dalam hal:

i. Dorongan kepada kegiatan perdagangan dan urus niaga
ii. Strategi menangani dan mendepani cabaran-cabaran ekonomi dan suasana kehidupan rakyat
iii. Kemestian bermesyuarat dan perundingan dalam proses membuat keputusan yang menyangkut kepentingan rakyat
iv. Urustadbir (governance) mengikut pentunjuk Allah dan perancangan yang patuh syariah
v. Kebijaksanaan dalam menilai keutamaan khususnya dalam menentukan peruntukkan jumlah bajet atau pengurangannya yang seharusnya turut mengambil kira kesesuaiannya selain mengambil kira keutamaan dan kepentingan jumlah bajet tersebut diperuntukkan atau dikurangkan

11. Seperti yang ditekankan oleh YB Pehin Datu Imam bahawa dalam Islam, tiada garis pemisah antara spiritual dan material, kerana apa sahaja yang dilakukan sebagai patuh kepada perintah Allah Subhanahu Wata'ala merupakan amal yang menjadi ibadat

12. Dari pemahaman NDP dalam konteks pembangunan bangsa dan negara pendekatan Islam yang sebenar-benarnya mestilah diamalkan bukan disempitkan dan dibelakangkan. Ini selaras dengan tuntutan sebagai sebuah ‘Negara Zikir' dan selaras dengan objektif untuk membangun dan memelihara negara sebagai sebuah negara ‘BALDATUN THAYYIBATU WA RABBUN GHAFFUR' dalam maknanya yang luas

13. Untuk itu NDP berharap MMN akan dapat memberikan komitmen yang lebih tinggi kepada pandangan tersebut dengan menginsafi bahawa ibadah itu hanyalah kepada Allah SWT. Ini bermakna dalam membangun bangsa dan negara, semua aspek-aspek yang perlu dibangunkan untuk pembangunan itu perlulah diniatkan untuk beribadah kepada Allah SWT dan untuk itu semua usaha pembagunan perlulah bertepatan dengan syariat Islam

14. NDP menginsafi bahawa dari perspektif barat seperti Teori Marxis contohnya hanyalah tertumpu kepada konsep kebendaan. Seperti juga teori kapitalis yang menafikan peranan agama dalam konsep pembangunan bertentangan dengan teori Pembangunan Islam yang meletakkan manusia di tengah tengah fokus proses pembangunan

15. NDP juga mengambil maklum tentang keberkesanan kaedah Key Performance Indicators atau juga dikenali dengan singkatan KPI dalam membantu organisasi menentukan dan mengukur kemajuan dalam mencapai tujuan sesebuah organisasi dan memahami bahawa KPI adalah bahan pengukuran kuantitatif yang mencerminkan faktor-faktor penentu keberhasilan sesebuah organisasi itu

16. Apa yang merisaukan kaedah KPI konvensional ini mungkin hanya dapat mengukur pencapain prestasi dari aspek kepentingan pencapaian fisikal, teknikal dan material serta untung rugi sesuatu perancangan atau program pembangunan

17. Sehubungan dengan itu NDP menyarankan agar MMN dapat memikirkan dan mengusahakan cara bagaaimana kaedah KPI konvensional yang lazim digunapakai sebagai kayu ukur pencapaian sesuatu perancangan dan program pembangunan dapat diselaraskan dengan penialaian prestasi yang mengunakan piwaian Al-Quran dan Sunnah

18. Dalam kata lain langkah penyelarasan KPI konvensional dengan kaedah KPI yang patuh syariah ini akan memudahkan penilaiaan sejauh mana keperluan Maqasid Syariah dapat dipenuhi. Semua sedia maklum Maqasid Syariah mengandungi lima komponen seperti berikut dapat dipenuhi:

i. Memelihara Agama
ii. Memelihara Nyawa
iii. Memelihara Akal
iv. Memelihara Keturunan dan
v. Memelihara Harta

19. NDP juga meinginsafi bahawa dalam pembangunan yang berasaskan Maqasid Syariah kepentingan awam merupakan agenda nasional dari itu tidak wujud perbezaan antara kepentingan negara, kepentingan kerajaan dan kepentingan rakyat

20. NDP juga meningati bahawa pembangunan yang berasaskan syariat Islam menganjurkan konsep bekerja dan mencari kekayaan semuanya merupakan ibadah serta sebarang keputusan yang akan diambil mestilah patuh kepada konsep ‘tidak merbahaya dan tidak membahayakan (memudaratkan) (La Dharar Wa La Dhirar)

21. NDP yakin melalui langkah ini hasrat untuk menjadikan Brunei sebagai Negara Zikir dan negara yang maju serta ‘Thayibatun Wa Rabbun Ghaffur' akan tercapai apabila penialain prestasi dapat di sukat mengikut kayu ukur yang berasaskan syariah Islam untuk mengetahui sama ada semua aspek pembangunan telah dapat mencapai tuntutan Maqasid Syariah

22. InsyaAllah dengan langkah ini NDP yakin motto negara “BERKHIDMAT MENGIKUT PETUNJUK” tidak tinggal motto yang mati di panji panji negara dan semangat bernegara dan berbangsa atas konsep ‘Negara Zikir' tidak tinggal sebagai satu retorik sahaja

23. NDP juga yakin melalui kaedah ini Negara Brunei tidak akan mudah tersasar dari landasan yang betul dan akan dapat membangun dan maju serta menjadi role model sebagai sebuah negara Islam yang berjaya membangun atas landasan Islam yang merupakan ugama yang syumul dan cara hidup yang memberikan jaminan kearah keamanan, kestabilan, kejayaan dan kecemerlangan. InsyaAllah


Sumber - Laman Aspirasi

Thursday, February 18, 2016

KEMBARA MERDEKA NDP MENINJAU MASLAHAT PENGHUNI RUMAH PANJANG




LIMBARUH HIJAU, KHAMIS, 18 FEBRUARI 2016 – Bak kata pepatah, ‘rumah siap, pahat berbunyi'. Itulah yang terjadi ketika rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang diketuai oleh TYT Presiden NDP membuat kunjungan muhibbah ke Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru di Mukim Amo Temburong selasa lalu.

Penghuni Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru di Mukim Amo Temburong itu sepatutnya bergembira dan lebih selesa kerana sudah dapat memulakan kehidupan di rumah panjang yang baru siap dibina oleh pihak kerajaan dengan kerjasama beberapa penderma-penderma, persatuan dan badan-badan kebajikan bukan kerajaan di negara ini.

Sebaliknya rata-rata penghuni meluahkan rasa kurang selesa dengan reka bentuk rumah panjang yang baru siap dibina itu. Antara kekurangan yang ketara yang disuarakan oleh beberapa penghuni rumah panjang tersebut ialah reka bentuk yang lebih mirip barik panjang, ketiadaan serambi atau ruai disebelah hadapan rumah panjang yang baru itu dan ruang yang agak kecil untuk dijadikan ruang tamu, ruang makan dan dapor serta satu tandas yang juga digunakan untuk bilik mandi.

Sehubungan dengan itu Presiden NDP menyatakan rasa terkilan beliau dengan keadaan reka bentuk rumah panjang tersebut yang menurut beliau kurang memberikan perhatian kepada gaya hidup dan budaya masyarakat Iban.



“Tahniah kepada pihak-pihak berkenaan atas usaha melaksanakan tanggungjawab membantu dan menyediakan rumah panjang baru kepada penghuni-penghuni yang kehilangan tempat kediaman mereka . Dalam masa sama saya juga merasakan perlaksanaan tanggungjawab itu akan lebih cemerlang jika pihak-pihak berkenaan lebih peka akan gaya hidup dan budaya masyarakat Iban yang merupakan penghuni rumah panjang tersebut”.

“Saya juga berharap aduan penghuni ini tidak disalah taafsirkan sebagai sifat tidak ‘bersyukur' dan tidak berterima kasih. Mereka berhak meluahkan pandangan mereka dan kita wajar menghormatinya dan berlapang dada serta menlihatnya sebagai satu input yang positif kearah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih efektif dan cemerlang demi kebaikan negara dan bangsa”.

“Saya melihat musibah kebakaran yang dialami oleh penghuni rumah panjang Kampung Sumbiling Baru itu merupakan satu peluang untuk pihak berkuasa memodenkan rumah panjang di Brunei dengan memberi nilai dan gaya baru kepada rumah panjang di negara ini tanpa mengorbankan ciri-ciri unik rumah panjang. Ia juga merupakan satu peluang mengembangmajukan sektor kerajinan tangan dan aktiviti ekonomi masyarakat puak Iban sebagai satu lagi usaha mengembangluaskan sektor pertanian dan pelancongan negara. Malangnya peluang tersebut terlepas begitu saja.”, ujar sdr Malai Hassan Othman, Presiden NDP.

“Kalau sahaja didapatkan pelbagai input daripada pemimpin masyarakat Iban perkara ini setentunya dapat dielakkan. Biasanya rumah panjang mempunyai 10 dan 20 bilik . Setiap rumah panjang mempunyai "ruai" iaitu ruang bilik bersama yang terletak di bahagian hadapan rumah itu di mana kebanyakkkan aktiviti diadakan di tempat itu”.

“Malangnya rumah panjang yang baru dibina tidak menyediakan kemudahan ini dan tidak hairanlah bak kata pepatah rumah siap, pahat berbunyi”, ujar sdr Malai Hassan Othman sambil menambah mungkin saja isu bajet yang menjadi penghalang kepada pihak berkenaan untuk membina rumah panjang yang lebih sesuai untuk penghuni-penghuni tersebut.

Katanya memang tidak dinafikan dari aspek fizikalnya rumah panjang yang baru itu lebih baik dari yang lama. Ia merupakan bangunan konkrit yang lebih utuh dan sempurna dari yang lama, tetapi dari aspek kebudayaan, kerohanian, memelihara keturunan dan kehormatan ketara banyak yang perlu ditambahbaik.

“Aspek-aspek ini sangat penting diberiakn perhatian sewajarnya selaras dengan tanggunjawab memeliahara negara sebagai sebuah negara yang selamat, aman, makmur dan sentiasa mendapaat perlindungan Allah serta tuntutan membina generasi berwawasan ke arah merealisasiakan Wawasan 2035 yang menjadi tema Hari Kebangsaan kita”, tegas beliau lagi.



Beliau berharap pihak-pihak berkenaan akan memberikan perhatian kepada perkara ini agar penghuni rumah panjang di Kampung Sumbiling Baru terutama anak-anak mereka akan dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa, selamat dan sejahtera.

Lawatan romobongan NDP ke Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru itu merupakan salah satu program Tahunan Kembara Merdeka NDP sempena memperingati Hari Kebangsaan Negara kali ke-32 pada tahun ini.

Objektif program tersebut ialah untuk sama-sama berusaha menanamkan semangat dan kesedaran berbangsa dan bernegara dikalangan rakyat dan penduduk terutama sekali masyarakat pendalaman agar terus taat setia kepada raja, bangsa dan negara. Dalam masa sama ia juga merupakan satu pendekatan NDP untuk melaksanakan tanggungjawab politiknya sambil berdakwah mempastikan kezaliman tidak mendapat tempat di negara ini sebaliknya keadilan dan ihsan ‘tumpah' kepada rakyat dan penduduk negara ini seperti yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah sdra Pengiran Haji Zainal Pengiran Talib, TYT Timbalan Presiden NDP, sdra Haji Zaini bin Bakar, Naib Presiden NDP Temburong, sdra Haji Metali bin Haji Ibrahim, Naib Presiden NDP Belait, sdra Haji Ali Yusuf, Bendahari Agung NDP, sdri Hajjah Kertini, Ketua Hawa NDP, sdra Mohammad Abdullah Peter, Penolong Setiausaha Agung NDP serta ahli-ahli Badan Perhubungan NDP Temburong, Belait dan Brunei Muara.


Sumber - Laman Aspirasi

Tuesday, January 26, 2016

MENANGANI CABARAN EKONOMI MERUNDUM




LUMUT 12 Rabiulawal 1437/22 Januari 2016: Jaring Keselamatan Sosial (social safety net) negara perlu diperluaskan dan diperkukuh sebagai langkah persiapan untuk mempastikan kebajikan golongan masyarakat yang dijangka akan terjejas teruk dalam suasana kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara terjamin.

Ianya juga perlu dikemaskinikan agar lebih efektif dan efisyen dalam memberikan perlindungan sosial kepada golongan masyarakat yang tidak berupaya bertahan dalam suasana ekonomi negara yang membimbangkan ini, tegas TYT Presiden NDP, sdra Malai Hassan Othman mengongsikan pandangannya dalam sesi muzakarah bersama ahli-ahli jawatankuasa pandu Ranting Lumut 1&2.

“Kerajaan telah secara telus mengakui kemerosotan harga pasaran global minyak dan gas telah menjejaskan hasil pendapatan negara secara signifikan”, ujar sdra Malai Hassan Othman.

TYT Presiden NDP menyentuh ucapan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim di Majlis Hari Terbuka Peniaga 2016.

Menurut YB Pehin Dato Awang Haji Abdul Rahman pendapatan kerajaan telah menurun kira-kira 70 peratus dari hasil yang diterima pada Tahun Kewangan 2012/2013.

“YB Pehin telah melaporkan bahawa kerajaan pada Tahun Kewangan 2014/2015 telah mengalami defisit belanjawan sebanyak $213 juta dan defisit belanjawan negara ini juga semakin meningkat dalam Tahun Kewangan 2015/2016, di mana sehingga bulan Disember tahun 2015 sahaja, defisit belanjawan yang dicatatkan setakat ini melebihi $1.6 bilion yang mana jumlah ini dijangka meningkat kepada lebih $2.3bilion pada akhir Tahun Kewangan 2015/2016”.

Naib Presiden NDP Belait, Sdra Haji Metali bin Ibrahim menyampaikan kata
alu-aluan di sesi muzakarah bersama AJK Protem Ranting Lumut 1 & 2
Pengurangan hasil pendapatan tersebut telah memberikan implikasi kepada keupayaan dan cara kerajaan menampung perbelanjaan pada masa ini dan masa mendatang, terutamanya jika keadaan ini berpanjangan”, tambah TYT Presiden NDP merujuk kenyataan YB Pehin Dato Haji Abd Rahman.

Dalam lain perkataan keadaan tersebut turut menjejaskan kemampuan kerajaan untuk menampung perbelanjaan seperti dulu.

Sehubungan dengan itu NDP sangat bimbang dengan senario dan implikasinya kepada masyarakat umum khususnya golongan marhaen termasuklah golongan belia-belia yang akan memasuki alam pekerjaan.

Kata TYT Presiden NDP, dikhuatiri di tahun-tahun kehadapan ini jumlah pengganguran akan bertambah dan semakin ramai pula keluarga akan jatuh miskin selain dari golongan peniaga-peniaga tempatan yang mungkin akan jatuh muflis akibat ekonomi negara yang merundum.

Kegelisahan dikalangan tenaga kerja tempatan juga dijangkakan apabila para majikan di sektor swasta terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi masing-masing sebagai langkah untuk mengelakkan syarikat-syarikat mereka dari menanggung kerugian besar akibat kemelesetaan ekonomi. Mungkin antara langkah yang mereka ambil ialah membekukan pengambilan tenaga kerja, pembekuan kenaikan gaji, pengurangan kerja lebih masa, bonus tahunan dan sebagainya.

“Apabila ini berlaku akan timbul kegelisahan dan kekecewaan apabila sebilangan besar kehilangan mata pencarian dan mereka yang terjejas setentunya perlu perlindungan sosial dari badan-badan kebajikan masyarakat seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Baitul Mal dan sebagainya. Dalam kata lain senarai pemohon bantuan kebajikan dan asnaf fakir miskin akan semakin panjang, ujar sdra Malai Hassan.

Justeru adalah wajar bagi pihak-pihak berkenaan bersiap sedia dengan memberikan perhatian serious terhadapnya dan menimbangkan strategi yang perlu dilaksanakan untuk mengurangkan kesan buruk yang mungkin bakal terhasil dari situasi tersebut. Memperluas dan memperkukuh jaring keselamatan sosial merupakan salah satu langkah yang saya lihat perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib, katanya lagi.

“Dalam hal ini, tambah beliau, NDP juga perlu bersiap sedia untuk membantu kerajaan dalam mengahadapi cabaran-cabaran tersebut dan bukan pula dengan menguar-uarkan isu-isu yang hanya boleh menambah kegelisahan masyarakat umum dan menambah buruk keadaan”.

“Disinilah peranan ranting-ranting NDP yang berada dikalangan masyarakat akar umbi iaitu untuk mengelinga kemaslahatan masyarakat disekitarnya dan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sangat prihatin tentang untug rugi nasib bangsanya dalam suasana ekonomi yang merundum ini.

Tambah TYT Presiden lagi,“kedudukan ekonomi negara yang membimbangkan ini membuatkan agenda politik NDP semakin relevan iaitu untuk membantu KDYMM Sultan dan Kerajaan dalam memelihara kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan bangsa dan negara dari sebarang bentuk ancaman. Dalam konteks ini kemiskinan dan pengganguran merupakan dua ancaman besar kepada kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan bangsa dan negara jika ianya tidak diberikan perhatian sewajarnya”.

Sdra Pengiran Kamaruddin bin Pengiran Sarnawi, Ketua AJK Protem Ranting Lumut 1 & 2
“Sebagai sebuah pertubuhan politik, NDP punya tanggungjawab dalam sama-sama menangani perkara ini. Tanggungjawab ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan adanya ranting-ranting parti yang berfungsi dengan baiknya diseluruh pelusuk negara”, tegas TYT Presiden NDP.

TYT Presiden menaruh harapan Ranting Lumut khususnya, yang sekarang dipimpin oleh sdra Pengiran Kamaruddin bin Pengiran Sarnawi akan dapat memainkan peranan dengan berkesan misalnya dengan mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab politik NDP di kawasan Mukim Lumut.

Turut hadir di sesi muzakarah tersebut ialah TYT Timbalan Presiden NDP, sdra Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Talib, Naib Presiden Belait, sdra Haji Metali bin Ibrahim, Setiausaha Agung NDP, sdri Hajjah Saemah Kefli, Bendahari Agung NDP, sdra Haji Mohd Ali Yusof, Penolong Setiausaha Agung NDP, sdra Mohammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging dan ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP Belait serta ahli-ahli NDP Lumut dan Belait.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

NDP sokong hasrat memantapkan pengurusan hal ehwal luar dan perdagangan negara


Titah Arahkan Pemeriksaan Postmortem Keatas MOFAT

LIMBARUH HIJAU 12 RABIULAWAL 1437 / 22 JANUARI 2016 : PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengalu-alukan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang pengurusan dan pentadbiran serta perlaksanaan dasar luar negara yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MOFAT) yang ketika ini diterajui oleh baginda sendiri.

Dalam hal ini, seperti yang telah digariskan dalam manifesto parti 2006 – 2016, NDP mahu melihat Dasar Luar Negara Brunei Darussalam yang bebas dan dinamik, supaya berjaya bukan sahaja mengikat hubungan politik dan diplomatik dengan banyak negara bahkan juga menggalakkan kepentingan perdagangan dan ekonomi Negara Brunei Darussalam sendiri. NDP berpandangan agenda utama dasar luar dan peranan perwakilan-perwakilan negara di luar hendaklah meletakkan agenda ekonomi dan perdagangan teratas sekali.

Justeru itu, Parti Pembangunan menyokong agar pihak yang berwajib memanfaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, untuk kebaikan dan kepentingan kesemua lapisan rakyat Kebawah DYMM dan tidak menghadkan kebaikan dan kepentingan tersebut kepada sebilangan yang tertentu sahaja. Untuk menjayakan dasar ini, tindakan bersepadu yang agresif hendaklah diambil oleh semua kementerian yang berkaitan agar dapat mengeluarkan produk-produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Parti Pembangunan juga mahu melihat MOFAT memanfaatkan pendekatan Islam yang diamalkan oleh negara ketika ini sebagai instrumen dalam memajukan keamanan sejagat.

Selain itu Parti Pembangunan juga berpandangan dasar luar negara perlu tegas dan teguh bagi memastikan negara-negara lain tidak akan mengeksploit Negara Brunei Darussalam sehingga mengikatnya dengan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kedua-dua pihak, secara adil dan saksama, mengikut Syariat Islam.

NDP juga melihat perlunya MOFAT memastikan yang perjanjian-perjanjian di antara Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain dimesyuaratkan dan diperdebatkan secara terbuka, dan disokong oleh Majlis Mesyuarat Negara, sebelum dipersetujui untuk ditandatangani atau disambung, dan proses menyemak semula perjanjian-perjanjian tersebut dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam jangka waktu yang munasabah di mana proses penyemakan semula tersebut akan ditugaskan, antara lainnya, kepada jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang semestinya ditubuhkan di dalam Majlis Mesyuarat Negara, seperti Jawatankuasa Tetap (Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan).

Sementara itu KDYMM dalam titah mengariskan,“Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mempunyai banyak jabatan-jabatan dibawahnya, lebhi dari 10 buah jabatan semuanya. Jabatan jabatan ini menpunyai fungsinya masing-masing yang tidak sama diantara satu dengan yang lain”.

“Jabatan Pentadbiran (Administration Department) misalnya, ada dengan fungsinya yang tersendiri. Jabatan Perancangan Dasar atau Policy Planning juga dengan fungsinya. Jabatan Politik (Department of Politics), Jabatan ASEAN, Jabatan Pertubuhan Antarabangsa atau Department of International Organisations dan lain-lain, semua itu dengan fungsinya masing-masing”

“Soalnya adakah semua jabatan yang banyak ini sudah dapat berfungsi dengan cukup baik”, titah KDYMM.

“Mengenai perlaksanaan fungsi-fungsi ini, adakah juga pernah diadakan sebarang post mortem mengenainya? Beta sendiri ingin tahu atau membaca hasil daripada postmortem tersebut”, tegas baginda sultan.

“Post mortem bagi hemat beta adalah penting untuk mengetahui sejauh mana kemajuan atau kesan dari rancangan atau kerja yang sudah dilaksanakan. Daripada postmortem kita juga dapat mengetahui, kelemahan-kelemahan atau kekurangan kita jika ada. Dengan itu dapatlah kita membaikinya”, jelas baginda.

“Inilah namanya kita belajar dari pengalaman. Kita mesti berani bertanya apakah yang sudah kita buat untuk Negara”, titah baginda lagi.

Titah baginda,”Kita ambil misal, jabatan kerjasama ekonomi (Department of Economic Cooperation) dibawah Kementerian ini sejauh manakah fungsi perdagangan dan perlaburan sudah dilaksanakan melalui expo-expo dan jerayawara-jeraaywara ekonomi?”

“Berjayakah sudah kita meningkatkan imej negara kita di luar melalui promosi-promosi seperti ini?”, soal baginda.

“Selanjutnya kita juga perlu bertanya tentang apakan Jabatan Pertubuhan Antarabangsa dibawah Kementerian ini sudah lakukan dalam mempromosi dan melindungi kepentingan Negara di kalangan organisasi antarabangsa”.

“Beta ambil contoh perkara memilih wakil ke persidangan-persidangan antarabangsa, atau serantau. Adakah kita sudah melakukan yang terbaik, yang menepati apa yang semestinya”.

Titah baginda menekankan, “perkara ini pun memerlukan post mortem juga”.

MIB Paksi Dasar Luar Negara

Dalam titah tersebut baginda sultan seterusnya menekankan pentingnya Melayu Islam Beraja sebagai falsafah bernegara dan berbangsa dijadikan paksi dasar luar negara.

Diantara fungsi Jabatan Pertubuhan Antarabangsa, titah baginda, ialah untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar luar Negara dan perananya dalam organisasi2 antarabangsa.

“Apakah ia dasar luar itu? Kita jangan lupa samada dasar luarkah atau dasar dalamkah, paksinya adalah MIB”.

“Beta tegaskan disini, MIB bukanlah ia untuk tahan-tahan di dalam negara saja. Tetapi juga untuk dibawa keluar”.

“Bertolak daripada MIB inilah, kita akan menghulurkan tangan kepada semua orang untuk bersahabat dan berbaik-baik dengan mereka, siapa jua. Kita mesti tunjukkan kepada dunia akan keluhuran MIB itu, bukan menapuk”, tegas baginda.

Berkaitan MIB, titah baginda, kita perlu merancang dan bertindak tanpa bercangah dengannya.

“Kita tuju sasaran dan luruskan cara sehingga kelihatan benar-benar sesuai dan tidak janggal. Misalnya siapa yang benar-benar sesuai untuk kita pilih mewakili Brunei ke pertubuhan-pertubuhan dunia di dalam persidangan-persidangan, kita mesti pilih mereka yang benar-benar berkemampuan dan berpengalaman yang dapat memberikan gambaran tepat siapa kita dan Brunei ini yang sebenarnya di mata dunia”, nasihat baginda lagi.

“Beta sangat mengambil berat tentang matlamat bagi jabatan-jabatan. Diantara yang penting ialah matlamat mempromosi dan melindungi kepentingan Negara di dalam organisasi-organisasi antarabangsa”.

Rakan-rakan dialog dunia bukanlah satu, tetapi banyak. Disana ada UN atau PBB, ada OIC atau pertubuhan kerjasama Islam, Commonwealth, rakan terdekat iaitu ASEAN dan lain-lain, titah baginda.

“Semua ini menunggu promosi dari kita, tentang Brunei dan terserah kepada kita bagaimana untuk melindungi kepentingan-kepentingan Brunei disisi rakan-rakan antarabangsa dan serantau itu”.

“Keadaan kini semakin sukar apabila konflik dunia semakin berkecamuk. Ini tentu saja meminta kita lebih berhati-hati dan bijaksana untuk menghadapi, maka untuk itu MOFAT adalah pihak yang lebih dibebankan untuk mengendalikannya”.

Satu lagi jabatan dibawah Kementerian ini ialah Jabatan Keselamatan (security Department). Jabatan ini, titah baginda, turut berfungsi untuk perlindungan keselamatan yang berkesan, mesra, bijak dan boleh dipercayai.

“Ia juga dikehendaki untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang ada kaitan dengan perkara-perkara keselamatan. Fungsi ini sangat penting dilaksanakan dengan betul. Janganlah ia hanya diatas kertas sahaja. Sebarang rancangan yang hendak dibuat, hendaklah dipertimbangkan masak-masak”.

Dalam hal ini baginda menasihatkan, “kalau ia ada berkaitan dengan unsur keselamatan atau hukum Ugama, maka janganlah ia terus dibuat begitu saja, melainkan rujukan atau muzakarah kan dulu dengan pihak-pihak berkenaan itu, bukannya terus-terus dibuat atau terus saja memberi arahan”.

“Elakkan dari bersifat ego dalam pentadbiran, patuhi apa-apa jua peraturan sebagaimana pihak lain mematuhinya. Janganlah ada peraturan yang dilangkahi, sebagai misalan, peraturan pengantaran pegawai-pegawai keluar negari kerana bertugas masih ada saja pihak yang melangkahinya”, titah baginda lagi.

Seterusnya baginda sultan mengingatkan,”jika peraturan itu mengkehendaki sekian-sekian, maka mestilah ia diikut, kecuali peraturan itu diubah atau dibatalkan”.

“Tegasnya, semua Kementerian dan agensi yang ada, mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.Tidak sesiapapun dibenarkan untuk berkecuali daripadanya. Kerana inilah tandanya kita bangsa yang bertamadun dilengkapi dengan disiplin dan peraturan-peraturan yang baru”.

Menyebut disiplin dan peraturan ini, titah baginda,”turut berkenaan adalah Jabatan Hal Ehwal Protokol dan Consulate (Department of Protocol and Consulate Affairs)”

“Jabatan ini berfungsi menjadi penyelaras kepada lawatan-lawatan negara, dan lawatan rasmi ke luar negeri. Selaku penyelaras adalah mustahak untuk diperhatikan segala atur cara bagaimana lawatan itu dibuat. Misalan, biasanya terdapat banyak tempat untuk dilawat, pihak protocol berhak untuk memilih atau mencadangkan tempat yang sesuai untuk dilawat itu”, titah baginda.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

Tuesday, January 19, 2016

Kearah Memperkasa NDP




LIMBARUH HIJAU, 1 RABIULAWAL 1437/11 Jan 2016 -  Sebagai sebuah pertubuhan politik, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) perlu bergerak dengan lebih aktif dan berkesan jika mahu benar-benar diterima dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai pembela kebenaran, keadilan dan ihsan yang merupakan modal perjuangannya.

Ke arah itu NDP perlu kepada struktur organisasi, sistem pengurusan dan pentadbiran serta sistem delivery yang mantap. Dasar, proses dan prosedur dalam membuat keputusan, sistem komunikasi dan keupayaan sumber tenaga kerja juga merupakan elemen-elemen yang sama penting perlu diperkukuh dalam usaha mempastikan kehadiran NDP dapat dirasakan sebagai satu rahmat kepada bangsa dan negara.

TYT Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Malai Hassan bin Malai Haji Othman, menekankan perkara tersebut semasa berucap sebagai mendahului agenda permesyuaratan pertama bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi bagi sesi 2015 hingga 2018 berlangsung di Anjung Syura, Markas Limbaruh Hijau Jalan Jerudong di sini.

Seramai dua puluh enam orang terpilih sebagai ahli-ahli Majlis Tertinggi, bagi sesi 2015 hingga 2018 setelah menjalani proses eliminasi dengan keputusan Menang Tanpa Bertanding oleh pihak Suruhanjaya Pemilihan Umum (SPU) NDP bermula 31hb Ogos lalu.

Berikutan itu kepimpinan NDP bagi sesi 2015 hingga 2018 adalah terdiri daripada Awang Haji Abd Rahman bin Yusuf selaku Pengerusi Tetap, manakala Presiden NDP ialah Malai Hassan bin Malai Haji Othman, Timbalan Presiden Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Taib, Setiausaha Agung Hajah Sa'emah binti Haji Kepli, Bendahari Agung Awang Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yusuf, Penolong Setiausaha Agung Awang Muhammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging.

Manakala Naib-Naib Presiden terdiri daripada Awang Haji Muhiddin bin PDP Hj Othman bagi Daerah Brunei Muara, Awang Haji Metali bin Ibrahim bagi Daerah Belait, Awang Haji Jefri bin Hj Md Daud bagi Daerah Tutong dan Awang Haji Zaini bin Bakar bagi daerah Temburong.

Dan ahli-ahli Majlis Tertinggi lainnya, terdiri  Awang Haji Mohammad bin Haji Mohd Yassin, Awang Haji Hamid bin Hussin, Awang Haji Azahari bin Jais, Awang Jumat bin Sulaiman, Dayang Hadijah binti Haji Dollah dan Dr Hajah Rayah binti Haji Ali bagi Daerah Brunei Muara.

Sementara itu ahli-ahli Majlis Tertinggi Daerah Belait terdiri daripada Awang Haji Sulaiman bin Duraman, Dayang Rosiah binti Alah, Awang Mohammad bin Tuah, dan Dayang Halimah binti Janai, seterusnya bagi daerah Tutong, Awang Haji Ratu bin Tahir , Awang Tahir bin Radin dan Dayang Puspalinda bin Abiddin.

TYT Presiden dalam ucapannya seterusnya turut berkata menyarankan kepada semua ahli-ahli Majlis Tertinggi untuk sentiasa mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan melalui program muzakarah dengan ahli-ahli di akar umbi, terutama sekali mendekati ahli-ahli di ranting-ranting di seluruh daerah, kerana tambahnya ahli-ahli perlu diperkasa melalui kefahaman yang betul, supaya mereka mengetahui kenapa sebenarnya mereka menjadi ahli NDP.

TYT Presiden NDP kemudiannya turut membentangkan perancangan, perlaksanaan kearah memperkasa NDP, antaranya ialah perlu memantapkan struktur organisasi, kepimpinan/sumber daya manusia, sistem pengurusan dan pentadbiran, sistem komunikasi parti, kewangan dan dana serta sistem delivery.

“Dalam perancangan mengemaskinikan struktur NDP akan melibatkan pemodenan JASA dari semua segi termasuklah dari segi fizikalnya. Kita juga berhasrat untuk menjadikan markas sebagai kemudahan yang boleh digunakan oleh semua ahli-ahli di seluruh daerah, kita tidak mahu markas hanya untuk tempat bermesyuarat sahaja, tetapi bagaimana ia boleh memudahcara ahli-ahli dan barisan kepimpinan untuk menggunakannya, ianya adalah demi kebaikkan dan kemajuan parti, ini antara perkara yang perlu kita usahakan di mana kita mahu memanafaatkan markas sebaik-baiknya demi untuk perjuangan kita membina bangsa dan negara” katanya.

Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama sesi 2015 hingga 2018 tersebut adalah Laporan Setiausaha Agung, Laporan Bendahari Agung, Membentangkan Gerak Kerja 100 hari, Taklimat penubuhan jawatankuasa dan biro-biro dan hal-hal lain yang turut membincangkan persiapan menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan Negara, persiapan menghadapi MPPD dan sebagainya.

Mesyuarat tersebut telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa mesyuarat yang dipimpin oleh TYT Presiden NDP Malai Hassan bin Malai Othman, diikuti kemudiannya membaca ikrar setiap daripada Presiden serta ahli-ahli Majlis Tertinggi dan diakhiri dengan bergambar ramai.


Sumber - Laman Aspirasi

Wednesday, December 30, 2015

Rombongan NDP prihatin tentang untung nasib peniaga-peniaga Tamu Kianggeh




BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis - Hampir semua peniaga secara kecil-kecilan dan sederhana, di Tamu Kianggeh melahirkan rasa tidak bersetuju atas keputusan untuk mereka dipindahkan daripada kawasan berniaga yang sudah sinonim dengan mereka terutama sekali di kalangan peniaga-peniaga warga emas yang mendakwa sudah berpuluh-puluh tahun menjadikan tempat itu sebagai tempat mereka mencari mata pencarian selama ini.

Mereka juga terkilan kenapa mereka tidak diajak untuk memberikan pandangan sama atas keputusan pihak berkenaan itu. Mereka meluahkan perasaan dan pandangan mereka ini kepada rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang membuat lawatan kerja mereka ke kawasan tamu tersebut kemarin. Rombongan di ketuai oleh Presiden parti itu, Malai Hassan bin Malai Haji Othman.

Ramai di kalangan peniaga-peniaga di sana terdiri daripada kalangan warga emas selain terdapat juga di kalangan ibu tunggal yang berniaga di sana untuk menampung kehidupan bersama anak-anak mereka. Menurut mereka pendapatan minima setiap hari kira-kira lebih $30.00 dan pendapatan akan meningkat di waktu hujung minggu.

Banyak perkara yang mereka bimbangkan dengan langkah untuk memindahkan mereka ke kawasan tamu baru di Gadong.

“Jika kami dipindahkan ke kawasan Gadong sepertimana kami difahamkan, maka antara kesukaran kami ialah terpaksa dua kali naik bas, daripada tempat tinggal kami, bas berhentian di satu perhentian di Bandar Seri Begawan sahaja, kemudian dari sini kami terpaksa lagi naik bas lain untuk ke Gadong, dan kami terpaksa mengangkut dagangan kami”, kata beberapa orang peniaga di sana yang tinggal jauh daripada kawasan tamu.




Selain yang tinggal di kawasan kampung ayer pula, jika dipindahkan ke kawasan baru, adalah menjadi kesukaran mereka dari segi pengangkutan, biarpun ada bas, tetapi ramai dikalangan mereka adalah warga emas yang sudah kurang kekuatan fizikal.

“Kami selalunya hanya naik motor bot, dari seberang kampung kami dan naik di tambatan depan tamu ini” kata beberapa orang lagi peniaga warga emas yang tinggal di kawasan kampung ayer.

Sementara itu Presiden NDP, Malai Hassan bin Malai Haji Othman, ketika ditemui menyatakan rasa terkilannya dengan isu hangat pemindahan Tamu Kianggeh yang telah mengundang banyak bantahan daripada kalangan masyarakat tempatan terutama penjaja-penjaja yang merasakan langkah itu akan menjejaskan mata pencarian mereka.

Menurutnya, sebahagian besar masyarakat di negara ini pula merasakan langkah tersebut tidak wajar, memandangkan Tamu Kianggeh merupakan sebahagian daripada warisan sejarah dan budaya orang Brunei, selain turut merupakan kawasan popular di kalangan pelancong luar negara yang ingin melihat sambl belajar menghayati suasana kehidupan dan budaya orang Brunei.

“NDP dalam hal ini memahami sentimen orang ramai yang terbabit, dan bimbang ianya boleh mengundang kepada kebencian rakyat kepada sektor perkhidmatan awam terutama elit-elit pentadbir yang di amanahkan untuk menjaga kemasalahan rakyat, selain kami juga khuatir perlaksanaan perancangan yang gagal mengambil kira kemasalahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di tamu itu, akan sekali lagi menjejasakan kredibiliti sektor perkhidmatan awam sebagai pemudahcara pembangunan bangsa dan negara, seperti juga yang pernah dicetuskan oleh isu Pasar Seria yang dipindahkan ke Pasar Baru Lorong Tiga, hingga sekarang ia dilihat sebagai satu testimonial kehancuran peniaga-peniaga Melayu berpunca daripada perancangan yang lemah” katanya.




Tambahnya lagi, NDP menyokong penuh usaha pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan ke arah mencapai objektif-objektif  antaranya untuk memelihara kebersihan alam sekitar, keselamatan dan keselesaan pengguna-pengguna jalanraya serta bagi tujuan menambah cantik persekitaran ibu negara Bandar Seri Begawan, selain alasan yang turut ditekankan untuk menghormati tanah perkuburan orang-orang Islam yang terletak berdekatan di tamu itu.

“Akan tetapi NDP berkeyakinan objektif-objektif tersebut masih boleh dicapai tanpa mengambil langkah-langkah drastik yang jelas telah banyak mengundang kegelisahan dan kekecewaan di kalangan peniaga-peniaga di tamu itu, khususnya dan di kalangan masyarakat umum, dari itu, kami berharap pihak-pihak berkenaan akan dapat memikirkan semula perancangan tersebut dengan mengambil kira semua sudut pembangunan bukan sahaja pembangunan fisikal akan tetapi lebih penting pembangunan sosial rakyat Brunei, serta kami menyeru pihak berkenaan agar mempertimbangkan semula perancangan dengan mengingati motto negara “Berkhidmat Mengikut Petunjuk Allah”, di mana nanti negara akan terus menjadi negara yang baik dengan keadilan di tegakkan” ujarnya.

Turut menyertai lawatan hari ini, Timbalan Presiden NDP, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib, serta ahli-ahli Majlis Tertinggi pertubuhan itu daripada seluruh negara.

Berikut kenyataan rasmi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) tentang isu Tamu Kianggeh:



KENYATAAN MEDIA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)


UNTUK SIARAN SEGERA
TARIKH: 25 DISEMBER 2015
PER: NDP KESAL DENGAN ISU TAMU KIANGGEH

1. PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) rasa terkilan dengan isu hangat pemindahan Tamu Kianggeh yang telah mengundang banyak bantahan dari kalangan masyarakat tempatan terutama peniaga-peniaga Melayu yang merasakan langkah tersebut akan menjejaskan mata pencarian dan masa hadapan mereka

2. Langkah tersebut juga dilihat oleh sebahagian besar masyarakat Brunei sebagai tidak wajar kerana Tamu Kianggeh merupakan sebahagian dari warisan sejarah dan budaya orang Brunei yang perlu dipelihara dan dimajukan

3. Tambahan lagi Tamu Kianggeh telah dikenali ramai sebagai destinasi popular yang menjadi tarikan pelancong asing yang ingin melihat keunikan Negara Brunei dan menghayati suasana kehidupan dan budaya orang Brunei

4. Di Tamu Kianggeh pelancung asing dapat melihat dengan lebih dekat lagi suasana hiruk pikuk di tamu berkenaan disamping meninjau ke tempat jualan kuih-kuih kering, jualan perubatan tradisi orang-orang Brunei dan tempat jualan ikan kering, belacan dan lain-lain hasil usaha kampong

5. NDP mengingat kembali sejarah Tamu Kianggeh yang bermula pada awal 1960-an. Dulunya ia merupakan tempat padian wanita menjual pelbagai hasil produk mereka dengan menggunakan bot yang juga dikenali sebagai padian dan tempat ini juga dikatakan pernah mennerima lawatan dari Ratu Elizabeth sebanyak dua kali dan juga puteranya, Putera Charles sekitar tahun 1980-an

6. Sehubungan dengan itu NDP sangat memahami sentimen orang ramai mengenai isu tersebut dan berkongsi pandangan dengan seluruh rakyat yang tidak selesa dengan tindakan pihak berkuasa tersebut

7. NDP bimbang langkah tersebut mengundang ‘kebencian' rakyat dan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam terutama elit-elit pentadbir yang diamanahkan untuk menjaga maslahah rakyat

8. Menurut laporan media-media perdana pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan telah mengeluarkan notis pemindahan dan telah mengarahkan semua peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh untuk mengosongkan kawasan tersebut dan berpindah ke kawasan Pasar Gadong selewat-lewatnya bulan Mac 2016

9. NDP mengambil maklum bahawa pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan telah memberikan beberapa alasan-alasan seperti berikut untuk menjustifikasikan langkah tersebut:

I. Ianya merupakan salah satu program Lembaga Bandaran BSP untuk mencantikan persekitaran Bandar Seri Begawan
II. Langkah untuk memelihara kebersihan alam sekitar Bandar Seri Begawan
III. Mengurangkan kesesakan lalu lintas jalan utama berhadapan Tamu Kianggeh
IV. Untuk menghormati tanah perkuburan orang-orang Islam yang berdekatan dengan Tamu Kianggeh

10. NDP juga mengambil maklum langkah memindah Tamu Kianggeh tersebut merupakan sebahagian dari projek pembinaan Tamu Gadong (Berpayung) yang ‘bermasalah' sejak ianya siap dibina pada tahun 2014

11. Dari sudut pandang NDP isu ini dilihat sebagai satu lagi kegagalan pihak-pihak berkenaan dalam membuat perancangan kemajuan yang melibatkan secara langsung kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana dengan bijaksana

12. Ia juga merupakan satu kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil pendekatan yang holistik selaras dengan tuntutan Melayu Islam Beraja sebagai konsep berbangsa dan bernegara orang Brunei dalam membuat perancangan dan perlaksanaan sesuatu perancangan yang melibatkan kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana

13. Dalam hal ini apa yang jelas ialah proses membuat keputusan tidak melibatkan sepenuhnya pandangan-pandangan rakyat terutama peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh yang merupakan ‘stakeholder' yang tidak kurang penting dalam membuat keputusan besar ini

14. Perlu dijelaskan NDP bersetuju dengan objektif-objektif yang diketengahkan oleh pihak Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan dalam langkahnya memindah peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh ke empat lokasi di Gadong

15. Akan tetapi NDP kurang bersetuju dengan langkah kearah mencapai objektif-objektif tersebut iaitu dengan menamatkan riwayat Tamu Kianggeh dan sekali gus meletakan masa hadapan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh dalam keadaan gusar akan masa hadapan yang boleh pasti terjamin

16. NDP juga sangat tidak selesa untuk bersetuju dengan sebarang langkah yang terdapat unsur-unsur ketidakadilan didalamnya terutama yang boleh menjejaskan mata pencarian dan masa hadapan peniaga-peniaga anak tempatan

17. NDP berkeyakinan objektif-objektif tersebut masih boleh dicapai tanpa mengambil langkah-langkah ‘drastic' yang jelas telah banyak mengundang kegelisahan dan kekecewaan dikalangan peniaga-peniaga di Tamu Kianggeh

18. Dari itu NDP berseru kepada pihak-pihak berkenaan agar memikirkan semula perancangan tersebut dengan mengambil kira semua sudut pembangunan bukan sahaja pembangunan fisikal akan tetapi lebih penting pembangunan sosial rakyat Brunei

19. NDP khuatir perlaksanaan perancangan yang gagal mengambil kira kemaslahatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di Tamu Kianggeh akan sekali lagi menjejaskan kredibiliti sektor perkhidmatan awam sebagai pemudahcara pembangunan bangsa dan negara, seperti juga yang pernah dicetuskan oleh isu pasar Seria yang dipindahkan ke pasar baru di Lorong Tiga.

20. Hingga kehari ini ia menjadi ristaan tentang kehancuran peniaga-peniaga Melayu yang berpunca dari perancangan yang tidak bijaksana

21. Sekali lagi NDP menyeru pihak-pihak berkenaan agar mempertimbangkan semula perancangan tersebut dengan melihat semula nilai-nilai Tamu Kianggeh sebagai satu aset sejarah dan budaya bukannya semata-mata sebagai satu liabiliti kepada persekitaran Bandar Seri Begawan

22. Ada berkatnya jika pihak-pihak berkenaan mengingati semula motto negara “BERKHIDMAT MENGIKUT PENTUNJUK ALLAH” dan bertolak dari sana serta atas landasan Negara Zikir dalam membuat sebarang perancangan dan keputusan

23. Ada juga berkatnya jika pihak-pihak berkenaan turut mengingat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti berikut:

"Salah satu dari ciri bersyukur itu ialah dengan melaksanakan keadilan. Kerana keadilan adalah segala-galanya. Tanpa keadilan, semua kebajikan akan jauh atau menarik diri daripada kita.
 
Oleh itu, satu peringatan perlu disebut di sini, bahawa sesiapa jua yang dilantik atau dipilih menjadi pemimpin, mereka itu adalah berkewajipan untuk menjalankan keadilan. Tempat tumpahnya keadilan ialah keatas rakyat, bukan kepada diri sendiri. Adapun untuk kepentingan diri sendiri, itu bukanlah keadilan tetapi kezaliman.
 
Sebab itulah kadang-kadang, bersedia mendengar suara orang di bawah, atau menerima idea-idea yang baik, atau keluhan atau rintihan mereka dapat dianggap sebagai ciri melaksanakan keadilan."

(Titah Rombakan Keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Dan Pelantikan-Pelantikan Baru 09 MUHARRAM 1437 / 22 OKTOBER 2015)

24. Semoga dengan itu nanti negara akan terus menjadi negara yang baik dimana keadilan ditegakkan, pihak yang berhak mendapat hak nya dengan adil dan ihsan, dan yang berkewajipan menjalankan kewajipan mereka dengan jujur, amanah dan bersih. In sya Allah negara uyang baik ini akan sentiasa mendapat perlindungan Allah jauh dari murka Allah.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

Thursday, November 21, 2013

JANGAN BIARKAN TITAH 'BEMALAM'


LIMBARUH HIJAU, 20 NOVEMBER 2013 :  Pergerakan Puteri Pembangunan (3P) Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berharap pihak-pihak berkepentingan tidak akan 'memalamkan' titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mengariskan kegusaran baginda terhadap kebajikkan dan kesejahteraan belia-belia dan harapan seorang raja akan masa depan rakyat generasi pelapis yang akan menentukan survivability bangsa Melayu Islam Beraja ini.

Antara lain baginda mengingatkan belia-belia agar tidak hanyut oleh budaya berseronok-seronok yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Baginda menyeru agar mereka berusaha memahami dan menghayati undang-undang syariah yang akan dikuatkuasakan agar mereka menjadi belia-belia yang mendapat pentunjuk dan matang.

Baginda juga merakamkan kebimbangan terhadap isu pekerjaan dan pengangguran yang mana pada masa ini dianggarkan sejumlah 18,000 dari kalangan mereka masih mencari pekerjaan.

Baginda juga menyentuh mengenai keterlibatan belia-belia dalam kerja-kerja amal sambil meluahkan harapan agar tren tersebut dapat diperkukuh dan dipertingkat senhingga menjadikan belia-belia Brunei termasuk golongan yang prihatin, matang dan sivik

Sehubungan dengan titah tersebut, Pergerakkan Puteri Pembangunan NDP (3PNDP), menyeru pihak berkenaan agar dapat mengambil langkah-langkah segera demi meyahut hasrat baginda Sultan.

Antaranya 3PNDP menyarankan agar elaun pengangguran dapat diperkenalkan kepada para belia yang masih belum mempunyai pekerjaan.

Saran tersebut dibuat sebagai menyahut kebimbangan Kebawah DYMM di dalam Titah Baginda sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-8 Tahun 2013 yang menyebutkan jumlah pengangguran di Negara Brunei Darussalam lebih kurang 18 ribu orang.

Puteri NDP turut merasakan kebimbangan KDYMM yang menyentuh tentang isu pengangguran yang boleh menyebabkan tergugatnya kestabilan sesebuah negara.

Dalam hal ini, Pg Nuurul Azadah Pg Hj Abu Bakar,  Setiausaha 3PNDP mengingatkan bahawa, “Ledakan belia (youth bulge) yang berlaku di beberapa buah negara, mengambil contoh dengan berlakunya ‘Arab Spring’ yang mengakibatkan kejatuhan sesebuah negara itu adalah dipimpin dan diterajui oleh para belia khususnya belia yang menganggur. Pengangguran yang tinggi merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kejatuhan sesebuah regime.”

“Jumlah pengangguran di Negara Brunei Darussalam berada di tahap yang tinggi dan amat mengerunkan. Dalam hal ini adalah dicadangkan agar pihak kerajaan menimbang untuk meberikan elaun pengangguran (unemployment benefits) sekurang-kurangnya pada kadar BND300 sebulan kerana ini akan dapat mengurangkan beban tangungan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengangur disamping boleh membantu para belia mengawal perasan dan tekanan akibat tidak mempunyai pendapatan. Unemployment benefits ini telah diamalkan di berapa buah Negara Eropah “ ujar Nuurul Azadah lagi.

Puteri NDP juga amat teruja dengan pernyataan baginda yang berterus terang  menyebutkan bahawa para belia pada masa inilah merupakan generasi  yang bakal meneraju kepimpinan di masa akan datang, oleh itu tambah Nuurul Azadah, “para elite Negara hendaklah jujur menilai prestasi para Belia di negara ini dan jika sekiranya masih didapati banyak kekurangan maka negara tidak punya banyak masa lagi dan harus segera mengaturkan program-program  yang boleh membina jatidiri, akhlak, sikap dan pendirian para belia seperti yang dhasratkan oleh Kebawah DYMM.”

Beliau menambah, “Adakah pihak berkenaan berpuas hati dengan pencapaian kemajuan belia di Brunei pada hari ani? Pernahkan pihak berkenaan membuat kajian terperinci secara saintifik status belia dari aspek tahap pendidikan belia, pendedahan belia kepada isu-isu semasa dan penghayatan para belia kepada Islam sebagai Ad Din? Pada pengamatan kami Puteri Pembangunan, tumpuan-tumpuan hendaklah diberikan kepada aspek-aspek ini kerana itu menjadi tunggak kepada pembangunan belia seperti yang dihasratkan oleh KDYMM,” tegas Nuurul Azadah lagi.

Beliau menambah, “Puteri NDP turut merasakan kebimbangan KDYMM tentang ketidak sepadanan atau mismatch dalam pasaran buruh dari aspek pembekalan (supply) dengan permintaan (demand) yang juga banyak menyumbang kepada terjadinya pengangguran. Perkara ini amat membimbangkan kerana jika berlaku ketidak sepadanan atau ketidak seimbangan antara supply dan demand ini boleh menjurus kepada kebangkitan massa. Perkara ini tidak mustahil berlaku apabila negara gagal memenuhi kehendak dan keperluan rakyatnya, tentu sekali perkara ini tidak kita inginkan berlaku di negara ini.”

3PNDP amat mengalu-alukan seruan agar para belia merebut peluang pekerjaan di sektor swasta dan di bidang keusahawanan agar para belia tidak bergantung dan mengharapkan untuk bekerja dengan kerajaan semata-mata, oleh yang demikian “ adalah juga diseru pihak berkenaan agar dapat menetapkan kadar gaji minima yang munasabah berdasarkan sektor perkhidmatan/pekerjaan umpamanya tangga minima gaji bagi pekerja tempatan di sektor perkhidmatan runcitan sekitar BND600 di samping tambahan BND250 elaun kurnia khas yang dicadangkan oleh NDP supaya dilaratkan ke sektor swasta, kerana belia-belia di negara Brunei Darussalam bukanlah memilih pekerjaan tetapi mereka memilih gaji yang ditawarkan serta kemudahan yang disediakan demi menjamin dan memenuhi tuntutan kehidupan mereka,” jelas Nuurul Azadah.

Di samping itu juga, “Puteri NDP menyeru supaya pihak berkenaan mewujudkan kumpulan mentor yang berfungsi untuk membantu belia yang ingin memulakan perusahaan atau perniagaan sendiri. Selain dari menyediakan khidmat mentorship, pihak berkenaan juga disaran agar menyediakan kemudahan bengkel operasi, peralatan dan modal pusingan secukupnya secara percuma untuk satu tempoh yang munasabah. Kerana hanya dengan komitmen pihak berkenaan seperti ini akan melahirkan usahawan muda yang berkeyakinan tinggi dan berdaya maju, insya Allah,” jelas Setiausaha 3P lagi.

Menyentuh Titah KDYMM mengenai budaya suka berseronok, Puteri NDP turut menyeru para belia agar tidak terpengaruh dengan persekitaran yang mencabar emosi mereka. Dalam konteks ini  diseru pihak berkenaan agar menutup dan mengurangkan pintu-pintu “berseronok”, namun demikian fitrah kejadian manusia yang inginkan hiburan dan ketenangan. Keinginan tersebut hendaklah diisi oleh pihak berkenaan dengan program-program untuk remaja belia yang bermanafaat disamping mencetuskan kesedaran mereka melalui sistem pendidikan yang holistic yang tidak meminggirkan pendidikan co-curriculum dan program yang disediakan itu perlulah program yang boleh diterima oleh para belia keseluruhannya.”

Puteri Pembangunan dalam masa yang sama tersentuh apabila KDYMM menyeru para belia agar tidak ketinggalan untuk mendokong perlaksanaan undang undang jenayah syari’ah. Puteri  NDP melihat ianya sebagai satu isyarat KDYMM memerlukan sokongan mantap daripada rakyat keseluruhannya terhadap perwartaan kanun jenayah syari’ah tersebut, maka di sini mewakili seluruh Pergerakan Puteri Pembangunan menzahirkan sokongan sepenuhnya dan berdiri teguh dibelakang KDYMM dalam melaksanakan  Kanun Hukuman  Jenayah Syari’ah seperti yang dititahkan oleh KDYMM pada 22 Oktober 2013 yang lalu.”

Puteri NDP juga turut berbangga dengan penglibatan para belia dalam kerja-kerja sukarelawan. Walaupun Negara Brunei Darussalam antara negara anggota yang mempelopori  ASEAN Young Professional Volunteer Corps, namun demikian 3P masih tidak  nampak pencapaian yang diperolehi oleh ASEAN Young Volunteer Corps ini dan kumpulan sukarelawan yang lainnya di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu dipohonkan pihak berkenaan akan dapat mendedahkan pencapaiannya supaya menjadi rangsangan kepada belia lainya untuk melibatkan diri dalam program seumpama itu. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada aktiviti berkebajikan dan berpahala yang sewajarnya diwar-warkan dan dibuka seluasnya untuk penglibatan lebih ramai belia, ujarnya lagi.

Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP

Thursday, November 14, 2013

NIAT, IKHLAS DALAM PERJUANGAN


Limbaruh Hijau, 27 Oktober 2013: NIAT yang betul disertai dengan sifat ikhlas merupakan elemen penting yang akan menentukan perjalanan sesuatu perjuangan. Jika niat betul, perjalanan sesuatu perjuangan, dengan izin Allah, akan sampai ke matlamat yang dihasratkan, walaupun menghadapi berbagai rintangan. Apatah lagi jika ianya didorong dengan niat ikhlas semata-mata untuk mendapat redha Allah, pasti akan mendapat keberkatan walaupun nampak semacam gagal.    

Begitulah secara kasarnya intipati sesi usrah bulanan NDP yang dilangsungkan seperti biasa di surau Markas Pusat Jerudong. Sesi usrah dipimpin oleh Sdra Mahmud Morshidi Othman, Presiden Parti Pembangunan Bangsa(NDP). Program dihadiri oleh keluarga JASA. Turut hadir Timbalan Presiden Sra Hj Juned Hj. Ramli dan Naib Presiden NDP Belait, Sdra. Pg. Hj Zainal bin Pg. Talib.

Program usrah dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, ratib dan solat isya’.

Presiden sebagai naqib meneruskan perbincangan mengenai niat dan ikhlas dalam perjuangan berdasarkan buku Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan oleh Sheikh Mustafa Masyhur. Perbincangan panjang lebar mengenai konsep niat dan ikhlas dalam perjuangan bertujuan untuk ingat mengingati antara kepimpinan dan ahli-ahli parti agar tidak terbabas dari niat asal berjuang melalui NDP kerana Allah.

Dalam pengamatannya, sdra Morshidi berkata memang terdapat sebilangan kecil kalangan pendakwah dan pejuang dalam gerakan Islam berjaya membebaskan diri mereka ketika diuji dengan kepayahan dan kesangsaraan lalu menyangka bahawa ia telah terlepas dari sebarang fitnah

Namun demikian, ada juga kalangan da’e dan pejuang itu yang tertipu dengan umpan pangkat dan gelaran, kebendaan dan kemewahan. Seperti kata Sheikh Mustafa Masyhur mereka yang terperangkap dalam keadaan sedimikian akan berhujjah bahawa “pangkat dan kebendaan dunia itu boleh membantu dan menyokong amal Islam; tetapi sebenarnya palsu belaka”.

Ramai pejuang dan ulama yang pada awalnya dilihat kental dalam prinsip perjuangannya tumpas ketika diuji Allah dengan segala macam kemewahan,  kekuasaan atau pengaruh. Ketika dia susah, dia tidak tergamak mengambil hak orang susah yang lain, namun ketika ia berkuasa dan berpengaruh seolah-olah tiada pula yang haram baginya. Demikian pengamatan Sdra Morshidi.

Mengambil iktibar dari tulisan Sheikh Mustafa itu, sdra Morshidi mengajak jemaah usrah agar sama-sama insaf akan hakikat bahawa kebanyakan orang yang sudah hidup mewah malah akan bermati-matian lagi mencari kemewahan hingga “malas” untuk berjihad.

Golongan ini akan menutup mata dan telinga apabila ada orang lain mengingatkan bahawa Baginda Rasulallah SAW sendiri pernah menjadi seorang peniaga kaya tetapi akhirnya jatuh miskin dan menjalani kehidupan sempit semata-mata kerana baginda memilih jalan zuhud dan mengutamakan apa yang diperintahkan oleh Allah, memberikan apa jua hak kepada yang berhak.

Menurut pandangan para da’e dan pejuang Islam sejati, ujar sdra Morshidi, para ulama dan pejuang Islam yang sudah terbabas sewajarnya kembali kepada sirrah dan mengambil teladan mengenai pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulallah SAW, para sahabat dan para anbiya’ betapa kebanyakan mereka yang memulai kehidupan dengan kemewahan mengakhiri hayat mereka dengan kesederhanaan malah dengan kesempitan dan kemiskinan.

“Di manakah pula letak duduk kita, soal sdra Morshidi, jika kita bandingkan diri kita dengan para kekasih Allah itu?”.

“Mengambil contoh, di akhir hayat baginda Rasulallah SAW, baginda  hanya meninggalkan empat helai jubah, dan salah satu jubah baginda itu mempunyai enam belas tampalan…", sambung sdra Morshidi.

Berbeza dengan segelintir ulama hari ini, ada yang memulai kehidupannya dengan susah payah lalu menjadi senang lenang dan ada juga yang kaya bertambah kaya.

Sdra Morshidi juga mengajak para jemaah agar sama-sama menginsafi betapa setiap musim perayaan Maulidurrasul, para pendakwah tidak terlepas menyeru “Ikutlah Nabi Junjungan….., Nabi Muhammad sebaik-baik ikutan dan macam-macam lagi seruan supaya umat ini mengikut cara hidup Nabi SAW, tetapi sampai pada bab cari pengaruh, cari harta dan mengurus kemewahan tidak pula kita mahu menoleh ke arah ajaran Nabi….ada antara kita yang karit sangat untuk menginfakkan sebahagian besar harta kekayaan kepada yang memerlukan…”

Beliau juga berbicara mengenai bahaya penyelewengan niat, umpamanya niat asal perjuangannya kerana Allah tetapi akhirnya diserang oleh penyakit “gila pimpinan”. Ia begitu rakus mencari pengaruh dan memikat orang untuk menjadi pengikutnya sendiri lebih daripada untuk menjadi pengikut jemaah.

Ada juga orang yang  “gila pengaruh” bekerja keras untuk memikat hati  pengikut dan orang ramai dan menggunakan pengaruhnya itu untuk memberikan tekanan kepada pemimpin atau organisasi bagi tujuan menyaingi pemimpin tertentu dan menguasai organisasi. Dalam konteks yang lebih luas, ada juga yang berkerja keras mencari pengaruh untuk kepentingan diri sendiri melebihi seruannya supaya menta’ati pemerintah.

Mengekalkan orang gila pimpinan dan gila kuasa di dalam barisan jemaah atau organisasi adalah amat berbahaya dan memudaratkan jemaah atau organisasi justeru lebih baik orang-orang gila kuasa dan gila pimpinan ini disingkirkan saja dari jemaah atau organisasi.

Mengekalkan mereka dalam organisasi bererti memberi peluang kepada penyelewengan, kebocoran rahsia kepada orang luar, terbukanya pintu kecuaian dan sekali gus boleh menghakis sebuah keyakinan kepada organisasi.

Lazimnya, orang akan menyalahkan sebarang kepincangan kepada pimpinan tertinggi sesebuah organisasi dan kepada organisasi itu sendiri, bukan kepada individu pengacau tadi justeru, dalam konteks parti,  “biar tia orang-orang ikhlas saja bersama kitani. Ada seribu penyokong bergeraklah cara ada seribu, ada seratus penyokong bergeraklah cara ada seratus penyokong dan demikian, waima kita hanya ada sepuloh orang penyokong yang ikhlas maka bergeraklah mengikut kemampuan yang terdaya,” tegas sdra Morshidi.

Di akhir sesi majlis ilmu itu, jemaah usrah diseru agar memantapkan keimanan dan membetulkan niat menyertai NDP dan berjuang semata-mata kerana ingin mencari keredhaan Allah – Wallahu a'lam.

Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP

Monday, November 11, 2013

JAHIL TOLAK KANUN JENAYAH ISLAM - Timbalan Presiden NDP


Menyorot kembali Kenyataan Media TYT. Presiden Sdra. Mahmud Morshidi Othman pada 19 Zulhijjah 1434/24 Oktober 2013 yang menyokong sepenuhnya titah Kebawah DYMM mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 17 Zulhijjah 1434 / 22 Oktober 2013-11-07 memanglah amat bertepatan dan sewajibnya disuarakan oleh sebuah pertubuhan politik yang berteraskan undang-undang berteraskan Al-Quran dan Hadis.

NDP selaku suara rakyat dari akar umbi berkewajipan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan seharusnya tampil kehadapan menyuarakan bahawa Kebawah DYMM tidak keseorangan dalam melaksanakan dan menagakkan undang-undang Allah di Bumi Darussalam ini.

Hasrat dan keazaman baginda ini bukanlah baru malah lama setelah baginda menaiki takhta daripada ayahanda baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III tahun 1967. Gerak dan niat baginda itu terpancar pada detik 1 Januari 1984 apabila baginda bertitah dengan penuh semangat dihadapan ribuan rakyat baginda serta ramai jemputan Tetamu Luar Negara .
"Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahuwa Taala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut ahli sunah wal-jamaah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan..."
(Titah Permasyhuran Kemerdekaan 1984)

Tiada keraguan baginda untuk bertitah demikian kerana tiada undang-undang dan perlembagaan yang lebih unggul selain daripada undang-undang Islam kerana ia lengkap dan menyeluruh menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia yang tidak terbatas pada satu-satu masa atau waktu sahaja kerana undang-undang Islam adalah undang-undang ciptaan Allah s.w.t. Undang-undang yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan.

Katani orang-orang Brunei umumnya mengetahui bahawa penghayatan dan pelaksanaan undang-undang Islam di Negara ini bukanlah baru, ia telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak Sultan Muhammad (Awang Alak Betatar) menjadi raja di Negara Brunei Darussalam.

Konsep dan keadilan dalam undang-undang Islam telah menimbulkan banyak perbincangan sejak zaman dahulu lagi terutama di kalangan para ilmuan yang tertumpu kepada skop dan cirinya serta bagaimana untuk melaksanakannya.

Menurut Profesor Majid Khadduri, '' Dalam Islam , keadilan ketuhanan terkandung dalam wahyu dan mukjizat yang dikurniakan kepada nabi Muhammad s.a.w. Kedua-sua sumber dan naskhah sahih ini berserta "sumber terbvitan" daripada penaakulan manusia yang disebut ijtihad, dapat memberi asas kepada para ulama' untuk menetapkan apa yang disebut undang-undang dan akidah. Prinsip asasi undang-undang dan aqidah serta kerja kreatif bagi memberi kejayaan kepada generasi seterusnya, telah membentuk asas ketenteraman awam Islam " (Profesor Majid Khadduri dalam buku War and Peaca in the Law of Islam)

Tidak syak lagi bahawa titah baginda mengenai Kanun Hukum Jenayah itu adalah hak baginda sebagai Ulil Amri di Negara ini oleh sebab Allah s.w.t. tidak memerintah orang Islam secara terus. Dia telah melantik manusia tertentu sebagai wakilNya di  muka bumi ini. Maka orang yang memerintah itu mestilah mempraktikkan Syari'at Allah serta memerintah dengan adil.

Sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah kerajaan baginda terutamanya orang-orang Islam wajiblah menyokong dan membantu baginda melaksanakan amanah Allah s.w.t. dengan berlapang dada demi untuk mendapatkan redhaNYa jua.

Jangan tah gusar dan bimbang akan tohmahan dan bidasan dari luar kerana mereka itu tidak memahami sebenarnya apa itu Islam. Katani orang-orang Brunei sepatutnya berbangga akan ketegasan, kecekalan dan keberanian Kebawah DYMM dalam menunaikan tanggungjawab baginda sebagai raja dan pemerintah katani. Baginda bertitah " Kalau ada orang mencari keadilan, di sini ada keadilan itu dan begitu juga kalau orang mencari ihsan dn perikemanusiaan, di sini juga ada ihsan dan peri kemanusiaan itu"

Titah baginda lagi " Orang yang melihat lapuk dan kejam itu hanyalah orang jahil, yang tidak mengenali Islam sama sekali dan jika mereka mengenali Islam  selaku Ugama Allah, mereka tidak akan celupar terhadapnya."

Marilah kita bersatu di belakang baginda pada menyokong dan membantu baginda dan kerajaan baginda dalam menghadapi serangan luar yang tidak memahami akan hasrat murni dan niat ikhlas baginda itu. Sama-samalah kita turun padang menerangkan dan memahamkan kepada rakyat di negara ini akan Hukum Kanun Jenayah Syari’ah itu terutama kepada agensi-agensi yang berkenaan dan para ilmu Islam agar rakyat tidak terpedaya dan terperangkap dengan dakyah dan tohmahan mereka yang tidak bertanggungjawab.


Juned Ramli / Timbalan Presiden NDP.
LIMBARUH HIJAU, 3 Muharram 1435 / 7 November 2013

Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP

Wednesday, November 6, 2013

MIMPI INDAH TEMBURONG MENJADI KENYATAAN


LIMBARUH HIJAU, NOVEMBER 4, 2013: IMPIAN DAN DO'A rakyat dan penduduk di Daerah Temburong untuk melihat wilayah mereka yang mundur, terpisah dan terpencil; satu hari nanti berkembang maju dengan pesatnya seperti juga daerah-daerah lain di negara ini akhirnya akan menjadi kenyataan.

Kalau ramai orang kesal melihat Temburong sebagai sebuah daerah yang jauh di mata jauh di hati, sunyi senyap hingga membuatkan jelamanya terpaksa berhijrah ke daerah yang lebih maju kerana susah cari makan, insya Allah, semua ini akan menjadi sejarah.

Satu hari nanti (dan ini bukan lagi satu angan-angan), Temburong akan dikenali sebagai 'Pusat Ilmu dan Tamadun Islam', satu nilai tambah kepada jenama kini Temburong sebagai 'Permata Hijau' Negara Brunei Darussalam dan 'Jantung Hati Borneo'.

Alhamdullilah, kesungguhan politik (Political Will) untuk mentransformasikan Daerah Temburong sebagai 'Pusat Ilmu dan Tamadun Islam' datangnya dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam sendiri.

Baginda bertitah,"...Beta dari sudut kesesuaiannya, amatlah cendrung jika Kampus Universiti Islam Sultan Sharif 'Ali itu didirikan di Daerah Temburong".

"Dengan berdirinya Kampus Universiiti in di Temburong, tidak syak lagi, ia akan menjadi mercu tanda kemajuan Temburong. Temburong dengan sendirinya akan menjadi pusat ilmu dan tamadun Islam".

"Seperti saja kita terbayang bahawa Temburong akan lebih cepat berkembang serta menjadi lebih menarik pada masa hadapan".

Bayangkan, titah baginda, dengan adanya jambatan kelak, perjalanan daripada Bandar Seri Begawan hanyalah akan mengambil masa yang singkat.

Sehubungan dengan titah baginda tersebut, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dengan ini dengan penuh hormat serta takzim merafakkan sembah kesyukuran serta menyembahkan ucapan tahniah kehadapan majlis KDYMM atas hasrat titah baginda membangunkan Temaburong sebagai pusat ilmu dan tamadun Islam.

"Keghairahan menunggu detik bermulanya Maal Hijrah 1 Muharram 1435 ini   dengan penuh kesyukoran dan taqwa bertambah gembira apabila mendengar titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan  Negara Bruneri Darussalam semasa bercemar Duli merasmikan Ghafl Al-Takharruj Ke- 3  di UNISSA pada 28 Zulhijjah 1434 / 2 Nobember 2013".

"Titah baginda berhubung dengan pembinaan kampus tetap UNISSA di Daerah Temburong amat bertepatan dengan masanya, apa tah lagi belumpun sampai sebulan baginda telah bertitah memperkenankan pelaksanaan Kanun Jenayah Syari’ah", ujar Sdra. Juned Haji Ramli, selaku Timbalan Presiden.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas titah baginda itu.

NDP, jelas beliau, menyambut baik dan seterusnya mengalu-alukan hasrat baginda itu supaya kampus berkenaan didirikan di daerah Temburong.

Hasrat murni dan ikhlas baginda itu selayaknya disokong dan di-alu-alukkan sebagai usaha berterusan baginda meninggikan syiar Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidup dalam pentadbiran dan amalan seharian.

TYT. Timbalan Presiden seterusnya menambah,  "Dalam hal ini, tidak salah kiranya kita mengimbas kembali  bahawa  Manifesto Parti Pembangunan Bangsa (NDP)  2006 - 2016 telah mempersembahkan  wawasannya  agar Daerah Temburong  dijadikan sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu "

Dengan menjadikan Daerah Temburong  sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu sudah tentunya akan memberikan satu lagi kemajuan di daerah berkenaan seiring dengan keputusan baginda memperkenankan pembinaan jambatan yang akan menghubungkan daerah Brunei Muara dengan daerah Temburong.

Menyentuh Manifesto Politik NDP 2006 - 2016, sdra Juned Ramli seterusnya berkata, dalam manifesto tersebut ada menyebutkan," Kerajaan  yang kaya seperti  Negara Brunei Darussalam  mempunyai tanggungjawab memperkembangkan ilmu sesuai dengan tuntutan Islam  agar ummatnya mencintai ilmu. Maka sebagai  sebuah negara yang berkemampuan, wajarlah sebahagian  rezeki  kurniaan Allah SWT kepada negara ini  diperuntukkan untuk membangunkan daerah Temburong sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu  yang akan menempatkan  sarjana-sarjana besar dunia mengkaji, menulis dan  menterjemah   pelbagai disiplin ilmu.

Usaha ini juga akan memudahkan dalam usaha menubuhkan pusat  pengumpulan buku-buku ilmiah  seluruh dunia, menyediakan kemudahan dan galakan  R&D  dalam berbagai-bagai bidang  yang akan menjadi sumbangan besar negara kepada  perkembangan ilmu  dan pembinaan tamadun dunia, terutama tamadun Islam, jelas sdra Juned Ramli merujuk manifesto yang dimaksudkan.

Beliau juga merujuk usul yang diangkat di Kongres Agung Tahunan ke-2 pada  23-24 Jun 2007 , Kongres Agung Tahunan Ke - 3 pada 20-22 Jun 2008, Kongres Agung Tahunan Ke-4  pada 21 Jun 2009 mengenai 'Menaiktaraf dan Membangunkan  Daerah Temburong'.

Katanya ketetapan dan persetujuan telah dicapai di kongres-kngres yang dimaksudkan untuk menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil pendekatan strategi  pembangunan menyeluruh  dalam memajukan daerah  Temburong supaya tidak ada lagi kawasan yang terus tercicir dari arus pembangunan.

Berita gembira ini tentunya disambut dengan rasa syukur dan gembira terutama oleh rakyat dan penduduk di Daerah Temburong yang selama ini dahagakan pembangunan di daerah mereka selain seabagi tanda pemadulian dan tanggungjawab seorang raja kepada rakyatnya, ujar TYT Timbalan Presiden.

Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP

Friday, April 6, 2012

Aspirasi NDP: Tersentuh dengan titah tahniah kepada Myanmar

LIMBARUH HIJAU 4 Jamadilawal 1433 / 6 April 2012: Titah ucap tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Myanmar atas kejayaannya mengadakan pilihan raya baru-baru ini merupakan tajuk berita utama muka depan Borneo Bulletin keluaran Rabu 3 Mac 2012.

Dalam berita tersebut Baginda dilaporkan sebagai bertitah bahawa pilihan raya yang diadakan menjanjikan perkembangan baik untuk masa depan Myanmar.


Ucap tahniah Baginda kepada Myanmar merupakan mukadimah dalam titah Baginda di Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di Peace Palace di Bandar Raya Phnom Penh yang dihadiri oleh para pemimpin ASEAN.

Memang wajar bagi Baginda mengucapkan tahniah kepada Myanmar atas usaha melaksanakan reformasi politik dan membukakan ruang demokrasi kepada rakyat Myanmar yang hampir setengah abad diperintah junta tentera.

Buat Aung San Suu Kyi, pemenang Anugerah Nobel berusia 66 tahun yang pernah dikenakan tahanan dalam rumah selama hampir dua dekad, kemenangan tersebut merupakan satu anugerah menakjubkan walaupun hanya memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil. Ia merupakan satu kemenangan dalam perjuangannya dan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpinnya menegakkan sistem demokrasi di Myanmar.

Bagi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pula kejayaan Myanmar melaksanakan reformasi politik itu merupakan satu inspirasi dalam perjuangan parti menjunjung hasrat baginda untuk juga melaksanakan pembaharuan politik dan sistem perwakilan di Negara Brunei Darussalam.

“Ucap tahniah baginda kepada Myanmar mengambarkan bahawa baginda tidak menolak politik dan demokrasi. NDP melihat ia sebagai satu lagi gambaran akan keikhlasan baginda untuk membuka ruang politik dan demokrasi kepada rakyat Brunei".

"Setentunya ianya sangat mengalakkan dan memberikan warga NDP nafas baru dalam perjuangan menjayakan pembaharuan politik yang dihasratkan oleh baginda (dan yang coba dihalang oleh sebilangan elit-elit pentadbir dan pihak-pihak berkepentingan)”, ujar sdra Malai Hassan Othman, Timbalan Presiden merangkap Pemnagku Presiden NDP.

Tambahnya NDP meihat kemenangan Suu Kyi ini wajar dijadikan iktibar kepada barisan kepimpinan dan warga NDP agar terus tabah dan bersabar dalam perjuangan yang panjang dan penuh ranjau ini.

“Perjuangan Aung San Suu Kyi merupakan satu perjuangan lama dan bersungguh-sungguh , Beliau tabah walaupun berhadapan dengan pelbagai tentangan. Yakinlah agenda demokrasi dan kebebasan akan mencapai kejayaan walaupun ia mungkin memakan masa”,kata sdra Malai Hassan Othman kepada Aspirasi NDP.

Sementara itu beliau menyeru kepada elit-elit pentadbir dan pihak-pihak berkepentingan yang lain agar turut sama menyokong dan menjayakan agenda pembaharuan politik baginda sultan bukan sebaliknya.

“Kita berharap isyarat yang tersirat dalam titah ucap tahniah baginda Sultan kepada Myanmar diberikan perhatian serious oleh semua pihak berkepentingan terutama elit-elit pentadbir”.

“Kita kesal dengan sikap sebilangan elit-elit pentadbir dan beberapa pihak-pihak berkepentingan yang lain yang masih dan senghaja melihat pergerakkan politik dan orang politik dengan pandangan yang negatif".

"Sikap negatif mereka ini tidak membantu usaha untuk mewujudkan iklim dan suasana politik yang kondusif. Ia menyempitkan ruang rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab politik mereka kepada raja, bangsa dan negara”, tegas sdra Malai Hassan.

Beliau menambah sikap mereka ini juga sangat ‘counterproductive’ dengan hasrat baginda Sultan.

“Sikap mereka memandang serong pergerakkan politik dan ahli-ahli politik boleh membuatkan rakyat dan juga pemerhati politik di arena antarabangsa dan serantau mempersoalkan keikhlasan baginda untuk melaksanakan pembaharuan politik di negara tercinta ini. Ini sangat memalukan dan boleh menjejaskan kredibiliti baginda Sultan di arena antarabangsa dan serantau”, tegas sdra Malai Hassan Othman.

Dipetik dari - Asprirasi NDP

Monday, March 5, 2012

NDP menaruh harapan tinggi kepada persidangan MMN

LIMBARUH HIJAU Sabtu 3 Mac 2012/10 Rabiulakhir 1433: Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-8 Majlis Mesyuarat Negara yang bermula pada Hari Khamis , 8 rabiulakhir 1433 bersamaan 1 Mac 2012 lalu telah dianugerahkan dengan titah perasmian oleh KDYMM.

Harapan baginda yang tinggi kepada MMN sewajarnya diambil perhatian dan ditanai tagap bak menatang minyak yang penuh.

Harapan seorang raja tentunya lahir dari jiwa dan hasrat murni untuk melihat rakyatnya hidup sejahtera kekal menjadi Baldatun Tayyibatun Warrabbun Ghafur.

Sebagai rakyat yang hidup dibawah pemerintahan baginda tentunya ingin melihat titah baginda tidak disia-siakan, diampaikan atau hanya didengar sambil lalu.

Kita percaya dan yakin bahawa ahli-ahli Yang Berhormat tidak bersifat begitu,” kan orang Brunei tidak pencamah mata”, tapi penuh pemedulian dan pengelingaan apa lagi terhadap titah raja yang kitani kasihi.

NDP mewakili sebahagian rakyat baginda, tidak akan berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam menjunjung dan manyahut sebarang titah baginda khususnya titah di MMN itu.

NDP tidak hanya menunggu Kongres Agung Tahunan untuk menyuarakan, menghadap dan mengetengahkan apa jua permasalahan, cadangan atau pandangan, tetapi malar dan sentiasa berbuat apa yang perlu.

Tujuh tahun lalu kita sudah menyajikan Manifesto NDP 2006 - 2016 yang menyentuh berbagai perkara. Kita bukan hendak mengajar, tetapi sekadar berkongsi untuk menyumbang sesuatu, kerana sebagai rakyat dan ahli NDP juga mempunyai saham untuk sama-sama menjaya, membisai dan mempertahankan negara ini agar terus dan kekal sebagaimana hasrat dalam titah baginda.

Kita menyedari dari segi prinsip tugas ahli-ahli MMN adalah untuk mempertahankan hak rakyat dengan berlandaskan apa yang termaktub dalam perlembagaan Negara, dan meluhurkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut serta kedaulatan Negara.

Biskita dalam MMN memainkan peranan yang amat penting terutamanya dalam pembuatan dasar. Penglibatan biskita dalam proses pentadbiran kerajaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan dielakkan.

Rakyat percaya hal ini tentunya memberikan faedah kerana akan melahirkan suatu hubungan yang terus menerus, tetapi penglibatan itu jangan sampai melahirkan pertembungan dan pergesaran dari segi kuasa, supaya tujuan dan matlamat untuk membangun dan melaksanakan segala rancangan untuk pembangunan dapat dicapai.

Dalam menjunjung titah, kita juga menaruh keyakinan bahawa MMN adalah merupakan wadah strategic yang berperanan untuk memikir, membahas serta membuat sokongan-sokongan yang terbaik bagi faedah pembangunan Negara.

Kita ingin melihat ahli-ahli Yang Berhormat sebagai ejen komunikasi kepada rakyat dengan kerajaan yang selalunya akan membuat pertemuan (appointment) dengan rakyat khususnya di kawasan mereka. Menyedari akan masalah yang dikemuakakan, rakyat adalah berbagai-bagai, pertemuan yang malar akan dapat dimanfaatkan oleh kedua pihak.

Menyedari akan kepelbagaian masalah yang diterima kita yakin yang ahli-ahli mempunyai perhubungan yang baik dengan rakyat dan pihak-pihak tertentu untuk memudahkan menyalurkan masalah-masalah yang dihadapkan oleh rakyat untuk perhatian mereka.

Ahkirnya kita ingin melihat ahli-ahli Yang Berhormat menjadi ejen rakyat untuk ‘check and balance’ dan memastikan perlaksanaan dasar itu selaras dengan kesejahteraan hidup rakyat.

Dipetik dari - Aspirasi NDP

Wednesday, April 22, 2009

Jangan mudah patah semangat



SERIA 20 APRIL 2009 - PRESIDEN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kelmarin menasihatkan ahli-ahli parti di Daerah Belait agar terus istiqamah memperkukuhkan semangat juang untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara melalui pelantar politik.