Posting mengikut label

Thursday, February 18, 2016

KEMBARA MERDEKA NDP MENINJAU MASLAHAT PENGHUNI RUMAH PANJANG




LIMBARUH HIJAU, KHAMIS, 18 FEBRUARI 2016 – Bak kata pepatah, ‘rumah siap, pahat berbunyi'. Itulah yang terjadi ketika rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang diketuai oleh TYT Presiden NDP membuat kunjungan muhibbah ke Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru di Mukim Amo Temburong selasa lalu.

Penghuni Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru di Mukim Amo Temburong itu sepatutnya bergembira dan lebih selesa kerana sudah dapat memulakan kehidupan di rumah panjang yang baru siap dibina oleh pihak kerajaan dengan kerjasama beberapa penderma-penderma, persatuan dan badan-badan kebajikan bukan kerajaan di negara ini.

Sebaliknya rata-rata penghuni meluahkan rasa kurang selesa dengan reka bentuk rumah panjang yang baru siap dibina itu. Antara kekurangan yang ketara yang disuarakan oleh beberapa penghuni rumah panjang tersebut ialah reka bentuk yang lebih mirip barik panjang, ketiadaan serambi atau ruai disebelah hadapan rumah panjang yang baru itu dan ruang yang agak kecil untuk dijadikan ruang tamu, ruang makan dan dapor serta satu tandas yang juga digunakan untuk bilik mandi.

Sehubungan dengan itu Presiden NDP menyatakan rasa terkilan beliau dengan keadaan reka bentuk rumah panjang tersebut yang menurut beliau kurang memberikan perhatian kepada gaya hidup dan budaya masyarakat Iban.



“Tahniah kepada pihak-pihak berkenaan atas usaha melaksanakan tanggungjawab membantu dan menyediakan rumah panjang baru kepada penghuni-penghuni yang kehilangan tempat kediaman mereka . Dalam masa sama saya juga merasakan perlaksanaan tanggungjawab itu akan lebih cemerlang jika pihak-pihak berkenaan lebih peka akan gaya hidup dan budaya masyarakat Iban yang merupakan penghuni rumah panjang tersebut”.

“Saya juga berharap aduan penghuni ini tidak disalah taafsirkan sebagai sifat tidak ‘bersyukur' dan tidak berterima kasih. Mereka berhak meluahkan pandangan mereka dan kita wajar menghormatinya dan berlapang dada serta menlihatnya sebagai satu input yang positif kearah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang lebih efektif dan cemerlang demi kebaikan negara dan bangsa”.

“Saya melihat musibah kebakaran yang dialami oleh penghuni rumah panjang Kampung Sumbiling Baru itu merupakan satu peluang untuk pihak berkuasa memodenkan rumah panjang di Brunei dengan memberi nilai dan gaya baru kepada rumah panjang di negara ini tanpa mengorbankan ciri-ciri unik rumah panjang. Ia juga merupakan satu peluang mengembangmajukan sektor kerajinan tangan dan aktiviti ekonomi masyarakat puak Iban sebagai satu lagi usaha mengembangluaskan sektor pertanian dan pelancongan negara. Malangnya peluang tersebut terlepas begitu saja.”, ujar sdr Malai Hassan Othman, Presiden NDP.

“Kalau sahaja didapatkan pelbagai input daripada pemimpin masyarakat Iban perkara ini setentunya dapat dielakkan. Biasanya rumah panjang mempunyai 10 dan 20 bilik . Setiap rumah panjang mempunyai "ruai" iaitu ruang bilik bersama yang terletak di bahagian hadapan rumah itu di mana kebanyakkkan aktiviti diadakan di tempat itu”.

“Malangnya rumah panjang yang baru dibina tidak menyediakan kemudahan ini dan tidak hairanlah bak kata pepatah rumah siap, pahat berbunyi”, ujar sdr Malai Hassan Othman sambil menambah mungkin saja isu bajet yang menjadi penghalang kepada pihak berkenaan untuk membina rumah panjang yang lebih sesuai untuk penghuni-penghuni tersebut.

Katanya memang tidak dinafikan dari aspek fizikalnya rumah panjang yang baru itu lebih baik dari yang lama. Ia merupakan bangunan konkrit yang lebih utuh dan sempurna dari yang lama, tetapi dari aspek kebudayaan, kerohanian, memelihara keturunan dan kehormatan ketara banyak yang perlu ditambahbaik.

“Aspek-aspek ini sangat penting diberiakn perhatian sewajarnya selaras dengan tanggunjawab memeliahara negara sebagai sebuah negara yang selamat, aman, makmur dan sentiasa mendapaat perlindungan Allah serta tuntutan membina generasi berwawasan ke arah merealisasiakan Wawasan 2035 yang menjadi tema Hari Kebangsaan kita”, tegas beliau lagi.



Beliau berharap pihak-pihak berkenaan akan memberikan perhatian kepada perkara ini agar penghuni rumah panjang di Kampung Sumbiling Baru terutama anak-anak mereka akan dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa, selamat dan sejahtera.

Lawatan romobongan NDP ke Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru itu merupakan salah satu program Tahunan Kembara Merdeka NDP sempena memperingati Hari Kebangsaan Negara kali ke-32 pada tahun ini.

Objektif program tersebut ialah untuk sama-sama berusaha menanamkan semangat dan kesedaran berbangsa dan bernegara dikalangan rakyat dan penduduk terutama sekali masyarakat pendalaman agar terus taat setia kepada raja, bangsa dan negara. Dalam masa sama ia juga merupakan satu pendekatan NDP untuk melaksanakan tanggungjawab politiknya sambil berdakwah mempastikan kezaliman tidak mendapat tempat di negara ini sebaliknya keadilan dan ihsan ‘tumpah' kepada rakyat dan penduduk negara ini seperti yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah sdra Pengiran Haji Zainal Pengiran Talib, TYT Timbalan Presiden NDP, sdra Haji Zaini bin Bakar, Naib Presiden NDP Temburong, sdra Haji Metali bin Haji Ibrahim, Naib Presiden NDP Belait, sdra Haji Ali Yusuf, Bendahari Agung NDP, sdri Hajjah Kertini, Ketua Hawa NDP, sdra Mohammad Abdullah Peter, Penolong Setiausaha Agung NDP serta ahli-ahli Badan Perhubungan NDP Temburong, Belait dan Brunei Muara.


Sumber - Laman Aspirasi

No comments: