Posting mengikut label

Thursday, February 25, 2016

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32, Tahun 2016




TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERSEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-32, TAHUN 2016

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta gembira bahawa “Generasi Berwawasan” masih saja diteruskan sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini. Ini bersesuaian, sebagai sebuah negara yang berhasrat untuk terus maju, yang benar-benar memerlukan generasinya yang berwawasan. Satu soalan penting di sini ialah, apakah bentuk dan ramuan-ramuan utama Generasi Berwawasan itu?

Pada hemat Beta, Generasi Berwawasan ialah mereka yang bijak menangani apa jua cabaran, dan menjadikan cabaran itu sebagai peluang-peluang atau opportunities untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup bernegara. Hakikatnya, dunia ini sentiasa diasak oleh perubahan dan pergolakan, yang menjadikan semua negara termasuk juga kita, tidak terlepas dari pelbagai cabaran.

Cabaran sangat berpotensi untuk membawa kepada perubahan. Kerana itu, janganlah takut kepada cabaran. Cuma, cabaran itu mestilah dihadapi dengan bijaksana. Kebijaksanaanlah yang menentukan corak perubahan kepada yang lebih baik.

Rancangan-rancangan atau pelan-pelan tindakan, semuanya itu memerlukan kebijaksanaan. Tanpa kebijaksanaan, segala usaha boleh saja gagal atau tidak memuaskan.

Dalam merancang dan bertindak juga memerlukan ‘dasar’ yang jelas, bukan sesuka hati sahaja. Dasar kita di negara ini ialah MIB. Maka semua rancangan dan tindakan itu mestilah berlandaskan MIB.

Dasar yang kukuh dan sempurna mampu, untuk memangkin pembangunan, di samping juga mampu, untuk melahirkan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah aset dan pasak bagi negara.

Sifat-sifat masyarakat yang baik ialah seperti jujur, sabar, amanah dan baik hati. Daripada sifat-sifat inilah akan membuahkan suasana dan keadaan yang disenangi, iaitu kehidupan bersatu padu dan harmoni.

Kita memerlukan perpaduan dan keharmonian, kerana daripada keduanya itulah akan lahir keamanan dan kestabilan. Keamanan dan kestabilan pula amat penting untuk pembangunan, sehingga tanpa keduanya itu, pembangunan tidak mungkin dilaksanakan.

Inilah harga keamanan dan kestabilan itu. Seyogia kita semua, sama-sama memeliharanya.

Keamanan dan kestabilan tidak boleh roboh walau apa pun keadaan. Jika ia roboh, walau dalam keadaan kita makmur, maka kemakmuran itu tidak akan memberi makna apa-apa. Apatah  lagi di sa’at-sa’at ekonomi lembap, ia adalah lebih-lebih lagi diperlukan untuk mengimbangi keadaan.

Kesejahteraan masih saja boleh diraih dari keamanan, walaupun ekonomi global bermasalah. Dengan bermodalkan keamanan, kita masih saja ada peluang untuk memperbaiki keadaan, sama ada melalui usaha-usaha peningkatan ataupun setakat bertahan. Maksud Beta dengan bertahan di sini, ialah seperti langkah berjimat, sementara kita menunggu fajar baru ekonomi kembali pulih.

Yang penting di sini ialah sikap berani dan optimis. Setiap orang perlu berani menjadi peneroka, di samping berfikiran terbuka dengan apa-apa yang diteroka itu.

Peneroka yang berani adalah individu yang hebat, walaupun yang diteroka itu cuma berskala kecil atau sederhana sahaja, seperti seorang pengusaha yang baru berlatih memulakan perusahaannya.

Inilah yang kita perlukan. Negara sangat memerlukan orang-orang seperti ini. Manakala rakyat lebih berani menjadi peneroka, maka kesannya kepada kemajuan adalah positif, dan hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar juga boleh ditunggu untuk meningkat.

Brunei Darussalam adalah sebuah negara merdeka. Kita selaku rakyat dan penduduk adalah dituntut untuk membebaskan diri daripada segala sikap yang merugikan. Diantara sikap merugikan itu ialah, suka berpeluk tubuh dan ketandusan semangat patriotik.

Sikap seperti ini, sepatutnya, tidak ada lagi dalam era merdeka. Kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan perangsang atau penggerak ke arah lebih super dan lebih progressive, bukan lebih culas dan lemah.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-32 Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: