BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, dunia ini sentiasa diasak oleh perubahan dan pergolakan yang menjadikan semua negara termasuk Negara Brunei Darussalam tidak terlepas dari pelbagai cabaran.
''Cabaran sangat berpotensi untuk membawa kepada perubahan kerana itu janganlah takut kepada cabaran. Cuma, cabaran itu mestilah dihadapi dengan bijaksana. Kebijaksanaanlah yang menentukan corak perubahan kepada yang lebih baik,'' titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32, di Istana Nurul Iman.
Baginda bertitah, rancangan-rancangan atau pelan-pelan tindakan, semuanya memerlukan kebijaksanaan kerana tanpa kebijaksanaan segala usaha boleh saja gagal atau tidak memuaskan.
''Dalam merancang dan bertindak juga memerlukan 'dasar' yang jelas, bukan sesuka hati sahaja. Dasar kita di negara ini ialah MIB. Maka semua rancangan dan tindakan itu mestilah berlandaskan MIB,'' titah baginda.
Oleh yang demikian, baginda bertitah, dasar yang kukuh dan sempurna mampu untuk memangkin pembangunan, di samping juga mampu untuk melahirkan masyarakat yang baik kerana masyarakat yang baik adalah aset dan pasak bagi negara.
Baginda bertitah, mengingatkan sifat-sifat masyarakat yang baik ialah seperti jujur, sabar, amanah dan baik hati. Daripada sifat-sifat itu akan membuahkan suasana dan keadaan yang disenangi, iaitu kehidupan bersatu padu dan harmoni.
Terdahulu dari itu, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, melahirkan rasa gembira mengenai tema Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, 'Generasi Berwawasan' yang masih diteruskan pada tahun ini.
''Ini bersesuaian, sebagai sebuah negara yang berhasrat untuk terus maju, yang benar-benar memerlukan generasinya yang berwawasan,'' titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menekankan satu persoalan penting mengenai apakah bentuk dan ramuan-ramuan utama Generasi Berwawasan itu?
Pada hemat baginda, Generasi Berwawasan ialah mereka yang bijak menangani apa juga cabaran dan menjadikan cabaran itu sebagai peluang-peluang atau opportunities untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup bernegara.
Sumber - Pelita Brunei
Keamanan dan kestabilan perlu dipelihara
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Walaupun ekonomi global bermasalah, namun kesejahteraan masih sahaja boleh diraih dari keamanan kerana keamanan dan kestabilan tidak boleh roboh walau apapun keadaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, jika ia roboh, walau dalam keadaan kita makmur, maka kemakmuran itu tidak akan memberi apa-apa.
Kerana itu, titah baginda, perpaduan dan keharmonian itu perlu kerana daripada keduanya itulah akan lahir keamanan dan kestabilan. Keamanan dan kestabilan pula amat penting untuk pembangunan, sehingga tanpa keduanya itu, pembangunan tidak mungkin dilaksanakan. Inilah harga keamanan dan kestabilan itu. Kerana itu kita perlu semua sama-sama memeliharanya.
''Apatah lagi di saat-saat ekonomi lembab, ia adalah lebih-lebih lagi diperlukan untuk mengimbangi keadaan,'' tegas baginda lagi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 Tahun.
Dengan bermodalkan keamanan, titah baginda, kita masih saja ada peluang untuk memperbaiki keadaan sama ada melalui usaha-usaha peningkatan ataupun setakat bertahan.
''Maksud beta dengan bertahan di sini, ialah seperti langkah berjimat, sementara kita menunggu fajar baru ekonomi kembali pulih,'' titah baginda lagi.
Sumber - Pelita Brunei
Berpeluk tubuh, tandus semangat patriotik merugikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Februari. - Kita selaku rakyat dan penduduk adalah dituntut untuk membebaskan diri daripada segala sikap yang merugikan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, di antara sikap merugikan itu ialah, suka berpeluk tubuh dan ketandusan semangat patriotik.
Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 yang disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan, sikap seperti ini, sepatutnya tidak ada lagi dalam era merdeka kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan perangsang atau penggerak ke arah lebih 'super' dan lebih 'progressive', bukan lebih 'culas' dan lemah.
Baginda juga menegaskan, ialah apa yang penting adalah sikap berani dan optimis. Setiap orang perlu berani menjadi peneroka, di samping berfikiran terbuka dengan apa-apa yang diteroka itu.
Peneroka yang berani adalah individu hebat, walaupun yang diteroka itu cuma berskala kecil atau sederhana sahaja, seperti seorang pengusaha yang baru berlatih memulakan perusahaannya.
Inilah yang kita perlukan. Negara sangat memerlukan orang-orang seperti ini. Manakala rakyat lebih berani menjadi peneroka, maka kesannya kepada kemajuan adalah positif, dan Hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar juga boleh ditunggu untuk meningkat.
Sumber - Pelita Brunei
No comments:
Post a Comment