Posting mengikut label

Tuesday, January 19, 2016

Kearah Memperkasa NDP




LIMBARUH HIJAU, 1 RABIULAWAL 1437/11 Jan 2016 -  Sebagai sebuah pertubuhan politik, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) perlu bergerak dengan lebih aktif dan berkesan jika mahu benar-benar diterima dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai pembela kebenaran, keadilan dan ihsan yang merupakan modal perjuangannya.

Ke arah itu NDP perlu kepada struktur organisasi, sistem pengurusan dan pentadbiran serta sistem delivery yang mantap. Dasar, proses dan prosedur dalam membuat keputusan, sistem komunikasi dan keupayaan sumber tenaga kerja juga merupakan elemen-elemen yang sama penting perlu diperkukuh dalam usaha mempastikan kehadiran NDP dapat dirasakan sebagai satu rahmat kepada bangsa dan negara.

TYT Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Malai Hassan bin Malai Haji Othman, menekankan perkara tersebut semasa berucap sebagai mendahului agenda permesyuaratan pertama bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi bagi sesi 2015 hingga 2018 berlangsung di Anjung Syura, Markas Limbaruh Hijau Jalan Jerudong di sini.

Seramai dua puluh enam orang terpilih sebagai ahli-ahli Majlis Tertinggi, bagi sesi 2015 hingga 2018 setelah menjalani proses eliminasi dengan keputusan Menang Tanpa Bertanding oleh pihak Suruhanjaya Pemilihan Umum (SPU) NDP bermula 31hb Ogos lalu.

Berikutan itu kepimpinan NDP bagi sesi 2015 hingga 2018 adalah terdiri daripada Awang Haji Abd Rahman bin Yusuf selaku Pengerusi Tetap, manakala Presiden NDP ialah Malai Hassan bin Malai Haji Othman, Timbalan Presiden Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Taib, Setiausaha Agung Hajah Sa'emah binti Haji Kepli, Bendahari Agung Awang Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Yusuf, Penolong Setiausaha Agung Awang Muhammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging.

Manakala Naib-Naib Presiden terdiri daripada Awang Haji Muhiddin bin PDP Hj Othman bagi Daerah Brunei Muara, Awang Haji Metali bin Ibrahim bagi Daerah Belait, Awang Haji Jefri bin Hj Md Daud bagi Daerah Tutong dan Awang Haji Zaini bin Bakar bagi daerah Temburong.

Dan ahli-ahli Majlis Tertinggi lainnya, terdiri  Awang Haji Mohammad bin Haji Mohd Yassin, Awang Haji Hamid bin Hussin, Awang Haji Azahari bin Jais, Awang Jumat bin Sulaiman, Dayang Hadijah binti Haji Dollah dan Dr Hajah Rayah binti Haji Ali bagi Daerah Brunei Muara.

Sementara itu ahli-ahli Majlis Tertinggi Daerah Belait terdiri daripada Awang Haji Sulaiman bin Duraman, Dayang Rosiah binti Alah, Awang Mohammad bin Tuah, dan Dayang Halimah binti Janai, seterusnya bagi daerah Tutong, Awang Haji Ratu bin Tahir , Awang Tahir bin Radin dan Dayang Puspalinda bin Abiddin.

TYT Presiden dalam ucapannya seterusnya turut berkata menyarankan kepada semua ahli-ahli Majlis Tertinggi untuk sentiasa mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan melalui program muzakarah dengan ahli-ahli di akar umbi, terutama sekali mendekati ahli-ahli di ranting-ranting di seluruh daerah, kerana tambahnya ahli-ahli perlu diperkasa melalui kefahaman yang betul, supaya mereka mengetahui kenapa sebenarnya mereka menjadi ahli NDP.

TYT Presiden NDP kemudiannya turut membentangkan perancangan, perlaksanaan kearah memperkasa NDP, antaranya ialah perlu memantapkan struktur organisasi, kepimpinan/sumber daya manusia, sistem pengurusan dan pentadbiran, sistem komunikasi parti, kewangan dan dana serta sistem delivery.

“Dalam perancangan mengemaskinikan struktur NDP akan melibatkan pemodenan JASA dari semua segi termasuklah dari segi fizikalnya. Kita juga berhasrat untuk menjadikan markas sebagai kemudahan yang boleh digunakan oleh semua ahli-ahli di seluruh daerah, kita tidak mahu markas hanya untuk tempat bermesyuarat sahaja, tetapi bagaimana ia boleh memudahcara ahli-ahli dan barisan kepimpinan untuk menggunakannya, ianya adalah demi kebaikkan dan kemajuan parti, ini antara perkara yang perlu kita usahakan di mana kita mahu memanafaatkan markas sebaik-baiknya demi untuk perjuangan kita membina bangsa dan negara” katanya.

Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama sesi 2015 hingga 2018 tersebut adalah Laporan Setiausaha Agung, Laporan Bendahari Agung, Membentangkan Gerak Kerja 100 hari, Taklimat penubuhan jawatankuasa dan biro-biro dan hal-hal lain yang turut membincangkan persiapan menyertai Perbarisan Hari Kebangsaan Negara, persiapan menghadapi MPPD dan sebagainya.

Mesyuarat tersebut telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa mesyuarat yang dipimpin oleh TYT Presiden NDP Malai Hassan bin Malai Othman, diikuti kemudiannya membaca ikrar setiap daripada Presiden serta ahli-ahli Majlis Tertinggi dan diakhiri dengan bergambar ramai.


Sumber - Laman Aspirasi

No comments: