Posting mengikut label

Tuesday, January 26, 2016

NDP sokong hasrat memantapkan pengurusan hal ehwal luar dan perdagangan negara


Titah Arahkan Pemeriksaan Postmortem Keatas MOFAT

LIMBARUH HIJAU 12 RABIULAWAL 1437 / 22 JANUARI 2016 : PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) mengalu-alukan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang pengurusan dan pentadbiran serta perlaksanaan dasar luar negara yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MOFAT) yang ketika ini diterajui oleh baginda sendiri.

Dalam hal ini, seperti yang telah digariskan dalam manifesto parti 2006 – 2016, NDP mahu melihat Dasar Luar Negara Brunei Darussalam yang bebas dan dinamik, supaya berjaya bukan sahaja mengikat hubungan politik dan diplomatik dengan banyak negara bahkan juga menggalakkan kepentingan perdagangan dan ekonomi Negara Brunei Darussalam sendiri. NDP berpandangan agenda utama dasar luar dan peranan perwakilan-perwakilan negara di luar hendaklah meletakkan agenda ekonomi dan perdagangan teratas sekali.

Justeru itu, Parti Pembangunan menyokong agar pihak yang berwajib memanfaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, untuk kebaikan dan kepentingan kesemua lapisan rakyat Kebawah DYMM dan tidak menghadkan kebaikan dan kepentingan tersebut kepada sebilangan yang tertentu sahaja. Untuk menjayakan dasar ini, tindakan bersepadu yang agresif hendaklah diambil oleh semua kementerian yang berkaitan agar dapat mengeluarkan produk-produk yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Parti Pembangunan juga mahu melihat MOFAT memanfaatkan pendekatan Islam yang diamalkan oleh negara ketika ini sebagai instrumen dalam memajukan keamanan sejagat.

Selain itu Parti Pembangunan juga berpandangan dasar luar negara perlu tegas dan teguh bagi memastikan negara-negara lain tidak akan mengeksploit Negara Brunei Darussalam sehingga mengikatnya dengan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kedua-dua pihak, secara adil dan saksama, mengikut Syariat Islam.

NDP juga melihat perlunya MOFAT memastikan yang perjanjian-perjanjian di antara Negara Brunei Darussalam dan negara-negara lain dimesyuaratkan dan diperdebatkan secara terbuka, dan disokong oleh Majlis Mesyuarat Negara, sebelum dipersetujui untuk ditandatangani atau disambung, dan proses menyemak semula perjanjian-perjanjian tersebut dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam jangka waktu yang munasabah di mana proses penyemakan semula tersebut akan ditugaskan, antara lainnya, kepada jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang semestinya ditubuhkan di dalam Majlis Mesyuarat Negara, seperti Jawatankuasa Tetap (Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan).

Sementara itu KDYMM dalam titah mengariskan,“Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mempunyai banyak jabatan-jabatan dibawahnya, lebhi dari 10 buah jabatan semuanya. Jabatan jabatan ini menpunyai fungsinya masing-masing yang tidak sama diantara satu dengan yang lain”.

“Jabatan Pentadbiran (Administration Department) misalnya, ada dengan fungsinya yang tersendiri. Jabatan Perancangan Dasar atau Policy Planning juga dengan fungsinya. Jabatan Politik (Department of Politics), Jabatan ASEAN, Jabatan Pertubuhan Antarabangsa atau Department of International Organisations dan lain-lain, semua itu dengan fungsinya masing-masing”

“Soalnya adakah semua jabatan yang banyak ini sudah dapat berfungsi dengan cukup baik”, titah KDYMM.

“Mengenai perlaksanaan fungsi-fungsi ini, adakah juga pernah diadakan sebarang post mortem mengenainya? Beta sendiri ingin tahu atau membaca hasil daripada postmortem tersebut”, tegas baginda sultan.

“Post mortem bagi hemat beta adalah penting untuk mengetahui sejauh mana kemajuan atau kesan dari rancangan atau kerja yang sudah dilaksanakan. Daripada postmortem kita juga dapat mengetahui, kelemahan-kelemahan atau kekurangan kita jika ada. Dengan itu dapatlah kita membaikinya”, jelas baginda.

“Inilah namanya kita belajar dari pengalaman. Kita mesti berani bertanya apakah yang sudah kita buat untuk Negara”, titah baginda lagi.

Titah baginda,”Kita ambil misal, jabatan kerjasama ekonomi (Department of Economic Cooperation) dibawah Kementerian ini sejauh manakah fungsi perdagangan dan perlaburan sudah dilaksanakan melalui expo-expo dan jerayawara-jeraaywara ekonomi?”

“Berjayakah sudah kita meningkatkan imej negara kita di luar melalui promosi-promosi seperti ini?”, soal baginda.

“Selanjutnya kita juga perlu bertanya tentang apakan Jabatan Pertubuhan Antarabangsa dibawah Kementerian ini sudah lakukan dalam mempromosi dan melindungi kepentingan Negara di kalangan organisasi antarabangsa”.

“Beta ambil contoh perkara memilih wakil ke persidangan-persidangan antarabangsa, atau serantau. Adakah kita sudah melakukan yang terbaik, yang menepati apa yang semestinya”.

Titah baginda menekankan, “perkara ini pun memerlukan post mortem juga”.

MIB Paksi Dasar Luar Negara

Dalam titah tersebut baginda sultan seterusnya menekankan pentingnya Melayu Islam Beraja sebagai falsafah bernegara dan berbangsa dijadikan paksi dasar luar negara.

Diantara fungsi Jabatan Pertubuhan Antarabangsa, titah baginda, ialah untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar luar Negara dan perananya dalam organisasi2 antarabangsa.

“Apakah ia dasar luar itu? Kita jangan lupa samada dasar luarkah atau dasar dalamkah, paksinya adalah MIB”.

“Beta tegaskan disini, MIB bukanlah ia untuk tahan-tahan di dalam negara saja. Tetapi juga untuk dibawa keluar”.

“Bertolak daripada MIB inilah, kita akan menghulurkan tangan kepada semua orang untuk bersahabat dan berbaik-baik dengan mereka, siapa jua. Kita mesti tunjukkan kepada dunia akan keluhuran MIB itu, bukan menapuk”, tegas baginda.

Berkaitan MIB, titah baginda, kita perlu merancang dan bertindak tanpa bercangah dengannya.

“Kita tuju sasaran dan luruskan cara sehingga kelihatan benar-benar sesuai dan tidak janggal. Misalnya siapa yang benar-benar sesuai untuk kita pilih mewakili Brunei ke pertubuhan-pertubuhan dunia di dalam persidangan-persidangan, kita mesti pilih mereka yang benar-benar berkemampuan dan berpengalaman yang dapat memberikan gambaran tepat siapa kita dan Brunei ini yang sebenarnya di mata dunia”, nasihat baginda lagi.

“Beta sangat mengambil berat tentang matlamat bagi jabatan-jabatan. Diantara yang penting ialah matlamat mempromosi dan melindungi kepentingan Negara di dalam organisasi-organisasi antarabangsa”.

Rakan-rakan dialog dunia bukanlah satu, tetapi banyak. Disana ada UN atau PBB, ada OIC atau pertubuhan kerjasama Islam, Commonwealth, rakan terdekat iaitu ASEAN dan lain-lain, titah baginda.

“Semua ini menunggu promosi dari kita, tentang Brunei dan terserah kepada kita bagaimana untuk melindungi kepentingan-kepentingan Brunei disisi rakan-rakan antarabangsa dan serantau itu”.

“Keadaan kini semakin sukar apabila konflik dunia semakin berkecamuk. Ini tentu saja meminta kita lebih berhati-hati dan bijaksana untuk menghadapi, maka untuk itu MOFAT adalah pihak yang lebih dibebankan untuk mengendalikannya”.

Satu lagi jabatan dibawah Kementerian ini ialah Jabatan Keselamatan (security Department). Jabatan ini, titah baginda, turut berfungsi untuk perlindungan keselamatan yang berkesan, mesra, bijak dan boleh dipercayai.

“Ia juga dikehendaki untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang ada kaitan dengan perkara-perkara keselamatan. Fungsi ini sangat penting dilaksanakan dengan betul. Janganlah ia hanya diatas kertas sahaja. Sebarang rancangan yang hendak dibuat, hendaklah dipertimbangkan masak-masak”.

Dalam hal ini baginda menasihatkan, “kalau ia ada berkaitan dengan unsur keselamatan atau hukum Ugama, maka janganlah ia terus dibuat begitu saja, melainkan rujukan atau muzakarah kan dulu dengan pihak-pihak berkenaan itu, bukannya terus-terus dibuat atau terus saja memberi arahan”.

“Elakkan dari bersifat ego dalam pentadbiran, patuhi apa-apa jua peraturan sebagaimana pihak lain mematuhinya. Janganlah ada peraturan yang dilangkahi, sebagai misalan, peraturan pengantaran pegawai-pegawai keluar negari kerana bertugas masih ada saja pihak yang melangkahinya”, titah baginda lagi.

Seterusnya baginda sultan mengingatkan,”jika peraturan itu mengkehendaki sekian-sekian, maka mestilah ia diikut, kecuali peraturan itu diubah atau dibatalkan”.

“Tegasnya, semua Kementerian dan agensi yang ada, mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.Tidak sesiapapun dibenarkan untuk berkecuali daripadanya. Kerana inilah tandanya kita bangsa yang bertamadun dilengkapi dengan disiplin dan peraturan-peraturan yang baru”.

Menyebut disiplin dan peraturan ini, titah baginda,”turut berkenaan adalah Jabatan Hal Ehwal Protokol dan Consulate (Department of Protocol and Consulate Affairs)”

“Jabatan ini berfungsi menjadi penyelaras kepada lawatan-lawatan negara, dan lawatan rasmi ke luar negeri. Selaku penyelaras adalah mustahak untuk diperhatikan segala atur cara bagaimana lawatan itu dibuat. Misalan, biasanya terdapat banyak tempat untuk dilawat, pihak protocol berhak untuk memilih atau mencadangkan tempat yang sesuai untuk dilawat itu”, titah baginda.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

No comments: