Posting mengikut label

Tuesday, January 26, 2016

MENANGANI CABARAN EKONOMI MERUNDUM




LUMUT 12 Rabiulawal 1437/22 Januari 2016: Jaring Keselamatan Sosial (social safety net) negara perlu diperluaskan dan diperkukuh sebagai langkah persiapan untuk mempastikan kebajikan golongan masyarakat yang dijangka akan terjejas teruk dalam suasana kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara terjamin.

Ianya juga perlu dikemaskinikan agar lebih efektif dan efisyen dalam memberikan perlindungan sosial kepada golongan masyarakat yang tidak berupaya bertahan dalam suasana ekonomi negara yang membimbangkan ini, tegas TYT Presiden NDP, sdra Malai Hassan Othman mengongsikan pandangannya dalam sesi muzakarah bersama ahli-ahli jawatankuasa pandu Ranting Lumut 1&2.

“Kerajaan telah secara telus mengakui kemerosotan harga pasaran global minyak dan gas telah menjejaskan hasil pendapatan negara secara signifikan”, ujar sdra Malai Hassan Othman.

TYT Presiden NDP menyentuh ucapan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim di Majlis Hari Terbuka Peniaga 2016.

Menurut YB Pehin Dato Awang Haji Abdul Rahman pendapatan kerajaan telah menurun kira-kira 70 peratus dari hasil yang diterima pada Tahun Kewangan 2012/2013.

“YB Pehin telah melaporkan bahawa kerajaan pada Tahun Kewangan 2014/2015 telah mengalami defisit belanjawan sebanyak $213 juta dan defisit belanjawan negara ini juga semakin meningkat dalam Tahun Kewangan 2015/2016, di mana sehingga bulan Disember tahun 2015 sahaja, defisit belanjawan yang dicatatkan setakat ini melebihi $1.6 bilion yang mana jumlah ini dijangka meningkat kepada lebih $2.3bilion pada akhir Tahun Kewangan 2015/2016”.

Naib Presiden NDP Belait, Sdra Haji Metali bin Ibrahim menyampaikan kata
alu-aluan di sesi muzakarah bersama AJK Protem Ranting Lumut 1 & 2
Pengurangan hasil pendapatan tersebut telah memberikan implikasi kepada keupayaan dan cara kerajaan menampung perbelanjaan pada masa ini dan masa mendatang, terutamanya jika keadaan ini berpanjangan”, tambah TYT Presiden NDP merujuk kenyataan YB Pehin Dato Haji Abd Rahman.

Dalam lain perkataan keadaan tersebut turut menjejaskan kemampuan kerajaan untuk menampung perbelanjaan seperti dulu.

Sehubungan dengan itu NDP sangat bimbang dengan senario dan implikasinya kepada masyarakat umum khususnya golongan marhaen termasuklah golongan belia-belia yang akan memasuki alam pekerjaan.

Kata TYT Presiden NDP, dikhuatiri di tahun-tahun kehadapan ini jumlah pengganguran akan bertambah dan semakin ramai pula keluarga akan jatuh miskin selain dari golongan peniaga-peniaga tempatan yang mungkin akan jatuh muflis akibat ekonomi negara yang merundum.

Kegelisahan dikalangan tenaga kerja tempatan juga dijangkakan apabila para majikan di sektor swasta terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi masing-masing sebagai langkah untuk mengelakkan syarikat-syarikat mereka dari menanggung kerugian besar akibat kemelesetaan ekonomi. Mungkin antara langkah yang mereka ambil ialah membekukan pengambilan tenaga kerja, pembekuan kenaikan gaji, pengurangan kerja lebih masa, bonus tahunan dan sebagainya.

“Apabila ini berlaku akan timbul kegelisahan dan kekecewaan apabila sebilangan besar kehilangan mata pencarian dan mereka yang terjejas setentunya perlu perlindungan sosial dari badan-badan kebajikan masyarakat seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Baitul Mal dan sebagainya. Dalam kata lain senarai pemohon bantuan kebajikan dan asnaf fakir miskin akan semakin panjang, ujar sdra Malai Hassan.

Justeru adalah wajar bagi pihak-pihak berkenaan bersiap sedia dengan memberikan perhatian serious terhadapnya dan menimbangkan strategi yang perlu dilaksanakan untuk mengurangkan kesan buruk yang mungkin bakal terhasil dari situasi tersebut. Memperluas dan memperkukuh jaring keselamatan sosial merupakan salah satu langkah yang saya lihat perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib, katanya lagi.

“Dalam hal ini, tambah beliau, NDP juga perlu bersiap sedia untuk membantu kerajaan dalam mengahadapi cabaran-cabaran tersebut dan bukan pula dengan menguar-uarkan isu-isu yang hanya boleh menambah kegelisahan masyarakat umum dan menambah buruk keadaan”.

“Disinilah peranan ranting-ranting NDP yang berada dikalangan masyarakat akar umbi iaitu untuk mengelinga kemaslahatan masyarakat disekitarnya dan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sangat prihatin tentang untug rugi nasib bangsanya dalam suasana ekonomi yang merundum ini.

Tambah TYT Presiden lagi,“kedudukan ekonomi negara yang membimbangkan ini membuatkan agenda politik NDP semakin relevan iaitu untuk membantu KDYMM Sultan dan Kerajaan dalam memelihara kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan bangsa dan negara dari sebarang bentuk ancaman. Dalam konteks ini kemiskinan dan pengganguran merupakan dua ancaman besar kepada kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan bangsa dan negara jika ianya tidak diberikan perhatian sewajarnya”.

Sdra Pengiran Kamaruddin bin Pengiran Sarnawi, Ketua AJK Protem Ranting Lumut 1 & 2
“Sebagai sebuah pertubuhan politik, NDP punya tanggungjawab dalam sama-sama menangani perkara ini. Tanggungjawab ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan adanya ranting-ranting parti yang berfungsi dengan baiknya diseluruh pelusuk negara”, tegas TYT Presiden NDP.

TYT Presiden menaruh harapan Ranting Lumut khususnya, yang sekarang dipimpin oleh sdra Pengiran Kamaruddin bin Pengiran Sarnawi akan dapat memainkan peranan dengan berkesan misalnya dengan mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab politik NDP di kawasan Mukim Lumut.

Turut hadir di sesi muzakarah tersebut ialah TYT Timbalan Presiden NDP, sdra Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Talib, Naib Presiden Belait, sdra Haji Metali bin Ibrahim, Setiausaha Agung NDP, sdri Hajjah Saemah Kefli, Bendahari Agung NDP, sdra Haji Mohd Ali Yusof, Penolong Setiausaha Agung NDP, sdra Mohammad Abdullah Peter bin Abdullah Saging dan ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP Belait serta ahli-ahli NDP Lumut dan Belait.


Sumber - Laman Aspirasi NDP

No comments: