Posting mengikut label

Tuesday, January 26, 2016

KDYMM: Jangan sembunyi MIB




BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perlunya negara menunjukkan kepada dunia tentang keluhuran Melayu Islam Beraja (MIB) dan bukan hanya setakat di dalam negara sahaja di mana dasar negara adalah berpaksikan MIB.

Baginda Sultan bertitah mengingatkan perkara berkenaan semasa keberangkatan lawatan kerja ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Bandar Seri Begawan, hari ini.

“Antara fungsi Jabatan Pertubuhan Antarabangsa ialah untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar luar negara dan peranannya di dalam organisasi-organisasi antarabangsa itu.

“Apakah ia dasar luar itu? Kita jangan lupa, sama ada dasar luarkah atau dasar dalamkah paksinya adalah MIB. Beta tegaskan di sini, MIB bukanlah ia untuk tahan-tahan di dalam negara saja tetapi juga untuk dibawa keluar.”

Baginda bertitah, “Bertolak daripada MIB inilah, kita akan menghulurkan tangan kepada semua orang untuk bersahabat dan berbaik-baik dengan mereka, siapa jua. Kita mesti tunjukkan kepada dunia akan keluhuran MIB itu, bukan menapuknya.

“Berkaitan MIB, kita perlu merancang dan bertindak tanpa bercanggah dengannya. Kita tuju sasaran dan luruskan cara sehingga kelihatan benar-benar sesuai dan tidak janggal misalnya siapa yang benar-benar sesuai untuk kita pilih mewakili Brunei ke pertubuhan-pertubuhan dunia di dalam persidangan-persidangan.

“Kita mesti pilih mereka yang benar-benar berkemampuan dan berpengalaman yang dapat memberikan gambaran tepat, siapa kita dan Brunei ini yang sebenarnya di mata dunia.

“Beta sangat mengambil berat tentang matlamat bagi jabatan-jabatan, di antara yang terpenting ialah matlamat mempromosi dan melindungi kepentingan-kepentingan negara di dalam organisasi-organisasi antarabangsa.

“Rakan-rakan dialog dunia bukanlah satu tetapi banyak, di sana ada UN atau PBB, OIC atau Pertubuhan Persidangan Islam, ada Komanwel, rakan terdekat iaitu ASEAN dan lain-lain.

“Semua ini menunggu promosi daripada kita, tentang Brunei dan juga terserah kepada kita bagaimana untuk melindungi kepentingan-kepentingan Brunei di sisi rakan-rakan antarabangsa dan serantau itu. Keadaan kini semakin sukar apabila konflik dunia semakin rencam, ini tentu saja meminta kita lebih berhati-hati dan bijaksana untuk menghadapinya, maka untuk itu Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan adalah pihak yang lebih dibebankan untuk mengendalikannya.”

Baginda Sultan yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dalam titahnya menekankan sikap ego dalam pentadbiran perlu dielakkan, setiap peraturan hendaklah dipatuhi.

Baginda bertitah lagi, “Satu lagi jabatan di bawah kementerian ini ialah Jabatan Keselamatan atau Security Department. Jabatan ini turut berfungsi untuk perlindungan keselamatan yang berkesan, mesra, bijak dan boleh dipercayai.

“Ia juga dikehendaki untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang ada kaitan dengan perkara-perkara keselamatan.

“Fungsi ini sangat penting dilaksanakan dengan betul, janganlah ia hanya di atas kertas sahaja, sebarang rancangan yang hendak dibuat, hendaklah ditimbangkan masak-masak.

“Kalau ia ada berkaitan dengan unsur-unsur keselamatan atau hukum agama, maka janganlah ia terus-terus dibuat begitu sahaja melainkan rujukan atau muzakarahkan dahulu dengan pihak-pihak berkenaan itu, bukannya terus-terus dibuat atau terus sahaja memberi arahan.

“Elakkan dari bersifat ego dalam mentadbir, patuhi apa-apa jua peraturan sebagaimana pihak lain mematuhinya. Janganlah ada peraturan yang dilangkahi, sebagai misalan, peraturan penghantaran pegawai-pegawai ke luar negeri kerana bertugas masih ada saja pihak yang melangkahinya, jika peraturan itu menghendaki sekian-kian, maka mestilah ia diikut kecuali peraturan itu sudah diubah ataupun dipadam.

“Tegasnya semua kementerian dan agensi yang ada mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, tidak sesiapapun dibenarkan untuk berkecuali daripadanya kerana inilah tandanya kita bangsa yang bertamadun, dilengkapi dengan disiplin dan peraturan-peraturan yang baik.”

Menyentuh mengenai kerja berpasukan, Baginda menegaskan dalam kerja berpasukan tidak ada pihak yang boleh dianggap lebih istimewa daripada yang lain terutama dalam menangani dasar negara.

“Menyebut disiplin dan peraturan ini, turut berkenaan ialah Jabatan Hal Ehwal Protokol dan Konsular atau Department of Protocol and Consular Affairs. Jabatan ini berfungsi menjadi penyelaras kepada lawatan-lawatan negara dan lawatan-lawatan rasmi ke luar negeri. Selaku penyelaras adalah mustahak untuk diperhatikan segala atur cara lawatan di mana lawatan itu dibuat.

“Misalnya, biasanya terdapat banyak tempat untuk dilawati. Pihak protokol berhak untuk memilih atau bercadang mana-mana yang tempat yang sesuai untuk dilawati, jika ada cadangan dari negara yang dilawat, adalah tidak wajar bagi pihak protokol untuk bulat-bulat menerima atau bersetuju sahaja apa yang dicadangkan itu, tanpa mengambil kira tentang kesesuaiannya.

“Atau katakan pihak yang dilawat tidak memberi sebarang pilihan tetapi pada lazimnya, kita masih tetap juga masih diberikan kebebasan untuk menentukan apa yang sesuai dan patut kita pilih tetapi yang jadi masalah ialah kalau kita sendiri tidak mahu membuka perundingan atau tidak bersedia membuat penilaian tentang kesesuaian apa-apa yang patut dipilih.”

Baginda selanjutnya bertitah; “Kita tidak boleh melihat pada jurusan politik atau jurusan hubungan dua hala semata-mata tetapi lihatlah juga yang lain-lain seperti ugama atau budaya. Ini penting kerana kita adalah bangsa yang berakidah, berbudaya dan bertradisi. Ini semua mesti turut dilihat, jika kurang tahu, janganlah segan bertanya kepada yang lebih tahu, bukankah kita ini di dalam satu pasukan, mengapa tidak diamalkan falsafah berpasukan itu.

“Di dalam pasukan tidak ada pihak yang boleh dianggap lebih istimewa dari yang lain terutama dalam menangani dasar dan polisi, kita ini adalah sama. Sama-sama berkewajipan untuk kepentingan negara.”

Dalam titah, Baginda Sultan turut menyentuh mengenai dengan fungsi beberapa buah jabatan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan yang mempunyai kepentingannya kepada negara.

Baginda turut menekankan bahawa setiap jabatan mempunyai fungsi masing-masing. “Soalnya adakah semua jabatan yang banyak ini sudah dapat berfungsi dengan cukup baik. Mengenai pelaksanaan fungsi-fungsi, adakah juga pernah diadakan sebarang post-mortem mengenainya?

“Beta sendiri ingin tahu atau membaca hasil daripada post-mortem tersebut. Post-mortem pada hemat Beta adalah penting, untuk mengetahui sejauh mana kemajuan atau kesan dari rancangan atau kerja yang sudah dilaksana.

“Daripada post-mortem juga kita dapat mengetahui kelemahan-kelemahan atau kekurangan kita jika ada, dengan itu dapatlah kita membaikinya. Inilah namanya kita belajar dari pengalaman. Kita mesti berani bertanya, apakah sudah kita buat untuk negara.

“Kita ambil misalnya, Jabatan Kerjasama Ekonomi atau Department of Economic Cooperation di bawah kementerian ini, sejauh manakah promosi perdagangan dan pelaburan sudah dilaksanakan melalui ekspo-ekspo dan jerayawara-jerayawara ekonomi, berjayakah sudah kita meningkatkan imej negara kita di luar melalui promosi-promosi seperti ini.

“Selanjutnya, kita juga perlu bertanya tentang apakah yang Jabatan Pertubuhan Antarabangsa di bawah kementerian ini sudah lakukan dalam mempromosi dan melindungi kepentingan negara dalam kalangan organisasi-organisasi antarabangsa?

“Beta ambil contoh perkara memilih wakil ke persidangan-persidangan antarabangsa atau serantau, adakah kita sudah melakukan yang terbaik yang menepati apa yang semestinya. Perkara ini pun memerlukan post-mortem.”

Dalam mengakhiri titahnya, Baginda Sultan menegaskan bahawa itu merupakan di antara perkara-perkara yang ingin Baginda timbulkan tetapi ia tidak bermakna bahawa mana-mana perkara yang tidak disebut adalah semuanya dalam keadaan baik.

“Inilah di antara perkara yang ingin Beta timbulkan. Bukan bermakna yang lain-lain yang tidak disebut di sini, semuanya itu telah OK tetapi ada lagi apa-apa masalah bukan begitu.

“Cuma jabatan-jabatan yang disebut di sini hanyalah sebagai contoh sahaja untuk menyenangkan kita mengenali masalah-masalah yang patut diambil perhatian dan diatasi.”


Sumber - Media Permata

No comments: