Menyorot kembali Kenyataan Media TYT. Presiden Sdra. Mahmud Morshidi Othman pada 19 Zulhijjah 1434/24 Oktober 2013 yang menyokong sepenuhnya titah Kebawah DYMM mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 17 Zulhijjah 1434 / 22 Oktober 2013-11-07 memanglah amat bertepatan dan sewajibnya disuarakan oleh sebuah pertubuhan politik yang berteraskan undang-undang berteraskan Al-Quran dan Hadis.
NDP selaku suara rakyat dari akar umbi berkewajipan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan seharusnya tampil kehadapan menyuarakan bahawa Kebawah DYMM tidak keseorangan dalam melaksanakan dan menagakkan undang-undang Allah di Bumi Darussalam ini.
Hasrat dan keazaman baginda ini bukanlah baru malah lama setelah baginda menaiki takhta daripada ayahanda baginda Sultan Haji Omar Ali Saifuddien III tahun 1967. Gerak dan niat baginda itu terpancar pada detik 1 Januari 1984 apabila baginda bertitah dengan penuh semangat dihadapan ribuan rakyat baginda serta ramai jemputan Tetamu Luar Negara .
"Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahuwa Taala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut ahli sunah wal-jamaah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan..."
(Titah Permasyhuran Kemerdekaan 1984)
Tiada keraguan baginda untuk bertitah demikian kerana tiada undang-undang dan perlembagaan yang lebih unggul selain daripada undang-undang Islam kerana ia lengkap dan menyeluruh menyentuh seluruh aspek kehidupan manusia yang tidak terbatas pada satu-satu masa atau waktu sahaja kerana undang-undang Islam adalah undang-undang ciptaan Allah s.w.t. Undang-undang yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan.
Katani orang-orang Brunei umumnya mengetahui bahawa penghayatan dan pelaksanaan undang-undang Islam di Negara ini bukanlah baru, ia telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak Sultan Muhammad (Awang Alak Betatar) menjadi raja di Negara Brunei Darussalam.
Konsep dan keadilan dalam undang-undang Islam telah menimbulkan banyak perbincangan sejak zaman dahulu lagi terutama di kalangan para ilmuan yang tertumpu kepada skop dan cirinya serta bagaimana untuk melaksanakannya.
Menurut Profesor Majid Khadduri, '' Dalam Islam , keadilan ketuhanan terkandung dalam wahyu dan mukjizat yang dikurniakan kepada nabi Muhammad s.a.w. Kedua-sua sumber dan naskhah sahih ini berserta "sumber terbvitan" daripada penaakulan manusia yang disebut ijtihad, dapat memberi asas kepada para ulama' untuk menetapkan apa yang disebut undang-undang dan akidah. Prinsip asasi undang-undang dan aqidah serta kerja kreatif bagi memberi kejayaan kepada generasi seterusnya, telah membentuk asas ketenteraman awam Islam " (Profesor Majid Khadduri dalam buku War and Peaca in the Law of Islam)
Tidak syak lagi bahawa titah baginda mengenai Kanun Hukum Jenayah itu adalah hak baginda sebagai Ulil Amri di Negara ini oleh sebab Allah s.w.t. tidak memerintah orang Islam secara terus. Dia telah melantik manusia tertentu sebagai wakilNya di muka bumi ini. Maka orang yang memerintah itu mestilah mempraktikkan Syari'at Allah serta memerintah dengan adil.
Sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah kerajaan baginda terutamanya orang-orang Islam wajiblah menyokong dan membantu baginda melaksanakan amanah Allah s.w.t. dengan berlapang dada demi untuk mendapatkan redhaNYa jua.
Jangan tah gusar dan bimbang akan tohmahan dan bidasan dari luar kerana mereka itu tidak memahami sebenarnya apa itu Islam. Katani orang-orang Brunei sepatutnya berbangga akan ketegasan, kecekalan dan keberanian Kebawah DYMM dalam menunaikan tanggungjawab baginda sebagai raja dan pemerintah katani. Baginda bertitah " Kalau ada orang mencari keadilan, di sini ada keadilan itu dan begitu juga kalau orang mencari ihsan dn perikemanusiaan, di sini juga ada ihsan dan peri kemanusiaan itu"
Titah baginda lagi " Orang yang melihat lapuk dan kejam itu hanyalah orang jahil, yang tidak mengenali Islam sama sekali dan jika mereka mengenali Islam selaku Ugama Allah, mereka tidak akan celupar terhadapnya."
Marilah kita bersatu di belakang baginda pada menyokong dan membantu baginda dan kerajaan baginda dalam menghadapi serangan luar yang tidak memahami akan hasrat murni dan niat ikhlas baginda itu. Sama-samalah kita turun padang menerangkan dan memahamkan kepada rakyat di negara ini akan Hukum Kanun Jenayah Syari’ah itu terutama kepada agensi-agensi yang berkenaan dan para ilmu Islam agar rakyat tidak terpedaya dan terperangkap dengan dakyah dan tohmahan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Juned Ramli / Timbalan Presiden NDP.
LIMBARUH HIJAU, 3 Muharram 1435 / 7 November 2013
Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP
No comments:
Post a Comment