Posting mengikut label

Thursday, November 14, 2013

Kurang kesepaduan punca projek lambat


Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Kurang pendekatan bersepadu antara agensi-agensi khususnya agensi yang memberikan khidmat sokongan adalah antara lain punca kelambatan pelaksanaan projek.

Menurut Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lufti Abdullah, terdapat antara agensi berkenaan kurang memberi keutamaan dalam memberikan kerjasama pelaksanaan projek, walaupun tugas dan tanggungjawab utama mereka adalah memudah cara proses yang sekali gus menganggap projek tersebut bukan projek jabatan mereka.

Beliau menekankan, projek yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana itu merupakan projek nasional yang mesti di tangani dan dilaksanakan mengikut tempoh waktu bagi memudahkan pihak kerajaan merancang pengagihan peruntukan yang lebih teratur mengikut tahun.

Awang Haji Muhammad Lufti menyatakan perkara ini semasa berucap merasmikan Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2013 di Kementerian Pembangunan hari ini. Tema sambutan bagi tahun ini ialah “Menjayakan Pelaksanaan Pelan.”

Beliau menambah kata, iltizam atau komitmen ketua jabatan juga penting dalam mengutamakan projek untuk segera dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua jabatan untuk menggiatkan usaha serta memberikan keutamaan kepada projek yang sudah dirancang untuk segera dilaksanakan dalam tempoh rancangan sama ada di jabatan pelaksana atau jabatan yang memberikan khidmat sokongan.

Menurutnya, dengan cara ini jabatan pengguna akan lebih komited untuk melaksanakan projek mereka mengikut tempoh yang dirancang.

Katanya, peranan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) adalah menyediakan pelan kemajuan dan membuat perancangan guna tahan di negara ini.

“Pelan-pelan kemajuan ini antara lain bertujuan memberikan pandu arah jelas kepada semua pihak khususnya pemegang teras dalam usaha memajukan kawasan perbandaran, daerah dan luar bandar,” jelas beliau.

Beliau turut difahamkan, JPBD menyediakan pelan kemajuan bagi semua daerah di negara ini di mana beberapa penilaian semula telah dibuat.

Hasil dari pembentukan Pelan Induk Negara Brunei Darussalam 1987, pada tahun 1990an menyaksikan giatnya penyediaan pelan setempat disediakan melalui peruntukan Rancangan Kemajuan Negara.

“Pelan tersebut yang lebih terperinci telah menjadi garis panduan dalam perancangan guna tanah dan kawalan kemajuan,” jelasnya.

Bagaimanapun, jelas Awang Haji Muhammad Lufti kadar pelaksanaan projek yang dicadangkan dalam pelan kemajuan adalah tidak konsisten dan ini tertakluk kepada sektor kemajuan yang dilaksanakan.

“Ini jelas menunjukkan kadar pelaksanaan projek bukan saja tidak konsisten tapi kebanyakannya mengambil masa lama untuk direalisasikan.

“Bukan setakat itu, Pelan Induk Negara 1987 yang telah dipohonkan melalui RKN, sebahagian projek telah melalui beberapa RKN berikutnya dan diberikan harga rancangan dan peruntukan tapi masih belum dilaksanakan.

“Alasan tidak ada peruntukan dan kurangnya kapasiti untuk melaksana projek tidak dapat dijadikan alasan mengapa projek belum dapat dijalankan,” tegas beliau.

Beliau seterusnya berharap supaya jarak tahun terhasilnya pelan kemajuan dengan tahun cadangan projek dilaksanakan dapat dirapatkan.

Ini kerana terlalu banyak peluang kemajuan dan pembangunan negara yang mungkin saja hilang di mana ia seharusnya diraih ke arah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Pelan kemajuan dari kajian terperinci yang melibatkan pemegang teras untuk memberikan idea ke arah menyediakan strategi atau rangka cadangan.

Sehubungan itu, pelaksanaan projek memerlukan penglibatan semua agensi untuk sama-sama menjayakan hasrat serta visi yang dirancang dalam pelan tersebut.

JPBD diseru untuk meningkatkan usaha mempamerkan cadangan yang terkandung dalam setiap pelan kemajuan sebagai peringatan kepada semua agensi pelaksana supaya mereka dapat segera bertindak memohon peruntukan dari pihak tertentu.

Selain itu memastikan program pelaksanaan perlu disusun rapi sementara agensi bertanggungjawab dengan pelaksanaan projek perlu akur dengan tempoh masa (timeline) yang disediakan dalam program pelaksanaan.

“Timeline dan penyiapan projek dalam tempoh rancangan itu perlu diberikan fokus utama dan bukan sebagai perkara sampingan saja,” tegasnya.

Di majlis itu, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Haji Muhammad Lufti melancarkan tiga buku garis panduan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia, Jabatan Perancang Bandar dan Desa 2013.

Dipetik dari - Media Permata

Berikut merupakan petikan sebahagian daripada Ucapan Dasar Presiden NDP di Kongres Agung Tahunan Ke-8 pada 21 Jun 2013,
"...Di bawah RKN ke-9 (2007-2012), sebanyak 1,048 buah projek pembangunan telah disenaraikan dengan harga rancangan sejumlah BND 9.5 bilion. Bagaimanapun, dari jumlah 1,048 buah projek itu, hanya sebanyak 568 sahaja yang berjaya disiapkan. Ini bermakna pencapaiannya cuma 54 peratus sahaja.
...Dari segi prestasi kewangan pula, dari jumlah BND 5.195 bilion yang telah disediakan, BND 4.031 bilion atau 77.6 peratus telah dibelanjakan. Akan tetapi jika diambil kira daripada harga rancangan BND 9.5 bilion yang telah diluluskan, prestasi perbelanjaaan tersebut merupakan 42.4 peratus sahaja. Ini menunjukkan satu prestasi yang tidak memberangsangkan.
...Sebagai langkah penambahbaikan didalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara, dengan rendah hati, dan dengan penuh rasa tanggung jawab NDP mohon  kehadapan Majlis Kebawah DYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Daraussalam menjulungkan cadangan kiranya Kerajaan Kebawah Duli dapat mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri, seorang yang mewakili golongan pembesar, dan seorang lagi mewakili rakyat jelata. 
Dengan langkah ini, kita berharap masalah ‘bottleneck’ dalam kelulusan projek dan penyaluran peruntukan kewangan dapat dilicinkan disamping dapat meringankan tugas Kebawah DYMM sebagai Pemerintah dan Ketua Eksekutif.
...Ketika mana Brunei mempunyai sebuah Parlimen yang berwibawa, ketika mana Brunei mempunyai dua orang Timbalan Perdana Menteri, Insyaallah, akan ringanlah beban tugas Perdana Menteri, akan lenyaplah sindrome helah bela diri yang semudahnya meletakkan segala kesalahan dan kepincangan dalam pembuatan keputusan dan perlaksanaan kepada ‘orang di atas’. Insyaallah akan tercapailah hasrat Negara Brunei maju pada 2035 dengan redha Allah SWT."

No comments: