Posting mengikut label

Tuesday, November 12, 2013

Rakyat Brunei alu-alukan hudud


SESUNGGUHNYA banyak pihak bukan sahaja di Brunei Darussalam yang menunggu sekian lama satu undang-undang yang universal membabitkan peraturan yang ditetapkan Allah SWT, akan tetapi umat Islam di Malaysia juga sudah lama menanti untuk tiba masanya agar ketetapan Allah terlaksana pada ketika yang ditentukan-Nya.

Pengumumam atau pengisytiharan yang dibuat oleh Sultan Brunei berhubung pelaksanaan hukum hudud baru-baru ini diharap menjadi inspirasi kepada umat dalam tanah air Malaysia ini yang sememangnya sudah jemu dengan undang-undang ciptaan manusia yang tidak adil, dengan kata lain menangkap golongan bawahan dan membebaskan golongan atasan khususnya yang melibatkan kes jenayah besar.

Namun, apa yang menarik ialah respons rakyat Brunei dalam isu yang diwartakan oleh baginda Sultan yang mahu melaksanakan undang-undang hudud kerana ia adalah hukum Allah Yang Maha Tinggi.


Berikut penjelasan Mahmud Morshidi Othman, Presiden NDP seusai pemewartaan hudud di Brunei.

"Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menyokong sepenuhnya Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah (Sultan Brunei Darussalam) mewartakan Kanun Jenayah Islam pada 22 Oktober 2013.

1. Seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan limpah rahmat, taufiq dan hidayah-Nya serta kekuatan dan keazaman yang kental ke atas Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah mengumumkan titah perkenan mewartakan Kanun Jenayah Islam (Hudud) pada 22 Oktober 2013 yang akan dilaksanakan secara berperingkat enam bulan dari sekarang, insya-Allah.

2. NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda di atas keputusan mewartakan Kanun Jenayah Islam ini. Kami amat tersentuh dengan keberanian, ketegasan dan hikmah Kebawah DYMM dan berikrar untuk terus berdiri di belakang Kebawah DYMM bagi memperkasa dan mempertahankan syariat Islam di bumi Brunei Darussalam ini.

3. Bermula tahun 1912, iaitu di era pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam II, telah dikuatkuasakan Enakmen Undang-Undang Islam 1912 (No.1/1912). Selanjutnya pada tahun 1948 Sultan Ahmad Tajudddin telah melantik Penasihat Jama'ah Syari'ah dalam usaha melaksanakan sistem perundangan Islam dengan lebih kemas dan teratur. Usaha murni tersebut kemudian diteruskan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III melalui penguatkuasaan Undang-Undang Majlis Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi pada tahun 1956 dan memaktubkan di dalam Perlembagaan 1959, Islam sebagai Agama Rasmi Negara Brunei Darussalam.

4. Kini 100 tahun telah berlalu, Alhamdulillah, dapatlah dikira bahawa pewartaan ini adalah kemuncak kepada sebuah hasrat dan cita-cita Institusi Kesultanan Brunei untuk mengunggulkan syariat Islamiyah di Negara Brunei Darussalam.

5. Bertitik tolak daripada lakaran sejarah murni ini, kita memandang ke hadapan bahawa keadilan dan ihsan akan tetap tegak mengungguli sistem pemerintahan negara yang dicintai ini. Demikian itulah jalan paling lurus menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah.

6. Memetik titah Kebawah DYMM mengenai pewartaan Kanun Jenayah Syariah ini, "Tidak diragukan lagi, ia adalah sebahagian daripada sejarah besar kita dan negara. Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai," adalah bertepatan dengan sistem pemerintahan raja mutlak di mana, kebertanggungjawaban di sisi Allah SWT adalah sepenuhnya terletak di pundak bahu Ulil Amri.

7. Justeru bagi setiap rakyat yang beriman dan cintakan keadilan adalah wajib untuk mentaati Baginda sebagai Ulil Amri selagi mana Baginda tidak mengajak rakyat ke jalan syirik. Presiden NDP dalam ucapannya di Kongres ke-8 NDP pada 21 Jun 2013 merakamkan, "Kesungguhan Baginda untuk melaksanakan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah adalah suatu yang luar biasa kerana tidak ramai pemimpin Negara umat Islam yang mempunyai komitmen setinggi kesungguhan Baginda itu. Dalam hai ini, NDP telah menegaskan hukum WAJIB mentaati Baginda Kebawah DYMM."

8. Dalam ucapan yang sama, Presiden NDP juga menggesa agar kerajaan menyediakan sarana yang selengkapnya bagi menjamin pelaksanaan kanun tersebut mencapai matlamat tuntutan Islam yang sebenarnya. Beliau menekankan betapa perlunya ada persiapan yang sempurna dan rapi dari aspek kerangka perundangan, pengamal dan pelaksana bagi menjamin keutuhan tuntutan syariah itu sendiri.

9. Dengan berkuatkuasanya Undang-Undang Kanun Jenayah Islam ini, insya-Allah dengan inayah-Nya akan wujud masyarakat yang benar-benar gerun untuk melakukan sebarang bentuk jenayah. Contohnya, apabila seseorang itu takut dipotong tangannya, lalu
dia akan terhalang daripada mencuri dan sebaliknya ia akan mendorongnya supaya bekerja dan berusaha untuk mencari rezeki yang halal, natijahnya negara zikir ini akan melahirkan rakyat yang rajin dan bebas dari meminta-minta.

10. Insya-Allah, sebarang sungutan dan keraguan mengenai Kanun Jenayah Islam ini pasti akan terhurai apabila nikmat keamanan dan kemakmuran sejati itu dapat dirasakan oleh setiap rakyat, sebab undang-undang jenayah Islam adalah berpaksikan keadilan dan perikemanusiaan, dan menjaga kepentingan dan maslahah yang lebih besar.

11. Kanun Jenayah Islam antara lain bertujuan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kesalahan, bertujuan untuk mendidik dan mengajar masyarakat seluruhnya, sebagaimana hikmah perlaksanaan hukuman di khalayak ramai.

12. Islam menekankan peri perlunya melakukan penegahan terhadap apa jua perkara yang boleh mendorong masyarakat melakukan jenayah dan maksiat. Umpamanya menutup pusat kegiatan maksiat, memudahkan urusan berpoligami, meningkatkan ekonomi dan pendapatan masyarakat dan sebagainya (amr ma'ruf nahi munkar).

13. Insya-Allah bemulanya dari Kanun Jenayah Islam ini akan tertegaklah keadilan yang lebih luas yang diredai oleh Allah SWT seperti yang diungkap oleh Allahyarham Prof Dr Saedon, "Setiap orang adalah sama di sisi undang-undang. Tidak ada orang yang di atas undang-undang tetapi memang ada yang dikecualikan oleh undang-undang ini, bukan kerana keistimewaannya tetapi kerana kekurangannya."

"Dan di dalam hukum qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal supaya kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 179)

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."
(al-Baqarah: 208)

Dipetik dari - Harakah, Bil 1893 - 11-14 November 2013.

No comments: