Posting mengikut label

Tuesday, November 19, 2013

Senario kemerdekaan negara perlu diketengahkan


Oleh:  Pg. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 November. - Cabaran-cabaran telah dilalui oleh Negara Brunei Darussalam khususnya di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperjuangkan Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat pada 1 Januari 1984.

Dengan yang demikian, proses pencapaian Negara Brunei Darussalam perlu diimbas kembali bagi memberi kefahaman, kesedaran dan keinsafan kepada rakyat dan penduduk khususnya golongan muda masa kini bagi mengukuhkan lagi semangat jati diri untuk mencintai agama, raja dan bangsa Brunei. Lagipun ia merupakan perjuangan murni untuk menegak bangsa, agama dan raja ini adalah memakan masa yang agak lama yang akhirnya dapat dinikmati oleh rakyat dan penduduk Negara ini.

Perkara ini telah diperjelaskan di dalam kertas kerja yang sampaikan oleh Setiauasaha/Ketua Urusetia Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, (MTMIB) Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong semasa Seminar Pembangunan Negara Dalam Era Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah: Membangun Berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja yang diadakan di Hotel Centrepoint di Gadong, di sini

Oleh itu tegasnya, selaras dengan tugas dan tanggungjawab MTMIB dalam menyebar dan mengukuhkan lagi cara hidup Melayu Islam Beraja di kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, maka sejarah liku-liku perjalanan negara ini dalam mendapatkan kemerdekaan perlu diketengahkan dan diketahui setiap rakyat dan penduduk negara dengan tujuan supaya sejarah perjuangan itu dihargai dan diinsafi sebagai penyuntik ke arah pengukuhan semangat patriotik pada negara dan bangsa.

“Ini bermakna pentingnya senario sejarah kemerdekaan itu diketahui dan difahami oleh semua lapisan masyarakat Brunei,” jelas Dr. Muhammad Hadi.

Dipetik dari - Pelita Brunei


Sejarah ibarat cermin kemajuan tamadun sesuatu bangsa

Oleh:  Khartini Hamir

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 November. - Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dengan kelolaan Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) menganjurkan Seminar Pembangunan Negara Dalam Era Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah: Membangun Berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja diadakan di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan seminar berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Pada majlis tersebut Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara ber sabda  menekankan mengenai bidang atau mata pelajaran Sejarah hendaklah diajar di sekolah dan di peringkat pengajian tinggi dengan sempurna supaya pelajar-pelajar tahu sejarah bangsa mereka dan menghargai sumbangan dan jasa raja-raja serta pemimpin-pemimpin negara kita.

Oleh itu, bersempena 30 tahun penubuhan PESEBAR, dan dalam usia persatuan menjangkau tiga dekad itu, Yang Amat Mulia percaya persatuan berkenaan telah mencapai beberapa kerja-kerja dan kejayaan-kejayaan di dalam bidang sejarah di Negara Brunei Darussalam.

Yang Amat Mulia melihat PESEBAR mempunyai peranan yang besar dalam mengadakan penyelidikan-penyelidikan dan penulisan-penulisan sejarah tanah air agar dapat membetulkan segala tulisan-tulisan mengenai sejarah negara ini yang kurang tepat.

Sejarah adalah ibarat cermin bagi kemajuan tamadun sesuatu bangsa dan ia penting untuk dipelajari dan dihayati agar pembangunan bangsa dapat berjalan lancar di samping sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar kesilapan masa silam tidak akan berulang lagi.

“Dengan itu saya percaya kita akan dapat melahirkan satu generasi yang insaf, berbudi pekerti dan berkeyakinan diri serta mempunyai jati diri yang kukuh. Semua ini boleh menjadi benteng kuat dalam menghadapi ledakan perubahan zaman akibat dari kemunculan revolusi teknologi maklumat,” jelas Yang Amat Mulia.

Dunia pada masa ini sudah seolah-olah kehilangan sempadan dan batasan, ia semakin kecil kesan dari maklumat yang boleh diperolehi dengan pantas dan apabila bercakap mengenai sejarah kebangsaan negara ini, kita tidak dapat lari dari membicarakan sejarah raja-raja atau sultan-sultan yang pernah memerintah negara ini serta sumbangan mereka dalam membentuk dan membangun bangsa Brunei.

Menurut Yang Amat Mulia, antara mereka itu adalah Sultan Muhammad yang mengasaskan kesultanan Brunei Darussalam, Sultan Sharif Ali yang mengukuhkan agama Islam, Sultan Bolkiah membina empayar Brunei dan pada zaman moden ini Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pengasas Brunei Moden, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara merdeka, berdaulat, maju dan aman serta makmur.

Terdahulu, Ketua Hakim Syar’ie dan Yang Di-Pertua PESEBAR, selaku Pengerusi Bersama seminar, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan dalam 30 tahun usia PESEBAR, persatuan berkenaan telah berjaya mencapai matlamat penubuhannya iaitu untuk menggalakkan minat yang meluas terhadap sejarah, kebudayaan dan adat resam nasional di kalangan rakyat Brunei melalui seminar, persidangan, penyelidikan, penerbitan dan buku.

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam tempoh 17 tahun dari menaiki takhta sehingga kemerdekaan Negara Brunei Darussalam  (1967-1984) baginda dengan tabah dan bijaksana telah berjaya mengatasi berbagai cabaran dan berjaya membawa Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan dan kedaulatan penuh sebagai sebuah negara MIB pada 1 Januari 1984.

Tambah Yang Berhormat, semasa pemerintahan baginda, rancangan-rancangan pembangunan negara yang telah dimulakan oleh ayahanda baginda dari awal tahun 50-an itu telah diteruskan dan dipertingkatkan oleh baginda yang hasilnya telah dapat kita nikmati pada hari ini.

Oleh itu tujuan seminar ini diadakan, terang Yang Berhormat, antara lain adalah untuk menonjolkan pimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam merancang dan melaksanakan pembangunan-pembangunan yang telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang maju, aman dan makmur dapat dihayati dan dihargai oleh setiap lapisan rakyat di negara ini.

Seminar juga antara lain bertujuan untuk menerokai bidang baru kajian sejarah yang berkaitan dengan sosial dan ekonomi, khususnya dalam era pemerintahan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang sememangnya mempunyai sumber yang banyak untuk dikaji di samping sejarah politik yang telah pun mendapat tarikan ramai pengkaji.

Di samping itu, ianya juga dapat mendorong penyelidikan dan penemuan terbaru khususnya dalam bidang sejarah Negara Brunei Darussalam dengan menggalakkan pertukaran dan percambahan pemikiran bidang sejarah sosial dan ekonomi sejarah zaman pemerintahan Kebawah DYMM di kalangan para sarjana, pensyarah, guru-guru, penyelidik, pelajar dan para peminat bidang penyelidikan bagi memperluaskan lagi interaki dan jaringan kerja di pelbagai peringkat institusi pendidikan di negara ini.

Seminar juga antara lain dapat memupuk kesedaran dan rasa insaf dari rentetan peristiwa yang berlaku dalam sejarah sosial dan ekonomi, sastera, budaya, adat istiadat dan undang-undang pada zaman pemerintahan Kebawah DYMM yang boleh memberikan gambaran bagaimana kerajaan baginda berungkayah dengan penuh gigih dan berkesinambungan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan mengangkat temadun Negara Brunei Darussalam.

Kira-kira seramai 200 peserta menghadiri seminar berkenaan yang bertemakan Membangun Negara Berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, pakar sejarah, pelajar-pelajar dan orang ramai dari dalam dan luar negara.

Dipetik dari - Pelita Brunei


Beberapa artikel lepas yang berkaitan:

1. Penyelidikan Sejarah Tentang Pemberontakan 1962: Mencari Kebenaran Atau Menjustifikasikan Kebatilan?
2. SEJARAH: FAKTA, KRITIKAN DAN TAFSIRAN
3. BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 1
4. BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 2
5. BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 3
6. BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 4
7. BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 5 (Akhir)

No comments: