Posting mengikut label

Wednesday, December 7, 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 1

Bermula dengan Bahagian 1 ini, RumpunSuara akan memuatkan satu siri artikel yang bertajuk BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik. Segala penulisan adalah bersumber dari adamghedodin.blogspot.com dengan sedikit penyusunan semula.

---------------------------------------------------------------------------------

1. PENDAHULUAN: DEFINISI DAN KONSEP

1.1 Legitimasi

Menurut Weber (1978), setiap sistem kekuasaan cuba untuk mengukuhkan keyakinan terhadap legitimasi tertentu dengan cara menuntut ketaatan dan pembangunan alat pentadbiran. Weber (1978) seterusnya menghubungkaitkan legitimasi dengan authority yang dikelaskan kepada tiga iaitu legal authority, traditional authority dan charismatic authority.

Legal authority diasaskan kepada rasional iaitu ketaatan ahli masyarakat kepada seseorang individu bukan disebabkan authority yang dimilikinya tetapi prinsip legality. Contohnya, seseorang pegawai dalam sesebuah organisasi dipilih dan dilantik kerana memiliki kelayakan dan kemahiran yang diperlukan.

Traditional authority pula berlawanan dengan legal authority kerana ketaatan diberi berdasarkan faktor peribadi dan seseorang yang menjadi ketua adalah disebabkan tradisi pemerintahan tertentu. Corak ketaatan secara traditional authority ini memunculkan konsep ‘tuan’ dan bukannya ‘orang atasan’ lalu corak pemerintahan dan pemilihan anggota pentadbiran juga berdasarkan amalan tradisi dan budi bicara ‘tuan’ itu tadi. Oleh yang demikian, ramai di kalangan sanak-saudara dan orang kepercayaan yang dilantik menjadi sebahagian anggota kerajaan. Menerusi charismatic authority pula, ketaatan diberi atas faktor kualiti istimewa pada seseorang yang dijadikan ketua.

Menurut Beetham (1991) pula, terdapat tiga komponen utama bagi legitimasi dalam sesebuah masyarakat demokrasi liberal iaitu prestasi institusi, pematuhan kepada nilai-nilai demokrasi iaitu consent, perwakilan dan kebertanggungjawaban, dan identiti politik. Tanpa ketiga-tiga komponen ini, ujar Beetham (1991) lagi, masyarakat akan mempersoalkan hak sesebuah kumpulan untuk membuat keputusan bagi pihak mereka meskipun polisi yang digubal bermanfaat dan prosedur yang dibentuk begitu sempurna.

Scharpf (1997) pula berpendapat sama ada legitimasi boleh diperolehi atau sebaliknya bergantung kepada input dan output kerajaan. Pada beliau, input kerajaan diperolehi antara lain melalui pemilihan wakil rakyat secara demokrasi, persetujuan pengundi terhadap sesuatu program dan perundingan yang melibatkan rakyat. Output kerajaan pula diperolehi dengan cara menepati kehendak dan nilai rakyat, dan memastikan setiap polisi yang dijalankan sentiasa mengambil kira pendapat umum.

1.2 Demokrasi

Sebagaimana legitimasi, terdapat berbagai-bagai tafsiran berhubung maksud sebenar demokrasi. Perkara ini diakui oleh The Economist Intelligence Unit (2010: 28) dalam laporan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat. Badan berkenaan kemudiannya menggariskan ciri-ciri penting sesebuah negara yang dianggap demokratik iaitu
“...the fundamental features of a democracy include government based on majority rule and the consent of the governed, the existence of free and fair elections, the protection of minority rights and respect for basic human rights”.

Dahl (1971: 2) dalam bukunya Polyarchy mendefinisikan demokrasi sebagai “sistem politik yang salah satu cirinya ialah bersikap responsif secara sepenuhnya atau hampir sepenuhnya terhadap rakyat. Dahl (1971: 2) menambah bahawa dalam usaha sesebuah kerajaan bersikap responsif, rakyat perlu diberi hak untuk menyatakan pilihan mereka. Pada beliau, hak tersebut mustahak kerana ia membolehkan rakyat menyampaikan keperluan dan tuntutan mereka kepada kerajaan. Elemen-eleman yang patut ada dalam sebuah masyarakat demokratik adalah seperti berikut:
(i) Kebebasan untuk menubuhkan dan menyertai sebarang organisasi;

(ii) Kebebasan bersuara;

(iii) Hak mengundi;

(iv) Layak untuk menubuhkan kerajaan;

(v) Pemimpin politik berhak bersaing untuk mendapat sokongan dan undi;

(vi) Sumber maklumat alternatif;

(vii) Pilihan raya yang bebas dan adil; dan

(viii) Institusi kerajaan yang menggubal polisi bergantung kepada undi dan mekanisme seumpamanya.

Ljiphart (1984) pula mengemukakan dua model bagi sesebuah sistem politik yang mengamalkan demokrasi iaitu ‘model Westminster’ dan ‘model konsensus’. Menurut beliau, model Westminster berdasarkan sistem berparlimen Britain dan ia merujuk kepada penguasaan kumpulan majoriti. Sebaliknya, model konsensus yang berdasarkan amalan Switzerland dan Belgium bertujuan mencapai persetujuan di kalangan kumpulan sosial utama dalam sesebuah negara. Sungguhpun demikian, model konsensus tidak semestinya bermaksud persetujuan sebulat suara.

Schumpeter dalam mahakaryanya pada tahun 1943 bertajuk Capitalism, Socialism and Democracy yang diterbitkan buat kali ketiga belas pada tahun 1974 melihat demokrasi dari sudut ‘kepimpinan politik’. Pada pandangan beliau, individu akan berusaha mendapatkan kuasa dengan cara bersaing bagi mendapatkan undi daripada rakyat bagi membolehkan mereka membuat keputusan-keputusan politik. Undian pada pandangan Schumpeter bertujuan ‘menghasilkan’ kerajaan. Walau bagaimanapun, pada hemat beliau hanya sistem pengundian di Amerika Syarikat sahaja membolehkan pengundi berbuat demikian secara langsung manakala sistem pengundian di negara lain seperti Britain hanya menghasilkan kerajaan menerusi medium perantaraan yang digelar ‘parlimen’.

No comments: