Oleh: Hamdan Adnan
Pendahuluan
Hari ini, persoalan dan isu berkaitan hak asasi manusia kian mendapat perhatian. Ia semakin diberikan perhatian dengan manusia kian menuntut ia dihayati serta dikuatkuasakan melalui perundangan dan badan penguatkuasa yang berkesan. Lazimnya kini, perkara-perkara yang menyentuh hak asasi manusia lebih berasaskan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia atau lebih dikenali sebagai UDHR (Universal Declaration of Human Right - 1948).
Sebenarnya, tuntutan terhadap hak asasi manusia terdapat dalam semua masyarakat pada setiap masa dan tamadun seperti dalam masyarakat Barat, Asia dan Afrika, atau apa jua agama yang mementingkan kebajikan manusia seperti Hindu, Buddha, Konfusius, Taosisme, Judaisme, Kristian dan Islam. Idea 'kemuliaan manusia' resminya adalah sebati dengan kebudayaan dan agama walaupun manusia memberikan penekanan kepada nilai yang berbeza berasaskan persekitaran atau keadaan serta kepelbagaian masyarakat di tempat mereka wujud.
Kebiasaannya, bagaimana manusia yang pelbagai budaya dan agama mentakrif dan menguatkuasakan hak asasi manusia hangat diperbahaskan dan kadangkala tercetus caci-mencaci. Ini sepatutnya tidak berlaku jika kita benar-benar mengamalkan hak untuk seseorang itu menghayati budaya dan agamanya sendiri. Tuntutan hak asasi manusia adalah wajib kerana ia menentukan kewujudan kita di dunia ini.
Islam dan Hak Asasi Manusia
Islam melalui Nabi Muhammad s.a.w. pada abad keenam masihi banyak memiliki peruntukan bagi memajukan kemuliaan individu, kebajikan masyarakat serta dunia amnya. Dalam Islam, keperluan kepada kewajipan adalah lebih lazim daripada hak. Malah, tanggungjawab secara keseluruhannya ditujukan kepada Allah s.w.t. Setiap Muslim harus berbakti kepada Allah s.w.t. dengan mentaati dan mematuhi tuntutan Islam. Dikatakan bahawa sifat dasar ide ketaatan kepada Allah s.w.t. dalam Islam telah mencorakkan perbahasan mengenai hak asasi manusia dalam Islam sebegitu mendalam sehinggakan konsep hak sentiasa kelihatan ditarik kembali ke arah ide kewajipan. Maka dalam Islam, hak sentiasa dilihat sebagai kewajipan seseorang samada terhadap Allah s.w.t. atau terhadap makhluk.
Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah pejuang dan pembela hak asasi manusia teragung. Pesanan baginda ketika memberikan ucapan terakhir atau wida' pada hari kelapan hijrah (hari Tarwiyah) turut menegaskan beberapa tuntutan hak asasi manusia. Di antaranya baginda bersabda:
"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu semua berasal daripada Adam, dan Adam berasal daripada tanah. Keturunan, warna kulit serta bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik daripada yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.
Wahai umatku! Kamu berhak ke atas diri kamu dan isteri-isteri kamu dengan penuh kasih atas kamu. Perlakukanlah isteri-isteri kamu dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka atas hak Allah dan halal bagi kamu atas nama Allah. Dan beri makanlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau makan dan beri pakaianlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau berpakaian. Jika mereka melakukan kesalahan yang tidak dapat kamu maafkan maka ingatlah bahawa mereka semua adalah hamba-hamba Allah dan bukan untuk disakiti."
Nabi Muhammad s.a.w. pernah ditanya siapa yang paling berhak untuk menuntut penghormatan dan layanan terbaik daripadanya. Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu." Lelaki itu terus bertanya: "Kemudian siapa?" Baginda menjawab 'ibu' sebanyak tiga kali dan selepas itu 'bapamu'.
Kedudukan wanita selaku ibu adalah cukup tinggi dalam sistem sosial Islam. Menurut Rasulullah: "Syurga adalah di tapak kaki ibu." Allah s.w.t. turut mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya:
"Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah-payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah-payah..." (Al-Ahqaf : 15)
Mary Robinson, ketika berkhidmat selaku Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam suatu ucapannya kepada OIC turut mengakui bahawa:
"Tiada siapa boleh menafikan bahawa teras Islam adalah sebati dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang termasuk maruah, toleransi, perpaduan dan mutu. Banyak bahagian di dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad membuktikannya. Tiada siapa boleh menafikan bahawa dari sudut sejarah, tenaga revolusi Islam telah menganugerahkan hak-hak kepada wanita dan kanak-kanak jauh lebih awal daripada peradaban lain mengiktirafnya. Adat dan tradisi telah cenderung membataskan hak-hak berkenaan, tetapi dengan lebih banyak negara Islam meratifikasikan Konvensyen Menghapuskan Diskriminasi Terhadap Wanita, laluan bagi memajukan wanita ditemui dan wanitalah yang menerajui perbahasan ini. Dan tiada siapa yang boleh menafikan penerimaan pensejagatan hak asasi manusia oleh negara-negara Islam."
UIDHR dan CDHRI
Umat Islam kini memiliki dua perisytiharan hak asasi manusia. Pertama, 'Perisytiharan Sejagat Islam Mengenai Hak Asasi Manusia' (UIDHR – 1981) dan kedua, 'Perisytiharan Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam' (CDHRI – 1990).
UIDHR disusun oleh para sarjana dan alim ulama serta ahli undang-undang Islam terkemuka yang mewakili gerakan Islam. Semua yang termaktub dalam perisytiharan ini adalah berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Menurut kata pengantarnya, Islam memberi manusia suatu kod hak asasi manusia yang sempurna sejak 14 abad terdahulu. Hak-hak yang dianugerahkan kepada manusia dengan kedatangan Islam termasuklah bagi meningkatkan kemuliaan dan harga diri manusia dan membasmi eksploitasi, penindasan dan ketidakadilan. Hak asasi manusia dalam Islam adalah berlandaskan kepercayaan kepada Allah s.w.t. dan Allah sahajalah Pemberi Perundangan dan sumber segala hak asasi manusia. Oleh kerana hak asasi manusia adalah anugerah Allah, tiada pemerintah, pihak berkuasa atau kerajaan yang berhak mengurang atau mencabulinya. Setiap kerajaan dan gerakan Islam seharusnya mendaulatkan hak asasi manusia menurut Islam seperti yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t.
UIDHR ini telah mengemukakan 23 hak:
I. Hak Kehidupan
II. Hak Kebebasan
III. Hak Kesaksamaan dan Larangan Terhadap Diskriminasi yang tidak dibenarkan
IV. Hak Keadilan
V. Hak Pembicaraan yang Adil
VI. Hak Perlindungan Terhadap Penyalahgunaan Kuasa
VII. Hak Kepada Perlindungan Terhadap Penderaan
VIII. Hak Perlindungan Penghormatan dan Reputasi
IX. Hak Kepada Tempat Perlindungan
X. Hak Kaum Minoriti
XI. Hak dan Kewajipan Kepada Penyertaan Dalam Perilaku dan Pengurusan Hal Ehwal Awam
XII. Hak Kebebasan Kepercayaan, Pemikiran dan Ucapan
XIII. Hak Kebebasan Beragama
XIV. Hak Kebebasan Berpersatuan
XV. Hak Urusan Ekonomi dan Hak-hak Berkaitannya
XVI. Hak Perlindungan Pemikiran
XVII. Hak Martabat dan Maruah Para Pekerja
XVIII. Hak Penjaminan Sosial
XIX. Hak Menubuhkan Keluarga dan Perkara Berkaitannya
XX. Hak Wanita Berkahwin
XXI. Hak Pendidikan
XXII. Hak Kebersendirian atau Privasi
XXIII. Hak Kebebasan Pergerakan dan Bermastautin
CDHRI lahir di Mesir selepas Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) ke-19 pada 31 Julai hingga 4 Ogos 1990. Ia digubal selepas menteri-menteri luar para anggota OIC merestuinya bagi memperkukuhkan keazaman negara-negara Islam untuk melindungi hak-hak asasi manusia.
Matlamat CDHRI ini seperti ditegaskan adalah untuk memberi garis panduan kepada negara-negara Islam mengenai perlindungan hak asasi manusia dalam negara masing-masing. Ia menegaskan bahawa hak asasi manusia dan kebebasan sejagat adalah sebati dalam agama Islam. Ini adalah tuntutan Allah s.w.t. dan kerana itu tiada kuasa lain yang boleh menidakkannya. Perisytiharan ini turut menegaskan bahawa setiap insan bertanggungjawab terhadapnya. Pihak ummah pula harus bersatu untuk melindungi dan memajukannya.
CDHRI mengandungi 25 perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia dalam Islam:
Perkara 1 menyatakan bahawa manusia adalah satu keluarga dan semuanya saksama serta tidak boleh ada sebarang bentuk diskriminasi.
Perkara 2 menyatakan hak kehidupan dan keselamatan seseorang terjamin serta tanggungjawab pihak berkuasa menentukannya.
Perkara 3 menyatakan larangan membunuh pihak yang terlibat, orang tua, wanita dan kanak-kanak semasa berperang. Pihak yang uzur harus diberi rawatan. Turut dilarang ialah merosakkan persekitaran termasuk menebang pokok, merosakkan tanaman dan sebagainya.
Perkara 4 menyatakan hak menjaminkan nama baik dan maruah tidak dicabuli semasa hidup atau mati.
Perkara 5 menyatakan hak untuk berkahwin dan menubuhkan keluarga. Masyarakat dan kerajaan diharuskan melindungi keluarga dan kebajikan.
Perkara 6 menyatakan hak wanita adalah sama dengan lelaki dan menikmati hak-hak untuk dinikmati serta tanggungjawab. Suami bertanggungjawab menanggung keluarganya serta kebajikan.
Perkara 7 menyatakan bahawa kanak-kanak ada hak-hak sejak dilahirkan. Bayi di dalam kandungan serta ibunya harus dilindungi dan diberikan layanan khas.
Perkara 8 menyatakan bahawa setiap manusia berhak menikmati perlindungan perundangan. Jika ia gagal dalam keupayaan ini maka ia harus diwakili oleh penjaganya.
Perkara 9 menyatakan bahawa meperoleh ilmu adalah suatu tanggungjawab dan adalah tugas masyarakat dan kerajaan untuk mengadakan peruntukan berkaitan pendidikan.
Perkara 10 melarang sesiapa untuk mempengaruhi Muslim supaya menukar agamanya.
Perkara 11 melarang penghambaabdian, penjajahan atau memalukan atau menindas sesiapa pun.
Perkara 12 menyatakan hak kebebasan bergerak dan pemilihan tempat bermastautin.
Perkara 13 memberikan hak mendapatkan pekerjaan yang dipilih serta keselamatan diri di tempat kerja. Juga, tidak boleh ada diskriminasi antara wanita dan lelaki dalam urusan kerja, upah atau gaji dan lain-lain.
Perkara 14 menyatakan bahawa setiap manusia berhak mendapat keuntungan tanpa monopoli, penipuan atau penindasan. Mendapatkan riba dilarang sepenuhnya.
Perkara 15 menjamin hak untuk pemilikan asalkan ia diperoleh secara sah menurut perundangan. Sebarang harta yang diambil haruslah diberi pampasan yang setimpal dan mengikut perundangan.
Perkara 16 menjamin bahawa setiap usaha yang mendatangkan hasil atau pemilikan secara sah adalah dilindungi.
Perkara 17 menyatakan bahawa setiap manusia berhak untuk hidup dalam persekitaran yang bersih dan selamat serta penyediaan kemudahan asas dan ini adalah tanggungjawab negara untuk menyediakannya.
Perkara 18 menegaskan bahawa setiap manusia berhak untuk hidup dalam suasana yang selamat bagi dirinya, agamanya, tanggungannya dan sebagainya. Ia juga berhak menikmati privasinya serta keselamatan tempat kediamannya.
Perkara 19 menegaskan bahawa setiap individu adalah saksama di depan perundangan dan berhak mendapat keadilan. Sebarang liabiliti pula ditanggung oleh mereka yang terbabit sahaja.
Perkara 20 melarang penahanan atau membataskan pergerakan seseorang tanpa kuasa perundangan.
Perkara 21 melarang pengambilan tebusan bagi apa-apa tujuan sekalipun.
Perkara 22 menyatakan bahawa setiap manusia berhak untuk bersuara asalkan ia tidak bertentangan dengan prinsip syariah.
Perkara 23 melarang penyalahgunaan kuasa dan menegaskan bahawa setiap manusia berhak terlibat dalam pengurusan negaranya.
Perkara 24 menegaskan bahawa setiap hak dan kebebasan seperti yang termaktub dalam Perisytiharan ini adalah tertakluk kepada syariah Islam.
Perkara 25 pula memperingatkan bahawa hanya syariah Islam boleh dijadikan sumber rujukan bagi mendapatkan penjelasan atau penerangan mengenai perkara-perkara dalam CDHRI.
Sebilangan besar perkara dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia menurut Islam memiliki persamaan dengan apa yang terkandung dalam UDHR yang dimajukan oleh PBB. Ia adalah wajar kerana kesemuanya berusaha meningkatkan martabat dan kesejahteraan manusia di bumi ini.
Perbezaan yang Jelas
Perbezaan antara UDHR dengan UIDHR dan CDHRI amat jelas. Kandungan UDHR walaupun bersifat sejagat namun sekular. Perkara-perkara yang diutarakan oleh UDHR adalah tidak wajib bagi sesiapa. Ia dikuatkuasakan secara sukarela. Maka, ia tidak akan berkuasa selagi tidak disokong oleh undang-undang yang mencukupi.
Sebaliknya, UIDHR dan CDHRI adalah berasaskan Al-Quran dan Hadis. Maka, adalah wajib bagi setiap Muslim untuk menghayati dan mendaulatkannya. Ini membuktikan bahawa hak asasi manusia dalam Islam adalah asas dan semulajadinya. Bagaimanapun, selagi para pemerintah negara-negara Islam atau yang memiliki majoriti Muslim tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, maka kedua-dua perisytiharan ini akan turut senasib dengan UDHR.
Memandangkan bahawa UIDHR dan CDHRI ini digubal oleh manusia yang dikatakan pakar dalam Islam, ia tentunya berasaskan kepada bagaimana mereka mentafsir Al-Quran dan Hadis. Ini bermakna bahawa kedua-duanya masih boleh disempurnakan lagi. Namun begitu, setiap pentakrifan dan penguatkuasaannya atau penyempurnaan kedua-dua perisytiharan ini harus berpandukan hanya kepada syariah Islam.
Saranan
Memandangkan CDHRI digubal oleh OIC dan Malaysia adalah ahlinya serta pernah mempengerusikannya, maka wajarlah kerajaan kita mengguna pakainya di negara ini. Ini lebih-lebih lagi kerana Malaysia berusaha memajukan Islam Hadhari yang bersifat progresif dan cintakan keadilan serta kecemerlangan. Pihak berkuasa agama yang sedia ada di negara ini bolehlah ditugaskan untuk menguatkuasakannya.
Pergerakan Muslim di Malaysia turut disarankan supaya bersatu untuk menubuhkan suatu suruhanjaya hak asasi manusia Islam bagi memastikan bahawa hak asasi Muslim tidak dicabuli. Kini, wujud sebuah suruhanjaya hak asasi manusia Islam yang beribu pejabat di London. Ia ditubuhkan pada tahun 1997 dan bersifat selaku pertubuhan bukan kerajaan, tidak mencari untung dan bergiat bebas untuk berkempen, membela, menyiasat, memantau, membuat laporan, menghantar memorandum dan sebagainya demi mendaulatkan hak asasi manusia yang dituntut oleh Islam.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam Malaysia bolehlah bersifat dan bermatlamat seperti yang telah ditubuhkan di London. Namun begitu, ia janganlah mudah dipengaruhi oleh pihak yang ingin menyalahgunakannya. Suruhanjaya ini juga boleh bersifat sebagai badan payung atau induk ataupun gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam ataupun dibentuk daripada keahlian perseorangan atau terdiri daripada keanggotaan badan-badan serta individu-individu. Suruhanjaya ini jika ditubuhkan haruslah berusaha mengemaskini dan menyempurnakan perisytiharan hak asasi manusia menurut Al-Quran dan Hadis dengan kerjasama semua pihak yang berminat.
Penutup
Akhir kata, bagi melestarikan perjuangan mendaulatkan hak asasi manusia menurut Islam, saya mahu mengemukakan beberapa kata hikmat daripada Al-Quran. Di antaranya ialah:
"Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka,bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat." (Al-Fatihah : 5-7)
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al-Hujurat : 13)
* Kertas kerja ini telah dibentangkan pada Seminar Nasional : Hak Asasi Manusia & Hak Asasi Wanita Dalam Islam, 26-27 Mei 2007 di PWTC
Dipetik dari - Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment