Posting mengikut label

Friday, December 9, 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 3

Sambungan daripada Bahagian 1 dan Bahagian 2, sebelum ini.

2.2 Tahap Demokrasi

Antara kayu ukur yang sering digunakan apabila membincangkan tahap demokrasi sesebuah negara adalah menerusi kajian oleh badan-badan antarabangsa yang berwibawa, antaranya The Economist Intelligence Unit. Berdasarkan Democracy Index 2010: Democracy In Retreat yang diterbitkan oleh badan tersebut, sebanyak 167 buah negara telah dinilai tahap pelaksanaan demokrasi masing-masing yang terbahagi kepada empat kategori bergantung kepada ciri-ciri tertentu. Tahap demokrasi terbaik menurut kajian tersebut ialah full democracies, disusuli oleh flawed democracies, seterusnya hybrid regimes dan paling buruk ialah negara yang bersifat authoritarian regimes.

Walau bagaimanapun, Brunei merupakan salah sebuah negara yang tidak diliputi oleh kajian ini kerana dianggap termasuk di dalam kelompok negara-negara kecil. Namun demikian, dengan mengambil kira tahap demokrasi di negara-negara yang mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak seperti Qatar (tempat ke-137) dan Arab Saudi (tempat ke-160), saya menjangkakan sekiranya Brunei turut disenaraikan maka pencapaiannya juga tidak jauh berbeza dengan Qatar dan Arab Saudi iaitu sama-sama termasuk di dalam kategori authoritarian regimes1.

Selain The Economist Intelligence Unit, sebuah lagi badan antarabangsa yang menjalankan kajian berkaitan demokrasi ialah Freedom House. Menerusi kajian bertajuk Freedom in the World 2010 yang melibatkan 194 buah negara, Freedom House telah memberi rating bagi dua aspek utama yang menyumbang kepada amalan demokrasi sesebuah negara iaitu hak politik (political rights) dan kebebasan sivil (civil liberties). Gabungan rating bagi hak politik dan kebebasan sivil yang diperolehi oleh sesebuah negara akan menentukan tarafnya dalam kajian ini sama ada Bebas, Separa Bebas atau Tidak Bebas. Julat rating adalah di antara 1 (Sangat Bebas) sehingga 7 (Sangat Tidak Bebas).

Dalam kajian ini, Brunei telah diberikan rating 6 bagi hak politik dan rating 5 bagi kebebasan sivil seterusnya dikategorikan sebagai negara “Tidak Bebas”. Hasil penelitian saya terhadap laporan terperinci Freedom House mendapati bahawa Brunei diberi penarafan sedemikian disebabkan beberapa perkara yang dianggap mengekang hak politik dan kebebasan sivil.

Contohnya, ketiadaan pilihan raya bagi membolehkan rakyat mengundi bagi memilih perwakilan ke dewan legislatif, kewujudan undang-undang yang membenarkan penamatan penerbitan akhbar tanpa perlu memberi sebarang alasan, mengenakan denda dan memenjara wartawan kerana menulis artikel yang dianggap palsu dan berniat jahat, dan mengharamkan sebarang kritikan terhadap Sultan dan ideologi kebangsaan.

2.2 Tahap Pembangunan Politik

Sewaktu Brunei masih di bawah pentadbiran Britan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan 1959, rakyat diberi peluang untuk memilih sendiri wakil mereka menerusi pilihan raya. Dalam konteks perlembagaan tersebut, pilihan raya merujuk kepada pilihan raya Majlis Mesyuarat Daerah (MMD) yang menawarkan 55 kerusi. Ahli-ahli MMD seterusnya akan memilih di kalangan mereka seramai 16 orang untuk mengganggotai Majlis Mesyuarat Negeri (MMN). Sultan Omar ‘Ali kemudiannya akan melantik seramai 6 orang di kalangan 16 ahli MMN ini sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

Walau bagaimanapun, pilihan raya MMD yang sepatutnya diadakan pada September 1961 iaitu dua tahun selepas perlembagaan diisytiharkan telah ditangguhkan. Menurut Harun (2007: 59), sebab penangguhan ialah Sultan Omar ‘Ali mahu supaya Undang-Undang Taraf Kerakyatan dibereskan terlebih dahulu bagi menentukan siapa yang layak mengundi dan proses tersebut hanya dijangka selesai pada penghujung tahun 1961. Menurut Zaini (1989: 89) seorang bekas pemimpin utama PRB pula, satu lagi sebab ialah proses pembentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun beliau sendiri musykil tentang tempoh yang terlalu lama bagi menubuhkan SPR. Beliau cuma dapat membuat andaian bahawa kelewatan penubuhan SPR ada kaitan dengan persediaan lain yang belum selesai seperti Undang-Undang Taraf Kerakyatan dan Perintah Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menurut Awang Matassim (2004: 161-162), menjelang pilihan raya tahun 1962, terdapat tiga parti politik utama iaitu Parti Rakyat Brunei (PRB), Brunei National Organisation (BNO) dan Brunei United Party (BUP). Di antara ketiga-tiga parti tersebut, PRB ditubuhkan paling awal iaitu pada tahun 1956 dengan matlamat membina sebuah kesatuan negara Melayu yang kuat dan bersatu-padu, bebas daripada belenggu penjajahan yang dibentuk melalui konsep Melayu Raya yang diserapkan kepada Republik Indonesia.

Dalam erti kata lain, perjuangan PRB ialah anti persekutuan Malaysia. Dua parti lagi iaitu BNO dan BUP, yang turut dipimpin oleh bekas-bekas pemimpin PRB, masing-masing menyokong kemasukan Brunei ke dalam persekutuan Malaysia. BNO ditubuhkan pada Ogos 1960 dan mengambil sempena nama United Malays National Organisation (UMNO) di Malaya ketika itu, manakala BUP ditubuhkan pada Disember 1961.

PRB mengeksploitasi tempoh penangguhan pilihan raya dengan menganjurkan siri rapat umum bermula dari 17 Jun 1961 yang membawa kepada perhimpunan besar-besaran pada 6 Ogos 1961 (Harun 2007:59). Susulan daripada momentum yang dibina oleh PRB menerusi perhimpunan-perhimpunan tersebut menyumbang kepada kejayaannya memenangi sebanyak 54 daripada 55 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya MMD sekaligus menduduki 16 kerusi di dalam MMN. Walau bagaimanapun, kemenangan besar tersebut tidak membolehkan PRB mengambil alih kerajaan kerana tidak memiliki majoriti kerusi di MMN dan tidak mempunyai kuasa secara perlembagaan yang mengatasi kuasa Sultan Omar ‘Ali (Harun 2007: 69-70).

Berikutan beberapa peristiwa yang tidak disenangi, antaranya kecenderungan Sultan Omar ‘Ali untuk membawa Brunei menyertai persekutuan Malaysia, PRB telah melancarkan revolusi bersenjata pada 8 Disember 1962. Revolusi ini sebenarnya telah lama dirancang oleh PRB dalam usahanya menubuhkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang dianggotai oleh Brunei, Sarawak, Sabah dan Kalimantan Utara di Indonesia. Namun demikian, revolusi ini berjaya ditumpaskan dengan bantuan ketenteraan dari Britain, Malaya, Australia dan New Zealand (James & Sheil-Shall 1979: 47).

Akibat revolusi tersebut, Sultan Omar ‘Ali mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Serentak dengan perisyiharan itu juga, MMK, MMN dan MMD dibubarkan (Borneo Bulletin 1962). PRB pula telah diharamkan penubuhannya pada 10 Disember 1962 (Utusan Melayu 1962).

Sehingga ke hari ini, Brunei terus berada di bawah Undang-Undang Darurat menyebabkan pilihan raya a la tahun 1962 tidak pernah diadakan lagi. Oleh sebab itu, parti-parti politik pasca-Revolusi 8 Disember 1962 tidak dapat berfungsi sebagai sebuah parti politik yang sebenar sebagaimana lazim dalam sistem demokrasi. Ketiadaan pilihan raya yang dapat disertai mengakibatkan peranan mereka tidak ada bezanya dengan badan bukan kerajaan. Ini ditambah pula dengan larangan terhadap penjawat awam daripada menjadi ahli mana-mana parti politik. Disebabkan bilangan rakyat yang menjadi penjawat awam kira-kira 70 peratus, larangan ini nyata memberi kesan yang mendalam kepada survival parti politik di Brunei.

Secara ringkas, sistem yang diguna pakai di Brunei itu sendiri tidak mengalu-alukan kewujudan mereka. Contohnya, Pendaftar Pertubuhan telah mengharamkan Parti Kesedaran Rakyat Brunei (PAKAR) dan pada masa yang sama memaksa presiden Parti Perpaduan Kebangsaan Brunei (PPKB) untuk meletak jawatan. PPKB kemudiannya telah diharamkan tanpa sebarang penjelasan pada tahun 2008.

Oleh yang demikian, satu-satunya parti yang masih wujud sehingga kini ialah National Development Party (NDP) yang diketuai oleh bekas tahanan politik. NDP diluluskan pendaftarannya pada tahun 2005 selepas berikrar untuk menjadi sahabat kepada kerajaan dan taat setia kepada Sultan. Fakta ini dibuktikan hasil semakan terhadap salah satu misi yang dipaparkan di laman webnya,
“Pewaris Takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam:
Mempertahankan Kedudukan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya.”

Parti-parti politik di Brunei seakan-akan mendapat suntikan semangat baru pada tahun 2004. MMN dihidupkan semula secara rasmi pada 25 September 2004 susulan titah Sultan sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 15 Julai 2004 (Horton 2004: 181, Muhammad Hadi 2007: 23). MMN ditukar sedikit namanya kepada Majlis Mesyuarat Negara dan bertanggungjawab menjalankan fungsi-fungsi berikut:

(i) Merundingkan dan meluluskan undang-undang; dan

(ii) Mengenakan sekatan-sekatan kewangan, dan meneliti polisi-polisi Kerajaan dan lain-lain perkara berkaitan dengan perjalanan Majlis Mesyuarat Negara.

(Sumber: majlis-mesyuarat.gov.bn/majlismnegara.htm)

Seperti maklumat yang tercatat pada laman web sama, MMN ini terdiri daripada seorang Yang Di-Pertua selaku Speaker iaitu anggota kerabat diraja yang dinamakan oleh Sultan. Keahlian MMN ditingkatkan daripada 33 kepada seramai 45 orang; 30 daripadanya merupakan lantikan Sultan dan terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet, Peguam Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ahli perniagaan terkemuka dan pemimpin masyarakat. Kesemua ahli terdiri daripada lelaki dan hanya seorang bukan beragama Islam. Baki 15 ahli lagi akan dipilih melalui pilihan raya MMD bagi mewakili daerah Brunei-Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Walau bagaimanapun, harapan tinggi parti-parti politik di Brunei untuk turut sama dalam pilihan raya MMD tidak kesampaian kerana melalui persidangan MMN pada September 2005, Sultan telah menitahkan pula bahawa bilangan keahlian hanya setakat 29 ahli termasuk 5 ahli yang dipilih secara tidak langsung bagi mewakili MMD. Sultan bertitah bahawa pilihan raya MMD akan diadakan pada tarikh yang tidak ditetapkan apabila ”infrastruktur telah tersedia” (Horton 2004: 181).

Pada masa ini, satu-satunya ruang yang ada pada rakyat untuk memilih sendiri pemimpin mereka secara langsung hanya menerusi pemilihan ketua kampung di daerah masing-masing. Ketua kampung ini akan berperanan menyampaikan hasrat penduduk menerusi beberapa saluran, antaranya mesyuarat berkala yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri bersama pegawai-pegawai lantikan Sultan. Menerusi kaedah pemilihan terbaru yang diperkenalkan pada tahun 1992, ketua kampung dipilih melalui undian yang dibuat secara rahsia semasa perjumpaan yang dihadiri oleh golongan dewasa yang layak mengundi. Sekali terpilih, seseorang ketua kampung akan berkhidmat seumur hidup.

Malangnya, ruang pemilihan pada tahap ini pun masih disempitkan oleh kerajaan. Buktinya, seperti tercatat dalam laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh 31 Januari 1994 bertajuk Brunei Human Rights Practices 1993, sekali lagi penglibatan parti politik disekat kerana salah satu syarat untuk menjadi calon ketua kampung ialah tidak mempunyai sejarah penglibatan dengan mana-mana parti politik. Dengan bentuk kekangan sebegini, parti politik tidak mempunyai peluang langsung untuk mencalonkan wakil mereka sekaligus tidak berpeluang bersemuka dengan pihak kerajaan sebagai wakil rasmi rakyat.

No comments: