Posting mengikut label

Monday, December 12, 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 5 (Akhir)

Penutup kepada siri artikel, ikuti Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3 dan Bahagian 4 sebelum ini. Segala penulisan adalah bersumber dari adamghedodin.blogspot.com dengan sedikit penyusunan semula.

-------------------------------------------------------------------------

3.2.1 Rentier Effect 1: Taxation Effect

Apabila kerajaan mendapat hasil jualan minyak yang mencukupi, kadar cukai yang akan dikenakan oleh kerajaan akan dikurangkan atau ditiadakan langsung. Langkah ini bertujuan menutup ruang-ruang demokrasi iaitu mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menuntut pertanggungjawaban daripada kerajaan. Langkah ini juga berfungsi mengendurkan tuntutan rakyat untuk mempunyai perwakilan dalam kerajaan.

Dalam konteks Brunei, taxation effect dipraktikkan dengan cara mengecualikan rakyat daripada cukai pendapatan individu, dan cukai-cukai lain seperti cukai eksport, jualan, gaji dan pembuatan. Kadar cukai jalan bagi kenderaan pula ialah B$4.50 bagi setiap 100 cc manakala duti import tidak dikenakan bagi sebarang jenis kenderaan.

Bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS), cukai pendapatan korporat telah dikurangkan dari 23.5 peratus kepada 22 peratus pada tahun 2011. Bagi pioneer industries pula iaitu penglibatan syarikat korporat dalam bidang-bidang tertentu yang diiktiraf oleh kerajaan Brunei menerusi Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama sebagai kritikal, pengecualian cukai bergantung kepada jumlah pelaburan modal.

3.2.2 Rentier Effect 2: Spending Effect

Menurut Ross (2001: 333) lagi, kerajaan akan menggunakan hasil minyak untuk meningkatkan perbelanjaan bagi tujuan memberi naungan (spending on patronage). Seperti juga taxation effect, pelaksanaan spending effect juga bertujuan melunturkan desakan rakyat yang mahukan kerajaan membuka lebih banyak ruang demokrasi.

Dalam konteks Brunei, kerajaan memberi pelbagai insentif menerusi skim perlindungan sosial kepada rakyat sama ada yang bertaraf warganegara mahupun penduduk tetap (permanent resident). Menurut Sainah (2009:134), insentif terpenting melibatkan sistem pendidikan, kediaman, sistem kesihatan, faedah persaraan, dan pencen untuk golongan uzur dan kurang upaya seperti berikut:

(i) Sistem Pendidikan

Berdasarkan artikel Sainah (2009: 138), kerajaan Brunei menyediakan pendidikan percuma bagi peringkat sekolah rendah dan menengah. Biasiswa penuh pula diberikan kepada pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat universiti. Dari segi angka, sebagai contoh daripada sejumlah $B4.5 billion bagi Kumpulan Wang Yang Disatukan Bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2006/2007 yang diluluskan oleh MMN, sebanyak B$700 juta disalurkan untuk butiran pendidikan (Muhammad Hadi 2007: 103-104).

(ii) Penyediaan Kediaman

Skim Perumahan Negara telah diwujudkan oleh kerajaan sejak pertengahan tahun 1970-an bagi memastikan semua rakyat memiliki kediaman sendiri. Menurut Sainah (2009: 139), semua warganegara Brunei yang berusia 18 tahun ke atas layak dipertimbangkan untuk Skim Perumahan Negara tertakluk kepada latar belakang keluarga.

Bagi menjayakan skim ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN). Misalnya, menerusi Rancangan Kemajuan Negara Kelapan (RKN Ke-8), skim tersebut telah diperuntukkan sebanyak B$82 juta (Muhammad Hadi 2007: 103).

Di bawah skim tersebut, sebanyak 6 ribu unit rumah baru telah dibina dalam tempoh 1972-2009. Usaha ini digerakkan menerusi dua skim iaitu skim perumahan untuk rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri dan juga skim penempatan semula. Bermula dari tahun 2000 pula, pinjaman perumahan tanpa faedah ditawarkan.

Warganegara yang berpendapatan rendah akan diberikan rumah kos rendah dilengkapi kemudahan infrastruktur yang diberi subsidi sepenuhnya oleh kerajaan dengan tempoh pajakan selama 99 tahun. Bagi warganegara yang lebih berkemampuan pula, mereka ditawarkan sebidang tanah berharga B$13 ribu dan boleh dipindah milik kepada waris terdekat. (Sainah 2009: 139).

(iii) Sistem Kesihatan

Seperti bidang-bidang lain, kerajaan juga memperuntukkan dana yang besar bagi memantapkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Misalnya, sejumlah B$111.6 juta disalurkan untuk perubatan dan kesihatan menerusi Belanjawan Tahun 2011/2012. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diberi secara percuma sama ada kepada warganegara mahupun penduduk tetap.

Walau bagaimanapun, warganegara mendapat lebih keistimewaan berbanding penduduk tetap kerana sekiranya mereka memerlukan rawatan pakar di luar negara (Malaysia atau Singapura), kos rawatan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan (Muhammad Hadi 2007: 104-105).

(iv) Faedah Persaraan

a. Supplemental Contributory Pension (SCP)
Selain SCP, terdapat juga faedah-faedah persaraan lain seperti Faedah Langsung dan Tabung Amanah Pekerja (TAP). Walau bagaimanapun, bagi maksud penulisan ini saya berpendapat adalah memadai untuk memperincikan SCP sahaja sebagai contoh faedah persaraan yang diberikan oleh kerajaan Brunei kepada rakyatnya.

Berdasarkan Surat Pekeliling Kementerian Kewangan Bil. 1/2009 Negara Brunei Darussalam, berkuatkuasa pada 1 Januari 2010 SCP dilaksanakan sebagai skim caruman tambahan kepada TAP. Menerusi SCP, semua peserta yang mencarum akan menerima sekurang-kurangnya B$150 sebulan apabila telah mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun.

Kadar caruman bulanan minimum ialah 3.5 peratus bagi peserta dan 3.5 peratus juga bagi majikan. Jumlah caruman sebanyak 7 peratus sebulan akan disalurkan kepada akaun peserta (6 peratus) dan pembayaran perlindungan survivorship (1 peratus). Peserta perlu mencarum secara konsisten selama sekurang-kurangnya 35 tahun bagi melayakkan mereka menerima manfaat SCP.

Bagi peserta dalam sektor informal pula, mereka dimestikan mencarum sekurang-kurangnya B$17.50 sebulan dan amaun yang sama akan ditampung oleh kerajaan menjadikan jumlah terkumpul caruman mereka setiap bulan sekurang-kurangnya $B35.00.

(v) Pencen Untuk Golongan Uzur dan Kurang Upaya

a. Old Age Pension (OAP)
Selaras dengan peruntukan di bawah Old Age, Disability and Survivorship Act 1954 (Revised 1992), setiap rakyat Brunei akan menerima elaun bulanan sebanyak $B150 apabila mencapai umur persaraan mandatori iaitu 60 tahun. Insentif ini turut dinikmati oleh Sultan sejak ulang tahun keputeraan baginda yang ke-60 pada tahun 2006 (Muhammad Hadi 2007: 110).

b. Bayaran Pencen Kurang Upaya
Terdapat juga bayaran pencen khas bagi golongan kurang penglihatan, ibu tunggal, anak yatim, dan orang kurang upaya. Mereka yang telah diperakukan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat akan menerima sebanyak B$250 setiap bulan tanpa perlu membuat caruman (Sainah 2009: 147).

4. KESIMPULAN

Setakat ini, berdasarkan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Brunei di bawah sistem monarki sedia ada, pada pengamatan saya legitimasi akan terus mendominasi pembangunan politik di Brunei. Legitimasi juga bertambah kukuh disebabkan rakyat terlalu menyanjungi dan menghormati Sultan walaupun ironinya mereka sepatutnya bersikap kritis terhadap gaya hidup bermewah-mewahan Sultan dan kaum kerabatnya sedangkan masih ramai rakyat berada dalam kancah kemiskinan.

Walau bagaimanapun, saya meramalkan amalan demokrasi yang lebih terbuka akan beransur-ansur bukan sahaja menjadi ancaman bahkan menjadi alternatif kepada legitimasi dalam konteks pembangunan politik sekiranya hasil minyak Brunei semakin merosot dan menjejaskan belanjawan negara.

Hal ini disebabkan ekonomi Brunei sangat bergantung kepada hasil minyak yang kemudian dioptimumkan untuk melaksanakan polisi-polisi mekanisme penyebab rentier effect bertujuan mencegah desakan rakyat supaya kerajaan membuka lebih banyak ruang demokrasi.

Perkembangan terkini menunjukkan jangkaan saya itu berpotensi menjadi kenyataan sebagaimana diakui sendiri oleh Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2011) Perbekalan 2011/2012 pada hari kedua Majlis Mesyuarat Negara 2011.

Menurut beliau, kesan positif daripada kenaikan harga minyak dunia tahun 2010 masih terhad disebabkan kadar pengeluaran minyak negara yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya di samping kos pengeluaran minyak yang semakin meningkat dan juga nilai mata wang Dollar Amerika Syarikat yang semakin menurun.

Apabila nantinya hasil minyak Brunei semakin merosot sehingga menjejaskan belanjawan negara, rakyat akan menerima kesan langsung kerana semua keistimewaan dalam bentuk subsidi, elaun khas, pengecualian cukai pendapatan individu, pengecualian duti import kenderaan dan pelbagai faedah lain yang dinikmati sekarang akan dikaji dan distruktur semula oleh kerajaan.

Saya berkeyakinan bahawa rakyat Brunei yang pada masa itu mula merasai bebanan ekonomi sebagaimana dialami rakyat Malaysia sekarang akan semakin lantang menuntut sesuatu daripada kerajaan sebagai ‘pampasan’ kepada kesulitan hidup mereka.

Dari kaca mata saya, pampasan yang dikehendaki tidak semestinya berbentuk faedah nyata, bahkan jauh lebih penting adalah menuntut pertanggungjawaban daripada Sultan, sekurang-kurangnya baginda perlu turut serta membentang dan mempertahankan polisi-polisi kerajaan semasa sidang MMN. Ketika itu, Brunei berada di landasan yang betul ke arah sebuah negara demokrasi.

No comments: