Posting mengikut label

Friday, December 2, 2011

Khutbah Jumaat, 2 Disember 2011

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya menyeru kepada sidang jemaah sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan penuh keyakinan, iaitu dengan melaksanakan segala perintahNya dan meningggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita akan tergolong di kalangan hambaNya yang mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak dapat lari daripada menerima qada’ dan qadar Allah SWT. Musibah, ujian, kesusahan, kesulitan dan sebagainya merupakan asam garam kehidupan seseorang manusia.

Walaupun kadang kala ia menyebabkan seseorang berputus asa dan ada pula yang sanggup membunuh diri dan sebagainya, hasil daripada kekecewaan yang menimpa mereka.

Namun bagi umat Islam yang beriman dan yakin dengan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T, semua rintangan hidup yang dihadapi itu merupakan ujian dan tanda kasih sayang Allah S.W.T terhadap hambaNya.

Persoalannya, apakah kita yang selama ini mengaku menjadi hamba Allah telah berjaya menghadapi segala ujian Ilahi? Ataupun gelaran tersebut hanya untuk menyedapkan hati kita sahaja untuk melayari pancaroba kehidupan ini tanpa perlu dibeban dengan ujian dan musibah?

Apakah kita perlu lagi diuji sedangkan kita saban hari mengerjakan amal ibadat, berulang alik ke masjid untuk solat berjemaah, bersedekah di sana sini, menunaikan umrah dan haji? Jika begitu, sama-samalah kita kembali untuk merenungi semula diri masing-masing akan janji Allah bagi sesiapa yang ingin menepati syarat utama bergelar hambaNya seperti dalam surah al-Baqarah ayat 155:
Bermaksud:
“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Berpandukan ayat yang dibacakan sebentar tadi, jelaslah kepada kita bahawa sifat sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua musibah amat perlu kepada seorang hamba Allah S.W.T. Sifat-sifat tersebut akan membolehkan kita menjadi orang yang redha terhadap qada’ dan qadar Allah S.W.T, bahkan ia boleh mengelakkan diri daripada perasaan marah, kecewa, putus asa dan resah gelisah dalam menghadapi musibah.

Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahit atau sakitnya menekan perasaan. Oleh itu, sabar amat diperlukan dalam situasi sebegini. Tidak semua orang mampu bersabar, lantaran itu sikap sabar dianggap tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji.

Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi katanya: “Bala dan ujian adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, dengan redha dan bersabar.”

Jika diisingkap kembali lipatan sejarah, kita dapati bahawa Rasulullah S.A.W sendiri yang merupakan kekasih Allah S.W.T turut diuji dengan pelbagai ujian. Ini termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya.

Begitu juga dengan para rasul lain khususnya mereka yang bergelar ulul azmi diuji dengan pelbagai ujian. Nabi Ibrahim pernah dibakar oleh namrud dan Nabi Musa dihalau dan diburu oleh firaun.

Justeru, para nabi pun diuji dengan pelbagai ujian, apatah lagi kita ini yang sering tersasar dari landasan kebenaran dengan dosa dan maksiat yang tidak terkira!

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita melihat apa yang berlaku kepada dunia ketika ini. Walaupun mungkin musibah atau bala bencana itu tidak sampai ke negara kita, tetapi adakah kita patut berasa aman dan selamat? Apakah lebihnya kita berbanding mereka sehingga kini masih terpelihara dari sebarang bencana? Adakah kita telah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya?.

Begitu juga, rentetan kejadian banjir dahsyat yang meragut banyak nyawa dan mengalami kerugian harta benda berbilion ringgit sejak kebelangan ini melibatkan negara-negara seperti Pakistan, India, China, Bangladesh dan yang terkini negara jiran terdekat kita iaitu Thailand, wajar dijadikan iktibar dan pengajaran.

Marilah kita sedar bahawa amaran ini pernah dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-A’araf ayat 97 hingga 99:
Bermaksud:
“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?Atau Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada Yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) Yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang Yang rugi.”

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling kita sejak akhir-akhir ini seperti gempa bumi, peperangan dan kekacauan, penyebaran penyakit berjangkit dan pelbagai lagi musibah merupakan peringatan dan amaran jelas daripada Allah S.W.T apabila manusia melakukan kerosakan, terlibat dengan kemungkaran dan ia juga merupakan antara tanda-tanda Kiamat.

Suatu peringatan dari Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud:
“Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah”.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza.
Pertama: Bagi mereka yang terselamat dari bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan dalam bentuk kasih
sayang daripada Allah S.W.T agar mereka kembali kepada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa daripada Allah S.W.T disebabkan oleh
kekufuran dan kederhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.
Ketiga: Bencana juga bertujuan untuk mengukur tahap keimanan seseorang terhadap Allah S.W.T.

Begitulah hakikat sebenar kita sebagi hamba Allah. Ujian dan musibah adalah tanda rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T kepada kita. Maka bersegeralah bertaubat agar kehidupan yang seketika ini dapat dipergunakan sebaik mungkin. Jangan biarkan diri kita dimurkai dan dicela Allah SWT kerana kedegilan kita memohon taubat atas kesalahan yang dibuat.

Ingatlah bahawa kasih sayang Allah S.W.T amat luas untuk diperkatakan. Walaupun banyak bala bencana yang diturunkan ke alam ini, namun Allah SWT tidak mencabut semua nikmat yang diberikanNya. Masih ada sinar harapan buat kita mendakap cinta dan rahmat Allah yang tidak pernah pudar sepertimana pudarnya cinta si kekasih apabila ditinggal pergi!

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pada hari ini ialah:
Pertama: Rahmat Allah terlalu luas untuk hambanya yang disayangi.
Kedua: Ujian dan musibah yang berlaku kepada manusia memberi mesej bahawa Allah sayang hambanya.
Ketiga: Bersegeralah kembali ke jalan Ilahi dengan meninggalkan maksiat dan noda.

Firman Allah S.W.T dalam surah ar-Ruum ayat 41:
Bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”


Petikan khutbah Jumaat, masjid-masjid Wilayah Persekutuan Malaysia.

Peringatan dari mimbar masjid yang wajar menjadi renungan.
Moga-moga memberi faedah dan manfaat kepada pembaca RumpunSuara.

No comments: