Posting mengikut label

Thursday, December 8, 2011

BRUNEI: Legitimasi, Demokrasi dan Pembangunan Politik - Bahagian 2

Sambungan dari Bahagian 1.

1.3 Pembangunan Politik

Leefers (2004: 1) menerusi The Course of Political Development in Uganda and Its Effect on Economic Development menyebut bahawa pada kebiasaannya pembangunan politik didefinisikan sebagai pergerakan ke arah sistem yang lebih bersifat demokrasi liberal berasaskan pilihan raya yang bebas dan adil, dan perlidungan hak-hak sivil rakyat. Laluan ke arah pembangunan politik lazimnya sukar untuk dijelaskan kerana setiap negara mempunyai sejarah dan kaedahnya yang tersendiri bagi mencapai matlamat tersebut.

Ramai di kalangan sarjana Barat mencadangkan supaya negara mengukuhkan institusi-institusi yang berperanan mempromosikan demokrasi, mengadakan pilihan raya dan mengamalkan sistem pelbagai parti. Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah negara dalam usahanya melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjana Barat ini masih diperdebatkan.

Huntington (1965: 387-388) menjelaskan pembangunan politik selalu dikaitkan dengan pemodenan masyarakat. Sesuai dengan definisi tersebut, empat kategori pembangunan politik telah diutarakan iaitu rasionalisasi, nasionalisme dan integrasi nasional, pendemokrasian, dan mobilisasi atau penglibatan. Di antara keempat-empat kategori ini, mobilisasi yang selalu diberi penekanan. Hujah Huntington, “pemodenan bererti mobilisasi besar-besaran, mobilisasi besar-besaran bererti peningkatan penyertaan politik, dan peningkatan penyertaan politik ialah kunci kepada pembangunan politik”.

1.4 Aspek Positif & Negatif Legitimasi dan Demokrasi

Sama ada legitimasi atau demokrasi, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri. Yu Keping (2009: 3) dalam buku beliau Democracy is a Good Thing: Essays on Politics, Society, and Culture in Contemporary China mengakui hakikat ini. Pada beliau, demokrasi menyebabkan seseorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat bertindak dengan lebih berhati-hati kerana pemimpin tersebut diangkat ke kedudukannya setelah dipilih dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Yu (2009: 3) turut memberikan beberapa contoh bagaimana demokrasi juga mempunyai sisi negatif. Antara lain, menurut beliau demokrasi boleh membawa kepada ketidakstabilan politik di sesebuah negara kerana rakyat dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan dan berdemonstrasi di jalan raya. Demokrasi juga boleh menyebabkan proses pembuatan keputusan menjadi sangat birokratik dan lambat sekaligus mengurangkan kecekapan pentadbiran. Ujar beliau lagi, hal ini disebabkan demokrasi mengehendaki perundingan dan perbincangan dilakukan berulang-kali sehingga keputusan akhir dapat dicapai.

Awang Mohd. Jamil Al-Sufri (2008) pula menepis tanggapan umum dalam politik dunia bahawa negara yang tidak mengamalkan demokrasi merupakan negara yang bersifat diktator dan tidak menghiraukan kepentingan orang ramai. Merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen, beliau membawakan perspektif Islam bahawa sistem demokrasi cenderung untuk mengangkat suara majoriti dalam pembuatan sesuatu keputusan walaupun keputusan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, suara minoriti walaupun mewakili kebenaran tidak akan mendapat tempat dalam sistem demokrasi.

Sesetengah pihak pula berpendapat legitimasi lebih berupaya membawa kestabilan politik kepada sesebuah negara berbanding demokrasi. Menurut Leake, Jr. (1990: 77), semasa Sultan Brunei ditemubual oleh majalah Newsweek, sejurus selepas kemerdekaan Brunei pada tahun 1984, sama ada baginda akan membenarkan semula kebebasan berpolitik, baginda bertitah:
“We have tried it. We had elections before 1962 and we had a few political parties, but people competed against each other and chaos resulted.”

2. KAJIAN KES DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM: AMALAN LEGITIMASI, TAHAP DEMOKRASI & TAHAP PEMBANGUNAN POLITIK

2.1 Amalan Legitimasi

Negara Brunei Darussalam (selepas ini disebut sebagai Brunei) merupakan sebuah negara yang terletak di rantau Asia Tenggara dengan keluasan 5,765 kilometer persegi. Menurut data yang dipaparkan di laman sesawang Brunei Tourism, setakat tahun 2007 penduduk Brunei dianggarkan sejumlah 390 ribu orang terdiri daripada kaum Melayu (259,600), Cina (43,100) dan kaum-kaum lain seramai 87,300. Bancian terkini yang akan dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Brunei dari 20 Jun 2011 sehingga 3 Julai 2011 menjangkakan penduduk Brunei akan mencecah 400 ribu. Brunei berada di bawah pentabiran Britain sebelum mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Pada masa ini, Brunei diperintah oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (selepas ini dirujuk sebagai Sultan) yang menggantikan ayahanda baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (selepas ini disebut Sultan Omar ‘Ali) yang turun takhta secara sukarela pada malam 4 Oktober 1967 bagi memberi laluan kepada anakandanya yang baru berusia 22 tahun ketika itu (Harun 2007: 169, Awang Mohd. Jamil Al-Sufri 1987: 20). Pengkaji berbeza pandangan tentang salasilah Sultan, ada yang mengatakan bahawa Sultan merupakan keturunan ke-29 (Saunders 1994:43) manakala ada yang mendakwa Sultan merupakan keturunan ke-30 (Bala 2005:178) dengan mengambil kira Sultan Abdul Majid Hassan, seorang sultan zaman purba Brunei ke dalam salasilah kesultanan Brunei. Namun demikian, kesemua pengkaji sependapat bahawa kesultanan Brunei bermula dari zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah walaupun mereka tidak mencapai kata sepakat berhubung kurun dan tahun permulaan kesultanan yang tepat.

Dari segi sistem politik, secara teorinya menurut Harun Abdul Majid (2007: 1) Brunei merupakan negara kesultanan berperlembagaan manakala dari segi realitinya mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak (absolute monarchy). Sultan turut menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan sambil dibantu oleh jemaah menteri yang lain.

No comments: