Posting mengikut label

Thursday, November 28, 2013

Taklimat Hukum Kanun Syariah diteruskan elak kekeliruan orang ramai


Oleh:  Khartini Hamir

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 November. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Unit Latihan, mengadakan Taklimat Hukum Kanun Syariah yang diadakan di Bilik Pehin Orang Kaya Shahbandar, jabatan berkenaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat mendengarkan taklimat berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Azman bin Haji Abdul Rahim, berserta para pegawai dari JPM dan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei.

Taklimat tersebut diadakan memandangkan  akan pentingnya kefahaman yang jelas mengenai undang-undang syariah, di mana ianya  dihasratkan akan dapat mengelakkan ketidakfahaman atau kekeliruan orang ramai mengenai prosedur dan pelaksanaan undang-undang tersebut .

Penolong Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dk. Jauyah binti Pg. Haji Mohd. Zaini telah diundang khas bagi menyampaikan sesi taklimat berkenaan yang antara lain membincangkan dan mengetengahkan mengenai prosedur-prosedur, perintah-perintah, kanun-kanun dan undang-undang pelaksanaan jenayah syariah yang akan dilaksanakan.

Beliau juga menjelaskan Perintah-perintah dan Kanun-kanun Jenayah Syariah tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melalui tiga fasa iaitu Fasa Pertama, enam bulan selepas ianya diwartakan, semua kesalahan dalam Bahagian IV Penggal IV Kesalahan-Kesalahan Am akan dikuatkuasakan kecuali yang mengenakan hukuman sebat atau mati.

Sementara pada Fasa Kedua selepas 12 bulan diwartakan semua kesalahan yang mengenakan hukuman Hadd, Diyat, Arsy dan Badal al-sulh akan dikuatkuasakan kecuali kesalahan yang mengenakan hukuman mati.

Manakala di Fasa Ketiga ujarnya, setelah 24 bulan dari Perintah Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 akan dikuatkuasakan sepenuhnya termasuk kesalahan yang mengenakan hukuman mati.

Dalam pada itu, beliau juga turut menerangkan beberapa perkara yang berkaitan antaranya mengenai bahagian-bahagian dan penggal-penggal tertentu pada Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 antaranya di Bahagian I – Permulaan iaitu khusus kepada pengenalan perintah bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam dan bukan Islam, kesalahan-kesalahan yang dilakukan di dalam dan di luar Negara Brunei Darussalam, dan perbicaraan kesalahan-kesalahan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Manakala di Bahagian II – Kecualian Am, adalah keadaan-keadaan di mana orang yang melakukan sesuatu kesalahan di bawah perintah ini tidak dikenakan hukuman atau akan diringankan hukuman atas sebab-sebab tertentu seperti tidak sempurna akal, bukan mukallaf, mempertahankan diri, dan perbuatan-perbuatan salah yang dilakukan dengan suci hati untuk menghindarkan mudarat yang lebih besar kepada orang lain.

Sementara di Bahagian III – Subahat yang bermaksud menghasut, mengambil bahagian, membantu seseorang melakukan jenayah serta berpakat jahat, pada amnya hukumannya adalah sama dengan orang yang melakukan kesalahan tersebut, kecuali bagi kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas, Diyat atau Arsy.

Di Bahagian IV – Kesalahan-Kesalahan pula terbahagi kepada lima penggal iaitu Penggal I bagi kesalahan yang dikenakan hukuman “Hadd” iaitu hukuman atau seksaan yang ditetapkan oleh Al-Qur’an atau sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi kesalahan Sariqah, Hirabah, Zina, Qazaf, dan meminum minuman yang memabukkan, sementara Irtidad termasuk Liwat dan Zina bil-jabar, Penggal II ialah Kesalahan Qatl dan Kecederaan yang dikenakan hukuman Qisas, Diyat, Badal al-sulh, Arsy dan kesalahan subahat serta percubaan bagi kesalahan-kesalahan tersebut dan Penggal III iaitu Menarik Balik Syahadah yang boleh dikenakan hukuman denda, penjara, sebat, Diyat, Arsy, ganti rugi atau mati sebagai qisas menurut kesalahan yang mana syahadahnya ditarik balik oleh syahid.

Di Penggal IV bagi Kesalahan-Kesalahan Am ini adalah kesalahan-kesalahan yang mana hukumannya tidak ditetapkan secara terperinci di dalam Al-Qur’an dan sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Ta’zir. Ketentuan Ta’zir adalah antara yang ditetapkan oleh pemerintah, selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syara’, dan pada Penggal V iaitu Am, adalah bagi seseorang yang telah dibicarakan atas kesalahan yang dilakukan di bawah perintah ini tidak akan dibicarakan lagi mengenai kesalahan yang sama atau serupa di bawah Kanun Hukuman Jenayah Syariah (Penggal 22).

Dari itu jelasnya, mahkamah hendaklah merujuk kepada hukum syara’, jika tiada peruntukan yang nyata di dalam perintah ini, sementara Pemansuhan beberapa bab di dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) kerana telah digantikan oleh perintah ini dan Jadual-jadual: Skrip bahasa Arab, jenis-jenis kecederaan dan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama selain agama Islam dan ungkapan-ungkapan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam berkaitan dengan agama selain dari agama Islam.

Perkara-perkara yang lain yang turut dibincangkan dan diketengahkan ialah mengenai kaedah pembuktian kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat ikrar bagi kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat tambahan ikrar bagi kesalahan zina yang dikenakan hukuman Hadd, penerimaan ikrar, syarat-syarat syahid bagi kesalahan yang dikenakan hukuman Hadd, Qisas atau Diyat, syarat-syarat Muzakki, juga termasuk ialah antara kesalahan am yang dikenakan hukuman Qisas, Diyat atau Badal al-sulh, Arsy bagi kesalahan qatl atau kecederaan dan hukuman Hadd dan Irtidad.

Inisiatif taklimat seumpama ini antara lain sebagai usaha jabatan dalam mendukung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Negara Brunei Darussalam.

Selain aktiviti sedemikian adalah sebahagian daripada fungsi Jabatan Penerangan yang berperanan penting untuk membarigakan maklumat berkenaan sesuai dengan fungsi dan tugas jabatan tersebut dalam menyebarluaskan aktiviti dan program-program kerajaan.

Juga hadir sama ialah para pegawai dan kakitangan yang mewakili bahagian-bahagian di Jabatan Penerangan dan pegawai-pegawai dari cawangan-cawangan Jabatan Penerangan di keempat-empat daerah.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: