KDYMM berkenan mengurniakan titah pada sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-8 |
Oleh: Khartini Hamir
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 November. - Para belia di seluruh dunia masa kini terus berhadapan dengan pelbagai cabaran, di antaranya dalam persaingan untuk mendapatkan pekerjaan.
Isu pengangguran, jika tidak ditangani secara bersepadu, akan mungkin saja menyebabkan kestabilan sesebuah negara turut tergugat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-8, 2013, berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini pagi tadi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, menurut jangkaan daripada pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 2009, jumlah pengangguran belia adalah 76 juta dan itu adalah sebelum krisis kewangan melanda dunia.
Anggaran berkenaan Kebawah DYMM menambah, menurun kepada 72 juta sebaik sahaja ekonomi kembali pulih pada tahun 2011, walau bagaimanapun jumlah pengangguran di kalangan belia adalah dijangka meningkat pada tahun ini kepada 73 juta.
“Negara kita tidak terkecuali dari mengalami perkara yang sama, di mana seramai lebih kurang 18 ribu belia adalah dalam kategori mencari pekerjaan,” titah baginda.
Menyedari akan hakikat itu baginda menjelaskan, kerajaan melalui badan khas, akan terus mengambil langkah-langkah perlu bagi menangani perkara ini antaranya, akan terus melengkapkan para belia dengan ilmu dan kemahiran.
Baginda sangat gembira kerana sekolah-sekolah vokasional, baik yang di pihak kerajaan mahupun swasta, telah banyak menawarkan pelbagai bidang kemahiran untuk diteroka oleh para belia.
Namun begitu, tegas baginda, cabaran lain juga sedia menunggu iaitu terdapatnya ketidaksepadanan atau ‘mismatch’ dalam pasaran buruh, dari aspek pembekalan (supply) dengan permintaan (demand) yang juga banyak menyumbang kepada terjadinya pengangguran.
Kerana itu, baginda menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk meningkatkan lagi usaha dan strategi dalam kerjasama membangun kapasiti para belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif, bagi memperkesankan lagi langkah menangani masalah pengangguran.
Dalam waktu yang sama, titah baginda menekankan, para belia perlu menukar pemikiran (mindset) ke arah perubahan sikap, di mana mereka tidak akan terlalu bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan, dan para belia semestinya lebih bersedia untuk merebut peluang di sektor swasta dan di bidang keusahawanan.
Di samping itu, baginda tertarik dengan tema Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Belia Menuju Wawasan’ yang sewajarnya mempunyai jati diri yang kental, berakhlak mulia serta bertanggungjawab dan ‘Belia Menuju Wawasan’ selayaknya mempunyai sikap dan pendirian yang teguh dalam mendukung semua usaha yang baik.
“Ke arah menuju wawasan negara, golongan belia perlulah peka dengan cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh keadaan sekeliling, khususnya mereka perlu menyedari, bahawa budaya terlalu suka berseronok adalah berpotensi membawa kepada keruntuhan,” tegas baginda.
Selain itu, baginda menekankan bahawa kita sedang bergerak ke arah pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syari’ah dan seterusnya berharap para belia tidak ketinggalan untuk mendukungnya.
“Kewajipan mereka juga termasuk, untuk memahami dan mendalami serta mengetahui pengertian-pengertian yang terkandung di dalamnya. Dengan demikian itu, para belia akan menjadi golongan yang lebih matang” titah baginda lagi.
Dalam bidang kerja-kerja sukarelawan, baginda sungguh berbangga kerana ramai para belia kita terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan, baik di dalam mahupun di luar negara, lebih-lebih lagi Negara Brunei Darussalam telah mempelopori 'ASEAN Young Professional Volunteer Corps' untuk memberikan khidmat sukarelawan di dalam pelbagai bidang kepada masyarakat dalam negara-negara ahli yang memerlukannya.
Budaya sukarelawan itu jelas baginda, sangat elok kerana ia bukan saja dapat meningkatkan perpaduan dan persefahaman, malahan juga boleh mendatangkan pahala.
Baginda berharap semua langkah-langkah yang berkebajikan ini akan terus diperkasakan sehingga mencapai kecemerlangannya.
“Untuk mengetahui corak kepimpinan sesebuah negara, kita perlu melihat kepada generasi belia, kerana belialah bakal peneraju kepimpinan di masa akan datang. Merekalah perancang dan penggerak satu-satu pembangunan. Makanya, belia itu menjadi tumpuan dan perhatian dalam perbincangan-perbincangan serantau dan antarabangsa”, titah baginda.
Dipetik dari - Pelita Brunei
No comments:
Post a Comment