Posting mengikut label

Thursday, November 14, 2013

NIAT, IKHLAS DALAM PERJUANGAN


Limbaruh Hijau, 27 Oktober 2013: NIAT yang betul disertai dengan sifat ikhlas merupakan elemen penting yang akan menentukan perjalanan sesuatu perjuangan. Jika niat betul, perjalanan sesuatu perjuangan, dengan izin Allah, akan sampai ke matlamat yang dihasratkan, walaupun menghadapi berbagai rintangan. Apatah lagi jika ianya didorong dengan niat ikhlas semata-mata untuk mendapat redha Allah, pasti akan mendapat keberkatan walaupun nampak semacam gagal.    

Begitulah secara kasarnya intipati sesi usrah bulanan NDP yang dilangsungkan seperti biasa di surau Markas Pusat Jerudong. Sesi usrah dipimpin oleh Sdra Mahmud Morshidi Othman, Presiden Parti Pembangunan Bangsa(NDP). Program dihadiri oleh keluarga JASA. Turut hadir Timbalan Presiden Sra Hj Juned Hj. Ramli dan Naib Presiden NDP Belait, Sdra. Pg. Hj Zainal bin Pg. Talib.

Program usrah dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, ratib dan solat isya’.

Presiden sebagai naqib meneruskan perbincangan mengenai niat dan ikhlas dalam perjuangan berdasarkan buku Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan oleh Sheikh Mustafa Masyhur. Perbincangan panjang lebar mengenai konsep niat dan ikhlas dalam perjuangan bertujuan untuk ingat mengingati antara kepimpinan dan ahli-ahli parti agar tidak terbabas dari niat asal berjuang melalui NDP kerana Allah.

Dalam pengamatannya, sdra Morshidi berkata memang terdapat sebilangan kecil kalangan pendakwah dan pejuang dalam gerakan Islam berjaya membebaskan diri mereka ketika diuji dengan kepayahan dan kesangsaraan lalu menyangka bahawa ia telah terlepas dari sebarang fitnah

Namun demikian, ada juga kalangan da’e dan pejuang itu yang tertipu dengan umpan pangkat dan gelaran, kebendaan dan kemewahan. Seperti kata Sheikh Mustafa Masyhur mereka yang terperangkap dalam keadaan sedimikian akan berhujjah bahawa “pangkat dan kebendaan dunia itu boleh membantu dan menyokong amal Islam; tetapi sebenarnya palsu belaka”.

Ramai pejuang dan ulama yang pada awalnya dilihat kental dalam prinsip perjuangannya tumpas ketika diuji Allah dengan segala macam kemewahan,  kekuasaan atau pengaruh. Ketika dia susah, dia tidak tergamak mengambil hak orang susah yang lain, namun ketika ia berkuasa dan berpengaruh seolah-olah tiada pula yang haram baginya. Demikian pengamatan Sdra Morshidi.

Mengambil iktibar dari tulisan Sheikh Mustafa itu, sdra Morshidi mengajak jemaah usrah agar sama-sama insaf akan hakikat bahawa kebanyakan orang yang sudah hidup mewah malah akan bermati-matian lagi mencari kemewahan hingga “malas” untuk berjihad.

Golongan ini akan menutup mata dan telinga apabila ada orang lain mengingatkan bahawa Baginda Rasulallah SAW sendiri pernah menjadi seorang peniaga kaya tetapi akhirnya jatuh miskin dan menjalani kehidupan sempit semata-mata kerana baginda memilih jalan zuhud dan mengutamakan apa yang diperintahkan oleh Allah, memberikan apa jua hak kepada yang berhak.

Menurut pandangan para da’e dan pejuang Islam sejati, ujar sdra Morshidi, para ulama dan pejuang Islam yang sudah terbabas sewajarnya kembali kepada sirrah dan mengambil teladan mengenai pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulallah SAW, para sahabat dan para anbiya’ betapa kebanyakan mereka yang memulai kehidupan dengan kemewahan mengakhiri hayat mereka dengan kesederhanaan malah dengan kesempitan dan kemiskinan.

“Di manakah pula letak duduk kita, soal sdra Morshidi, jika kita bandingkan diri kita dengan para kekasih Allah itu?”.

“Mengambil contoh, di akhir hayat baginda Rasulallah SAW, baginda  hanya meninggalkan empat helai jubah, dan salah satu jubah baginda itu mempunyai enam belas tampalan…", sambung sdra Morshidi.

Berbeza dengan segelintir ulama hari ini, ada yang memulai kehidupannya dengan susah payah lalu menjadi senang lenang dan ada juga yang kaya bertambah kaya.

Sdra Morshidi juga mengajak para jemaah agar sama-sama menginsafi betapa setiap musim perayaan Maulidurrasul, para pendakwah tidak terlepas menyeru “Ikutlah Nabi Junjungan….., Nabi Muhammad sebaik-baik ikutan dan macam-macam lagi seruan supaya umat ini mengikut cara hidup Nabi SAW, tetapi sampai pada bab cari pengaruh, cari harta dan mengurus kemewahan tidak pula kita mahu menoleh ke arah ajaran Nabi….ada antara kita yang karit sangat untuk menginfakkan sebahagian besar harta kekayaan kepada yang memerlukan…”

Beliau juga berbicara mengenai bahaya penyelewengan niat, umpamanya niat asal perjuangannya kerana Allah tetapi akhirnya diserang oleh penyakit “gila pimpinan”. Ia begitu rakus mencari pengaruh dan memikat orang untuk menjadi pengikutnya sendiri lebih daripada untuk menjadi pengikut jemaah.

Ada juga orang yang  “gila pengaruh” bekerja keras untuk memikat hati  pengikut dan orang ramai dan menggunakan pengaruhnya itu untuk memberikan tekanan kepada pemimpin atau organisasi bagi tujuan menyaingi pemimpin tertentu dan menguasai organisasi. Dalam konteks yang lebih luas, ada juga yang berkerja keras mencari pengaruh untuk kepentingan diri sendiri melebihi seruannya supaya menta’ati pemerintah.

Mengekalkan orang gila pimpinan dan gila kuasa di dalam barisan jemaah atau organisasi adalah amat berbahaya dan memudaratkan jemaah atau organisasi justeru lebih baik orang-orang gila kuasa dan gila pimpinan ini disingkirkan saja dari jemaah atau organisasi.

Mengekalkan mereka dalam organisasi bererti memberi peluang kepada penyelewengan, kebocoran rahsia kepada orang luar, terbukanya pintu kecuaian dan sekali gus boleh menghakis sebuah keyakinan kepada organisasi.

Lazimnya, orang akan menyalahkan sebarang kepincangan kepada pimpinan tertinggi sesebuah organisasi dan kepada organisasi itu sendiri, bukan kepada individu pengacau tadi justeru, dalam konteks parti,  “biar tia orang-orang ikhlas saja bersama kitani. Ada seribu penyokong bergeraklah cara ada seribu, ada seratus penyokong bergeraklah cara ada seratus penyokong dan demikian, waima kita hanya ada sepuloh orang penyokong yang ikhlas maka bergeraklah mengikut kemampuan yang terdaya,” tegas sdra Morshidi.

Di akhir sesi majlis ilmu itu, jemaah usrah diseru agar memantapkan keimanan dan membetulkan niat menyertai NDP dan berjuang semata-mata kerana ingin mencari keredhaan Allah – Wallahu a'lam.

Dipetik dari - Laman Aspirasi NDP

No comments: