Posting mengikut label

Friday, April 6, 2012

Aspirasi NDP: Tersentuh dengan titah tahniah kepada Myanmar

LIMBARUH HIJAU 4 Jamadilawal 1433 / 6 April 2012: Titah ucap tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Myanmar atas kejayaannya mengadakan pilihan raya baru-baru ini merupakan tajuk berita utama muka depan Borneo Bulletin keluaran Rabu 3 Mac 2012.

Dalam berita tersebut Baginda dilaporkan sebagai bertitah bahawa pilihan raya yang diadakan menjanjikan perkembangan baik untuk masa depan Myanmar.


Ucap tahniah Baginda kepada Myanmar merupakan mukadimah dalam titah Baginda di Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-20 di Peace Palace di Bandar Raya Phnom Penh yang dihadiri oleh para pemimpin ASEAN.

Memang wajar bagi Baginda mengucapkan tahniah kepada Myanmar atas usaha melaksanakan reformasi politik dan membukakan ruang demokrasi kepada rakyat Myanmar yang hampir setengah abad diperintah junta tentera.

Buat Aung San Suu Kyi, pemenang Anugerah Nobel berusia 66 tahun yang pernah dikenakan tahanan dalam rumah selama hampir dua dekad, kemenangan tersebut merupakan satu anugerah menakjubkan walaupun hanya memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil. Ia merupakan satu kemenangan dalam perjuangannya dan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang dipimpinnya menegakkan sistem demokrasi di Myanmar.

Bagi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pula kejayaan Myanmar melaksanakan reformasi politik itu merupakan satu inspirasi dalam perjuangan parti menjunjung hasrat baginda untuk juga melaksanakan pembaharuan politik dan sistem perwakilan di Negara Brunei Darussalam.

“Ucap tahniah baginda kepada Myanmar mengambarkan bahawa baginda tidak menolak politik dan demokrasi. NDP melihat ia sebagai satu lagi gambaran akan keikhlasan baginda untuk membuka ruang politik dan demokrasi kepada rakyat Brunei".

"Setentunya ianya sangat mengalakkan dan memberikan warga NDP nafas baru dalam perjuangan menjayakan pembaharuan politik yang dihasratkan oleh baginda (dan yang coba dihalang oleh sebilangan elit-elit pentadbir dan pihak-pihak berkepentingan)”, ujar sdra Malai Hassan Othman, Timbalan Presiden merangkap Pemnagku Presiden NDP.

Tambahnya NDP meihat kemenangan Suu Kyi ini wajar dijadikan iktibar kepada barisan kepimpinan dan warga NDP agar terus tabah dan bersabar dalam perjuangan yang panjang dan penuh ranjau ini.

“Perjuangan Aung San Suu Kyi merupakan satu perjuangan lama dan bersungguh-sungguh , Beliau tabah walaupun berhadapan dengan pelbagai tentangan. Yakinlah agenda demokrasi dan kebebasan akan mencapai kejayaan walaupun ia mungkin memakan masa”,kata sdra Malai Hassan Othman kepada Aspirasi NDP.

Sementara itu beliau menyeru kepada elit-elit pentadbir dan pihak-pihak berkepentingan yang lain agar turut sama menyokong dan menjayakan agenda pembaharuan politik baginda sultan bukan sebaliknya.

“Kita berharap isyarat yang tersirat dalam titah ucap tahniah baginda Sultan kepada Myanmar diberikan perhatian serious oleh semua pihak berkepentingan terutama elit-elit pentadbir”.

“Kita kesal dengan sikap sebilangan elit-elit pentadbir dan beberapa pihak-pihak berkepentingan yang lain yang masih dan senghaja melihat pergerakkan politik dan orang politik dengan pandangan yang negatif".

"Sikap negatif mereka ini tidak membantu usaha untuk mewujudkan iklim dan suasana politik yang kondusif. Ia menyempitkan ruang rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab politik mereka kepada raja, bangsa dan negara”, tegas sdra Malai Hassan.

Beliau menambah sikap mereka ini juga sangat ‘counterproductive’ dengan hasrat baginda Sultan.

“Sikap mereka memandang serong pergerakkan politik dan ahli-ahli politik boleh membuatkan rakyat dan juga pemerhati politik di arena antarabangsa dan serantau mempersoalkan keikhlasan baginda untuk melaksanakan pembaharuan politik di negara tercinta ini. Ini sangat memalukan dan boleh menjejaskan kredibiliti baginda Sultan di arena antarabangsa dan serantau”, tegas sdra Malai Hassan Othman.

Dipetik dari - Asprirasi NDP

No comments: