Posting mengikut label

Thursday, January 29, 2009

BERSAMA MERAYAKAN TAHUN BARU CHINA

TUTONG 29 JANUARI 2009 - Serombongan ahli-ahli Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif Ranting dari Tutong dan Belait kelmarin membuat kunjungan muhibbah Tahun Baru Cina ke rumah-rumam kediaman ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berbangsa Cina di Ukong dan Kiudang, Daerah Tutong.

Rombongan di ketuai oleh Awang Haji Hanafi bin Haji Mohd. Daud, Naib Presiden NDP Tutong dan Awang Abdullah Bahjou, ahli Lembaga Penasihat NDP.

Dayang Hajjah Saemah Kefli, Ketua Himpunan Wanita NDP bersama beberapa orang ahli-ahli HAWA juga ikut sama membuat kunjungan muhibbah Tahun Baru Cina tersebut.

Sangat-sangat berbesar hati dengan kunjungan rombongan Naib Presiden NDP Tutong...ahli NDP berbangsa Cina yang tinggal bersama keluarga jauh di atas bukit di Ukong sangat tersentuh dengan kunjungan rombongan NDP lalu memeluk erat Pak Haji Hanafi

Meninjau alam sekitar Kianggeh

LIMBARUH HIJAU 28 JANUARI 2009 - PAPAN tanda diatas sudah cukup jelas memberikan makluman kepada orang ramai mengenai projek yang sedang di laksanakan di kawasan Kampong Kianggeh.

Alhamdullilah mudah-mudahan projek ini berjaya dan masalah banjir di Sungai Subok dan Sungai Kianggeh akan berkurangan.

Berpandukan papan tanda ini, projek yang sedang di laksanakan merupakan fasa pertama. Apakah ini bererti ada lagi projek fasa kedua dan seterusnya akan menyusul?.

Kita selaku orang awam memang jahil mengenai projek-projek seperti ini.

Kita tidak ada ilmu kejuruteraan apatah lagi ilmu alam sekitar untuk memahami projek yang di jalankan dan kenapa ia perlu di laksanakan.

Namun demikian naluri ingin tahu tetap juga mendesak kita untuk mencari jawapan kepada banyak persoalan.

Antara lain, kenapa Sungai Subok dan Sungai Kianggeh mengalami masalah banjir sedangkan menurut orang tua-tua yang pernah tinggal dan membesar di Kampong Kianggeh perkara ini dulunya tidak pernah berlaku.

Dari tinjauan Aspirasi-NDP dulunya terdapat sebuah tasek besar yang di kenali sebagai Limbaruh Buntar terletak di kawasan bukit yang menjadi sempadan antara Kampong Kianggeh dan Kampong Subok.

Air air dari kawasan bukit bukau di persekitaran Kampong Kianggeh dan Kampong Subok serta anak-anak sungai nya dan air dari wasai-wasai berdekatan semua mengalir masuk ke Limbaruh Buntar dan terus mengalir ke Sungai Kianggeh.

Dulunya persekitaran Limbaruh Buntar sangat indah dan alami. Batu-batu kerikil menghiasi tebing-tebing sungai dan tebing Limbaruh Buntar. Terdapat juga beberapa wasai indah di persekitaran kawasan tersebut.

Walau macam mana lebat pun hujan turun namun anak-anak sungai dan Limbaruh Buntar tetap berupaya menampung aliran air yang berlebihan tanpa mendatangkan masalah banjir di kawasn tersebut.

Tetapi sekarang semuanya sudah berubah. Alam semula jadi Limbaruh Buntar sudah di ubah suai dengan pembinaan parit besar begitu juga dengan Sungai Subok dan Sungai Kianggeh yang sekarang di ganti dengan parit.

Limbaruh Buntar yang dulunya luas dan dalam sekarang sudah tidak wujud lagi. Seperti Sungai Kianggeh yang juga sudah di ubah suai, Limbaruh Buntar hanya tinggal nama sahaja.

Nyata parit-parit yang di bina untuk mengantikan Limbaruh Buntar, Sungai Kianggeh dan Sungai Subok tidak berupaya menampung aliran air yang berlebihan yang masih seperti sedia kala mengalir turun dari muka bumi bukit bukau dan hutan belukar di persekiataran kawasan tersebut terutama sekali ketika musim hujan.

Ketika musim hujan lebat air pasang naik melimpah keluar dan membanjiri kawasan tersebut.

Keadaan ini mendesak pihak berwajib membina tembok menahan banjir di sekeliling kawasn pam air Sungai Kianggeh dan Sungai Subok.

Belum lama ini di sebabkan banjir dan tekanan air yang deras menaglir menuju Sungai Kianggeh dari kawasan Limbaruh Buntar, jalan raya penghubung Kampong Kianggeh dan Subok berdekatan bagunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri runtuh bersama parit yang juga turut pecah.

Dalam lain perkataan dulunya di kawasan ini tidak pernah menghadapi masalah banjir tetapi apabila alam persekitarannya di ubah suai masalah banjir sering pula berlaku.

Keadaan ini jelas memaksa pihak berwajib untuk mencari jalan menyelesaikan masalah yang timbul yang di sebabkan oleh perancangan yang kurang mampan.

Persoalan yang timbul sekarang apakah pihak yang berwajib dulunya telah mengambil kira faktor alam sekitar ketika membuat perancangan membina parit untuk mengantikan Limbaruh Buntar, Sungai Kianggehd an Sungai Subok itu?.

Apakah pernah di buat kajian keatas kesan alam sekitar (environmental impact assesment) semasa di tahap cadangan (planning stage) membina parit-parit tersebut yang telah mengubah bentuk mukabumi dan merubah keadaan persekitaran di kawasan-kawasa yang terlibat?

Apakah isu-isu pelindungan alam sekitar diberi pertimbangan sewajarnya dalam projek tersebut serta apakah sudah di berikan pertimbangan sama ada projek sedimikian boleh menjamin generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati khazanah alam sekitar dan kehidupan sihat?

Di sinilah kita selaku rakyat biasa memang jahil dan sentiasa dalam kegelepan mengenainya.

Mungkin kita akan terus berada dalam kegelapan memandangkan sistem pengurusan dan pentadbiran yang sedia ada sekarang tidak memberikan kita jaminan kebolehcapaian (accessibility) individu ke atas maklumat-maklumat yang sewajarnya berkenaan alam sekitar daripada pihak berkuasa.

Di sebabkan keadaan ini, kita mungkin tidak akan berpeluang untuk turut serta dalam membuat apa-apa keputusan, seperti apa yang terjadi di Limbaruh Buntar, Sungai Kianggeh dan Sungai Subok.

Justeru kita hanya mampu berharap keadaan akan berubah tambah-tambah lagi sekarang isu alam sekitar merupakan antara agenda teratas yang di berikan tumpuan perhatian oleh Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan Haji Hasanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Untuk itu kita berharap agar ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik mewakili daerah-daerah masing-masing lebih berani tampil kehadapan membahaskan isu alam sekitar dan hubungannya dengan aktiviti-aktiviti pembangunan di Dewan Majlis Mesyuarat Negara.

Tuesday, January 27, 2009

Semacam ada petanda musibah akan berlaku

LIMBARUH HIJAU 26 JANUARI 2009 - PADA 16 JANUARI 2009 bersamaan hari Jumaat iaitu beberapa hari sebelum fenomena hujan lebat di ikuti banjir kilat dan tanah susur melanda Daerah Brunei-Muara, seromobongan ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di ketuai oleh Timbalan Presiden NDP menyusur sepanjang tebing Sungai Kianggeh dan meninjau keadaan di kampong Kianggeh.

Menurut sdr Mahmud Morshidi Othman, tujuan tinjauan di buat semata-mata atas kesedaran pentingnya kita selaku rakyat sama-sama membantu memantau keadaan alam sekitar dari terus di cemari oleh aktiviti-aktiviti pembangunan yang tidak mengambil kira kesejahteraan awam dan keselamatan alam sekitar.

Program tersebut, tambahnya, juga merupakan program berterusan NDP sesuai dengan semangat perlembagaan dan manifesto parti untuk membantu dan menyokong Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan untuk memastikan pihak yang berwajib sentiasa mengambil kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan atau membangunkan negara.

Dalam tinjauan tersebut rombongan mendapati terdapat kelemahan dalam projek pembiasaian Sungai Kianggeh tersebut yang dulunya sudah semula jadi 'bisai' berfungsi mendepani kemungkinan masalah banjir kilat yang berpunca dari hujan lebat yang luar biasa.

Rombongan juga mendapati kelemahan dalam pemasanagan kabel-kabel serta di bidang pemeliharaan. Laluan kabel yang di pasang menjuntai menyeberangi parit Kianggeh dipenuhi rumput-rumput dan kotoran yang hanyut tersangkut di sepanjang kabel tersebut.

Keadaan yang menyedihkan tersebut mengingatkan sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP kepada titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Berikut di perturunkan titah-tatha tersebut.

Sempena Hari Keputeraan baginda ke 62 tahun pada 15 Julai 2008.

Dalam titah tersebut Baginda menegur, "...dari pengamatan Beta, sudah tiba masanya isu (alam sekitar) ini kita tangani dengan lebih serius. Kerana bukan sedikit akibatnya jika kita lambat atau lalai dari memelihara alam sekitar kita".

Titah Baginda lagi..."Kita sebenarnya sudah banyak mendepani masalah, dan bahkan, sudah banyak wawasan kita mampu mendahului orang lain, tetapi dalam mencari penyudahnya kita sering terlambat".

Sempena Awal Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1429 bersamaan 10 Januari 2008.

Baginda bertitah memberikan perhatian kepada isu alam sekitar.

Titah Baginda,"Banyak benar isu penting yang minta di tangani, di antaranya ada yang mustahak disegerakan, seperti isu banjir kilat atau kawasan-kawasan yang mudah ditenggelami air".

Tambah Baginda, "Di sana ada pendapat, bahawa perkara tersebut turut berpunca daripada sistem perairan atau perlongkangan yang kurang diberikan perhatian, yang ditumbuhi oleh rumput-rampai yang menyebabkan air tersekat atau tidak lancar mengalir".

Tegur Baginda, "Jika ini betul, apakah ia tidak mustahak untuk diambil berat dan dibuat perubahan segera?"

Tegur Baginda lagi.."Atau banjir itu juga boleh berlaku disebabkan faktor pembangunan, seperti jika ada projek-projek yang tidak dikawal 'ketat' oleh sebarang peraturan atau akta, di mana kontraktor-kontraktor dengan sesuka hati boleh meruntuh bukit, mengorek dan memunggah tanah serta melonggok-longgok sampah, yang risikonya nanti boleh menjejaskan longkang dan parit dan alam sekitar".

"Perkara ini kelihatannya seperti kecil saja, tetapi sebenarnya bukan. Ia berkait rapat dengan pelbagai kepentingan, seperti perundangan, pengurusan, etika dan disiplin. Manakala semua ini ada pada kita, sudah barang tentu segala masalah akan dapat ditangani".

"Jadi ingin Beta tegaskan di sini, supaya kita bersikap lebih maju tanpa mengabaikan "langkah-langkah perlu" untuk emngatasi masalah. Jika terdapat isu yang memadai hanya dengan pengurusan biasa, maka bolehlah kita mengurusnya dengan cara biasa. Ataupun, ada isu yang memerlukan "peraturan-peraturan khas" atau akta, maka mengapakah tidak diluruskan pengurusannya dengan kuatkuasa peraturan atau akta tersebut?"

"Ataupun, jika kita belum lagi mempunyai peraturan atau akta mengenainya, maka apakah salahnya jika kita menggubal peraturan dan akta yang berkaitan?"

"Begitulah caranya untuk merintis sebarang perubahan dan kemajuan tanpa terperangkap dengan fikiran-fikiran sempit atau jalan buntu".

Titah sempena kedatangan Tahun Baru Masehi 2008

Awal dari itu lagi Baginda Sultan mengalu-alukan kedatangan Tahun Baru Maeshi 2008 dengan titah menyentuh isu alam sekitar.

Titah Baginda mengingatkan elit-elit pentadbir dan penggubal-penggubal dasar, "Adapun yang menjadikan pembangunan itu istimewa atau luar biasa, ialah bilamana kita berjaya meletakkannya di landasan yang betul, yang menjadikannya terselamat daripada decemari oleh karenah-karenah negatif atau perlakuan-perlakuan curang manusia.

"Rata-rata Negara dan bangsa di dunia adalah giat membangun, namun penyakit-penyakit sosial dan kemiskinan masih saja mencengkam mereka, mengapa?"

"Ini tentu saja ada silap dan puncanya. Pada hemat Beta, salah satu daripada puncanya itu ialah rasuah. Dengan rasuah, semua mekanisme akan jadi lemah dan pincang. Dan manakala mekanisme lemah dan pincang, segala pembangunan juga jadi pincang", titah Baginda Sultan.

Ini jika betul, adalah satu amaran kepada kita, supaya jangan sekali-kalimenjinaki rasuah, titah Baginda mengingatkan pelaku-pelaku dalam sektor pengurusan dan pentadbiran serta sektor pembangunan.

Titah Baginda lagiu mengingatkan,"Jangan anggap rasuah kecil, tidak mengapa, tetapi ingatlah akan risikonya. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, adalah sama-sama bernama penyakit, yang boleh menjejaskan negara. Negara yang karam dengan rasuah adalah negara yang malang".

Nah! Belum pun sampai setahun berlalu, peringatan Baginda mengenai pentingnya memelihara alam sekitar terutama dari kerosakkan gejala sikap kurang perihatin alam sekitar, malas ingau dan perancangan yang kurang mantap seperti menjadi kenyataan.

Daerah pusat pengurusan dan pentadbiran negara hampir 'karam' di landa banjir kilat dan tanah susur yang banyak berpunca dari kerosakkan alam sekitar yang di lakukan oleh sektor pembangunan. (mho)

Monday, January 26, 2009

Bencana alam 'takdir' perbuatan siapa?

LIMBARUH HIJAU 25 JANUARI 2009 - FENOMENA hujan lebat yang luar biasa empat hari kebelakangan ini telah melumpuhkan Daerah Brunei Muara.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Jangsak, Kampung Bunut, Kampung Mulaut, Kampung Lambak, Kampung Terunjing, Gadong, Jalan Kumbang Pasang dan beberapa tempat lain juga mengalami banjir yang dikatakan paling teruk sejak tahun 1991 itu.

Terowong di kawasan Kiulap berdekatan Jame Asri di tenggelami air (Gambar MP)

Banyak jalan-jalan raya utama, kawasan perumahan, kawasan komersial di Gadong dan Kiulap, perkhidmatan dan kemudahan awam termasuk bekalan letrik, telefon dan air terjejas akibat tanah susur dan banjir kilat.

Beberapa institusi pengajian juga turut terjejas manakala mengorbankan nyawa dua wanita iaitu seorang mangsa lemas disebabkan banjir kilat dan seorang mangsa tertimbus tanah susur.

Selain pusat komresial, juga turut terancam sistem keselamatan dan kecemasan negara yang terputus hubungan berikutan terputusnya bekalan letrik di hampir keseluruhan Daerah Brunei-Muara.

Juga menghadapi ancaman sama sistem info telekomunikasi atau dalam bahasa mudah rangkaian sistem komputer yang merupakan 'super hihgway' komunikasi antara negara dengan dunia luar.

Semua infrastruktur ini di bina dan di wujudkan bukan sahaja untuk kemudahan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk tetapi juga merupakan antara komponen dan elemen penting dalam pengukuhan daya saing negara terutama di bidang ekonomi dan pelaburan asing.

Pendek cerita fenomena hujan lebat luar biasa itu memang merupakan bencana alam terburuk pernah di alami oleh negara dan jika ianya mahu di lihat sebagai ujian kehebatan dasar dan perancangan pembangunan negara maka kita telah gagal ujian tersebut.

Ianya mendedahkan betapa infrastruktur-infrastruktur yang telah di bina untuk keselesaan dan kesejahteraan kita semua sepanjang 25 tahun yang lalu dengan memakan belanja berbillion-billion ringgit belum begitu mantap untuk berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang lebih teruk dari fenomena hujan lebat yang luar biasa itu.

Dalam lain perkataan fenomena hujan lebat yang luar biasa itu dengan di ikuti tanah susur dan banjir kilat telah berjaya membongkar kehodohan perancangan pembangunan negara sepanjang 25 tahun yang lalu ini.

Kehodohan perancangan kemajuan negara yang selama ini memang susah untuk di kesan oleh rakyat biasa yang sedikit pun tidak faham 'Rancangan Kemajuan Negara Lima Tahun' (RKN) pertama hingga ke RKN terkini sekarang menampakkan diri dalam bentuk rupa yang mudah di faham.

Tanah susur di Jalan Muara

Bencana alam yang kita saksikan dan alami sekarang masih skala kecil jika kita banding dengan apa yang sering di alami oleh negara-negara lain di rantau ini seperti banjir besar, tsunami, ribut taufan, gempa bumi dan letupan gunung berapi.

Tetapi walaupun kecil (iaitu hanya hujan lebat yang tidak henti-henti dan air pasang yang luar biasa), Brunei-Muara, daerah utama negara yang pesat membangun sudah kelang kabut. Jalan-jalan raya di tenggelami air, kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang sebelum ini tidak pernah di landa banjir terjejas, stesyen janakuasa letrik di tenggelami air dan talian telefon kecemasan terputus.

Kenapa dan mengapa ia terjadi sedemikian?

Setentunya ramai yang mengatakan memang sudah di takdirkan begitu di sebabkan fenomena hujan lebat luar biasa, di sebabkan cuaca tidak menentu, di sebabkan pengaruh La Nina dan sebagainya.

Pandangan itu memang tepat. Semuanya di takdirkan begitu dan paling tepat ialah ianya berpunca dari kelemahan terkumpul perancangan dan sistem pemantauan projek-projek kemajuan yang di laksanakan sejak bertahun-tahun lamanya.

Takdir yang kita alami itu ialah satu testimonial kesan kegagalan perancangan dan pemantauan yang terkumpul bertahun-tahun lamanya dan di tambah buruk oleh kegagalan sistem pengurusan dan pentadbiran yang kurang berakauntabiliti.

Banyak projek kemajuan yang boleh di jadikan contoh bagaimana ketidaan perancangan dan pemantauan yang jitu boleh meninggalkan kesan buruk kepada alam sekitar dan mengancam keselesaan dan kesejahteraan awam.

Terkini projek membina parit sepanjang Jalan Muara. Kerana kurang pemantauan kontraktor seperti 'malas ingau' mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya. Kerja-kerja pengorekkan longkang, memotong dan merata tanah dijalankan tanpa kawalan rapi sehingga apabila hujan lebat tanah-tanah berdekatan susur memenuhi parit dan melimpah ke jalan-jalan raya berdekatan.

Di beberapa kawasan Kampong Mulaut, projek membina parit-parit bagi tujuan mengelak kawasan rendah tersebut dari terjejas oleh banjir kilat belum siap-siapnya setelah bertahun-bertahun dijalankan.

Kawasan Kampong Kianggeh yang dulunya tidak pernah di tenggelami air sekarang sudah mudah terjejas oleh banjir sejak projek berjuta ringgit 'membisaikan' dengan mengecilkan Sungai Kianggeh yang dulunya sudah 'bisai' lebar dan dalam di laksanakan.

Pada tahun 1960an lalu Sunagi Kianggeh sangat lebar hingga tongkag pun boleh melaluinya.

Makanya kita yang jahil membuat projek pembangunan ini jadi heran macam mana masuk akal Sungai Kianggeh yang semula jadi di jadikan Allah lebar dan dalam hingga mampu menampung air-air yang mengalir dari bukit bukau dan persekitaraan Kampong Kianggeh di kecilkan menjadi parit besar sedangkan alam persekitarannya belum banyak yang berubah.

Timbul persoalan kepada golongan birokrat, teknokrat, penggubal, perancang dan pelaksana dasar dan program kemajuan negara apakah semua ini sudah yang terbaik dapat di sumbangkan kepada negara dan bangsa?

Tepuk dada tanya iman. Kita sebenarnya sedih mengenangkan betapa Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menaruh harapan yang tinggi kepada elit-elit penatdbir untuk membantu Baginda membangun dan memajukan negara dan bangsa tetapi sering di hampakan. (mho)

Monday, January 19, 2009

NDP bimbang titah di salah tafsir

LIMBARUH HIJAU 18 JANUARI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) berasa sangat bimbang melihat reaksi ramai yang salah tafsir titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan mengenai isu Al Gharimin dan fakir miskin semakin menjadi-jadi.

Dan apa yang sangat membimbangkan lagi semacam tiada usaha segera dijalankan oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk mejelaskan kekeliruan awam itu.

Kelmarin di laporkan pihak berwajib terpaksa meminta bantuan pihak polis untuk meleraikan orang ramai yang datang membanjiri bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mendapatkan borang permohonan asnaf Al-Gharimin.

Kenapa perkara yang menyedihkan ini berlaku? Kenapa pihak berkenaan terlalu cepat mengambil langkah mengedarkan borang-borang kepada orang ramai belum pun sampai 24 jam setelah Baginda Sultan bertitah meluahkan pandangan Baginda mengenai pengurusan zakat di negara ini?

Tidakkah langkah tersebut seperti mengiakan tafsiran salah dan spekulasi liar yang mendorong orang ramai berduyun-duyun ke bangunan Kementerian tersebut?

Sebilangan pemerhati berpendapat reaksi dan langkah segera pihak berwajib tersebut semacam reaksi orang 'meyamal', iaitu seperti titah tersebut di samalkan.

Sehubungan dengan perkembangan terkini tersebut NDP kelmarin menyeru seluruh barisan kepimpinan parti agar sama-sama membantu membetulkan persepsi yang salah tersebut yang menyebabkan orang ramai ghairah untuk mendapatkan bantuan zakat bagi asnaf Al-Gharimin.

Sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dalam ucapan perasmian MPPD bagi penggal pertama tahun 2009 meluahkan rasa kesal beliau terhadap perkembangan yang menyedihkan berikutan titah Baginda di persidangan Majlis Ugama Islam Selasa baru lepas.

"Saya berharap semua pimpinan NDP di semua peringkat dapat membantu menerangkan kepada ahli-ahli dan bukan ahli supaya tidak menyalah tafsirkan titah Baginda Sultan mengenai pengurusan zakat membayarkan hutang Al Gharimin".

"Apa yang di maksudakn Baginda Sultan mengenai pengagihan sejumlah $20,000 wang zakat bagi seorang penerima hanya sebagai contoh sahaja bagaimana Jabatan Zakat boleh menterjemahkan titah yang mengaitkan penyelesaian kemiskinan dengan pendekatan Islamik", jelas sdr Morshidi.

"Justeru kita juga berharap agar institusi-institusi berkaitan seperti Pusat Dakwah, Jabatan Penerangan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampong untuk segera turun padang menerangkan maksud titah tersebut".

"NDP tidak mahu kerana salah tafisr titah, Baginda Sultan yang akhirnya di cemoh dan di persalahkan", tegas sdr Morshidi.

Sentimen beliau di sokong oleh sdr Haji Aminorashid Haji Ghazali, Setiausaha Agong NDP dalam ucapan pengolongan beliau di akhir persidangan MPPD itu.


Sdr Haji Aminorashid dalam ucapan pengolongannya juga turut menyeru barisan kepimpinan NDP dan juga agensi-agensi kerajaan berkenaan serta MPM dan MPK untuk segera turun padang membetulkan keadaan yang membimbangkan itu.




Amanah Dan Kepimpinan

LIMBARUH HIJAU 18 JANUARI 2009 - PERSIDANGAN Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Parti Pembangunan Bangsa (NDP) bagi penggal pertama tahun 2009 berakhir dengan jayanya kelmarin di Hotel Holiday Lodge Jerudong.

Apa yang sangat menarik perhatian, persidangan pertama MPPD bagi tahun baru 2009 kelmarin mengambil tempat ketika NDP berada di persimpangan jalan setelah lebih 3 tahun meneroka liku-liku politik negara yang selama hampir 40 tahun ini di selubungi suasana kurang mesra politik.

Tahun ini ahli-ahli NDP yang sudah berjumlah hampir 2000 orang akan membuat keputusan melalui Pemilihan Umum Kepimpinan Parti bagi memilih barisan kepimpinan yang bakal mengemudi bahtera NDP di 3 tahun mendatang ini iaitu dari 2009 hingga ke 2012.

Dalam lain perkataan nasib masa depan dan maju mundur nya NDP di 3 tahun mendatang akan di tentukan oleh kebijaksanaan semua ahli-ahli memilih dan mengundi barisan kempimpinan yang bakal menerajui parti kelak.

Berita selanjutnya...

Orang Ramai Banjiri Bangunan Kementerian Ugama

LIMBARUH HIJAU 17 JANUARI 2009 - ORANG RAMAI di laporkan telah mebanjiri bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama di Berakas berikutan titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di persidangan Majlis Ugama Islam pada Selasa baru lepas.

Tidak ada maklumat jelas kenapa mereka berpusu-pusu datang ke bagunan kementerian tersebut.

Menurut bisik-bisikan mereka yang berada di bagunan tersebut borang permohonan mendapatkan wang zakat sedang di edarkan. Wallahuwalam bisawab.

Berita selanjutnya ....

Tabung Bantuan Palestine dapat sambutan

LIMBARUH HIJAU 16 JANUARI 2009 - TABUNG bantuan bagi rakyat Palestine yang di lancarkan oleh Parti Pembangunan Bangsa (NDP) pada 14 Januari 2009 mendapat sambutan baik dari ahli-ahli parti.

Hingga kelmarin Aspirasi-NDP di maklumkan sumbangan ahli berjumlah hampir BND 1000 telah di terima oleh Tabung Bantuan Rakyat Palestine yang di kendalikan oleh Biro Keselamatan dan Kecemasan.

Sementara itu ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP yang bersidang kelmarin memulakan mesyuarat dengan laungan penuh semangat 'Hidup Palestine dan Hancur Israel' untuk menunjukkan semangat solidariti parti bersama rakyat Palestine yang sedang melalui keperitan hidup dan penderitaan akibat tindakan ganas dan kejam rejim Zionis keatas Gaza.

Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP memimpin mesyuarat untuk melaungkan seruan semangat soldariti warga NDP dengan rakyat Palestine yang di zalimi itu.

Gaza telah bermandikan darah sejak serangan ganas tersebut dan menyaksikan sehingga kini lebih 800 jiwa rakyat Palestine termasuk kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terkorban manakala dunia jelas tidak berdaya untuk menekan Israel agar menghentikan jenayah perang yang di lakukaknnya serta pencerobohannya keatas nilai kemanusian sejagat.

Ahli-ahli MT meluahkan kekecewaan dan kesedihan mereka atas situasi yang mendukacitakan ini di mesyuarat bulanan mereka kelmarin dan berharap Mesyuarat Majlis Negara (MMN) yang di jangka bersidang pada bulan Mac akan datang ini akan memberikan perhatian sewajarnya kepada isu ini.

"Brunei telah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel itu melalui Kementerian Hal Ehwal Luar. Kita berpandangan sangat perlu isu Palestine ini dan sentimen negara berhubung tindakan melampau Israel serta harapan kita agar keamanan di kembalikan di Gaza terus di suarakan dan kita berharap parlimen yang akan bersidang Mac ini akan menyuarakan sentimen ini", tegas sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP yang telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Tuesday, January 13, 2009

Ucapan PM usul mengecam serangan Zionis Israel di Dewan Rakyat



PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berucap pada Persidangan Khas pencerobohan Israel di Palestin di Dewan Rakyat, semalam.

Amerika Syarikat guna kuasa veto 28 kali sejak 1973 untuk sekat keputusan Majlis Keselamatan mengenakan tindakan ke atas rejim Israel 

SAYA mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang hadir walaupun notis dikeluarkan mengenai sidang ini adalah secara tergempar. Saya berterima kasih atas keprihatinan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia, tidak mengira agama, bangsa atau haluan politik, yang bersedia membahaskan bersama satu isu yang sangat rapat di hati rakyat Malaysia iaitu penderitaan semasa yang dialami rakyat Palestin dan masa depan keamanan dan keselamatan bagi negara Palestin. Semua telah menjadi terancam akibat serangan berterusan ke atas wilayah Palestin oleh rejim Zionis di Israel. 

Sesungguhnya, tindak-tanduk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa, yang sedang dilakukan oleh mereka di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia. Perkara ini membabitkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa, pencerobohan dan kezaliman ke atas manusia yang dilakukan oleh manusia juga. 

Demi mempertahankan kredibiliti negara, kita harus bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, khususnya mereka yang berada di wilayah Gaza.

Maka dengan ini saya ingin mencadangkan bahawa mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) Dewan ini mengambil ketetapan berikut: 

  • Bahawa Israel telah melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan operasi 'cast lead' pada 27 Disember 2008 ke atas wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dari udara dan diikuti dengan serangan oleh pasukan tentera darat bermula pada 3 Januari 2009; 

  • Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza adalah tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ia adalah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang Awam Dalam Masa Perang;

  • Bahawa rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza; dan 

  • Bahawa rakyat Malaysia berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan negara Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palestin di Gaza. 

    Dengan ini, Dewan ini mengambil ketetapan seperti berikut: 

    (1) Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, termasuk bayi dan warga tua dan menggesa pengunduran menyeluruh Israel dari wilayah Palestin di Gaza;

    (2) Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata itu; 

    (3) Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan sesi tergempar khas Perhimpunan Agung PBB – 'uniting for peace' - di bawah resolusi 377a (v) sekiranya pelaksanaan ketetapan Majlis Keselamatan PBB gagal menguatkuasakan ketetapannya yang diputuskan pada 8 Januari 2009; 

    (4) Menggesa pihak yang terbabit supaya menyambung semula usaha terhadap proses damai serta melaksanakan dan mematuhi pelbagai resolusi yang telah ditetapkan oleh PBB berhubung isu Palestin dan konflik Arab-Israel; 

    (5) Memutuskan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik yang berlaku di Asia Barat sekarang; 

    (6) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; 

    (7) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu padu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; 

    (8) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah Palestin di Gaza dengan serta-merta; 

    (9) Menggesa Perhimpunan Agung PBB untuk menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terbabit dengan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin; dan 

    (10) mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah. 

    Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan Israel ke atas wilayah Gaza. 

    Israel melancarkan serangan yang diberi nama 'cast lead', dengan izin, pada 27 Disember 2008, menggunakan kelengkapan perang yang serba canggih, termasuk jet pengebom F-16. Tentera udara Israel telah membunuh lebih 200 orang rakyat Palestin pada hari pertama itu saja. 

    Lapan hari kemudian, pada tanggal 3 Januari 2009, serangan ke atas Gaza diperhebat oleh Israel dengan menggunakan tentera darat, termasuk serangan dan bedilan oleh beratus kereta kebal besar. Pada hari ini, sekurang-kurangnya 800 orang telah mati di Gaza. Lebih 3,000 orang cedera. Hampir 15,000 orang telah menjadi pelarian dalam negeri kerana hendak lari dari kawasan pertempuran. 

    Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam satu laporannya pada tarikh 5 Januari 2008 menyatakan bahawa keadaan kehidupan manusia di Gaza sangat membimbangkan kerana makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas yang lain terlalu kurang bagi penduduk setempat. 

    Pada 8 Januari 2009, atas permintaan dari Malaysia dan Brazil, Presiden Perhimpunan Agung PBB atau UNGA, dengan izin, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang tergempar UNGA dan mengambil sesuatu keputusan yang sesuai, khususnya untuk mendesak Majlis Keselamatan PBB, supaya bertindak untuk mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza. 

    Seolah-olah bertujuan menghalang berlakunya Perhimpunan Agung PBB - hasil permintaan dari Malaysia dan Brazil itu - Majlis Keselamatan berjaya bersidang dan meluluskan satu ketetapan atau resolusi pada 9 Januari 2009.

    Harap Ahli Yang Berhormat sekalian ambil perhatian bahawa Majlis Keselamatan hanya bertindak setelah mereka membiarkan serangan Israel berlaku selama dua minggu tanpa sebarang keredaan dan kita semua tahu mengapa Majlis Keselamatan tiada maya untuk bertindak. Israel tidak mahu Majlis Keselamatan bertindak dan dia ada penyokong kuat dalam Majlis Keselamatan yang menghalang Majlis Keselamatan mengambil tindakan. 

    Sebenarnya, mengenai isu Palestin, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, iaitu menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak. 

    Marilah kita bersama-sama menyeru bakal Presiden, Barack Obama, melakukan sesuatu yang benar-benar membawa pembaharuan. Amerika Syarikat mengaku negara demokrasi yang terulung di dunia. Mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada parti Hamas. Amerika Syarikat mengaku dirinya jaguh mempertahankan hak asasi manusia. Mengapa ia membiarkan Israel membunuh kanak-kanak, orang tua dan wanita biasa serta orang awam lain, semuanya tidak berdosa. 

    Benar, pada 9 Januari 2009, Majlis Keselamatan meluluskan Resolusi Nombor 1860 (2009) yang mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza, mendesak supaya semua pihak mematuhi gencatan senjata dan tentera Israel diarah undur keluar dari wilayah Palestin. Tetapi resolusi ini senyap saja mengenai kepungan atau 'blockade' yang dikenakan oleh pihak Israel ke atas Palestin. 

    Tetapi, ada dua perkara yang sangat tidak memuaskan bersabit resolusi ini. Pertama, semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi berkenaan melainkan Amerika Syarikat yang mengambil keputusan mengundi berkecuali. Kedua, resolusi itu tidak mengandungi sebarang peruntukan untuk mengadakan satu pasukan antarabangsa, sama ada satu kumpulan pengawasan atau satu pasukan tentera 'peace-keeping', dengan izin, untuk menyelia gencatan senjata dan menentukan segala arahan dipatuhi. 

    Oleh kerana tiadanya kumpulan atau pasukan antarabangsa, maka tiada siapa untuk menentukan supaya tentera Israel berundur keluar dari wilayah Gaza. Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi Nombor 9567 itu. 

    Akibatnya, pada ketika ini - iaitu sudah empat hari sejak gencatan senjata diisytiharkan - iaitu pada masa Dewan yang mulia ini sedang bersidang, serangan hebat Israel ke atas Gaza masih berlaku dan berterusan. Orang di Gaza terus mati dan cedera. Bilangan yang mati bertambah hari demi hari. Bilangan yang cedera dan kehilangan rumah tangga serta harta benda bertambah hari demi hari. 

    Bekalan makanan, bahan bakar, ubatan dan keperluan asas terus berkurangan hari demi hari. Bekalan bantuan dari dunia luar tidak dapat sampai kepada mangsa peperangan yang memerlukannya kerana jalan-jalan ditutup dan tidak selamat bagi pembantu-pembantu untuk bergerak bebas. Barang bantuan juga tidak dapat sampai menerusi Pantai Gaza kerana lautan sekeliling Gaza di kepung atau, dengan izin, di 'blockade' oleh Israel. 

    Serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada 1967. Kanak-kanak Palestin ada yang mati terbunuh kena tembak, dengan izin, 'sniper fire'. Pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel secara rambang telah kena tiga buah sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency dan serangan ini mengorbankan berpuluh anak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap orang Palestin tiada tolok bandingnya. 

    Malaysia berasa amat sedih dan kesal dengan situasi yang berlaku di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel. Beratus orang rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa. Serangan ini melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang bertubi-tubi. Sekatan atau dengan izin, 'blockade', yang dilakukan oleh tentera laut Israel menyekat bantuan tiba melalui laut wilayah Gaza. Malaysia hampa dengan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan menghentikan serangan ini, terutama kegagalan Majlis Keselamatan PBB. 

    Seperti yang sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Malaysia di Dewan yang mulia ini, Israel sering kali dan secara berterusan bersikap angkuh melakukan tindakan agresif dan kejam ke atas rakyat Palestin sejak sekian lama. Pelbagai resolusi dilulus oleh Majlis Keselamatan tetapi tidak dihiraukan oleh Israel. Namun, Israel lebih memilih untuk tidak mengendahkan dan membelakangi undang-undang antarabangsa. Sebaliknya, Israel mengambil langkah lebih biadab dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin. 

    Malaysia pernah menaruh harapan akan usaha pihak Amerika Syarikat untuk membuka jalan penyelesaian melalui proses damai Annapolis yang diadakan pada 27 November 2007. Ketika persidangan Annapolis itu, persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak, Palestin dan Israel, bagi mengadakan rundingan berterusan agar dapat mewujudkan negara Palestin yang bebas dan berdaulat pada akhir 2008. 

    Persetujuan semasa persidangan itu disaksikan oleh masyarakat antarabangsa, termasuk oleh Malaysia yang turut dijemput menyertai. Kita berasa amat kecewa apabila proses damai Annapolis menemui jalan buntu. 

    Masyarakat antarabangsa merata-rata mengutuk tindakan rejim Israel menyerang Gaza. Demonstrasi dan protes bagi mengecam tindakan Israel itu diadakan di beberapa negara. Malangnya, ada juga pihak yang bersikap serong dan meletakkan tanggungjawab bulat-bulat ke atas pejuang Hamas di Gaza yang melancar roket ke arah Israel. Tetapi, Ahli Yang Berhormat sekalian haruslah sedar bahawa ini adalah tindakan orang yang terkepung, tidak boleh bebas dan merentas sempadan wilayah mereka sendiri. 

    Pada 27 Disember 2008, Profesor Richard Falk, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah yang diduduki, menyifatkan pengeboman Israel ke atas Gaza sebagai pencabulan besar terhadap perundangan kemanusiaan antarabangsa seperti ditetapkan oleh Konvensyen Geneva. 

    Bagaimanapun, Malaysia tetap tidak berputus asa. Kerajaan, melalui Kementerian Luar Negeri sudah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York supaya terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin. Khususnya, beliau sudah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara anggota OIC dan NAM. 

    Sekiranya gencatan senjata terus tidak berkuat kuasa dan keadaan buruk di Gaza tidak berubah, maka negara yang sependapat dengan Malaysia mestilah berusaha semula untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar Perhimpunan Agung berlandaskan Resolusi No.377 a (v) tahun 1950 – 'uniting for peace'. 

    Saya sendiri juga sudah mengutus kepada Setiausaha Agung PBB, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Ketua-Ketua Kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, negara anggota OIC, negara NAM serta beberapa tokoh seperti Pope Benedict XVI, Barack Obama dan Jimmy Carter, untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan di Gaza khasnya. 

    Kementerian Luar Negeri juga secara rasminya sudah mengaktifkan 'Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin' bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kerajaan sudah menyumbang AS$1 juta kepada penduduk Gaza melalui Mercy Malaysia. 

    Mengambil kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada Ahli Dewan yang mulia ini untuk turut membantu usaha murni ini dengan menggalakkan semua rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membantu rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan yang amat daif akibat serangan tentera rejim Zionis. 

    Selaku masyarakat Malaysia yang sentiasa prihatin dan simpati kepada kesengsaraan golongan yang tertindas, marilah kita sama-sama menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin di Gaza. 

    Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada yang maha Esa agar bencana kemanusiaan ini dapat dihentikan serta-merta. Malaysia akan terus memantau perkembangan krisis di wilayah Palestin di Gaza.

    (BERITA HARIAN)

  • Sunday, January 11, 2009

    JENAYAH PERANG ISRAEL


    RAKYAT Palestin memenuhi pusat bantuan PBB di kem pelarian Shati untuk mengambil makanan di Gaza, semalam.

    PBB dakwa Tel Aviv langgar peraturan

    GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu Israel disiasat atas tuduhan jenayah perang berhubung pengeboman sebuah rumah yang sesak dengan orang awam Palestin yang berlindung daripada bedilan tentera rejim Zionis berkenaan. 

    Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Kemanusiaan, Navi Pillay, berkata pengeboman itu mempunyai unsur jenayah perang.

    Kenyataan berkenaan menyusuli dakwaan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bahawa Tel Aviv melanggar peraturan perang apabila gagal membantu mereka yang cedera dalam insiden yang sama. 


    Insiden terbabit berlaku Isnin lalu di Zeitoun, Bandaraya Gaza di mana tentera Israel yang memasuki daerah berkenaan mengetuk pintu rumah puak Samouni dan mengarahkan mereka keluar dan memasuki sebuah bangunan lain. 

    Kira-kira 24 jam selepas arahan itu diberi bangunan yang sesak dengan ahli puak Samouni itu dibedil oleh tentera Israel, membunuh 30 orang.

    (BERITA HARIAN)

    Thursday, January 8, 2009

    DESAKAN MALAAYSIA DISOKONG

    Asean, OIC sambut baik syor PBB bincang isu Gaza

    PUTRAJAYA: Desakan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman Israel di Palestin mendapat sokongan pemimpin Asean dan negara Islam. 

    Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, yang menyatakan sokongan terhadap cadangan itu.

    MANGSA KEKEJAMAN ISRAEL: Penduduk Palestin berdoa serta solat jenazah sebelum pengebumian berpuluh-puluh mangsa serangan udara Israel di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jabaliya, utara Gaza, semalam.

    Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji OtriSyria, yang kini dalam lawatan ke negara ini turut menghargai usaha Malaysia. 

    "Ia petanda awal bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak terhadap isu berkaitan kekejaman rejim Yahudi itu, mendapat perhatian pemimpin dunia," kata Dr Rais selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Wisma Putra, semalam. 

    Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia akan menggerakkan usaha bagi mendesak PBB mengadakan sidang khas itu menerusi permuafakatan dalam Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

    Sokongan pemimpin negara NAM, OIC dan Asean berupaya membentuk desakan kuat untuk meneruskan sidang tergempar di PBB itu. Daripada 192 negara anggota PBB, negara OIC mewakili 57 ahli dalam pertubuhan dunia itu, NAM (114) dan Asean (10). 

    Pada sidang media selepas mesyuarat delegasi Malaysia-Syria pula, Rais berkata, mesyuarat Kabinet semalam turut bersetuju Parlimen mengadakan sesi khas membahas dan mengambil ketetapan mengenai isu kekejaman Israel terhadap Palestin. 

    Sidang khas Dewan Rakyat itu akan diadakan Isnin depan bermula jam 2.30 petang. 

    Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pergerakan itu akan mewujudkan gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 500 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak.

    "Gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui NGO telah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya. 

    Beliau berkata, keangkuhan dan kezaliman berterusan rejim Zionis menuntut seluruh rakyat tanpa mengira usia, kaum dan agama untuk sama-sama berganding bahu menggerakkan tentangan besar-besaran. 

    "Kita akan membabitkan semua pihak, termasuk setiap sekolah dan golongan masyarakat bagi menjayakan inisiatif keamanan ini dengan berkesan sehingga kezaliman ini dihentikan," katanya.

    (BERITA HARIAN)


    Wednesday, January 7, 2009

    HIMPUNAN RAKSAKSA KUTUK KEKEJAMAN ISRAEL

    LIMBARUH HIJAU 7 JANUARI 2009 - RANCANGAN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) untuk mengadakan perhimpunan bagi tunjuk rasa kecewa dan sedih terhadap tindakan ganas Israel keatas rakyat Palestine tidak di restui oleh pihak yang berwajib.

    Jawapan yang menyedihkan ini di sampaikan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan melalui SMS kepada Setiausaha Agung NDP, Awang Haji Aminorashid Haji Ghazali dan Setiausaha Kerja, Awang Haji Juned Ramli kelmarin.

    Tidak ada sebarang alasan di berikan kenapa perhimpunan yang bertujuan untuk menterjemahkan semangat solidariti rakyat Brunei bersama rakyat Palestine yang di zalimi dan sentimen rakyat Brunei terhadap kekejaman Israel itu tidak di benarkan.

    NDP merasakan tidak cukup kita mengutuk perbuatan Israel itu dengan kata-kata sahaja, Justeru parti berhasrat mengadakan perhimpunan tersebut sebagai langkah konkrit menyokong dan berdiri teguh di belakang Kerajaan KDYMM yang telah mengeluarkan kenyataan keras mengutuk tindakan Israel tersebut dan menyeru Israel agar menghormati nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

    Selain itu NDP sebagai sebuah parti politik yang berlandaskan ajaran Islam rasa terpanggil untuk mara kehadapan membantu saudara sesama Islam kita yang tertindas. Dan bantuan dan sokongan yang sekadar kita termampu ialah dengan mengadakan perhimpunan untuk meluahkan kebencian kita kepada tindakan ganas Israel itu.

    Walaupun rancangan awal ini tidak di restui namun NDP tidak akan berputus asa dan masih berharap kepada Allah agar mengerakkan hati pihak berwajib untuk memberikan ruang kepada ahli-ahli NDP untuk membuat perhimpunan tersebut.

    Sementara itu NDP juga rasa terpanggil melihat rakyat di seluruh dunia terutama mereka yang tidak beragama Islam turut bangkit mengutuk kekejaman Israel itu.

    Di Malaysia, menurut laporan Utusan malaysia kelmarin, satu perhimpunan raksasa disertai semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan kekejaman Israel di bumi Palestin sebagai jenayah kemanusiaan.

    Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah di laporkan sebagai berberkata, cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok untuk merealisasikan perhimpunan kemanusiaan itu yang bebas daripada ideologi politik.

    ''Saya sedang menggerakkan kordinasi untuk membolehkan satu perhimpunan besar-besaran diadakan sebagai satu sentimen rakyat bagi melabelkan Israel sebagai pencetus teroris dunia".

    ''Perhimpunan ini dipertimbangkan diadakan dalam tempoh setengah hari atau sehari yang disertai semua NGO yang akan menyatakan kebencian yang teramat terhadap zionis", katanya lagi kepada Utusan Malaysia.

    Serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu itu setakat ini mengorbankan hampir 500 rakyat Palestin sebahagian besarnya orang awam, kanak-kanak dan wanita.

    Awal pagi kelmarin sahaja sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaru tentera zionis di Deir Al-Balah, tengah Genting Gaza.

    Semalam, Malaysia juga menggesa PBB mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan masyarakat dunia mengambil langkah berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Wisma Putra telah diarah menggerakkan wakil tetapnya di PBB supaya bekerjasama dengan kumpulan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi membolehkan perhimpunan khas tersebut diadakan.

    Abdullah menegaskan, hanya melalui Perhimpunan Agung Khas 'Perpaduan Untuk Keamanan' dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap usul resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

    Thursday, January 1, 2009

    JEJAK EHSAN HAWA PUSAT SAMBIL UCAP SELAMAT HARI NATAL

    Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) telah membuat kunjungan ke rumah balu mendiang Gawang Anak Brauk, Mariam Anak Gaian di Jalan Pantai Kampung Sungai Liang untuk mengucapkan Selamat Hari Natal kepada beliau Ahad lalu 28hb Disember 2008.

    Kunjungan itu menerusi Program Jejak Ehsan Hawa Pusat juga turut bertujuan untuk bertanyakan perkhabaran balu mendiang itu sejak ditinggalkan suaminya pada 20hb Oktober 2008 lalu.
    Mendiang Gawang Anak Brauk merupakan salah seorang jawatankuasa Non Muslim Perhubungan Daerah Belait yang aktif bergerak dalam parti ini sejak beliau menyertai parti pada tahun 2006.

    Balunya Mariam juga merupakan anggota wanita NDP yang aktif menyertai berbagai program yang dianjurkan oleh wanita baik di peringkat pusat mahupun daerah.

    Rombongan tersebut yang telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat Dyg Hjh Saemah Hj Kepli turut menyumbangkan cenderahati kepada Dyg Mariam sebagai hasrat menambah ceriakan lagi sambutan Hari Natal bagi beliau dan keluarganya.

    Mendiang Gawang Anak Brauk menghembuskan nafas akhirnya dan meninggalkan isteri dan seramai Sembilan orang anak-anaknya beserta cucu-cucunya pada awal pagi ketika hendak bersiap-siap untuk pergi bekerja.

    Balunya menyambut kunjungan rombongan Hawa Pusat  pada hari itu dengan genangan air mata dan dalam perbualan bersamanya terus menceritakan kesedihan setelah kepergian suaminya. Beliau juga memberitahu sambutan Hari Natal tahun ini disambut keluarga itu secara sederhana kerana kepergian suaminya masih segar dirasakan.

    Mudah-mudahan dengan adanya kunjungan Jejak Ehsan itu sedikit sebanyak telah dapat membantu menceriakan hati wanita itu.