Posting mengikut label

Wednesday, May 20, 2015

Pelbagai reaksi diberikan


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Para peniaga dan orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap peraturan baru Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, yang melarang premis-premis perniagaan seperti kedai-kedai runcit dan kedai makan beroperasi selepas jam 12 tengah malam.

Beberapa orang peniaga dan orang ramai yang ditemui hari ini, menyahut baik arahan baru berkenaan, bagaimanapun, sebahagian yang lain menyeru supaya mempertimbangkan langkah lagi membolehkan mereka berniaga selepas 12 tengah malam.

Pengurus Perusahaan NASA, Awang Mohd Rafi Mohd Tahir berkata, tiga buah cawangan pasar mini NASA kini beroperasi sehingga 11 malam dan tidak terjejas ekoran arahan yang baru ini.

“Jika dilihat di kawasan Jalan Mulaut ini keadaan akan bertambah lengang selepas jam 10 malam dan itu membuatkan pengurusan kami bersetuju untuk tutup lebih awal namun saya percaya banyak tempat lain akan terjejas kerana kepadatan penduduk dan waktu pekerjaan yang berbeza bagi mereka yang mempunyai syif kerja malam,” ujarnya.

Meskipun bersetuju dengan arahan ini, beliau percaya pasti ada cara untuk membantu pengusaha yang sememangnya berniaga sehingga lewat malam kerana mata pencarian segelintir pengusaha akan tiba lewat malam seperti di kawasan ibu negara.




Perkara itu disetujui Penyelia restoran TK Tea House Cawangan Gadong, Dayang Norhasanah Muslim yang menekankan bahawa kedai makan mereka hanya akan mulai ramai selepas pukul 10 malam terutama apabila adanya siaran langsung bola sepak atau sukan tertentu ditayangkan.

“Bukan setiap hari kami dipenuhi pelanggan dan ada kalanya tidak ada langsung dan perkara ini merunsingkan kami kerana kami mempunyai komitmen untuk membayar sewa dan gaji pekerja,” ujarnya.

Katanya, beliau menyahut baik usaha positif arahan baru itu, namun begitu beliau mencadangkan supaya ada cara lain untuk peniaga terus berniaga selepas jam 12 tengah malam kerana bagi mereka pelanggan terdiri daripada pekerja yang bertugas pada waktu malam dan pengunjung tetap.

”Jika perlu, kami memohon kepada pihak bandaran untuk meneliti semula apakah usaha yang wajar dan cuba melihat apa alternatif supaya peniaga akan terus berniaga seperti sebelum ini meskipun terpaksa membayar waktu perniagaan kepada pihak berkenaan bagi memastikan pelanggan diberikan keutamaan,” ujarnya.

Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dalam Surat Pemberitahuan bertarikh 14 Mei 2015 yang keluarkan kepada premis-premis perniagaan menyatakan, dengan peraturan baru itu maka kebenaran berniaga selepas jam 12 malam yang diberikan kepada beberapa buah kedai termasuk kedai makan sebelum ini adalah dibatalkan.

Surat Pemberitahuan tersebut yang disiarkan melalui laman sesawang sosial Jabatan berkenaan, kelmarin turut menegaskan, jika didapati kedai-kedai dan kedai makan yang masih beroperasi melebihi jam 12 malam, tindakan-tindakan tertentu akan diambil seperti mengeluarkan notis/surat penggantungan mahupun pembatalan Lesen Perniagaan.

Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Setia Indera Pengiran Haji Ismail dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata, larangan tersebut turut termasuk gerai-gerak Nasi Katok dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.

Seorang pengusaha tempatan yang hanya dikenali sebagai Haji Zainal ketika ditemui turut menyahut baik arahan ini.

Namun, katanya, beliau mendengar banyak keluhan dan rintihan daripada pengusaha yang terlibat dengan operasi perniagaan selepas 12 tengah malam.

Beliau enggan mengulas banyak mengenai perkara ini kerana baginya perniagaan perlu diteruskan meskipun terpaksa akur dengan arahan, namun beliau juga menyatakan supaya langkah yang perlu harus dibuat pihak berkuasa untuk memastikan kebajikan peniaga terjamin.

Haji Zainal menekankan bahawa, setiap jam tambahan dalam perniagaan merupakan sumber rezeki dan pasti akan memberikan kelebihan kepada peniaga dan perniagaan, dan jika disingkatkan ia secara tidak langsung akan mengehadkan pendapatan mereka yang terikat dengan komitmen kos.

“Secara dasarnya, ia adalah satu langkah yang positif namun perlu dilihat kepada kawasan tertentu kerana kita mempunyai warga kerja kerajaan dan swasta yang bertugas di sebelah malam dan mereka ini perlu ada tempat makan dan membeli keperluan pada waktu malam sehingga ke awal pagi,” ujarnya lagi dengan tegas.


Sumber - Media Permata

No comments: