Posting mengikut label

Tuesday, June 16, 2015

Bolehkah Rohingya dapat pengadilan


Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Fareed Mohd Hassan

PENINDASAN terhadap orang-orang Rohingya adalah isu yang hangat diperkatakan sekarang, terutama setelah meletusnya Rusuhan Negeri Rakhine pada tahun 2012.

Isu ini terus memburuk setelah ramai orang Rohingya meninggalkan ‘tanah air’ mereka menggunakan jalur laut yang ramai mengungkapkannya sebagai ‘pelayaran maut’ ke negara-negara jiran terutamanya Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Adalah benar untuk menyatakan bahawasanya orang-orang Rohingya ini tidak bernegara. Dengan status sebegini, bolehkah Rohingya mendapatkan pengadilan antarabangsa untuk membela kekejaman yang dilemparkan terhadap mereka?

Terdapat beberapa tribunal jenayah antarabangsa yang ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan PBB di Asia Tenggara yang telah membicarakan isu keganasan tentera Indonesia terhadap orang Timor-Leste pada tahun 1999 dan kekejaman Khmer Rouge sewaktu rejim Pol Pot di antara tahun 1975 sehingga 1979. Walau bagaimanapun, tribunal-tribunal ini telah diwujudkan menerusi perjanjian di antara Majlis Keselamatan PBB dan kerajaan Timor-Leste serta kerajaan Kemboja.

Adalah agak mustahil bagi kerajaan Myanmar untuk memohon kepada Majlis Keselamatan PBB untuk menubuhkan tribunal dalam negeri, yang mana banyak ketua kerajaan boleh disabitkan untuk jenayah kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang-orang Rohingya.

Sejak Julai 2002, Statut Rom telah mula berkuat kuasa dan bertitik tolak dari sini, dunia telah pun memiliki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Oleh kerana kekejaman terhadap orang-orang Rohingya ini adalah jenayah pasca-2002, tidak ada keperluan untuk menubuhkan tribunal bagi menguruskan hal orang-orang Rohingya kerana kini telah wujud saluran ICC.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah diwujudkan menerusi sebuah triti yang dipanggil Statut Rom, bertujuan membicarakan dan menghukum individu-individu yang bertanggungjawab ke atas jenayah kekejaman pembunuhan beramai-ramai serta jenayah kemanusiaan, sama ada individu atau pelaku jenayah tersebut adalah seorang pemimpin negara ataupun tidak.

Artikel 7(2)(g) Statut Rom mendefinisikan penindasan sebagai ‘pelucutan hak asasi secara sengaja dengan melanggar lunas undang-undang antarabangsa disebabkan perbezaan identiti kumpulan tersebut’. Orang-orang Rohingya hampir kesemuanya beragama Islam dan secara etnik berbeza dengan kaum-kaum Myanmar yang rata-ratanya beragama Buddha.

Oleh kerana perbezaan ini, mereka telah dinafikan hak-hak asasi sebagai rakyat, tidak diberikan kerakyatan, disekat pergerakan dan telah ditindas secara berleluasa – penindasan yang dikatakan disokong dan ditaja oleh pemerintah Myanmar sendiri. Walaupun Rohingya bukanlah rakyat Myanmar yang sah, bidang kuasa ICC masih berlaku kerana jenayah-jenayah yang dikatakan berlaku ini mengambil tempat dalam wilayah Myanmar.

Selain itu, banyak orang Rohingya telah dibunuh setiap hari di Myanmar dan ini boleh dianggap sebagai jenayah pembunuhan beramai-ramai atau dalam bahasa Inggeris, genocide. ICC mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan dan mendengar kes-kes seperti ini.

Artikel 6(1) Statut Rom menjelaskan bahawa jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide) merangkumi segala perlakuan membunuh, secara keseluruhan atau sebahagian, yang berlaku disebabkan etnik, kaum ataupun agama sesetengah kumpulan orang.

Lagi pula, Myanmar adalah negara parti kepada Konvensyen Pembunuhan Beramai-ramai 1948 (Genocide Convention 1948) yang memerlukan kerajaan Myanmar untuk menghalang dan menghukum individu yang terlibat dalam jenayah kemanusiaan ini.

Walau bagaimanapun, tiada inisiatif diambil oleh Myanmar setakat ini untuk membendung atau menghukum pelaku jenayah ini yang kebanyakannya adalah rakyatnya sendiri.

Akibat daripada ini, bencana kemanusiaan meledak mengakibatkan perpindahan secara besar-besaran Rohingya ke negara-negara jiran yang lain.

Walaupun Myanmar bukanlah negara parti Statut Rom, ini tidak bermakna pelaku-pelaku jenayah ini boleh terlepas tanpa sebarang sabitan. Pendakwaraya ICC boleh memulakan penyiasatannya sendiri di bawah Artikel 13(c) Statut Rom.

Majlis Keselamatan PBB boleh juga merujuk situasi di Myanmar ke ICC menerusi Artikel 13(b) Statut Rom, yang mana situasinya sama dengan konflik yang berlaku di Darfur, Sudan dan Libya dan ketiga-tiga negara ini bukanlah negara parti Statut Rom.

Walau bagaimanapun, inisiatif melalui saluran ini memerlukan penglibatan politik dari negara-negara Majlis Keselamatan PBB dan tidak diveto oleh mana-mana kuasa ‘big five’ (China, Amerika Syarikat, Rusia, Perancis dan Britain) bagi membolehkan situasi Rohingya dirujuk dan dibawa ke ICC.

Kesimpulannya, keadilan dan perlindungan wajar diberikan kepada orang Rohingya dengan mengheret individu-individu yang terlibat  dalam jenayah kemanusiaan ke ICC. Masalahnya, siapakah yang akan memulakan proses keadilan melalui saluran ICC ini?


Sumber - Sinar Harian

No comments: