Posting mengikut label

Monday, August 24, 2015

Fiscal stimulus can soften impact of falling oil prices


Koo Jin Shen
BANDAR SERI BEGAWAN


GOVERNMENT stimulus is necessary to soften the impact of low oil prices on the Bruneian economy.

In an interview with The Brunei Times, Alan Boyd, Southeast Asian analyst for UK-based analysis and advisory firm Oxford Analytica, said a government stimulus can help an economy hurting from sinking oil prices and lower export revenues.

“The government’s most pressing task is to soften the impact of the economic downturn on consumers by creating jobs and supporting private consumption,” he said.

Brunei’s economy remains highly reliant on oil and gas sector. It accounts for more than half of its GDP and 90 per cent of its exports.

While recent diversification efforts are starting to see fruit, the fall in oil and gas prices has forced the government to operate at a budget deficit for this year.

The Ministry of Finance announced at the second sitting of the Legislative Council Meeting in March that with a proposed national budget of $6.4 billion, Brunei would run into a deficit of $2.28 billion for the fiscal year 2015/216.

Minister of Finance II Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Hj Abdul Rahman Hj Ibrahim (pictured) said weak oil prices will reduce total government revenue which is projected at $4.117 billion.

The government eventually only approved a budget of $5.7 billion and this should bring the actual deficit down to over $1.58 billion.

Boyd acknwledged that public revenues have taken a hit from falling oil prices. But he said an increase in government spending should still be considered.

“The government had a fiscal surplus equivalent to two per cent of gross domestic product at the end of 2014, which provides ample room for stimulus spending,” he said.

Boyd said Brunei’s challenge is to spread risks that are derived from cyclical commodity slumps and providing a “growth buffer” that will keep the economy afloat during tougher times.

He cited Malaysian and Indonesian economies, their growth dependent on commodity exports. But those two countries also have strong manufacturing, services and agricultural sectors that can help them get through slumps in commodity prices.

“Brunei doesn’t have such a buffer,” he said.

Boyd said all ASEAN countries are experiencing economic difficulties as they prepare for the start of the AEC.

“But these are magnified in Brunei by the absence of any other significant economic drivers that can compensate for the loss of oil revenues,” he said.


Sumber - The Brunei Times

Thursday, August 20, 2015

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-69 Tahun


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-69 Tahun Pada Hari Rabu 15 Ogos 2015

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini, dalam keadaan aman lagi sejahtera.

Sekali lagi, istiadat perayaan ini berlangsung, sesudah kita umat Islam di negara ini berjaya menyempurnakan ibadat puasa dan juga setelah selesai meraikan Hari Raya ‘Idil Fitri yang mubarak.

Beta dengan perasaan tulus ikhlas, terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada tetamu-tetamu khas Beta, yang sudi hadir keistiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta serta keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Setiap perubahan atau perkembangan dunia, biasanya turut dirasakan bahangnya oleh semua pihak, termasuk juga kita di negara ini, kerana kita juga adalah sebahagian daripada warga dunia itu. Bahang tersebut meliputi sudut-sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

Kewajipan kita dalam menghadapi bahang seperti ini, supaya tidak gelabah, tetapi perlu untuk banyak-banyak bertenang dan bersikap lebih bijaksana.

Jika kita bertindak, maka bertindaklah dengan cara kita, seperti juga kalau berfikir, maka berfikirlah dengan cara kita orang-orang Brunei berfikir, tanpa perlu meniru-niru cara orang lain.

Yang penting, kita menangani sebarang impak perubahan dan perkembangan itu, ialah dengan cara realistik dan pragmatik, bagi mempastikan semuanya adalah tetap kukuh dan stabil.

Jika kita merancang, maka perancangan itu hendaklah didukung oleh keupayaan sumber manusia dan kemahiran dan cekap, supaya dengan itu dapatlah kita memperolehi hasilnya dengan memuaskan.

Supaya perancangan lebih effektif, maka Perkhidmatan Awam perlu mengambil langkah memperkukuhkan lagi ‘akauntabiliti’ dalam pentadbirannya. Melalui ini, ia dapat diharapkan untuk menerapkan ‘budaya prestasi’ atau ‘performance culture’ dalam Perkhidmatan Awam itu.

Perlu diingat, matlamat kita ialah untuk mengekalkan apa yang ada pada masa ini, supaya ia dapat dinikmati oleh generasi kita silih berganti. Ini adalah satu azam yang mulia.

Terutama ketika menghadapi cabaran ekonomi masa kini, kita adalah diperlukan untuk meningkatkan iltizam membangun dan membina diri. Tidak ada yang lebih mustahak dari mengekalkan dayatahan bagi jangka masa yang panjang.

Tanpa mengabaikan sumber yang sedia ada, langkah mempelbagaikan ekonomi juga mestilah diteruskan. Ini namanya proses ‘peningkatan’, dimana semua pihak perlu untuk terlibat.

Dalam ekonomi, satu asas penting untuk dimiliki ialah kebolehan kita merebut peluang. Peluang itu biasanya hanya sekali. Ia jarang berulang. Jika kita tidak merebutnya, kita akan ditinggalkan jauh begitu saja.

Merebut tentang ‘peluang’ ini, segera mengingatkan kita kepada ‘peluang pekerjaan’. Adapun usaha mewujudkan peluang pekerjaan itu, merupakan suatu usaha murni, kerana ia membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Peluang ini sebenarnya ada, tetapi masih saja terpulang kepada pencari-pencari pekerjaan masing-masing. Pada lumrahnya, peluang itu lebih banyak diisi oleh pekerja-pekerja asing di sektor swasta, sementara bagi pencari-pencari kerja dari kalangan anak tempatan pula, mereka itu dilihat, sebagai lebih memilih untuk bekerja di sektor awam dan kerajaan.

Ini juga pada hemat Beta, merupakan satu kelemahan ketara yang perlu diperbaiki. Kelemahan ini berpunca deripada sikap, sedangkan sikap adalah penentu kepada maju mundurnya sesuatu bangsa. Jadi tidak meragukan lagi, sikap memilih-milih pekerjaan itu boleh dianggap sebagai satu penghalang kepada perkembangan dan kemajuan bangsa.

Maka jelaslah, yang penting disini ialah, Brunei mesti dengan segera melakukan penghijrahan minda: Dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh, kepada rajin bekerja. Dari banyak bergantung harap, kepada lebih membanyakkan usaha, dan dari kurang berdikari, kepada lebih berdikari. Inilah sumber kekuatan kita.

Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mempererat lagi hubungan persahabatan serta kerjasama dengan negara-negara luar, diantaranya, melalui keahlian negara dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.

Kita juga memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa, di samping menghulurkan bnatuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, yang dilanda oleh malapetaka dan bencana alam, selaras dengan kemampuan kita.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara diatas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sunday, August 16, 2015

Penghijrahan minda mesti dilakukan segera




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Negara Brunei Darussalam mesti dengan segera melakukan penghijrahan minda, dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh kepada rajin bekerja.

"Dari banyak bergantung harap, kepada lebih membanyakkan usaha, dan dari kurang berdikari, kepada lebih berdikari. Inilah sumber kekuatan kita," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena UIang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, ketika menghadapi cabaran ekonomi masa kini, semua pihak diperlukan untuk meningkatkan iltizam membangun dan membina diri, yang mana tidak ada yang lebih mustahak dari mengekalkan daya tahan bagi jangka masa yang panjang.

Baginda seterusnya bertitah menegaskan, langkah mempelbagaikan ekonomi juga mestilah diteruskan tanpa mengabaikan sumber yang sedia ada, yang demikian itu namanya proses 'peningkatan', di mana semua pihak perlu untuk terlibat.

Dalam ekonomi, titah baginda, satu asas penting untuk dimiliki ialah kebolehan kita merebut peluang yang biasanya hanya sekali dan jarang berulang. Jika kita tidak merebutnya, kita akan ditinggalkan jauh begitu saja.

"Menyebut tentang 'peluang' ini, segera mengingatkan kita kepada 'peluang pekerjaan'. Adapun usaha mengwujudkan peluang pekerjaan itu, merupakan suatu usaha murni, kerana ia membawa kepada kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Peluang itu, titah baginda, sebenarnya ada, tetapi masih saja terpulang kepada pencari-pencari pekerjaan masing-masing, namun pada lumrahnya peluang itu banyak diisi oleh pekerja-pekerja asing di sektor swasta, sementara bagi pencari-pencari kerja dari kalangan anak tempatan masih dilihat mereka lebih memilih untuk bekerja di sektor awam atau kerajaan.

Perkara itu pada hemat baginda merupakan satu kelemahan ketara yang perlu diperbaiki.

"Kelemahan ini berpunca daripada sikap, sedangkan sikap adalah penentu kepada maju mundurnya sesuatu sesuatu bangsa. Jadi tidak diragukan lagi, sikap memilih-milih pekerjaan itu boleh dianggap sebagai satu penghalang kepada perkembangan dan kemajuan bangsa," titah baginda.


Sumber - Pelita Brunei


Tangani impak perubahan dan perkembangan secara realistik dan pragmatik

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingat dan menekankan jika kita menangani sebarang impak perubahan dan perkembangan itu, ialah dengan cara realistik dan pragmatik. Ini tambah baginda adalah bagi mempastikan semuanya adalah tetap kukuh dan stabil.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena UIang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Terdahulu baginda bertitah, bahawa setiap perubahan atau perkembangan dunia, biasanya turut dirasakan bahangnya oleh semua pihak, termasuk juga kita di Negara Brunei Darussalam, kerana kita juga, jelas baginda, adalah sebahagian daripada warga dunia ini. Bahang tersebut, jelas baginda lagi, meliputi sudut-sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

Kewajipan kita dalam menghadapi bahang seperti ini, nasihat baginda, supaya tidak gelabah, tetapi perlu untuk banyak-banyak bertenang dan bersikap lebih bijaksana.

Jika kita bertindak, tegas baginda, maka bertindaklah dengan cara kita, seperti juga kalau berfikir, tegas baginda lagi, maka berfikirlah dengan cara kita orang-orang Brunei berfikir, tanpa perlu meniru-niru cara orang lain.

Seterusnya baginda menegaskan, jika kita merancang, maka perancangan itu hendaklah didukung oleh keupayaan sumber manusia yang berkemahiran dan cekap. Ini menurut baginda, supaya dengan itu dapatlah kita memperolehi hasilnya dengan memuaskan.

Menurut baginda lagi, Perkhidmatan Awam perlu mengambil langkah memperkukuhkan lagi 'akauntabiliti' dalam pentadbirannya supaya perancangan lebih efektif. Melalui ini, tambah baginda, ia dapat diharapkan untuk menerapkan 'budaya prestasi' atau 'performance culture' dalam Perkhidmatan Awam itu.

Baginda mengingatkan bahawa matlamat kita ialah untuk mengekalkan apa yang ada pada masa ini, supaya ia dapat dinikmati oleh generasi kita silih berganti. Ini tambah baginda, adalah satu azam yang mulia.

''Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mempererat lagi hubungan persahabatan serta kerjasama dengan negara-negara luar, di antaranya, melalui keahlian negara dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa,'' titah baginda.

Dalam pada itu, kita juga, menurut baginda, memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa. Di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, yang dilanda oleh malapetaka dan bencana alam, tambah baginda, selaras dengan kemampuan kita.

Pada awal titah baginda, baginda dengan perasaan tulus ikhlas, merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada tetamu-tetamu khas baginda, yang sudi hadir ke istiadat itu, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada baginda serta keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Pada mengakhiri titah baginda, baginda dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidamatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan baginda.

Seterusnya baginda juga merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat, kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha mereka untuk menjayakan perayaan pada tahun ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mendoakan semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan terus kekal aman dan makmur, di bawah naungan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.


Sumber - Pelita Brunei


Thursday, August 13, 2015

Brunei-M’sia ulangi komitmen


BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan perjumpaan empat mata bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang berlangsung di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.

Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Perdana Menteri Malaysia telah berbincang mengenai isu-isu dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, serta bertukar-tukar pendapat tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib berada di negara ini bagi Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-19 di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas rundingan tersebut kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama demi manfaat kedua-dua negara serta menzahirkan rasa gembira mereka dengan perkembangan menggalakkan di bawah pelaksanaan Pertukaran Surat ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 16 Mac 2009.

Sementara itu, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dalam sidang akhbar pada akhir lawatan beliau ke Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini hari ini berkata, operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei yang kini dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 malam.




Katanya, perkara itu telah mendapat perkenan Baginda Sultan semasa perjumpaan di sini hari ini.

“Dari segi (waktu operasi) pintu masuk sekarang, terdapat kesukaran dalam kalangan orang ramai, sama ada dari Brunei ke Malaysia atau Malaysia ke Brunei. Tempoh pembukaan di pintu masuk hanya sehingga 10 malam supaya perhubungan antara kedua-dua negara berjalan dengan lebih lancar lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh pelanjutan waktu operasi di pintu masuk sempadan itu akan mula dikuatkuasakan.

Katanya, kajian juga akan dilakukan untuk melicinkan perjalanan antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak berikutan pasport perlu dicap banyak kali kerana terdapat banyak pintu masuk di sempadan kedua-dua buah negara.

Mengulas lanjut berkenaan perjumpaan dengan Baginda Sultan, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib, berkata Baginda Sultan juga telah bersetuju untuk mengurniakan empat helikopter Black Hawk terpakai kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.

“Perkara ini akan disusuli nanti oleh Datuk Seri Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan. Kerjasama bidang pertahanan (Malaysia-Brunei) berada pada tahap yang baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam soal pertahanan juga, Malaysia telah mewujudkan ‘sea based platform’ di perairan Sabah dan pihak Brunei terutama angkatan tenteranya boleh mewujudkan platform yang sama di perairan negara itu.

Beliau berkata, dalam perjumpaan hari ini, kedua-dua pihak juga bersetuju supaya nelayan yang melakukan aktiviti perikanan di kawasan tradisional tidak akan dihalang berbuat demikian jika termasuk ke kawasan perairan kedua-dua negara.

“Mereka ini tak kenal antara kawasan (perairan) Brunei dan Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua negara juga akan meneruskan usaha penentuan tanda sempadan darat di kawasan yang masih belum dimuktamadkan.

Mengenai pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menghubungkan Sarawak, Sabah dan Brunei yang dijangka siap enam tahun lagi, beliau berkata, kerajaan Brunei akan membuat perancangan awal supaya bahagian lebuh raya yang melalui Brunei akan mempunyai kemudahan asas tambahan untuk keselesaan pengguna lebuh raya itu nanti.

Katanya, hubungan yang terjalin selama ini antara kedua-dua negara akan terus dijadikan landasan untuk mengorak langkah ke hadapan serta menambah baik apa yang diusahakan, selain mencari bidang kerjasama yang baharu dan boleh diterokai bersama antara Brunei dan Malaysia.


Sumber - Media Permata

Brunei, M’sia mantap




BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, bagi Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-19 di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Rundingan diadakan dalam suasana yang baik dan mesra, melambangkan hubungan rapat dan lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pengukuhan berterusan hubungan dua hala sejak Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-18 pada 3 November 2014, dan mengesahkan semula komitmen mereka untuk mempertingkat lagi kerjasama dalam bidang kepentingan umum, demi faedah kedua-dua negara.

Mereka juga menyatakan rasa gembira terhadap perkembangan yang menggalakkan di bawah pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin Brunei Darusalam dan Malaysia pada 16 Mac 2009 serta menekankan peranan penting Pertukaran Surat dalam memantapkan lagi hubungan mesra dan istimewa serta memajukan kerjasama strategik.

Kerjasama dalam petroleum, penternakan

Mereka turut melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan berterusan yang dicatat oleh Petroleum Brunei dan PETRONAS. Perkongsian lama ini dapat dilihat dengan jelas menerusi kerjasama dalam Bidang Pengaturan Komersial (CAA), Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) dan di negara lain seperti Kanada dan Myanmar. Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan Petroleum Brunei dan PETRONAS supaya terus bekerjasama untuk mencari penyelesaian inovatif untuk memperdagangkan penemuan CAA baru-baru ini sebaik sahaja ada peluang. Usaha untuk merealisasikan sebuah pusat luar pesisir sedang diselaraskan oleh Jabatan Tenaga Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (EDPMO).

Perkembangan besar dalam Kumpulan Kerja Bersama Penyatuan Brunei Darussalam-Malaysia mengenai aktiviti yang berkaitan dengan (i) Gumusut/Kakap (GK) dan Padang Geronggong/Jagus Timur (GRG/J) dan (ii) Kinabalu West NAG (KN) dan Padang Maharajalela Utara (MLJ)juga disentuh dan Perjanjian Muktamad dalam kedua-dua bidang pada akhir tahun ini dinanti-nantikan.

Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia juga menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan yang dicatat oleh kumpulan teknikal bersama mengenai penentuan bersama dan tinjauan sempadan tanah di antara Brunei Darussalam dan Malaysia, mendapati kemajuan telah dicatat dalam beberapa bidang utama. Pihak berkenaan yang menjalankan tinjauan bersama dan aktiviti penentuan digesa untuk melakukannya dengan cepat dan cekap, terutamanya dalam bidang yang penting kepada rakyat kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga menggesa pegawai dua negara ini supaya mempertingkat lagi perbincangan mereka dengan tujuan menubuhkan memorandum persefahaman atau rangka kerja lain yang sesuai, untuk membolehkan pelaksanaan awal peruntukan Pertukaran Surat berhubung dengan hak menggunakan laut serta mempergiatkan usaha untuk membolehkan perbincangan berakhir awal.

Mereka mengesahkan semula komitmen terhadap kerjasama maritim dan meminta pegawai kedua-dua negara supaya meneruskan perbincangan mengenai pertambahan kerjasama dalam bidang ini dengan tujuan mencapai satu memorandum persefahaman dalam kerjasama maritim.

Pemimpin-pemimpin turut mengenang kembali perbincangan berterusan mengenai perkara berkaitan kerjasama perikanan di antara Brunei Darussalam dan Malaysia, termasuk pengawasan penangkapan ikan tradisional. Kedua-dua pemimpin mendapati pegawai kedua-dua pihak kini sedang membincangkan mengenai isu ini dan mengalakkan mereka supaya mengakhiri perbincangan dengan cepat dengan tujuan mencapai memorandum persefahaman dalam kerjasama perikanan.

Pemimpin-pemimpin menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan perbincangan mengenai kerjasama ekonomi di antara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah dan Sarawak serta mengalu-alukan penglibatan berterusan mengenai Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) di Sabah, dan menggalak kedua-dua pihak supaya terus meninjau bidang kerjasama ekonomi berpotensi yang lain.

Pelancongan, pelaburan diberi perhatian

Mereka juga menyambut baik perkembangan yang dicatat dalam kerjasama telekomunikasi di antara SACOFA, Sarawak, dan DST Communications, Brunei Darussalam. Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin berasa gembira dengan pemeteraian Perjanjian Dua Hala untuk Tukaran Optik Gentian Bersama dan Gran IRU pada 11 Ogos 2015.

Kedua-dua pemimpin menyetujui penubuhan Kumpulan Kerja Pelancongan Brunei-Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang kesalinghubungan, pemasaran dan promosi serta keselamatan.

Baginda Sultan dan Perdana Menteri Najib Tun Razak juga menyambut baik kerjasama pertanian dua hala di antara Brunei Darussalam dan Sarawak dalam bidang pengeluaran beras, haiwan ternakan dan akuakultur. Kedua-dua pemimpin mengambil perhatian mengenai hasrat Brunei Darussalam dan Sarawak untuk mencapai satu perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang minyak kelapa sawit pada masa depan.

Mereka berasa gembira mencatat aliran pelaburan dan perdagangan dua hala yang positif di antara kedua-dua negara. Kerjasama selanjutnya di antara sektor swasta amat digalakkan oleh pemimpin untuk merangsang kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih mantap, secara dua hala serta serantau menerusi BIMP-EAGA, ke arah realisasi Komuniti Ekonomi ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menekankan lagi kepentingan kerjasama berterusan di antara kedua-dua negara untuk melancarkan kemajuan industri perkhidmatan kewangan mereka dan penyeliaan pertubuhan antara sempadan, termasuk pelaburan dalam infrastruktur kewangan Islam kedua-dua negara dalam mengembangkan lagi industri tersebut bersama.

Pemimpin juga menggalak pertukaran berterusan maklumat dan kepakaran di antara Bank Negara Malaysia dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam dengan mengambil kira Memorandum Persefahaman yang ditandatangani di antara kedua-dua institusi.

Pemimpin melahirkan kepuasan mengenai perkembangan yang dicatat dalam pembangunan kerjasama dua hala dalam pertahanan, menerusi pertukaran lawatan yang tetap, kursus latihan dan latihan tentera di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Malaysia (ATM), yang telah menyumbang ke arah pemupukan persahabatan dan pemahaman di antara kedua-dua pihak.

Mantapkan pertahanan, pendidikan

Kedua-dua pemimpin mengesahkan semula kepentingan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara, dan memuji kakitangan ABDB dan ATM yang buat masa sekarang berkhidmat dalam Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pengawasan Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Filipina, atas dedikasi mereka untuk mengekal keamanan dan kestabilan di rantau masing-masing.

Baginda Sultan menyatakan penghargaan terhadap penyertaan Malaysia dalam Kemahiran Menembak Antarabangsa Brunei pada Pertemuan Senjata (BISAM) yang diadakan pada 20-31 Januari 2015 di Bandar Seri Begawan. Perdana Menteri Malaysia juga menyatakan penghargaan terhadap penyertaan Brunei Darussalam dalam Ruang Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi ke-13 (LIMA) pada 17-21 Mac 2015 di Langkawi, Malaysia.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa puas hati dengan inisiatif berterusan yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan lagi kerjasama rapat dalam pendidikan, termasuk institusi pembelajaran lebih tinggi dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan fakulti, seminar, ceramah awam dan dalam penerbitan bahan akademik. Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan pemeteraian MoU di antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam (UNISSA) dan Universiti Islam Malaysia (UIM) pada 27 Mei 2015 dan Persidangan Bersama mengenai “Perkongsian Pengetahuan Islam” oleh UNISSA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka juga mengambil perhatian mengenai kemajuan yang dicatat ketika Mesyuarat Menteri Kesihatan Dua Hala ke-7 di antara Brunei Darussalam dan Malaysia pada 1-2 Disember 2014 di Bandar Seri Begawan, dan mengalu-alukan penubuhan bidang kerjasama baru yang menumpu pada penguatkuasaan kesihatan, mengiktiraf kepentingan rangka kerja peraturan kesihatan yang efektif dan mapan untuk perlindungan kesihatan orang awam.

Baginda Sultan juga mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysia dalam mempelopori bidang kesihatan sebagai menyokong wawasan Komuniti ASEAN, terutamanya ketika penganjuran Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-13 oleh Brunei Darussalam, Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN+3 ke-7 (7th APTHMM) dan Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN-China ke-6 (ACHMM) pada 2016.

Mereka gembira dengan perbincangan berterusan mengenai pergerakan banduan dari kawasan di antara Sabah dan Sarawak menerusi Brunei Darussalam dan pergerakan banduan di Brunei Darussalam menerusi Sarawak. Mereka terus menggalak agensi relevan supaya memperkukuh kerjasama dalam bidang ini, terutamanya berusaha untuk memuktamadkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui.

Peningkatan hubungan kebudayaan di antara kedua-dua negara sejak setahun lalu turut diberi perhatian kedua-dua pemimpin. Baginda Sultan mengambil perhatian terhadap minat Malaysia untuk meninjau kerjasama dalam bidang keluarga, wanita dan kanak-kanak, dan menggalakkan kedua-dua pihak supaya menimbang kemungkinan mengadakan penempatan pegawai dan kakitangan dua hala, serta pertukaran kepakaran di antara kementerian yang terbabit.

Manakala Perdana Menteri Malaysia mengalu-alukan penyertaan atlet Brunei Darussalam pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Malaysia pada 2016, dan menyatakan harapan agar kontinjen Brunei Darussalam menyertai sukan itu secara berterusan pada masa depan.

Baginda Sultan juga menyambut baik sokongan dan penyertaan Malaysia dalam Sukan Sekolah ASEAN 2015 ke-7 yang akan berlangsung pada 21-29 November 2015 di Bandar Seri Begawan untuk kali pertamanya, bertujuan mempertingkat persahabatan dalam kalangan pelajar di rantau, mempromosi perpaduan belia ASEAN menerusi sukan sekolah serta menyediakan peluang untuk atlet sekolah berinteraksi dan membabitkan diri dalam pertukaran kebudayaan di ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa gembira dengan ketibaan pelancong yang memberangsangkan di antara kedua-dua negara. Baginda Sultan berasa gembira Malaysia adalah sumber pelancong terbesar untuk Brunei Darussalam, dan berasa puas hati dengan pertambahan jumlah pelawat dari Malaysia.

Mereka menggesa pegawai kedua-dua buah negara supaya terus bekerjasama untuk memperkukuhkan lagi kerjasama pelancongan di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda Sultan dan kerajaan serta rakyat Brunei Darussalam menyampaikan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas oleh gempa bumi di Ranau, Sabah, pada 5 Jun 2015. Baginda Sultan juga menyampaikan rasa simpati kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta yang dialami akibat banjir dan runtuhan tanah di Sabah.

Perdana Menteri Malaysia pula mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dibuat oleh kerajaan Baginda Sultan serta rakyat Brunei Darussalam menerusi “Dana Kemanusiaan untuk Mangsa Banjir di Malaysia” terhadap usaha bantuan banjir di Malaysia pada Disember 2014, dan atas bantuan yang dihulurkan oleh anggota pertubuhan bukan kerajaan Negara Brunei Darussalam, Anggota Sukarelawan Belia Negara (SBK) dan Cabaran, Pengembaraan, Rekreasi dan Mendidik (CARE) pada Januari 2015.

Perdana Menteri Malaysia merakamkan penghargaan terhadap sokongan padu Brunei Darussalam sepanjang penganjuran ASEAN oleh Malaysia dan dalam masa yang sama, Baginda Sultan memuji kepimpinan Malaysia terutamanya, lapan dasar utama yang digariskasarkan oleh Malaysia untuk menubuhkan Komuniti ASEAN secara formal, termasuk tumpuan dalam merealisasikan ASEAN yang “menumpu pada rakyat”. Baginda Sultan juga tidak sabar untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur pada 20-22 November 2015.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa puas hati mereka dengan keputusan mesyuarat ini dan mengalu-alukan pelaksanaan keputusan yang dicapai bersama untuk hubungan dua hala dan kerjasama yang lebih kukuh di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda Sultan juga menyampaikan salam mesra kepada semua warga Malaysia pada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, dan juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ke-58 pada 31 Ogos 2015. Perdana Menteri Malaysia juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga Brunei bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 di Malaysia pada 2016.


Sumber - Media Permata

Pusat Ehsan terima sumbangan Parti Pembangunan Bangsa


Oleh Hajah Saemah Kepli


KUALA BELAIT, 11 Ogos – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan seperti Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang menghulurkan satu unit penghawa dingin dan dua unit kipas.

Penyampaian sumbangan yang berlangsung di pusat berkenaan, hari ini, disempurnakan oleh Ketua Biro Alam Sekitar NDP, Haji Metali bin Ibrahim kepada Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.

Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan berkenaan ialah kalangan ahli-ahli Badan Perhubungan NDP Daerah Belait dan ahli-ahli ranting pertubuhan itu.

Dayang Hamimah dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang pusat itu, dan berharap ia akan berterusan sebagai tanda memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar di pusat berkenaan yang terdiri daripada mereka yang kurang upaya.


Sumbangan daripada Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kepada
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait

Sumbangan tersebut merupakan antara aktiviti berkebajikan yang diusahakan oleh NDP menerusi Badan Perhubungan NDP Daerah Belait, yang diketuai oleh Naib Presidennya, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib.

Ini merupakan kali kedua parti berkenaan menghulurkan sumbangan kepada Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait selepas yang pertama kira-kira tiga tahun lalu berupa pemasangan papan tanda pusat dan juga kerja-kerja mencantikkan kawasan taman pusat berkenaan, yang diketuai oleh Haji Metali.


Sumber - Media Permata