Posting mengikut label

Sunday, August 16, 2015

Penghijrahan minda mesti dilakukan segera




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Negara Brunei Darussalam mesti dengan segera melakukan penghijrahan minda, dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh kepada rajin bekerja.

"Dari banyak bergantung harap, kepada lebih membanyakkan usaha, dan dari kurang berdikari, kepada lebih berdikari. Inilah sumber kekuatan kita," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena UIang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, ketika menghadapi cabaran ekonomi masa kini, semua pihak diperlukan untuk meningkatkan iltizam membangun dan membina diri, yang mana tidak ada yang lebih mustahak dari mengekalkan daya tahan bagi jangka masa yang panjang.

Baginda seterusnya bertitah menegaskan, langkah mempelbagaikan ekonomi juga mestilah diteruskan tanpa mengabaikan sumber yang sedia ada, yang demikian itu namanya proses 'peningkatan', di mana semua pihak perlu untuk terlibat.

Dalam ekonomi, titah baginda, satu asas penting untuk dimiliki ialah kebolehan kita merebut peluang yang biasanya hanya sekali dan jarang berulang. Jika kita tidak merebutnya, kita akan ditinggalkan jauh begitu saja.

"Menyebut tentang 'peluang' ini, segera mengingatkan kita kepada 'peluang pekerjaan'. Adapun usaha mengwujudkan peluang pekerjaan itu, merupakan suatu usaha murni, kerana ia membawa kepada kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Peluang itu, titah baginda, sebenarnya ada, tetapi masih saja terpulang kepada pencari-pencari pekerjaan masing-masing, namun pada lumrahnya peluang itu banyak diisi oleh pekerja-pekerja asing di sektor swasta, sementara bagi pencari-pencari kerja dari kalangan anak tempatan masih dilihat mereka lebih memilih untuk bekerja di sektor awam atau kerajaan.

Perkara itu pada hemat baginda merupakan satu kelemahan ketara yang perlu diperbaiki.

"Kelemahan ini berpunca daripada sikap, sedangkan sikap adalah penentu kepada maju mundurnya sesuatu sesuatu bangsa. Jadi tidak diragukan lagi, sikap memilih-milih pekerjaan itu boleh dianggap sebagai satu penghalang kepada perkembangan dan kemajuan bangsa," titah baginda.


Sumber - Pelita Brunei


Tangani impak perubahan dan perkembangan secara realistik dan pragmatik

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingat dan menekankan jika kita menangani sebarang impak perubahan dan perkembangan itu, ialah dengan cara realistik dan pragmatik. Ini tambah baginda adalah bagi mempastikan semuanya adalah tetap kukuh dan stabil.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena UIang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-69 Tahun yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

Terdahulu baginda bertitah, bahawa setiap perubahan atau perkembangan dunia, biasanya turut dirasakan bahangnya oleh semua pihak, termasuk juga kita di Negara Brunei Darussalam, kerana kita juga, jelas baginda, adalah sebahagian daripada warga dunia ini. Bahang tersebut, jelas baginda lagi, meliputi sudut-sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya.

Kewajipan kita dalam menghadapi bahang seperti ini, nasihat baginda, supaya tidak gelabah, tetapi perlu untuk banyak-banyak bertenang dan bersikap lebih bijaksana.

Jika kita bertindak, tegas baginda, maka bertindaklah dengan cara kita, seperti juga kalau berfikir, tegas baginda lagi, maka berfikirlah dengan cara kita orang-orang Brunei berfikir, tanpa perlu meniru-niru cara orang lain.

Seterusnya baginda menegaskan, jika kita merancang, maka perancangan itu hendaklah didukung oleh keupayaan sumber manusia yang berkemahiran dan cekap. Ini menurut baginda, supaya dengan itu dapatlah kita memperolehi hasilnya dengan memuaskan.

Menurut baginda lagi, Perkhidmatan Awam perlu mengambil langkah memperkukuhkan lagi 'akauntabiliti' dalam pentadbirannya supaya perancangan lebih efektif. Melalui ini, tambah baginda, ia dapat diharapkan untuk menerapkan 'budaya prestasi' atau 'performance culture' dalam Perkhidmatan Awam itu.

Baginda mengingatkan bahawa matlamat kita ialah untuk mengekalkan apa yang ada pada masa ini, supaya ia dapat dinikmati oleh generasi kita silih berganti. Ini tambah baginda, adalah satu azam yang mulia.

''Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mempererat lagi hubungan persahabatan serta kerjasama dengan negara-negara luar, di antaranya, melalui keahlian negara dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa,'' titah baginda.

Dalam pada itu, kita juga, menurut baginda, memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa. Di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, yang dilanda oleh malapetaka dan bencana alam, tambah baginda, selaras dengan kemampuan kita.

Pada awal titah baginda, baginda dengan perasaan tulus ikhlas, merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada tetamu-tetamu khas baginda, yang sudi hadir ke istiadat itu, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada baginda serta keluarga, bersempena dengan perayaan ini.

Pada mengakhiri titah baginda, baginda dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidamatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan baginda.

Seterusnya baginda juga merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat, kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha mereka untuk menjayakan perayaan pada tahun ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mendoakan semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan terus kekal aman dan makmur, di bawah naungan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.


Sumber - Pelita Brunei


No comments: