10 SYA'BAN 1435/17 MEI 2016: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat terkilan dengan keadaan pesawah-pesawah di Lot Sengkuang Labi yang sering berhadapan dengan masalah untuk terus bertahan memajukan perusahaan mereka dikawasan yang telah diiktiraf sebagai kawasan penanaman padi terbesar di Daerah Belait.
Di sesi lawatan pada 13 Mei 2016 kemarin, rombongan NDP meninjau keadaan di Lot Sengkuang dan mendapati permasalahan yang dihadapi pesawah-pesawah sama seperti yang pernah ditinjau dalam sesi lawatan hampir satu dekad lalu. (Pam air Labi tinggal jadi tugu peringatan)
Lot Sengkuang Mukim Labi telah mula diteroka oleh beberapa penduduk Labi dan pesawah-pesawah dari luar Mukim Labi dan daerah Belait pada tahun 60an dan pada tahun 80an seluas 50 hektar diambil alih oleh Jabatan Pertanian.
Rombongan NDP melawat Lot Padi Sengkuang, Labi |
Meninjau sistem saliran air yang kering kontang |
Rombongan NDP mendengarkan penjelasan Awang Haji Mohd Sofian yang masih bertahan dan berharap masalah Lot Sengkuang akan selesai |
Lot Sengkuang yang mempunyai keluasa 300 hektar telah dikenalpasti sebagai berpotensi untuk dikembangmajukan menjadi pengeluar padi terbesar negara dan juga dalam konteks memperkasa sekuriti makanan negara, berpotensi sebagai penyumbang terbesar dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras ketahap saradiri.
Kearah itu macam-macam perancangan strategik telah diuar-uarkan sejak hampir dua dekad yang lalu untuk menaiktaraf prasarana di Lot Sengkuang termasuklah perancangan bagi penyediaan bekalan air serta sistem pengairan dan penyaliran.
Malangnya tidak semua perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ia hanya tinggal cantik dalam kertas-kertas kerja dan berhasil memberikan harapan tinggi apabila diuar-uarkan dengan bersemangat melalui ucapan-ucapan menteri-menteri, pengarah-pengarah jabatan dan pegawai-pegawai pertanian yang silih berganti.
Hakikatnya menteri bertukar menteri, pengarah bertukar pengarah, ketua jabatan silih berganti namun masalah yang dihadapi oleh pesawah-pesawah di Lot Sengkuang hampir dua dekad lalu masih sama dan belum selesai.
Masih boleh senyum walaupun keadaan menyulitkan untuk terus bertahan |
Ada pesawah yang sudah meninggal dunia dan ada pula yang sudah serik dengan masalah yang dihadapi lantas putus harapan dan meninggalkan sawah padi dengan penuh kekecewaan.
Pada tahun 2014 hampir 100 dari 286 pesawah yang berdaftar di Lot Sengkuang gulung tikar. Dari pengeluaran hasil sawah sejumlah 232 tan metric menurun kepada 182 tan metric pada 2014. Pada tahun ini bilangan pesawah dan juga hasil padi di Lot Sengkuang terus menurun dengan drastiknya.
Pihak berkuasa beruntung keadaan yang membimbangkan ini dapat ditutup dengan menyalahkan musim kemarau teruk akibat fenomena El Nino dan setentunya dengan pengunduran pesawah-peswah yang sudah bosan dengan masalah yang dihadapi.
Tetapi pesawah-pesawah yang masih bertahan lebih maklum apa punca sebenar dan faktor-faktor lain yanag menyumbang kearah kemerosotan Lot Sengkuang dan kenapa ramai pesawah-pesawah yang meninggalkan sawah ladang mereka di Lot Sengkuang.
Pesawah-pesawah yang sudah lanjut usia juga maklum apa sebab generasi muda menjauhkan diri dari perusahaan padi sawah negara yang masih berkalut-kalut dengan berbagai alasan untuk memajukannya.
Dalam hal ini NDP sangat bimbang dengan perancangan untuk mencapai tahap saradiri beras negara yang sepatutnya sudah sedikit sebanyak tercapai sasaran 60 peratus pada tahun lepas.
Lebih membimbangkan lagi ialah perancangan untuk memerdekakan negara dari bergantung terus kepada ‘ihsan alam' luar untuk mendapatkan beras nampaknya akan terus terbantut. Pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya nampaknya belum dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
NDP juga kecewa melihat sepanjang hampir satu dekad ini harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam hal memperkukuh sekuriti makanan negara khususnya dalam mencapai saradiri beras belum dapat dicapai sepenuhnya seperti yang telah disasarkan.
Untuk itu NDP mengajak kita semua untuk mentelaah semula mesej baginda sultan mengenai kepentingan sekuriti makanan negara dalam petikan titah sempena hari Keputeraan baginda yang ke 62 tahun pada 15 Julai 2008. Mudah-mudahan ianya akan dapat memperbaharui kesungguhan politik kita untuk terus meningkatkan produktiviti industri beras negara kearah saradiri yang diharap-harapkan.
Petikan titah yang dimaksudkan.....
“Selain itu, kita juga perlu peka dengan krisis permakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluar beberapa jenis bijiran asasi, termasuk beras, telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.
Dan menambah kalut lagi apabila beberapa negara pengeluar terpaksa mengeluar stok simpanan beras mereka untuk diagihkan kepada rakyat masing-masing.
Kebimbangan semakin meningkat apabila Badan Dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan penduduk dunia.
Pertambahan penduduk dunia diramal meningkat dari 6.5 bilion (2006) kepada 7 bilion (2012). Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan permakanan yang terus merosot.
Ini ditambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran. Ini juga menjadi ancaman baru kepada kehidupan.
Kemudian dimerata tempat di dunia, terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat, seperti gempa bumi, angin kencang dan banjir besar, yang semuanya itu, turut menjejaskan pula sumber permakanan.
Kerajaan Beta telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah diberikan subsidi sekian lama.
Sama seperti minyak kenderaan, perbelanjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih saja ditahap biasa.
Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan. Lebih-lebih lagi beberapa buah Negara pengeluar telah dilihat menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain.
Maka dengan sebab itu, Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ‘ihsan alam' luar negara untuk mendapatkan beras, walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.
Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini.
Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ketahap 100 peratus mencukupi, mangapakah kita, yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?
Pada ingatan Beta, perkara ini telahpun berulang kali Beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.
Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya”.
Sumber - Laman Aspirasi
No comments:
Post a Comment