BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan anasir-anasir anti keamanan dan ketenteraman tidak pernah lupa untuk mengeruhkan keadaan.
“Keamanan adalah penting, kerana tanpa keamanan, pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, rukun keamanan, mustahaklah dipelihara dan diamalkan iaitu memegang kuat ajaran agama, mematuhi undang-undang serta hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu. Inilah rahsia keamanan itu.
“Mereka tidak pernah sealiran tujuan dengan kita. Kerana itu kita perlu berhati-hati terhadap mereka itu. Ini adalah tanggungjawab besar semua pihak, terutama, siapa yang secara khusus ada berkaitan dengan keselamatan,” titah Baginda Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2017 yang disiarkan secara langsung menerusi RTB malam tadi.
Baginda bertitah, usaha-usaha juga perlu diambil untuk menghadapi ancaman yang datangnya daripada dunia siber dan media sosial, termasuk juga untuk memperkukuh lagi perkongsian strategik dengan institusi-institusi keselamatan siber antarabangsa.
Dari sudut ekonomi, titah Baginda, dunia kita masih saja mengalami keadaan ekonomi yang tidak menentu. Namun kita bersyukur dengan langkah-langkah pembaharuan yang diambil serta pendekatan ‘whole-of-nation’, maka dapatlah kita menyaksikan peningkatan kedudukan negara dalam ‘ease of doing business’, sebagaimana laporan oleh Bank Dunia.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2017 di Istana Nurul Iman |
Seperti yang berlaku di mana-mana, jelas Baginda, kita juga mempelawa pelabur-pelabur langsung asing untuk melabur di negara ini.
“Pada setakat ini alhamdulillah, beberapa Pelaburan Langsung Asing (FDI) telah pun mula bertapak di negara ini, manakala pelbagai program dan inisiatif juga ada dirancang dan dilaksanakan bagi membantu golongan peniaga dan pengusaha tempatan, terutama pengusaha kecil dan sederhana atau MSME. Ini adalah satu harapan, bahawa ekonomi negara sedang dipacu, untuk menjadikannya berdaya tahan,” titah Baginda.
Bertitah mengenai Perkhidmatan Awam di negara ini, Baginda ingin melihat ia terus meningkat dan produktif.
“Beta percaya masih banyak lagi yang boleh diperbaiki, terutama mengenai penerapan nilai-nilai utama dalam Perkhidmatan Awam. Beta mahu supaya jentera kerajaan kaya dengan disiplin dan kaya dengan amanah dalam menjalankan tugas, sebagai cara untuk kita meraih berkat dalam perkhidmatan,” titah Baginda.
Mengenai bidang pendidikan titah Baginda, “Usaha adalah sedang dibuat untuk memperluaskan saliran pendidikan, di samping mempertingkatkan kualiti bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Keutamaan ialah memperkasa kualiti guru untuk menjadikan mereka itu individu-individu pendidik yang berprestasi tinggi. Di arena antarabangsa, kita akan sentiasa memainkan peranan positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global.
“Secara jujur, kita mengharapkan supaya ASEAN akan terus kekal menjadi pertubuhan serantau yang sentiasa dihormati kerana prinsip-prinsipnya yang jelas untuk kebajikan.
“Pada tahun 2017 ini, kita akan merayakan ulang tahun ASEAN ke-50, adalah diharapkan supaya kerjasama yang baik akan terus berlangsung di antara negara-negara ahli ASEAN, demi untuk kepentingan Wawasan Komuniti ASEAN 2025,” titah Baginda.
Terdahulu Baginda bertitah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita kini sedang melangkah ke ambang Tahun Baharu Masihi 2017.
Titah Baginda, kita akan me-ninggalkan Tahun 2016 dengan seribu kenangan, di antaranya ialah kenangan manis dapat menikmati keamanan dan kemakmuran di negara yang bertuah ini.
Maka untuk itu titah Baginda, marilah kita sama-sama merafakkan syukur serta doa, semoga keadaan yang seperti ini akan dapat pula dinikmati dalam tahun 2017.
Sumber - Media Permata
No comments:
Post a Comment