Posting mengikut label

Thursday, March 23, 2017

Belanjawan Negara 2017/2018


Jadual Akta Perbekalan 2017/2018 yang diluluskan




Sidang MMN ditangguh




BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menamatkan sidangnya hari ini selepas 11 hari bersidang dan seterusnya ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Majlis turut meluluskan sebulat suara peruntukan belanjawan negara berjumlah $5.3 bilion bagi tahun kewangan 2017/2018 yang akan berkuat kuasa pada April ini. Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib (gambar atas)  dalam ucapan penangguhan Persidangan MMN hari ini berkata, dalam melihat keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, kita perlu melipatgandakan usaha dan haruslah berwaspada terutamanya terhadap harga minyak dunia yang tidak stabil umpamanya.

Dalam hubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli MMN agar bekerjasama secara berpasukan untuk terus giat memikirkan dalam mempelbagaikan ekonomi Negara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dalam ucapan penangguhannya pula berkata, dalam keadaan ekonomi negara yang terus mengalami cabaran harga minyak dan gas yang rendah, salah satu keutamaan kerajaan dalam jangka masa pendek ini ialah untuk mencapai keseimbangan fiskal.

Ke arah itu, dalam pengurusan kewangannya, kerajaan akan terus mengamalkan dasar perbelanjaan berhemah (prudent spending) dan seterusnya memastikan perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan akan memberikan manfaat dan impak yang optimum kepada seluruh masyarakat di negara ini.

“Dalam Pembentangan Cadangan Belanjawan Tahun 2017/2018, kita telah menggariskan fokus-fokus utama perbelanjaan kerajaan yang antaranya termasuk untuk mendukung dasar mempelbagaikan ekonomi negara, meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran rakyat dan penduduk.

“Ini kerana, sektor swasta yang kukuh akan bertindak menjadi jentera peneraju pertumbuhan ekonomi yang diharapkan akan dapat menyumbang kepada peningkatan pelaburan modal (capital formation) dan akan menjana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak-anak tempatan.

“Selaras dengan perancangan dan keperluan inilah jua, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang diperlukan, walaupun diunjurkan akan terus mengalami kedudukan defisit bagi tahun kewangan 2016/2017 dan tahun kewangan yang akan datang (2017/2018),” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin berkata, dalam perkara ini, seperti di tahun-tahun sebelumnya, beliau masih lagi berharap dan tertunggu-tunggu untuk mendengar lebih banyak cadangan dan saranan bernilai tambah daripada ahli-ahli MMN berhubung kait dengan cara kita untuk mengawal situasi defisit pada masa ini, sama ada dari segi meningkatkan hasil, mahupun mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, di situ letaknya peranan semua pihak untuk bersatu padu dan bersatu hati, sebagai pendekatan “Whole of Nation,” untuk sama-sama membantu kerajaan dalam meringankan beban daripada kemelut ekonomi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan terus menyediakan beberapa keperluan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan perumahan di mana kebanyakan kemudahan dan keperluan asas itu telah dihulurkan oleh kerajaan secara subsidi, di mana perbelanjaan sebenar kerajaan adalah lebih tinggi daripada bayaran yang dikenakan kepada penerima atau pengguna.

Namun demikian, jumlah tunggakan daripada pengguna-pengguna yang terdiri daripada pihak swasta dan orang ramai kepada agensi-agensi kerajaan masih juga tinggi di mana setakat ini, keseluruhannya adalah berjumlah kira-kira $461 juta.

Beliau percaya tunggakan itu, jika dilunaskan, akan dapat juga meringankan tanggungan perbelanjaan kerajaan dalam menampung keperluan operasi pemberian perkhidmatan tersebut, serta meningkatkan lagi tahap perkhidmatan tersebut mengikut keperluan semasa.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya ahli-ahli MMN dapat sama-sama membawa ke perhatian anak buah dan komuniti masing-masing mengenai pentingnya tuntutan-tuntutan perkhidmatan kerajaan untuk dilunaskan dalam masa yang ditetapkan, semata-mata bagi keperluan bersama.

Yang Berhormat Pehin semasa membentangkan Rang Anggaran Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2017/2018, juga telah mengongsi mengenai perubahan kepada cukai kastam ke atas beberapa jenis barangan berkuat kuasa mulai 1 April nanti.

Beliau menerangkan bahawa penelitian dan pengemaskinian kadar-kadar cukai eksais itu bertujuan untuk mencapai beberapa matlamat dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan penduduk negara.

“Antara matlamat tersebut termasuklah bagi mengurangkan beban perbelanjaan bagi golongan berpendapatan rendah, meningkatkan keselamatan bagi pengguna- pengguna jalan raya, menggalakkan permintaan domestik,mengawal penggunaan produk-produk tertentu yang boleh menjejaskan kesihatan awam,mengurangkan kos perniagaan dan lain-lain.”

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menyeru para peniaga untuk tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi dengan menetapkan harga barangan yang tidak selaras dengan perubahan kadar cukai eksais yang dikenakan.

“Jika perkara sedemikian didapati berlaku, pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau lagi.


Sumber - Media Permata

Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi MMN ke-13 pada 6 Mac 2017


KDYMM berkenan mengurniakan titah pada Majlis Istiadat Perasmian
Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-13 MMN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat pula bersama-sama di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari ini. Beta terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli di atas pelantikan semula dan juga Ahli-Ahli MMN yang baru dilantik.

Beta juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli-Ahli MMN di atas sumbangan mereka di dalam persidangan - persidangan majlis yang lalu.

Beta berharap dengan pelantikan ahli-ahli baru, akan membawa kesan yang baik dan positif kepada persidangan ini. Beta percaya ahli-ahli akan dapat menanai tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur serta bersikap terbuka dan bebas dalam memberikan apa jua pandangan.

Dalam persidangan inilah ahli-ahli akan berpeluang untuk membincang atau membahas isu-isu yang dianggap mustahak.

Di antara isu mustahak itu ialah yang berkaitan dengan ekonomi. Kita semua sudah maklum, bahawa keadaan ekonomi dunia terus mengalami ketidaktentuan, walaupun pada akhir-akhir ini harga minyak dunia menunjukkan tanda-tanda positif.

Namun begitu, kita masih saja, perlu terus berwaspada, kerana harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang rendah tanpa mungkin dianggarkan tempohnya. Maka kerana itu, kerajaan beta perlu terus giat untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, usaha ke arah ini sudah mula menampakkan kesannya, walaupun hasil yang diraih masih memerlukan masa.

Dari segi pelaburan, kita mula mendapati, banyak pelabur-pelabur asing telah memberikan perhatian mereka terhadap potensi negara sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju. Beberapa projek Pelaburan Langsung Asing akan memulakan operasi mereka, sementara ada juga yang sudah di tahap pelaksanaan, sedang beberapa cadangan pelaburan baru lagi masih dalam penelitian.

Perkembangan ini tentunya positif, ia bukan saja dari sudut pengukuhan ekonomi, malahan juga kesan limpahnya akan dapat kita perolehi. Dari peningkatan aktiviti ekonomi akan membawa lebih banyak lagi wujudnya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga tempatan.

Namun, dengan perkembangan ini, janganlah pula kita cepat-cepat berpuas hati. Tetapi usaha pembaharuan adalah masih perlu diteruskan, kerana transformasi ekonomi memerlukan perancangan jangka panjang.

Matlamat kita ialah untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang menarik.

Selaras dengan ini, beta telah pun memperkenankan untuk diwujudkan Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zone). Dengan wujudnya zon ini, akan memudahkan lagi aktiviti pelaburan, terutama dalam sektor pembuatan.

Satu lagi keutamaan kerajaan beta ialah meningkatkan nilai dan prestasi Syarikat- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs). Syarikat-syarikat ini, termasuk syarikat-syarikat yang ditubuhkan melalui usaha sama dengan pelabur-pelabur asing, akan mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khasnya di sektor bukan minyak dan gas.

Di samping itu, sektor swasta juga akan terus diberi keutamaan untuk membina keupayaan dalam aktiviti-aktiviti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME). Selaras sebagai usaha menyediakan asas yang kukuh bagi perkembangan MSME ini, beta telah pun memperkenankan penubuhan SME Bank.

Penubuhan bank ini dapatlah diharapkan untuk menyediakan kemudahan pinjaman kewangan yang mudah (accessible financing), bagi mendukung aktiviti-aktiviti perniagaan di negara ini. Bank ini akan beroperasi berdasarkan konsep Syariah (Shariah compliant).

Apapun rancangan, semuanya turut bergantung kepada sumber tenaga manusia. Inilah masalah kita. Di Brunei, sumber tenaga tempatan masih saja bermasalah. Di samping masalah terlalu memilih kerja, juga jadi masalah ialah, sudah dapat kerja di sektor swasta, tetapi tidak kekal lama, hanya sebulan atau seminggu dua sahaja sudah berhenti, balik semula memilih jadi penganggur.

Berkaitan ini, beta telah memperkenankan Apprenticeship satu program untuk diwujudkan khusus bagi graduan-graduan yang masih mencari pekerjaan. Program ini akan dilancarkan pada bulan April 2017 insyaaAllah. Ia akan dikenali Program I-RDY (i-ready), khusus sebagai platform bagi para graduan memasuki alam pekerjaan, sama ada di sektor swasta atau sektor awam.

Menyentuh mengenai keperluan tenaga manusia, penyediaan asas ilmu pengetahuan adalah utama. Maka ke arah ini, pencapaian penuntut-penuntut dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah adalah perlu untuk diberikan penekanan.

Maka untuk itu, agensi-agensi berkenaan perlulah merangka perancangan yang actionable dan realistik serta cost-effective, agar semua isu dapat ditangani secara berkesan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Juga perlu diambil perhatian, bahawa pendidikan masa kini, tidak hanya terhad di bilik-bilik darjah sahaja, tetapi banyak ilmu, maklumat dan kemahiran boleh diperolehi melalui penggunaan teknologi internet, yang boleh diakses dengan mudah dan cepat.

Namun dalam keghairahan memanfaatkan teknologi canggih ini, kita juga dikehendaki supaya jangan lalai dari anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, yang menggunakan teknologi untuk tujuan-tujuan keburukan, termasuk penggunaan media sosial untuk menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah. Semua ini boleh mengundang kepada bencana.

Beta berharap, semua pihak perlu turut menyedari dan mengambil perhatian serius Mengenainya.

Akhirnya, beta berharap Persidangan MMN tahun ini akan memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara strategik untuk mengukuhkan lagi kemajuan sosioekonomi Negara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat juga diharapkan dapat mengemukakan pandangan-pandangan dan saranan-saranan bernas tanpa takut-takut atau ragu-ragu untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.