Posting mengikut label

Thursday, September 18, 2008

DI ANTARA AIDIL FITRI DAN IBADAH HAJI

Kita harus mempastikan kedua-dua ibadah itu bukan sahaja difahami, malah dihayati berterusan dalam kehidupan.

Semangat Aidilfitri harus dikobarkan sebagai lanjutan iltizam kita mendisiplin diri yang berjaya dilalui sepanjang Ramadan.

Kita harus yakin Aidilfitri adalah hari meraikan kemenangan terhadap beberapa kejayaan: kejayaan berlapar ketika kita boleh kenyang, lantas menginsafi penderitaan golongan malang; kejayaan menguasai nafsu, lantas mengerti musibahnya kehidupan tanpa moral; dan kejayaaan memanfaatkan hari-hari sepanjang Ramadan dengan bukan sahaja mengerjakan urusan dunia, tetapi memperbanyak amalan untuk Allah, lantas mengerti kelazatan kehidupan seimbang.

Tentulah pengertian mulia begini akan kehilangan maknanya jika Aidilfitri menjadi detik untuk kembali menghidupkan kelaziman- kelaziman jelek yang seharusnya dirubah.

Melaksanakan ibadah Haji menuntut pengorbanan sedia meninggalkan segala milik keduniaan seseorang semata-mata untuk menyahut panggilan Tuhan dengan mengunjungi-Nya ke Baitullah. Berbekal diri sehelai sepinggan, dia berhimpun di gurun Arafah; kemudian menjalani rituil demi rituil yang ditentukan sehingga sempurna untuk kembali semula ke tanahairnya sebagai "manusia baru".

Ibadah Haji menginsafkan betapa kerdilnya manusia di sisi Khalig; betapa kerja menundukkan keegoan diri itu begitu mencabar namun masih boleh dilakukan; betapa disiplin diri diperlukan dalam melakukan rituil-rituil yang dapat menghidupkan iktibar- iktibar sejarah silam; dan betapa perlunya kewujudan sifat tawaduk dan tasamuh dalam berinteraksi dengan manusia daripada pelbagai bangsa dan warna kulit yang berhimpun semata-mata atas dasar taqwa.

Tentulah pengertian suci begini akan terserlah sekiranya "manusia baru" yang kembali daripada menyempurnakan ibadah Haji melanjutkan penghayatan kepada pengertian tersebut dalam kehidupan di hari- hari seterusnya.

Dipetik dari WARITA

No comments: