Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Minggu lepas saya tidak menulis. Saya agak sibuk melayan rombongan Ahli Majlis Fatwa Perlis yang melawat UK dan Spain. Rombongan disertai S.S Mufti Negeri dan beberapa ahli fatwa yang lain. DYTM Raja Muda Perlis sebagai diPertua MAIPs mengetuai delegasi. Sebagai bekas Mufti Perlis dan masih menjadi ahli Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), saya yang berada di UK ini mengambil peranan bersama rombongan di sini dan Spain.
Seperti biasa, Raja Muda Perlis akan mengenakan jadual yang agak ketat kepada ahli-ahli rombongan beliau. Lawatan, perjumpaan dan perbincangan di sana dan sini. Setiap ahli diberikan tugasan menganalisa tempat yang dilawati ataupun perjumpaan yang diadakan. Kemudian dibentangkan. Saya melihat banyak manfaat yang jika dihayati akan berperanan dalam pembentukan fatwa.
Sebenarnya, kembara dan memerhati perbezaan budaya dan latar manusia adalah penting sebelum seseorang meletakkan sesuatu penilaian ataupun hukum. Ramai orang melawat tempat orang lain, tetapi hanya asyik melihat bangunan dan pemandangan cantik sahaja tanpa mempelajari perbezaan budaya dan adat manusia.
Dalam fatwa memahami latar budaya dan adat amatlah penting. Mengetahui latar isu sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan adalah satu kemestian. Hanya kebelakangan ini apabila munculnya golongan literalist terutama di beberapa Negara Teluk, mereka membid’ahkan apa yang disebut sebagai Fiqh al-Waqi’ (understanding the reality in the light of jurisprudence) ataupun fekah berdasarkan realiti. Kejumudan yang seperti itu boleh menatijahkan fatwa yang menyusahkan dan tidak kena pada tempatnya.
Golongan yang menentang fatwa berasaskan latar realiti ini kononnya kerana menganggap hukum Allah semua sama di setiap tempat, zaman dan individu. Pada asasnya, kenyataan itu mungkin betul jika setiap tempat, zaman dan individu mempunyai keadaan dan latar yang sama. Namun realitinya dunia sentiasa berubah.
Budaya dan masalah di setiap zaman dan tempat juga tidak sama. Nabi s.a.w sendiri dalam pelbagai hadis memberikan jawaban yang berbeza-beza bagi satu soalan yang sama disebabkan latar penyoal dan keadaan semasa. Sebab itu kita dapati jawapan Nabi s.a.w bagi soalan seperti “Apakah amalan yang terbaik?” dan “Berikan pesanan untukku” berbeza-beza berdasarkan latar penyoal.
Demikianlah hukum agama dalam Islam ini. Terdapat perkara yang tetap tidak boleh berubah seperti solat, puasa, haji dan yang seumpamanya. Namun terdapat banyak hukum yang berkait dengan latar keadaan manusia terutama yang membabitkan urusan muamalat seperti urusan jual-beli, sewaan, riba, pakaian, pergaulan dan seumpamanya.
Al-Imam Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I’lam al-Muwaqqi’in meletakkan satu bab Taghaiyur al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (Perubahan fatwa dan perbezaannya berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).
Fahami Budaya
Justeru, para ulama Usul al-Fiqh menegaskan hal ini sejak dahulu. Kata al-Imam al-Qarafi (meninggal 684H):
“Jika kita keluar dari satu negeri ke negeri yang lain yang adat (kebiasaan) mereka berbeza dengan adat negeri kita maka kita berfatwa berdasarkan adat negeri mereka dan bukan adat negeri kita. Demikian juga jika seseorang datang dari negeri yang adatnya berbeza dengan adat negeri kita, maka kita tidak boleh berfatwa melainkan dengan adat negerinya bukan adat negeri kita”. (Al-Ihkam fi Tamyiz bain al-Fatawa wa al-Ahkam, m/s 218. Syria: al-Matbu’at al-Islamiyyah).
Bahkan al-Imam al-Qarafi sekali lagi dalam karyanya al-Furuq dengan tegas menyebut:
“Jangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu. Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau”.
Inilah yang kita lihat kepada sesetengah fatwa ulama zaman ini yang tidak mengikuti keadaan semasa. Tidak memahami realiti baru umat Islam dan perubahan dunia. Ada yang begitu literal sehingga mengambil fatwa-fatwa muamalat dan siyasah dari para ulama yang dangkal tentang hal politik dan berada dalam iklim yang berbeza serta kepentingan yang tersendiri.
Inilah yang berlaku kepada golongan literalist di Barat yang memetik fatwa-fatwa muamalat dan politik dari negara-negara Teluk seakan wahyu yang boleh diubah. Apa kurangnya juga di negara kita apabila ada yang menganggap semua fatwa dalam kitab dahulu, ataupun dari ulama dokongan mereka itu sesuai untuk semua keadaan tempat. Ada pula yang memetik fatwa sempit tertentu kononnya mengundi dalam pilihanraya itu haram sebab zaman sahabat tiada pilihanraya!
Al-Imam Ibn ‘Abidin (meninggal 1252H) menyebut dalam Nashr al-‘Uruf:
“Kebanyakan hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan, suasana darurat ataupun kerosakan di mana jika hukum itu kekal seperti sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia. Sedangkan kaedah-kaedah syarak itu dibina atas meringankan, memudahkan dan menghalang mudarat dan kerosakan. Oleh itu, uruf (kebiasaan) berubah dan berbeza disebabkan perbezaan zaman. Jika berlaku uruf yang baru, maka mufti pada zaman kita hendaklah berfatwa berdasarkan uruf itu dan hendaklah berbeza dengan apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab.
Maka golongan yang terkemudian yang menyanggahi apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab dalam perkara-perkara yang pernah dibahaskan dahulu, sebenarnya tidak menyanggahinya melainkan disebabkan perubahan zaman dan uruf. Mereka tahu, jika tuan punya mazhab berada pada zaman mereka akan memberikan pendapat yang sama. Maka mufti hendaklah memberikan fatwa berdasarkan uruf zamannya sekalipun menyanggahi ulama terdahulu”.
Ikuti Perkembangan
Maka bagi golongan ulama pada zaman ini, di mana dunia teknologi berkembang begitu pesat, penting untuk mereka melihat hukum hakam syarak dan pendekatan agama luar dari kerangka kitab yang mereka baca. Mereka mesti mampu untuk keluar dari kerangka petikan-petikan hukum yang lampau yang mempunyai konteks yang berbeza. Masyarakat di Eropah umpamanya dalam hukum-hakam muamalat dan siyasah tidak boleh terikat dengan fatwa-fatwa Arab Saudi ataupun Malaysia yang tidak luas dalam hal-hal seperti itu. Latar keadaan juga berbeza. Apatahlagi jika sesuatu fatwa mempunyai pengaruh budaya dan politik tertentu.
Maka malang, jika mereka yang belajar di Negara-Negara Teluk cuba menegaskan agar wanita di negara lain turut memakai pakaian hitam seperti wanita Teluk. Itu hanya adat mereka yang bukan warisan salaf untuk dihayati. Demikian juga memakai purdah amat tidak sesuai untuk difatwakan di Barat ini.
Bahkan al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut dalam Iqtida Sirat al-Mustaqim tentang keadaan muslim yang berada di negara bukan muslim:
“Sekiranya muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang tidak musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalam mereka untuk dimaklumkan kepada orang muslim ataupun menghalang bahaya mereka terhadap orang muslim ataupun selainnya yang merupakan niat yang baik”.
Maka, penafsiran hadis-hadis Nabi s.a.w dan penukilan fatwa terutama yang membabitkan soal muamalat dan politik hendaklah dilihat dalam kerangkan teks dan konteks. Bukan kerana sesuatu nas hadis itu tidak sesuai, tetapi latar keadaan yang telah berubah. Ia memerlukan ijtihad baru dalam kerangka yang baru. Kata Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am :
“Betapa banyak hukum yang dahulunya perongkai dan penyelesai masalah yang berkesan dalam suasana zaman tertentu, namun selepas beberapa jenerasi ia tidak lagi mencapai maksudnya. Mungkin memberikan kesan yang sebaliknya disebabkan perubahan keadaan, pendekatan dan akhlak… di atas asas ini diletakkan kaedah fekah “Tidak dinafikan perubahan hukum disebabkan perubahan zaman”.
Kembara dan memerhati suasana orang serta memahami budaya mereka amatlah penting. Ramai yang mencerca Barat dan mereka yang tinggal di Barat, tetapi tidak memahami latar budaya dan falsafah mereka dalam kehidupan. Lebih buruk lagi, ada yang ingin mengenakan fatwa sempit di negaranya kepada umat di Barat ini. Lebih buruk ada yang ingin mengenakan hukum-hakam syarak yang dirumuskan oleh ulama untuk umat yang hidup di kurun-kurun yang lalu kepada umat yang hidup di kurun teknogi dan segala kecanggihan dan perubahan cara fikir dan budaya hari ini. Maka, penting untuk memahami realiti sebelum berfatwa, jika tidak kita akan menjadi fatwa itu literal yang sempit dan memundurkan umat.
Dipetik dari - Minda Tajdid DrMAZA.com
No comments:
Post a Comment