Posting mengikut label

Monday, May 7, 2012

Titah Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1433H/2012M


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2012 (malam ketiga) pada hari Khamis (malam Juma’at), 12 Rabiulakhir 1433 bersamaan 3 Mei 2012 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa,Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana berpeluang lagi untuk mendengarkan kalamullah oleh qari dan qariah pada malam ini.

Al-Qur'an itu apabila dibaca dengan suara yang merdu ia membawa pengaruh kepada jiwa. Bukan sahaja mendatangkan ketenangan dan kekhusyukan malahan juga menimbulkan inspirasi yang sihat. Di samping itu, Al-Qur'an juga boleh merawat dan mengubati segala penyakit.

Pada umumnya, Al-Qur'an bukanlah untuk dibaca sahaja tetapi juga untuk diikuti segala ajarannya.

Beta difahamkan, tema Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah 'Al-Qur'an Panduan Kesempurnaan Insan'.

Tema ini tepat, kerana Allah Subhanahu Wata'ala memang menurunkan Al-Qur'an itu sebagai panduan. Barangsiapa yang mengikuti petunjuknya maka orang itu akan beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan. Sebaliknya orang yang enggan akan kecewa dan binasa.

Jika umat Islam benar-benar berpegang dan mengamalkan Al-Qur'an maka Allah akan mengangkat darjat mereka.

Kerana itu, tidak ada jalan lain untuk umat Islam merebut semula zaman kegemilangan mereka, melainkan hanya dengan kembali kepada Al-Qur'an sahaja dengan menjadikannya sebagai pedoman, panduan dan cara hidup yang lengkap.

Dalam bidang pembangunan fizikal pula, Al-Qur'an tidaklah menghalangi umat Islam dari melakukannya asalkan sahaja tidak melangkahi batasan-batasan hukum.

Pembangunan fizikal dalam Islam, di samping untuk menjana kemakmuran ia juga untuk memelihara kesejahteraan serta dengan konsisten menghindari sebarang kerosakan dan kebinasaan di muka bumi selaras dengan peringatan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia…”

Kerana itu, di samping pembangunan fizikal, di dalam Al-Qur'an juga banyak membincangkan tentang pembangunan insan kerana pembangunan insan itu adalah merupakan tunggak kepada pembangunan fizikal yang sempurna, seperti telah dijelaskan oleh Allah, bahawa kemusnahan manusia itu sendiri adalah berpunca dari maksiat dan penyelewengan yang mereka lakukan. Sebaliknya jika mereka itu beriman dan bertaqwa, Allah pasti membalasnya dengan kebajikan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
“Dan jika penduduk di suatu negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.”

Akhirnya, beta sukacita mengucapkan tahniah kepada para peserta di kesemua peringkat pertandingan, khasnya mereka yang dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir kebangsaan ini. Ketentuan siapa di antara mereka yang akan menjadi juara, maka sama-samalah kita menunggunya. Kepada qari dan qariah yang berjaya menjadi juara dan seterusnya akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur nanti, beta berharap mereka itu akan semakin meningkat sehingga sampai ke tahap yang dihajati.

Sekian. Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: