Posting mengikut label

Thursday, February 7, 2013

Kes denggi naik 10 kali ganda


Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 5 Feb - Kes deman denggi di Negara Brunei Darussalam pada 2012 mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 282 kes berbanding 2011 dengan hanya 25 kes dilaporkan.

Walaupun peningkatan kes demam denggi pada 2012 adalah kira-kira 10 kali ganda dari 2011, namun begitu tidak ada kes demam denggi berdarah atau kematian akibat demam denggi berlaku.

Jumlah peningkatan itu merupakan satu peningkatan yang sangat drastik dan didapati juga kebanyakan kes yang dilaporkan itu berlaku di kawasan darat serta tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana kebanyakan kes berlaku di Kampung Ayer.

"Ini menunjukkan perubahan ekosistem di negara ini telah menyebabkan perubahan profik demam denggi pada tahun 2012," jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Trend penyakit denggi berkenaan bukan sahaja dialami di Brunei tetapi juga di negara-negara lain, tambah Yang Berhormat Pehin lagi ketika berucap di majlis Pelancaran Program Penghapusan Penyakit Filaria Limfatik Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Kesihatan Lamunin, Tutong, hari ini.

"Bersabit dengan trend penyakit denggi ini, Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil perhatian dan memantau situasi ini serta mengongsikan maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara di rantau ini terhadap situasi demam denggi dalam kita sama-sama mengawal dan membasmi demam denggi."

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin menyeru supaya kerjasama bersepadu dapat dilaksanakan oleh semua pihak berkenaan termasuk penghulu, ketua kampung, majlis perundingan mukim dan kampung serta semua lapisan rakyat dan penduduk negara supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan dalam usaha untuk sama-sama mengawal jangkitan demam denggi dari terus meningkat di Brunei.

Mengulas mengenai usaha untuk mengawal penyakit-penyakit bawaan vektor seperti nyamuk, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa pengurusan vektor berintegrasi harus dilaksanakan, dengan tindakan-tindakan yang perlu diambil adalah termasuk strategi pengurusan persekitaran untuk mengurangkan dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan vektor serta penggunaan pengawalan biologi termasuk racun pembunuh larva dan ikan pemakan larva serangga yang boleh membunuh larva vektor secara khusus tanpa menyebabkan sebarang impak ekologi.

"Pada masa yang sama, pengawal vektor dengan menggunakan kaedah kimia seperti racun serangga juga dilaksanakan menurut garis pandu-garis pandu yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jangkitan penyakit dengan memendekkan atau mengganggu jangka hayat vektor berkenaan."

Beliau turut menekankan peranan masyarakat dan orang ramai di tempat yang dikenal pasti adalah amat penting untuk mengawal dan menghapuskan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti nyamuk.

"Strategi-strategi pencegahan khususnya pengurusan kesihatan dan kebersihan persekitaran serta perlindungan peribadi seperti kebersihan alam sekitar, tidak menyimpan sebarang tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk, memakai pakaian yang boleh melindungi diri dari di gigit oleh nyamuk dan mendapatkan rawatan dengan segera apabila menghidap tanda-tanda penyakit tertentu."

Dipetik dari - Media Permata

No comments: