Posting mengikut label

Wednesday, May 8, 2013

ADMM Ke-7 sepakat perkukuh keamanan, kestabilan serantau


Oleh: Abu Bakar HAJI Abu Bakar / Saerah Hj Abd Ghani / Haniza Abd Latif

JERUDONG, Selasa, 7 Mei. - Para Menteri Pertahanan ASEAN yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Ke-7 (ADMM) sepakat untuk memperkukuh serta meningkatkan usaha ke arah menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau melalui dialog dan kerjasama, keamanan, kestabilan serta ketahanan Komuniti Politik-Sekuriti ASEAN (ASEAN Political-Security Community).

Perkara tersebut merupakan antara perkara yang disepakati dalam deklarasi bersama yang dikeluarkan di akhir Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN hari ini di Empire Hotel and Country Club, di sini.

Para menteri juga mengambil langkah dan inisiatif untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam pertahanan ASEAN dan angkatan-angkatan tentera bagi menggalakkan pembinaan identiti ASEAN dalam menyokong Komuniti Politik-Sekuriti ASEAN.

Dalam pada itu mereka juga mengesahkan peranan penting yang dimainkan oleh tentera ASEAN dan menggalakkan mereka untuk memajukan kesepakatan melalui aktiviti-aktiviti kerjasama yang praktikal dan konkrit bertujuan untuk meningkatkan kapasiti serta meningkatkan operasi dalam menangani isu-isu keselamatan dan cabaran yang bukan tradisional dan transnasional.

Deklarasi bersama itu juga menyebut para Menteri Pertahanan bersetuju untuk mengukuhkan keberkesanan operasi dan kesediaan dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) serta mengalu-alukan bagi Latihan Bantuan Bencana - Bantuan Kemanusiaan Tentera ASEAN Kali Kedua (AHX) yang akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada Jun 2013.

Sementara itu, mereka juga berusaha untuk memajukan pencapaian ‘ADMM-Plus’ dalam mempromosikan dialog serta usaha-usaha kolektif dan kerjasama antara ASEAN dan negara-negara ADMM Plus selain untuk memanfaatkan peluang-peluang serta menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh ancaman keselamatan bukan tradisional dan transnasional.

Para delegasi Menteri Pertahanan juga menerima pakai kertas konsep mengenai peralihan pengerusi bersama kumpulan kerja Pakar ‘ADMM-Plus' yang akan bertindak sebagai panduan yang berkesan untuk peralihan yang lebih lanjut dan menyediakan prosedur yang perlu bagi menyokong apa jua tambahan kepada ‘ADMM-Plus EWG’ dan pengerusi bersama mereka.

Selain daripada itu para Menteri Pertahanan tersebut juga menyokong bagi usaha-usaha dan komitmen ke arah menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi, membina keyakinan dan kefahaman mengenai cabaran-cabaran keselamatan serantau dan persepsi di Asia Tenggara termasuk melalui penerbitan pertama ‘ASEAN Security Outlook’ (ASO).

Para Menteri Pertahanan ASEAN juga mengalu-alukan Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN dan menghoskan ADMM Ke-8 pada tahun 2014.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: