Posting mengikut label

Monday, May 13, 2013

Taskforce tingkatkan kualiti kesihatan kanak-kanak ditubuhkan


Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 12 Mei. - Dalam usaha mempertingkatkan kualiti kesihatan kanak-kanak di negara ini, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan 'Taskforce' Permakanan untuk ibu, anak-anak damit dan kanak-kanak yang bertindak meneliti dengan lebih lanjut hasil dapatan kaji selidik status Kesihatan dan Permakanan kebangsaan.

Taskforce tersebut akan mengenalpasti, memantau dan melaksanakan pelan-pelan tindakan yang strategik untuk mencegah faktor-faktor risiko kesihatan agar tahap kesihatan akan lebih berkualiti, generasi pada masa akan datang akan lebih cergas dari segi mental dan fizikal, aktif, produktif dan dinamik bagi kelangsungan dan kemantapan sosio ekonomi negara di masa akan datang.

Demikian dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof pada Kem Keluarga Sihat Ibu dan Anak sempena Hari Jururawat Antarabangsa 2013 hari ini.

Menurut Yang Berhormat, ibu-ibu dan kanak-kanak merupakan teras pembangunan negara yang mana kesihatan golongan ini akan turut mempengaruhi dan memberi impak yang besar kepada kesihatan, perkembangan fizikal dan mental, kecergasan dan sosio-ekonomi negara di masa akan datang.

Oleh itu jelasnya, adalah tidak wajar untuk kita memandang sambil lewa dan ringan sahaja akan penjagaan kesihatan golongan kanak-kanak ini kerana mereka ini adalah sebagai asset negara yang sangat bernilai yang bakal penerus generasi di masa akan datang.

Yang Berhormat menambah, jururawat dan bidan juga diharap agar tidak jemu-jemu atau 'kelanguan' malahan melipatgandakan lagi usaha dan terus kreatif dan innovatif dalam memperkesankan lagi perkhidmatan, di samping berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya menghargai dan memeduli kesihatan ibu-ibu dan anak-anak damit.

Dalam masa yang sama ujar Yang Berhormat, ibu bapa juga harus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga, memelihara dan memata-matai kesihatan anak damit dan kanak-kanak termasuk membawa mereka ke Pusat-pusat dan Klinik-Klinik Kesihatan mengikut perjanjian untuk mendapatkan vaksinasi, pemeriksaan kesihatan dan tumbesaran, nasihat dan tunjuk ajar mengenai permakanan anak damit, amalan penyusuan susu ibu dan lain-lain masalah kesihatan yang perlu diambil perhatian.

"Ibu bapa tidak sepatutnya lalai dengan kewajipan ini walau bagaimanapun sibuk sekalipun dengan urusan kerja atau urusan-urusan yang lain. Ini adalah semata-mata bagi memantau anak damit biskita mengikuti pemeriksaan kesihatan dan perkembangan mereka sehingga meningkat dewasa", jelas Yang Berhormat pada acara yang berlangsung di Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Lambak Kanan.

Selain itu jelas Yang Berhormat, ianya juga dapat mengesan lebih awal sekiranya ada terdapat tanda-tanda awal penyakit-penyakit berjangkit mahupun tidak berjangkit atau factor-faktor risiko agar dapat dirawat dan dikawal sebelum ianya akan menjadi lebih kompleks dan kronik yang boleh menjejaskan kesihatan anak-anak damit dan seterusnya membebankan ibu bapa dan keluarga.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam dengan pendekatan sistem kesihatan yang komprehensifnya telah dapat mencapai dan menepati sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Milenium yang berkaitan dengan kesihatan.

Walaubagaimanapun ujarnya, kita tidak sepatutnya berasa 'complacent' atau berpuas hati akan pencapaian Matlamat Pembangunan Milenium yang berkaitan dengan kesihatan yang dimaksudkan.

Sehubungan itu tambah Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha meningkatkan dan memperkukuhkan lagi sistem pekhidmatan dan penjagaan kesihatan ke arah yang lebih berkualiti dan lebih efektif pada masyarakat di Negara ini.

Dalam hubungan ini jelasnya, kerjasama dan perasaan tanggungjawab semua lapisan masyarakat terutama dalam kalangan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak adalah sangat penting dalam menjaga dan memelihara kesihatan anak-anak masing-masing, di samping mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan apa jua jenis penyakit.

Dipetik dari - Pelita Brunei

No comments: