Posting mengikut label

Sunday, February 23, 2014

Titah KDYMM Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-30



Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-30 pada 23hb. Rabiulakhir, 1435 / 23hb. Februari, 2014.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil‘aalameen, Wabihee Nasta‘eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa ‘alihee Wasahbihee Ajma’een. Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita di dalam suasana aman dan sentosa.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke 30 ini sangatlah signifikan, kerana genapnya tiga dekad negara kita menikmati kemerdekaan penuh. Sekarang, elok kita sama-sama menilai setakat mana kita telah memanfa’atkan kemerdekaan tersebut.

Dari segi pembangunan fizikal, dalam tempoh tiga dekad ini, negara telah banyak melaksanakan program-program pembangunannya di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN). Kualiti kehidupan rakyat dan penduduk terus sahaja meningkat, sejajar dengan masyarakat moden.

Berasaskan petunjuk kualiti antarabangsa mengenai dengan jangka hayat, alhamdulillah tahap kesihatan dan keperluan pendidikan kita, sudah pun mencapai kualiti kehidupan yang tinggi, sebagaimana mengikut sukatan Indeks Kemajuan Manusia atau Human Development Index (HDI) yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Semua ini memberi makna yang besar kepada kita.

Namun begitu, wawasan dan matlamat utama kemerdekaan bukanlah setakat untuk meraih pencapaian kebendaan semata-mata, tetapi juga perlu memenuhi aspek-aspek kerohanian.

Di samping untuk mencapai Wawasan 2035 dalam bidang fizikal, kita juga ingin meraih rahmat dan keberkatan dalam semua aspek kehidupan. Kita turut menginginkan sebuah negara yang benar-benar memenuhi ciri-ciri ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’, yang sejahtera lagi bahagia dibawah pemeliharaan Allah.

Kerana itu, cara kita mengisi kemerdekaan ini sangatlah istimewa. Kita tidak lupa bersyukur dan berzikir kepada Allah dengan cara sembahyang berjama’ah dan sama-sama mengaminkan do’a. Inilah amalan Negara Melayu Islam Beraja, negara kita.

Atas landasan unik inilah, kita terus berusaha memantapkan jati diri kita selaku orang Brunei. Perkara ini sangatlah kritikal bagi kelangsungan hidup kita dan proses ‘nation building’.

Malahan, pada hemat Beta, MIB adalah merupakan satu-satunya pendinding atau ‘Firewall’ yang kukuh lagi berkesan untuk menangani pelbagai isu dan cabaran globalisasi.

Globalisasi, dalam realitinya, telah memacu perubahan paling cepat. Penggunaan internet dan pelbagai jenis media sosial pula, telah menjadikan penyebaran informasi sebagai tidak lagi bersempadan. Maklumat-maklumat sudah dapat disalurkan dengan begitu mudah kepada sesiapa sahaja.
Ini, memastikan kita perlu bijak dan berhati-hati untuk memperolehi menfa’atnya. Sebaliknya jika kita cuai atau salah guna, maka kesan buruknya, bukan sahaja kepada diri individu, malahan juga kepada negara.

Pada masa ini, sudah mula terdapat percubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menghasut generasi masa kini bagi mempersoalkan, dan sekali gus tidak menyokong pelaksanaan hukum Kanun Jenayah Syari’ah di negara ini. Mereka itu menggunakan saluran-saluran media baru, seperti laman-laman web, blog, aplikasi WhatsApp dan seumpamanya. Ini bukan sahaja diakses oleh rakyat tempatan, malahan juga pihak luar negara.


Semua ini, tidak syak lagi adalah cabaran, khasnya cabaran terhadap generasi baru kita. Mereka itu perlu mempunyai pendirian kuat, selaras dengan dasar-dasar negara. Mereka, tidak boleh sama sekali dipengaruhi oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, yang ingin melihat dalaman kita kucarkacir, atau bertelagah sesama sendiri, serta tidak menghormati ketua dan kerajaan.

Di samping mempersoalkan pelaksanaan hukum Kanun Jenayah Syar’iah, golongan ini juga nampak-nampaknya sudah ada yang cuba-cuba menghina raja, menghina ulama dan menghina hukum syara’. Perkara ini dapat dihidu melalui pelbagai ungkapan mereka apabila mereka itu menyebut tentang raja, tentang ulama dan tentang hukum syara’.

Semua ini adalah cabaran kepada pihak-pihak penguatkuasa undang-undang, khasnya mereka yang secara langsung berkaitan dengan Perintah Hukuman Kanun Jenayah Syar’iah. Ini tidak syak lagi, adalah jenis-jenis jenayah dibawah penggal Kesalahan-Kesalahan Am. Mereka ini tidak boleh dibiarkan berterusan melakukan penghinaan-penghinaan itu, tetapi jika betul ada unsur yang melayakkan mereka di bawa ke mahkamah, maka fasa pertama pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah pada bulan April ini, adalah sangat relevan bagi mereka.

Selaku “generasi berwawasan”, kita mustahak berhati-hati terhadap apa jua bentuk cabaran, termasuk cabaran oleh atau dari golongan yang mengaku turut mendukung hasrat suci kita, tetapi kemudiannya memisungkan dukungan itu kepada kepentingan-kepentingan lain.

Disinilah generasi kita sangat perlu memiliki jati diri yang luhur dan tahan lasak, sehingga tidak boleh digugat atau diserit untuk memudharatkan negara.

Maka dalam hubungan ini, kita sekarang adalah sedang giat memupuk nilai-nilai ketahanan diri melalui Program Khidmat Bakti Negara (PKBN). Program ini memainkan peranan amat penting, khasnya bagi membina nilai-nilai murni para belia.

Tidak syak lagi nilai-nilai murni itu sangat diperlukan oleh bangsa dan negara.

Bercakap mengenai nilai ini, kita telah dikejutkan oleh beberapa kejadian pencurian yang melibatkan beberapa buah masjid di negara ini. Kejadian-kejadian tersebut amatlah mendukacitakan, lebih-lebih lagi ianya berlaku di dalam Rumah-Rumah Allah.

Dalam hal ini, Beta sangat berharap, supaya pihak-pihak berwajib akan dapat mengambil langkah berkesan dan menyeluruh, bagi menjamin, yang gejala memalukan ini tidak akan berulang lagi.

Tidak terbatas kepada jenayah di Rumah Allah sahaja, malah semua jenayah dalam bentuk pencurian dan rompakan yang dilakukan ke atas rumah-rumah kediaman rakyat dan penduduk di negara ini mestilah ditumpaskan setumpas-tumpasnya, tidak hanya memadai dengan kita merekodkan jumlah jenayah-jenayah tersebut sahaja, tetapi hendaklah dengan bertindak tegas sehingga penjenayah-penjenayah itu tertangkap untuk diadili. Insya Allah, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah adalah sedang menunggu mereka.

Seperti negara-negara dalam rantau kita, negara kita juga tidak terkecuali turut mengalami cuaca hujan berterusan yang luar biasa. Banyak kawasan rendah mengalami banjir sehingga menjejaskan harta benda.

Beta sangat mengkagumi sifat sabar yang ditunjukkan oleh mangsa-mangsa banjir. Mereka bersama-sama pihak Kerajaan, dengan tenang sahaja menghadapi situasi ini. Ditambah lagi dengan para sukarelawan juga tidak ketinggalan menyumbangkan khidmat bakti mereka yang sangat bermakna.

Memang sewajarnya kita mesti menerima perkara ini dengan penuh redha, disamping terus berdo’a memohon keringanan dan keselamatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-30 Hari Kebangsaan, dan sekalian peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat, termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam serta mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan dan juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, dengan iringan do’a semoga kita semua dikurniakan rahmat serta hidayat oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: