Alhamdulillahi Rabbail ‘Alamin, Wabihee Nasta’eeenu ‘Ala
Ummuriddunya Waddeen Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen. Sayidinna
Muhammadin Wa’alaa’
Alihee Wasahbihee Ajma’een Waba’du.
Assallamualaikum Wbr dan selamat sejahtera.
Saudara Saudari Sekalian,
Izinkan saya mewakili seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa
(NDP) untuk mengucapkan setiggi-tinggi syukur kehadrat Allah SWT dan tahniah
setulusnya kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sempena
sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 30 tahun 2014 ini.
Semoga Allah SWT akan terus mengurniakan keamanan dan
melimpahkan nikmat kesejahteraan yang berterusan kepada kita semua, Amin Ya
Rabbal Alamin.
Pada tahun ini sambutan kemerdekaan negara kita merupakan
satu sambutan yang paling bermakna dan istimewa kepada seluruh rakyat negara
ini yang cintakan kepada keadilan sejati.
Ini adalah kerana pada bulan April yang mendatang, akan
bermulalah satu sejarah baru di dalam gagasan negara mencari keredhaan Ilahi –
Baldatun Thayyibatun Warrabbun Ghafuur, justeru pada tanggal April itu akan
berkuatkuasanya perlaksanaan fasa pertama Kanun
Jenayah Syariah.
Insya Allah, tahap ubudiyyah
dan ketaqwaan Paduka Seri Baginda Sultan Hj Hassanal Bolkiah Mui’zzadin
Waddaulah Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang kental dan jitu menongkah arus
sesungguhnya, mendatangkan rahmat Allah SWT yang akan kita rasai bersama.
Kalau kita teliti dalam Al-Quran, Allah SWT dengan jelas
memberi amaran, barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan
olehNya, maka mereka itu akan berada pada kedudukan sama ada
menjadi kafir, zalim atau fasiq.
Allah berfirman:
Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir. (Surah al-Maidah,
ayat 44)
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:
Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah
al-Maidah, ayat 45)
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:
Maksudnya:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (Surah
al-Maidah, ayat 47)
Dalam hal ini, kita amat bersyukur kerana ulil amri kita
telah memilih untuk ‘memerdekakan’ kita sepenuhnya dari terjerumus ke lembah
kekafiran, kezaliman dan kefasiqan sebagaimana yang disifatkan dalam firman
Allah sebelum ini.
Alhamdulillah, Tahun ini Insyaallah, kita berjaya
membebaskan pemikiran dan jiwa kita dari undang-undang keberhalaan ciptaan
barat dan kembali kepada undang-undang dan keadilan yang hakiki.
Pewartaan Kanun Jenayah Syariah itu, sesungguhnya telah
membawa satu aspirasi baru buat rakyat Brunei seluruhnya. Sejak kejatuhan
kerajaan-kerajaan Islam di nusantara dan bermulanya penjajahan, kesyumulan
Islam sebagai ad-din telah dihakis
dari pemikiran umat Islam secara bersistematik. Akibatnya kefahaman umat Islam
terhadap syariat tidak lagi secara ijmal
dan tafsil.
Justeru apabila negara-negara umat Islam ini memperolehi
kemerdekaan, sistem pemerintahan yang diamalkan adalah sistem sekular yang
diwarisi dari penjajah, yang memisahkan antara agama dan negara. Sistem yang
diwariskan oleh penjajah ini sebenarnya telah menafikan hak umat Islam untuk
berhukum dengan syariat Allah SWT.
Sauidara saudari sekalian,
Dengan perlaksanaan hukum Kanun Jenayah Syariah tersebut,
bukan sahaja 280 ribu umat Islam negara ini berasa lega dan terubat kerinduan
mereka terhadap kesyumulan Islam. Akan tetapi, rasa lega dan kerinduan ini
turut dikongsi di kalangan 240 juta umat Islam di nusantara.
Dalam konteks ini kerajaan dan rakyat Brunei kini memikul
tanggungjawab sebagai perintis dan model yang akan mencerminkan kesyumulan dan
kesempurnaan syariat Islam.
Kerajaan dan rakyat Brunei memikul amanah sebagai khalifah
Allah di muka bumi untuk menjunjung syariat Islam sebagai sebuah sistem yang
adil yang tidak ada taranya. Namun demikian, jika kita gagal maka akan terbuka
luaslah pintu-pintu fitnah dan cemuhan ke atas Islam dikeranakan kita membawa
bersama imej Islam itu sendiri
Dalam konteks ini saya turut berseru kepada seluruh gerakan
islam dan individu muslim yang memperjuangkan Islam di rantau ini, supaya
sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap keputusan
Kebawah DYMM untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan menjadikannya sebuah
realiti yang boleh menjadi teladan kepada seluruh umat Islam umumnya.
Saudara saudari sekalian,
Allah SWT telah memperingatkan kita umat Islam, melalui
firmanNya:
Maksudnya:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
berpuas hati kepadamu sehingga engkau menurut ugama mereka. (Surah al-Baqarah,
ayat 120).
Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
Maksudnya:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh
dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk
memperdaya pendengarnya. (Surah al-Anaam, ayat 112).
Justeru melalui peringatan ayat-ayat yang saya sebutkan itu,
maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila muncul sanggahan dan tentangan
daripada kelompok-kelompok yang sentiasa berusaha untuk menyekat kebangkitan
dan kesedaran Islam.
Dalam ayat 120, surah al-Baqarah itu, Allah menggunakan
kalimah ‘lan tardha’. Perkataan ‘lan’ di sini membawa makna TIDAK yang pasti
selama-lamanya, sama ada dahulu, sekarang atau akan datang. Oleh itu, kita
sama-sekali janganlah menaruh harapan akan mendapat persetujuan atau
pengiktirafan ke atas apa jua tindakan yang diambil oleh kerajaan Kebawah DYMM
dalam isu ini.
Dalam ayat 112, surah al-Anaam itu pula, Allah SWT
menggelarkan golongan manusia yang menentang syariat Islam yang dibawa oleh
para Nabi ‘alayhimussalam sebagai syaitan! Penghinaan itu membuktikan betapa
kejinya golongan manusia tersebut sehinggakan Allah menyifatkan mereka sebagai
syaitan. Sedangkan kita maklum bahawa syaitan merupakan makhluk yang paling
derhaka kepada Allah SWT dan tidak pernah sama sekali melakukan ketaatan.
Strategi kontemporari yang digunakan sesetengah golongan
yang kononnya memperjuangkan hak-hak asasi bolehlah dikategorikan sebagai
‘zukhruf al-qaul’. Ia hanyalah kata-kata indah yang tujuannya semata-mata untuk
memperdayakan dan mempengaruhi umat Islam supaya tidak berhukum dengan syariat
yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah.
Oleh yang demikian, seluruh rakyat negara ini hendaklah
bersedia menghadapi dakyah-dakyah musuh Islam untuk mewujudkan krisis keyakinan
ummah terhadap Syariat Islam ini yang kemudiannya akan dijadikan justifikasi
untuk mengambil tindakan melemahkan negarabangsa dan Islam yang kita cintai
ini.
Tidak mustahil, disuatu masa nanti Amerika dan
sekutu-sekutunya akan mempengaruhi Badan Dunia untuk mengambil tindakan
sekurang-kurangnya sekatan ekonomi keatas Brunei dan, atau membekukan semua
harta pemerintah di luar negara.
Sedar atau tidak, strategi musuh-musuh Islam ini sudah pun
bermula dengan laporan Global Financial Integrity (GFI) pada bulan Disember
2013 yang meletakkan Brunei pada kedudukan ke 23 dari 150 buah negara yang
menjadi pusat pengedaran wang haram atau “dirty money”.
Mereka mendakwa, dari tahun 2002 sehingga 2011 pengedaran wang haram di Brunei membabitkan
lebih kurang US38.37 billion atau pada nisbah purata US3.8 billion per tahun.
Selepas itu terdapat pula
laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Brunei dikelaskan berada
pada ‘Tingkat Kedua’ (Tier 2) sebagai destinasi persinggahan urusan
pemerdagangan manusia atau “human trafficking”. Dalam laporan itu, Brunei
dituduh sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minima penghapusan
pemerdagangan manusia ini (TVPA).
Kemudian, belum sampai pun 24 jam Kebawah DYMM mengumumkan
pewartaan Kanun Jenayah Syariah Oktober lalu, telah disambut pula dengan
kenyataan keras yang amat biadap oleh Phil Robertson, Timbalan Pengarah Human
Rights Watch division Asia yang menyeru Britain supaya menarik balik
pingat-pingat kebesaran yang telah dikurniakan kepada Kebawah Duli dan juga
menggesa Universiti-Universiti di Britain supaya menarik balik ijazah-ijazah
kehormat yang diberikan kepada Paduka Seri Baginda.
Terkini, Suruhanjaya Kehakiman Antarabangsa (ICJ) juga telah
menulis surat bantahan kepada Kerajaan Brunei
mengenai perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah yang mereka anggap sebagai bertentangan
dengan undang-undang antarabangsa mengenai hak-hak asasi manusia. Malah mereka
turut mengedarkan surat bantahan itu dikalangan negara-negara anggota ASEAN.
Sebenarnya banyak lagi suara-suara bantahan dan kritikan
dilontarkan oleh berbagai kalangan di peringkat antarabangsa mengenai isu Kanun
Jenayah Syariah ini.
Semua dakwaan ini seperti
permulaan kepada usaha untuk melabelkan Brunei sebagai ‘rogue state’ yang kononnya merujuk
kepada negara-negara yang ditadbir secara authoritarian, melanggar atau menghadkan
hak asasi, menjadi pangkalan terrorist antarabangsa dan sebagainya yang dilihat
bakal menggugat kepentingan mereka di rantau ini.
Terminologi ‘rogue
state’ juga hakikatnya adalah satu istilah politik yang kerap digunakan
untuk mewajarkan strategi untuk campur tangan dan menumbangkan banyak kerajaan
di seluruh dunia, seperti yang pernah disaksikan berlaku di Iraq, Mesir, dan
lain-lain lagi. Dalam bahasa yang mudah, menurut Noam Chomsky, seorang sarjana terkenal, "rogue state" is not simply a criminal state, but one that
defies the orders of the powerful—who are, of course, exempt (Chomsky,1998).
Inilah strategi dan matlamat sebenar musuh yang cuba dikenakan
ke atas Brunei kerana usaha mencari kebenaran dan menegakkan syariat Allah.
Saudara saudari sekalian,
Bantahan-bantahan tersebut bukanlah sesuatu perkara aneh
yang sepatutnya membimbangkan umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Mustahil
kita boleh terpedaya atau tergugat dengan penentangan mereka, sedangkan Allah
SWT telah memberikan peringatan kepada kita perihal kemunculan dan
tindak-tanduk golongan ini sejak lebih 1400 tahun dahulu.
Sepatutnya perkara ini boleh
membakar semangat dan iltizam kita untuk terus berdiri teguh demi
menyokong dan membantu Kebawah DYMM dalam gagasan dan usaha murni Baginda untuk
memperkasa Syariat Islam. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Bagi pihak NDP, dengan tegas saya ulangi sekali lagi bahawa:
“NDP mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan dari
mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara bertujuan campur tangan di
dalam urusan Agama Islam di Negara Brunei Darussalam.”
Saudara saudari sekalian,
Matlamat akhir syariat Islam ialah untuk menegakkan keadilan
justeru melaksanakan keadilan itu bukanlah satu pilihan tetapi adalah satu
kewajipan.
Keadilan yang dimaksudkan pastinya adalah keadilan yang
disyariatkan oleh Islam iaitu keadilan yang syumul, menyeluruh dan menyentuh
segala aspek kehidupan rakyat jelata. Ianya bukan hanya terhad kepada aspek
perundangan yang akan berkuatkuasa pada April nanti.
Kita memandang kehadapan agar keadilan itu dilestarikan ke dalam semua aspek pentadbiran
kerajaan, pengurusan dan pengagihan hasil negara, aturan-aturan keselamatan,
sistem penyampaian dan kebajikan rakyat, pendidikan, pembangunan negara dan
ekonomi dan segala aspek lain sama ada fizikal atau pun sosial.
Keadilan yang kita sebutkan itu mestilah dirasai dan
dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat. Kita mahukan ketelusan supaya keadilan
itu bukan sahaja terlaksana tetapi mesti tampak jelas kepada rakyat bahawa
ianya dilaksanakan. Ini bermakna, perlaksanaan keadilan itu tidak sewajarnya
dikaburi atau dicemari dengan unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip
keadilan itu sendiri.
Saudara saudari sekalian,
Sesungguhnya, kita berkewajipan memelihara bumi Allah ini dan memperkasa Syariat Islam dengan hanya satu
niat iaitu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Justeru jika ada sebarang
niat-niat yang terkalis di hati nubari kita selain dari menuju keredhaan Allah
itu hendaklah diketepikan supaya Allah tidak memurkai kita dengan mencabut nikmat dan keberkahannya dari kita.
Ibnu Katsir rhm menjelaskan bahawa suatu amalan itu hanya
dikira sebagai ibadah jika ianya menepati dua syarat: pertama, ikhlas kerana
Allah SWT; dan kedua, menepati sunnah Rasulullah SAW. Tanpa keikhlasan, lahir
nifaq, dan jika menyalahi Sunnah, lahir bid’ah. Saya berdoa kepada Allah SWT
supaya kita semua terpelihara dan dilindungi daripada sifat-sifat munafiq
mahupun tergolong sebagai ahlul bid’ah.
Sekian sekali lagi, bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga
Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
mengucapkan Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke 30 Negara Brunei Darussalam.
Allahhu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!
Wabillahi Taufeq walhidayah wassalaamualaikum WBR
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
No comments:
Post a Comment