Posting mengikut label

Thursday, May 8, 2014

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pada Mesyuarat Khas MUIB Di Istana Nurul Iman



Alhamdulillah, Beta ingin merespon sedikit dalam menangani perkara besar seperti Perlaksanaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Semua orang mestilah bersikap bijaksana, khasnya agensi-agensi yang  berkaitan dengannya. Jika tidak kita mungkin sahaja dilihat sebagai tidak cekap mengendalikan atau telah melakukan banyak kesilapan dan kekurangan.

Perkara ini nampak ialah ketika pemberigaan berlaku. Perkara-perkara tidak disebut oleh Akta tetapi ianya timbul sampai melarat-larat. Contohnya tentang pakaian. Macam-macam perkara yang timbul mengenai orang menutup aurat dan tidak menutup aurat dan macam-macam lagi.

Padahal didalam akta tidak ada menyebut tentang pakaian. Yang disebut ialah perbuatan tidak sopan. Mengapa dibiarkan orang meracau-racau tentang pakaian? Mengapa dilayan orang membahaskan pakaian sehingga keluar tajuk? Apa perlunya ditimbulkan hukum pakaian di sini? dan apa relevannya pemberigaan menyebut menutup aurat belum diwajibkan? mengapa ia pula yang timbul?

Tidakkah lebih wajar kalau diterangkan bahawa soal pakaian itu akan dinilai dibawah perbuatan tidak sopan. Bukan ia dijawap dengan memberi hukum menutup aurat atau tidak tutup aurat. Bukankah lebih baik jika pihak pemberigaan memberikan gambaran dengan satu perbandingan, seseorang merayau-rayau ditengah Bandar dengan memakai seluar katak dan seorang lagi memakai baju kurung tanpa tudung kepala, diantara dua keadaan ini manakah yang layak dianggap sebagai tidak sopan?

Barangkali dengan jawapan cara ini, orang boleh faham dan tidak akan mengungkit-ungkit lagi perkara pakaian itu.

Perkara lain, media telah menyiarkan bahawa Kerajaan Brunei telah mengharamkan orang-orang bukan Islam dari menggunakan 19 perkataan :- Masjid, Azan,  Baitullah, Al-Quran, Fatwa, Firman, Hadith,  Haji, Hukum, Hukum Syarak, Illahi, Kaabah, Kalimah Syahadat, Kiblat, Imam, Mufti, Mukmin, Solat dan Wali.

Hukuman jika sabit kesalahan terhadap perkara-perkara ini akan didenda sehingga empat ribu atau satu tahun penjara. Kita hendak tahu adakah betul ini? Adakah betul menjadi kesalahan orang bukan Islam menyebut Masjid, Azan, Fatwa, Mufti, Imam, Ka’abah?

Salahkan orang-orang bukan Islam berkata, Saya Hendak melawat Masjid Omar Ali atau Saya hendak berjumpa dengan Mufti. Salahkah ini? Jika mengikut siaran media tadi memang salah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda atau penjara. Diminta menteri ugama nanti menjelaskan.

Jika sekiranya apa yang disiarkan oleh media itu betul, mana pembetulannya dari pihak kita? Mana Kementerian Ugama? Mana Majlis Ugama Islam? Mana Unit Perundangan Islam? dan Mana Jawatankuasa Pemberigaan?

Kalau kita kata siaran media itu salah, apa yang betulnya? Mesti diberitahu yang betul itu supaya tidak menjadi kekeliruan. Orang jika keliru boleh menyebabkan bermacam-macam tindak balas seperti marah atau tidak puas hati atau takut atau benci. Adakah ini akan dibiarkan begitu sahaja tanpa ditangani.

Kita sepatutnya bertindak cepat. Apa-apa yang salah mesti dibetulkan. Banyak cara untuk membetulkan itu seperti membuat kenyataan didalam media sendiri, dan juga melalui siaran-siaran radio dan televisyen. Terangkan dengan sebaik-baiknya sehingga orang faham, bukan menjawap dengan menunggu majlis beriga diadakan.

Kalau dua minggu lagi majlis beriga akan diadakan, kita mesti menunggu juga dua minggu. ini tidak betul dan malah tidak memadai, Jawapan diberikan hanya dalam majlis beriga sahaja kerana beberapa orang saja yang ada didalam majlis beriga itu. Jadi yang betulnya, ada sahaja kesilapan atau kekurangan atau kekeliruan yang ditonjolkan oleh media. Pihak berkenaan kita mestilah cepat cepat meresponnya.

Dan untuk itu, sepatutnya kita mesti ada pasukan pemantau. duduki dan bincangkan mana mana hasil pemantauan itu, jangan ia dimalamkan lama-lama. Ini kita tidak, dibiarkan lama labui-labui. Kalau ada jawapan pun seperti melepas batuk ditangga sahaja.

Tidak sungguh-sungguh, tidak padat dan  kemas. Itu pun cuma melalui Akhbar sahaja. Mana penampilan dalam media elektronik, radio dan tv. Jangan alang-alang kalau media menyiarkan salah. Tunjukkan yang betul dan jika perlu perlekehkan media yang selalu membuat salah itu, baru mereka lain kali akan lebih berhati-hati. Ini peranan psikologi perlu turut dimainkan.

Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh.

No comments: