Posting mengikut label

Wednesday, June 18, 2014

NDP sokong Perintah Kanun Syari’ah


Oleh Hajah Saemah Zulkefli

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Parti Pembangunan Bangsa (NDP) mewakili seluruh anggotanya amat bersetuju dan menyokong penuh pengisytiharan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013 di Negara Brunei Darussalam yang telah berkuat kuasa pada bulan Mei lalu, dan justeru itu Kongres Agung Tahunan NDP ke-9 tahun ini membawa tema “NDP Menyokong Pelaksanaan Kanun Jenayah Syari’ah.”

Perkara tersebut antara yang telah ditekankan dalam ucapan perasmian, Presiden NDP, Awang Haji Mahmud Morshidi bin Othman selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Kongres Agung Tahunan NDP ke-9 Tahun 2014 yang berlangsung di Tingkat 4 Bangunan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam Gadong dekat sini, hari ini.

Beliau menambah, biarpun segala bentuk kecaman dan tekanan ia tidak seharusnya melemahkan semangat kita dalam mencari keredhaan Allah, dan menekankan bahawa beliau yakin keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syari’ah adalah bertepatan dengan Firman Allah Swt yang bermaksud “Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan”.


Presiden NDP Awg Mahmud Morshidi Othman semasa
menyampaikan ucapan perasmian Kongres Agung ke-9 NDP 2014

Selain itu beliau menyentuh Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Akan sentiasa ada dari umatku ummah yang berdiri tegak di atas perintah Allah, tidak memudaratkan orang-orang yang menghinakan mereka, juga orang yang menentang mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka tetap dalam keadaan demikian (tidak berubah).” Riwayat Bukhari dan Muslim).

Beliau dalam memulakan ucapan turut menekankan bahawa Kongres Agung Tahunan NDP adalah wadah bagi seluruh anggota ahlinya membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi dan kecintaan yang setulusnya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam.

Kongres berkenaan, tambahnya, juga adalah wadah bagi semua anggotanya membaharui ikrar yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Parti iaitu untuk menyokong dan membantu Baginda dan Kerajaan Baginda dan memberikan makna sebenar kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja di dalam kehidupan bernegara.

Lebih 200 ahli pertubuhan parti politik itu telah menghadiri majlis berkenaan yang telah dimulakan dengan perarakan masuk pengerusi tetap berserta dengan alat-alat kebesaran kongres diiringi oleh presiden, timbalan presiden dan ahli-ahli majlis tertinggi pertubuhan tersebut.


Sumber - Media Permata

No comments: