Posting mengikut label

Wednesday, June 25, 2014

Projek Jejak Ehsan HAWA bantu balu


Oleh Hajah Saemah Zulkefli

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Kesempitan hidup seorang balu bersama anak gadisnya sehingga terpaksa tinggal di dalam sebuah pondok yang daif menarik perhatian Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) untuk mengunjunginya dan menghulurkan sedikit bantuan hari ini.

Dayang Norhayati Liman Abdullah, 48, mendakwa sudah tinggal di dalam pondok buruk itu sejak tiga bulan yang lalu setelah terpaksa berpindah daripada rumah tumpangannya sebelum ini di Kampung Pulaie.

Wanita mualaf warga Malaysia itu terpaksa membina pondok daripada bahan buangan zink dan kayu hanya untuk berteduh daripada hujan dan panas dan meminta belas ihsan menumpang di atas tanah di belakang sebuah rumah perumahan di RPN Kampung Rimba bersama anak perempuannya berusia 19 tahun yang merupakan warga tempatan.

Kunjungan rombongan HAWA NDP melalui Projek Jejak Ehsan, ke pondok Dayang Norhayati dan anaknya telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat NDP, disertai sama oleh timbalannya, Dayang Kartini binti Abdul Manap serta ahli-ahli Exco lainnya dari keempat-empat daerah, dan turut sama ialah Ketua Biro Pendidikan, Dayang Dr Hajah Ra’yah binti Haji Mohd Ali.

HAWA NDP melalui projek Jejak Ehsan mengunjungi balu yang tinggal
dalam pondok yang berkeadaan sangat daif di Kampung Rimba Gadong
Suami Dayang Norhayati, juga seorang mualaf warga tempatan telah meninggal dunia 17 tahun lalu meninggalkan tiga orang anak bersama iaitu dua lelaki dan seorang perempuan, kedua-dua anak lelaki mereka yang masing-masing berusia 27 dan 21 tahun pada masa ini belum mempunyai pekerjaan tetap dan terpaksa tinggal menumpang di rumah kawan memandangkan keadaan pondok tempat ibu dan adik mereka tinggal pada masa ini yang terlalu sempit, hanya mempunyai satu ruang amat kecil sebagai tempat tidur, dan juga tempat memasak.

Menurut Dayang Norhayati, anak perempuannya, menerima bantuan sejumlah $250 sebulan daripada JAPEM sejak enam bulan yang lalu, tetapi akan berakhir pada bulan September ini, beliau juga mendakwa kerana kesempitan hidup, mereka kadang-kadang terpaksa menahan lapar kerana tiada keupayaan membeli barang makan, malah anak-anak lelakinya yang hanya mengharapkan gaji daripada kerja sambilan turut tidak cukup membantu menampung kehidupan mereka.

“Anak lelaki sulung saya, hanya bersekolah sehingga Darjah 6, manakala anak lelaki kedua sehingga tingkatan dua dan anak perempuan saya sehingga tingkatan lima, dan sudah berusaha mencari pekerjaan tetapi belum ada nasib menyebelahinya,” katanya.

Dayang Norhayati berharap anak-anaknya mendapat pekerjaan dan mungkin mereka mampu menyewa biarpun rumah yang kecil supaya dapat mereka tinggal bersama-sama, dan ingin segera berpindah daripada pondok kediaman mereka pada masa ini yang terletak di Jalan 60 Kampung Perpindahan Rimba Gadong. Kadang-kadang mereka juga menerima bantuan belas ihsan daripada orang ramai yang mengetahui akan keadaan mereka.


Sumber - Media Permata

No comments: