Posting mengikut label

Tuesday, July 29, 2014

KDYMM: Tuah Brunei



BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah selain nikmat sihat dan rezeki luas, negara juga menikmati keamanan dan kesejahteraan berterusan.

“Dua nikmat yang bernama keamanan dan kesejahteraan ini, adalah lebih sukar untuk memperolehinya berbanding yang lain”.

Dalam titah perutusan Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah ini dapat dikesan dari keadaan yang ada di mana di seluruh pelosok dunia, telah sedia wujud kejadian yang menggugat keamanan dan kesejahteraan itu.

Selain dari fenomena alam yang datang bertali arus, titah Baginda, krisis dalaman mencetuskan pelbagai kekacauan juga sangat berpotensi untuk menghancurkan keamanan dan kesejahteraan tersebut.

“Apatah lagi jika dalam sesebuah negara itu sedang bersarang gejala sosial terutama gejala jenayah dan ini tidak syak lagi, akan menjadi ancaman kepada keselamatan, keamanan malah nyawa,” tegas Baginda.

Baginda seterusnya bertitah di negara kita perkara ini tidak berlaku, tiada satu pun yang boleh dianggap mengganggu keamanan di mana semua ini berjalan dengan baik belaka dan rakyat sentiasa bersatu padu tanpa sebarang pertelagahan.

Baginda percaya ini adalah tuah Brunei, berkat ia sentiasa dikemudi dengan ugama dan dalam semua aspek kehidupan tidak akan membelakangi ugama tapi meletakkannya paling hadapan sebagai suluh dan panduan.

“Ugama itu tidak pernah salah, tapi yang salah itu ialah kita sendiri, bila mana kita memilih yang lain dari ugama.

“Oleh itu, pastikan kita akan kekal dengan ugama dan dalam menjalani kehidupan harian dengan ugama. Dalam membangun dengan ugama dan dalam mentadbir dengan ugama malah semua urusan kita dengan ugama”.

Menurut Baginda, jika semuanya itu dengan ugama, sudah pasti tidak akan ada lagi satu ruang pun untuk diisi atau ditempati oleh ‘keburukan’. “Bukankah suasana tidak aman atau huru-hara atau kacau bilau atau jenayah itu satu keburukan?” tanya Baginda sambil menambah semua ini, adalah tidak dibenarkan berlaku oleh ugama malah mesti diatasi atau dicegah daripada berlaku.

Kewajipan kita, titah Baginda selaku siapa yang dikurniai dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan itu ialah bersyukur dan terus bersyukur serta sambil berazam untuk memelihara dan mempertahankannya sampai bila-bila.

“Ia adalah aset untuk dinikmati bukan saja oleh kita pada hari ini tapi oleh generasi akan datang sambung bersambung dan tanpa keamanan serta kesejahteraan, hidup akan hambar dan tidak mungkin mengecap kebahagiaan.

“Adalah tidak adil rasanya, jika kita sendiri saja yang asyik menikmati keadaan aman dan sejahtera itu sedangkan saudara kita di luar sana ada yang tidak dapat menikmatinya kerana negara mereka sedang mengalami pelbagai kekacauan atau peperangan atau bencana yang datang dengan tiba-tiba,” titah Baginda lagi.

Oleh itu Baginda bertitah, dalam perkara ini, kepada mereka itu kita hulurkan simpati yang mendalam serta doa semoga situasi akan segera bertukar kepada yang lebih baik.

Pada akhir titah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Baginda serta keluarga Baginda dengan ikhlas sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana juga mereka berada, semoga kita sama-sama dapat menyambut hari bahagia ini dalam suasana riang gembira.


Sumber - Media Permata

No comments: