Posting mengikut label

Wednesday, July 16, 2014

Tolak aliran tidak senada dengan Islam


KDYMM berkenan mengurniakan titah pada Majlis
Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1435 Hijriah
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan bahawa segala aliran atau pemikiran yang tidak senada dengan Islam seperti Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Feminisme dan lain-lain dapat ditolak dengan pemahaman dan pengamalan berterusan ajaran-ajaran Al-Qur'an.

Umat Islam titah baginda, adalah dituntut untuk berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Al-Qur'an, sebagaimana juga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat berpegang teguh dengannya dan bukan setakat menghafaz dan membacanya sahaja, tetapi juga memahami dan mengamalkan segala isi ajarannya.

Bertitah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara Bagi Tahun 1435H / 2014M di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini, baginda seterusnya menegaskan, mengambil atau mengamalkan apa-apa jua yang bertentangan dengan Islam, bererti kita tidak mengikut Al-Qur'an, atau dengan kata lain mendustakan ayat-ayat suci Al-Qur'an itu.

Perkara itu titah baginda, sangatlah dilarang dan bahkan dikeji oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan menyifatkan mereka itu sebagai keldai, sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 5.

"Sebab itulah di Brunei, pastikan kita ini adalah benar-benar mengikut Al-Qur'an. Jangan diringan-ringankan ajaran Al-Qur'an dan jangan sebahagiannya saja yang diikut, sementara sebahagian yang lain lagi ditolak ini tidak boleh," tegas baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menambah titah, di Negara Brunei Darussalam, kita tidak memakai budaya menebuk-nebuk atau memilih-milih, tetapi budaya kita ialah beramal bulat-bulat dengan kebenaran seperti yang disuruh oleh ugama dan Al-Qur'an.

Justeru itu, baginda bertitah mengingatkan agar umat Islam jangan sembarangan dalam perkara menghidangkan dakwah kepada masyarakat.

"Biarlah kita lebih berhati-hati dari terjebak kepada sikap meniru-niru atau menerima pakai resipi orang lain secara melulu. Kita elakkan dari mengimport masalah, terutama dalam aspek amalan berugama," titah baginda lagi.

Baginda seterusnya bertitah, Mushaf Brunei Darussalam yang baru dilancarkan pada majlis tersebut merupakan satu pencapaian bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam dan adalah hasil usaha anak-anak tempatan dari kalangan ulama dan ilmuan lulusan Universiti Al-Azhar.

Dalam hubungan itu, baginda melahirkan harapan agar ia akan menjadi bacaan dan rujukan umat Islam di negara ini dan berharap tafsirannya akan muncul kemudian, walaupun mengambil masa yang lama.

Kebawah DYMM seterusnya bertitah menyentuh mengenai satu anugerah yang telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam yang diterima oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan menerima Anugerah Ma'had Tahfiz Al-Qur'an Al-Karim Mithali Bagi Tahun 1435 Hijriah di Majlis Penganugerahan Antarabangsa His Majesty King Abdullah bin Abdulaziz Al-Saud bagi Al-Qur'an Al-Karim Kali Ketujuh di Arab Saudi.

Dengan pengiktirafan yang sangat bermakna ini, baginda melahirkan keyakinan ianya mampu untuk menjadi pembakar semangat Negara Brunei Darussalam untuk terus menjadi ahli Al-Qur'an yang terbaik yang meletakkan Al-Qur'an itu di tempatnya yang paling tinggi dalam semua aspek kehidupan.


Sumber - Pelita Brunei

No comments: