Teks Ucapan Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden
di Majlis Perasmian Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah
Kali Kedua Tahun 2014 pada 29 November 2014.
Salam Sejahtera.
Yang Dihormati,
Saudara Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman
Pengerusi, MPPD Kali Kedua 2014
Yang Dihormati
Pengerusi Tetap,
Saudara Haji Abd. Rahman bin Mohd. Yusof
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat
Yang Dihormati,
Naib Presiden- Naib Presiden
Yang Dikasihi
Saudara Hj. Mohd. Jefry bin Haji Md. Daud
Setiausaha Agung, Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Yang Dihormati,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Ketua-Ketua Ranting dan Jawatankuasa Perhubungan Senegara,
Kita bersyukor ke hadrat Allah swt kerana dengan hidayat dan inayahNya kita dapat bertemu dalam Majlis Permesyuratan Perhubungan Daerah pada pagi ini. Selawat serta salam buat nabi Muhammad saw, para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga ke akhir zaman.
Pada kesempatan ini, saya tidak lupa mengucapkan tahniah dan terima kasih yang setingginya kepada Pengerusi dan Jawatankuasa MPPD ini. Saya dimaklumkan bahawa jawatankuasa MPPD kali ini dianggotai secara langsung dan melibat semua Naib Presiden yang bersatu secara bersepadu.
Kesepakatan ini sesuatu yang positif untuk parti kerana Badan Perhubungan adalah nadi dan sumber kekuatan NDP dalam menggerakkan dan mengadakan sesuatu aktiviti bukan sahaja MPPD ini malah aktiviti lain saperti Perbarisan Ulang Tahun Hari Kebangsaan, Junjung Ziarah Ke Istana, Mesyuarat Ranting-Ranting, Memaduli Hal Ehwal Masyarakat di daerah masing-masing seumpama kejadian banjir, bantuan kepada mereka yang memerlukan dan aktiviti lainnya
Semoga usaha dan cara ini sebagai satu permulaan kepada semua Naib Presiden untuk sentiasa bekerjasama dan saling membantu bagi menjalankan semua aktiviti. Saling bertukar maklumat dan mengadakan perjumpaan sesama Naib Presiden untuk menyusun, merancang dan memikir langkah dan gerak kerja bagi memajukan parti di daerah masing-masing dan parti keseluruhannya.
Majlis pagi ini adalah majlis kedua yang serupa kita adakan bagi tahun 2014 ini. Hari Isnin depan kita akan berhimpun lagi di majlis yang lebih besar iaitu Sambutan Istiadat Ulang Tahun Penaikkan Bendera Sang Setia Kali Ke-10 dan sekaligus menandakan telah sepuluh tahun juga markas ini dirasmikan. Tidak terasa rupanya sudah sepuluh tahun parti ini wujud. Selepas itu sebulan seterusnya kita akan berada dalam tahun 2015.
Saudara Saudari sekalian,
MPPD ini adalah manifestasi penerusan usaha kita menterjemahkan makna berparti dalam mendidik dan memimpin kepimpinan dari semua peringkat, kerana itu MPPD kita namakan sebagai Mini Kongres. Sebagai pemimpin dari semua peringkat saya percaya biskita akan menggunakan sepenuhnya peluang hari ini untuk menampilkan diri dengan hujah dan pandangan politik yang luas dan penuh dengan maklumat yang benar, bersedia untuk mengeluarkan pandangan dan cadangan demi kebaikan parti. Bersedia mendengar kritikan dan teguran dengan sabar dan penuh rela kerana ianya seumpama zadam walaupun pahit masih jadi penawar.
Saudara Saudari sekalian.
Atas semangat nasionalisme marilah kita menyatukan diri dalam satu kumpulan manusia yang mempunyai perasaan yang sama demi untuk membela kepentingan bangsa dan agama dan raja dengan meletakkan kesetiaan yang bulat daripada setiap ahli.
Semasa dijajah, nasionalisme kita adalah satu gerakan untuk menentang penjajah dalam usaha untuk memerdekaan negeri dan bangsa daripada cengkaman dan penindasan dalam segala bentuk sama ada dalam hal ehwal politik, kebudayaan, ekonomi, pendidikan, agama, kemiskinan dan sebagainya.
Sekarang kita sudah merdeka, siapa dan apa yang perlu kita isikan, siapa dan apa yang mencengkam dan menindas yang perlukan kita lihat. Cengkaman dalam bentuk apa yang harus kita buka dan leraikan.
Oleh kerana MPPD ini adalah Mini Kongres Agung mungkin saja kita boleh gunakan memikir dan mencari bagi mengisi kemerdekaan yang sudah ada dalam dakapan kita. Penjajahan itu ada dalam berbagai bentuk dan cara
Saudara Saudari sekalian,
Pada kesempatan ini, izinkan saya mengulangi Ucapan Dasar Presiden katani pada Kongres Agung Tahunan Ke- 2 pada 23 Aapril 2006 yang menyebut "Hari ini kita boleh saksikan pelbagai bentuk penjajahan baru sedang menggila. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana kesan asakan globalisasi itu membawa berbagai bentuk pemikiran dan tindakan yang jelik. Dengan sokongan sokongan teknologi dan dasar perluasan pengaruh oleh kuasa-kuasa besar dunia terutama dunia Islam dalam kegawatan dan setengahnya berada diambang kehancuran"
Mengingati akan petikan Ucapan Dasar berkenaan, saya teringat satu tulisan mengenai pembinaan Tembuk Besar Negeri Cina. Tembuk tersebut dibina bagi menghalang serangan daripada musuh-musuh luar. Tanpa mengira keperitan, kesusahan dan kesengsaraan rakyat yang membinanya, akhirnya tembok itu berjaya disiapkan, namun malang pada masa yang sama sambung tulisan itu, mereka lupa membina jati diri rakyatnya, maka apabila ada serangan luar, para pengawal yang mengawal tembuk itu membiarkan saja musuh-musuh mereka masuk ke negaranya.
Saudara Saudari sekalian,
Sambil kita melihat di luar saya mengajak anda semua termasuk diri saya untuk melihat dalaman kita NDP ini sendiiri kerana untuk mengusai yang lebih besar dan luas mari tah katani sama-sama mengusai parti katani ani. Sebagai langkah permulaan mari lah kita ajak ahli-ahli katani hadir hari Isnin ini bagi meraikan Istiadat Ulang Tahun Menaikkan Bendera Sang Setia. Kehadiran atu mungkin saja boleh katani fahami sebagai satu petanda positif untuk NDP selain mendengar amanat TYT. Presiden yang kebetulan sepuluh tahun jua NDP ditubuhkan.
Saudara Saudari sekalian,
Pengangguran di kalangan siswazah, pemegang diploma bukanlah suatu isu yang dapat ditapuk-tapuk lagi. Semakin bertambahnya penubuhan Isntitusi Pengajian Tinggi semakin ramailah orang-orang katani berpelajaran tinggi dalam pelbagai bidang. Pada 5 November lepas seramai 2,342 orang graduan telah menerima diploma dan sijil mereka. Sementara di pihak Universiti dan Institut Teknologi Brunei juga mengeluarkan graduan yang sama.
Kita tidak nafikan kepentingan institusi berkenaan malah ia amat perlu bagi sesebuah negara untuk mempunyai rakyatnya yang berilmu pengetahuan, namun pada masa yang sama ia menyumbang peningkatan pengangguran dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Kemana mereka harus menuju dan mengadu apabila tiada peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Apakah usaha pihak berkenaan bagi mengurangkan jumlah berkenaan sebelum ia parah dan boleh mendatangkan masalah kepada negara.
Saudara Saudari sekalian,
Apabila kita membaca akhbar-akhbar sepanjang bulan dan minggu ini, kita akan terbaca berita mengenai bazaar dan jualan amal di sana sini yang melibatkan peniaga kecil dan sedarhana. Mengikut lapuran berkenaan kebanyakan daripada mereka adalah peniaga-peniaga muda yang berniaga melalui talian dengan menawarkan produk masing-masing dalam pelbagai jenis.
Keghairahan dan sambutan mereka adalah satu petanda baik bahawa orang-orang muda katani sudah pun mampu berdikari untuk menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Namun, akktiviti bazaar dan jualan amal yang berkala itu setentunya belum dapat menjamin pendapatan yang sewajarnya, apa tah lagi kalau mengambil kira setengah penganjur mengenakan sewa yang tinggi, akibatnya pendapatan jualan sebahagian besarnya habis untuk membayar sewa sahaja.
Apakah pihak-pihak berkenaan boleh melihat dan menangani apa yang mereka hadapi itu dengan memberikan bantuan dan kemudahan seumpamanya menyediakan tapak khas bazaar untuk mereka dengan sewa yang berpatutan. Menurunkan sewa bulanan e-speed bagi mereka yang menggunakan perniagaan secara talian atau 'on-line'. Murahkan bayaran penghantaran perkhidmatan pos; dan yang penting juga ialah memberikan mereka kredit dalam satu jumlah yang munasabah sebagai modal bagi mereka memulakan perniagaan tanpa cagaran dan bayaran dengan pengawasan pihak yang berkenaan.
Kita sering mendengar bahawa anak-anak tempatan katani memilih pekerjaan dan tidak suka berkhidmat di sektor swasta. Berita-berita mutakhir ini menunjukkan peningkatan penglibatan anak-anak katani dalam berbagai sektor seumpamanya dalam sektor minyak dan gas. Orang tempatan tidak memillih pekerjaan, di gedung-gedung perniagaan sudah kelihatan ramai anak-anak muda katani berkerja di situ. Kita mahu penglibatan itu dilaratkan ke sektor-sektor lain saperti sektor pembinaan, bengkel-bengkel kenderaan dan lainnya.
Dalam hal ini kita masih memerlukan pengawasan dan bantuan kepada pekerja-pekerja berkenaan terutama mengenai kebajikan mereka supaya mereka boleh bertahan berkhidmat di situ.
Saudara Saudari sekalian,
Kita tidak dapat menafikan bahawa sebilangan besar daripada ahli katani adalah warga emas. Mengikut lapuran pihak berkenaan pada September 2014 terdapat seramai 27,166 orang penerima pencen tua yang saya dapat bahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama mereka yang juga menerima pencen bulanan kerana tamat perkhidmatan dengan kerajaan, dan golongan kedua mereka yang tidak menerima pencen bulanan berkenaan.
Suatu ketika nanti akan hanya tinggal satu golongan sahaja akibat pengenalan Tabung Amanah Pekerja (TAP).Bayangkan kehidupan mereka nanti yang hanya menerima pencen tua sahaja sedangkan inflasi semakin meningkat.
Jasa dan pengorbanan warga emas tidak dapat kita nafikan, yang paling dekat dengan kita ialah kedua ibu bapa katani yang bersusah payah membesar, mendidik kita sehingga dewasa.
Dalam hal ini, kita mengalu-alukan langkah kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan merancang dan membuat Plan Tindakan Menangani Isu Warga Emas dengan menggariskan sembilan perkara:
- Dasar dan perundangan
- Kesihatan
- Penyertaan dalam masyarakat
- Pendidikan
- Pekerjaan
- Pengangkutan
- Bangunan atau insfrastruktur
- Sosial
- Rekreasi dan penyelidikan
Saudara Saudari sekalian,
Kita amat perihatin akan nasib yang menimpa rakyat Palestine yang ditindas dan dicerobohi oleh pihak zionis. Beberapa bulan yang lepas kita telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyelaras kutipan Tabung Kemanausiaan Rakyat Palestine. Permohonan telah kita hadapkan kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai tatacara atau prosedur penubuhan tabung berkenaan, dukacita permohonan kita telah ditolak dan kita diarahkan untuk berhubung dengan pihak Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan kerana ianya melibat penyaluran derma kepada pihak luar. Kita juga menghadapkan surat yang sama dan dukacita juga sehingga kini masih belum berjawab.
Kita telah berbuat sesuatu bukan untuk kepentingan kita tetapi untuk kepentingan rakyat dan umum namun usaha kita ditolak. Ini bukan perkara baru dalam kita berurusan dengan pihak pemerintah.
Saudara Saudari sekalian,
Saya berdoa semoga biskita di dalam dewan ini dan juga semua ahli NDP sentiasa sehat dan sejahtera dengan dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah swt. Saya memohon ampun dan maaf kepada biskita semua sekiranya terdapat kesilapan, kesalahan dan kekasaran yang menyinggung, mengusik perasaan biskita sama ada secara sedar atau tidak saya lakukan. Saya juga dengan penuh ikhlas dan penuh kasih sayang memaafkan dan mengampun apa-apa jua kesilapan, kesalahan sekiranya ada terhadap saya.
Biarlah kita damai dan tenang bersama hari esuk yang belum tahu kemana kita berada dan mengapa.
Dengan melafazkan kalimah Bismillah Hirrahman Nirrahim serta bertawaqal kepada Allah SWT saya sukacita merasmikan Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Senegara Kali Kedua Tahun 2014.
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.
No comments:
Post a Comment