UCAPAN TYT MAHMUD MORSHIDI OTHMAN, PRESIDEN NDP
SEMPENA ISTIADAT PENAIKAN BENDERA SANG SETIA KE-10
PADA 8 SAFAR 1436 BERSAMAAN 1 DISEMBER 2014,
DI DATARAN LIMBARUH HIJAU, MARKAS PUSAT NDP, JERUDONG
Yang Berusaha Saudara Pengerusi Majlis,
Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden,
Yang Di Hormati Tuan Pengerusi Tetap dan Timbalan,
Naib-Naib Presiden,
Setiausaha Agung,
Ahli-Ahli Lembaga Penasihat,
Pengerusi Jawatan Kuasa Sambutan Istiadat Pengibaran Bendera Sang Setia ke 10,
Para Jemputan dan seluruh warga NDP.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Selamat Sejahtera.
Saudara Saudari Sekalian,
Sebelum saya meneruskan ucapan ini, ingin saya sejenak mengajak Saudara Saudari sekalian yang beragama Islam untuk menghadiahkan bacaan Al Fatihah ke atas roh Almarhum Ayahanda Presiden pertama kita Awang Hj Muhammad Yassin Abd Rahman @Yasin Affandy, para pemimpin dan anggota NDP yang telah kembali kerahmatullah.
Bacaan Ummul Quraan ini juga kita khususkan buat Almarhum Ayahanda Sh Salleh bin Sh Mahmud seorang pejuang kemerdekaan Brunei yang pernah ditahan selama 10 tahun di Khemah Tahanan Berakas 1963-1973 dan berada dalam buangan selama 41 tahun 1973-2014 hingga akhir hayat beliau. Almarhum baru kembali kerahmatullah di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.
Alfatihah...
Saudara Saudari sekalian,
SANG SETIA
Tanggal 1 Disember, di pagi nan ceria dan indah ini adalah Hari Ulang Tahun Perasmian Pengibaran Sang Setia, nama jolokan kepada bendera dan panji Parti Pembangunan Bangsa (NDP).
Pertama kali Sang Setia dikibarkan dan dipamerkan buat tatapan umum oleh Ayahanda Yassin Affandy pada 14 September 2005 di dataran Limbaruh Hijau ini. Pada tahun berikutnya iaitu 1 Disember telah diisytiharkan sebagai hari Sang Setia dan sambutannya diperingati pada setiap tahun hingga ke hari ini.
Di awal-awal sambutan pengibaran Sang Setia dataran Limbaruh Hijau ini begitu ceria dan bersemangat dipenuhi oleh ratusan ahli dan bukan ahli, serta barisan diplomat-diplomat asing. Semua hadirin berdiri tegak dan turut sama memberikan tabik hormat apabila Sang Setia dinaikkan perlahan-lahan sambil menyanyikan lagu rasmi Sang Setia yang dicipta khas oleh Ayahanda Hj Mahdi Hj Suhaili.
Hari ini walaupun tanpa ketiadan Ayahanda Yasssin Affandy, ketidak hadiran barisan diplomat asing, tiadanya ratusan pemimpin, ahli dan bukan ahli, Istiadat Pengibaran Sang Setia tetap juga disempurnakan dengan penuh istiadat. Ini adalah berkat pegangan kita agar melakukan apa jua tugasan yang diamanahkan itu sebaiknya dan sedayanya. Ada seribu orang buat cara ada seribu, ada seratus buat adanya cara seratus dan jika cuma ada sepuluh orang pun, buatlah cara adanya sepuluh. Alhamdulillah pagi ini kehadiran lebih sepuluh orang.
Sepuluh tahun dahulu Ayahanda Presiden berucap di atas tapak saya berucap ini, iaitu pada Majlis Perasmian Limbaruh Hijau, Markas Pusat NDP dan Perasmian Penaikan Bendera Sang Setia.
Markas Pusat NDP telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Negara, Ahli Majlis Diraja dan Ahli Majlis Mengangkat Raja.Sementara, Ayahanda Yasin Affandy telah menyempurnakan penaikkan pertama kalinya bendera Sang Setia.
Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat kita, antara lain beliau berkata "...secara simboliknya, saya berharap apabila bendera rasmi parti berkibar megah sebentar lagi, maka rasa kemegahan yang sama harus menyerapi seluruh sanubari kita justeru kerana kita berada dalam satu harakah perjuangan yang sama. Setiap kibaran bendera itu hendaknya menjadi kipasan yang memerahkan bara perjuangan dan menyemarakkan semangat setiap ahli dan penyokong Parti Pembangunan. Jadi bendera dan logo ini hendaklah sentiasa segak berkibar dan jangan sekali-sekali dibiar tersungkur menyembah bumi."
Saudara Saudari Sekalian,
PERSEPSI YANG SALAH
Kibaran Sang Setia yang menyemarakkan perjuangan kita untuk membantu Kebawah DYMM, menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran, memperjuangkan keadilan dan memerangi kezaliman itulah yang tidak disenangi oleh banyak kalangan lantaran persepsi yang salah. Tidak berhenti disitu, lalu dirancanglah agenda terusun rapi untuk membatasi pergerakannya dan melemahkanya dengan dendangan nada-nada sumbang ke cuping telinga warga parti dan khalayak agar mereka menjauhkan diri dari pergerakan politik.
Ketidakmampuan kita untuk menepis serangan yang bertali arus itu, telah menatijahkan keberhasilan agenda besar mereka yang sekian lama membenci dan memusuhi NDP. Kini NDP longlai seperti tiada bermaya bak tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang membuat kita terbuai lena olehnya. Walau apa pun keadaannya, warga yang masih setia ini tidak seharusnya turut terbuai malah sewajibnya hendaklah menyalakan obor perjuangan menjunjung titah membangun bangsa sesuai makna warna dan bentuk bendera dan panji parti kita.
Saudara Saudari Sekalian,
BENDERA DAN PANJI DALAM PERLEMBAGAAN NDP
Sekadar kita ingat mengingatkan bahawa,
Menurut Perlembagaan NDP, Artikel 6: Bendera Parti Pembangunan
Warna latar belakang bendera Parti Pembangunan ialah hijau pucuk pisang, sebagai simbol kecintaan Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan;
Garis kuning yang mengelilingi bendera tersebut melambangkan ketulusan dan keikhlasan Parti Pembangunan dan anggota-anggotanya mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei dan tanpa berbelah bahagi menyokong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa;
Logo dalam bendera ini adalah tulisan Jawi bentuk khat dari huruf-huruf pertama pada perkataan "Parti" dan perkataan "Pembangunan" (Fa Fa) yang terletak di tengah bendera;
Lebar bendera ialah dua kali ganda dari ukuran tingginya.
Artikel 7: Lambang Parti Pembangunan menerangkan bahawa,
Tulisan Jawi bentuk khat dari huruf-huruf pertama pada perkataan "Parti" dan perkataan "Pembangunan" (Fa Fa) yang dibentuk seperti setitik minyak adalah menjadi simbol kepada sumber pembangunan negara;
Latarbelakang bulatan berwarna hijau pucuk pisang itu adalah simbol kecintaan Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan;
Bulatan kuning disekeliling latar berwarna hijau pucuk pisang adalah simbol kepada tekad yang bulat dan tulus ikhlas Parti Pembangunan dan seluruh anggota-anggotanya dalam mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei dan tanpa berbelah bahagi menyokong Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa.
Saudara Saudari sekalian,
HARGA SEBUAH PANJI
Dalam sejarah Cina semasa pemerintahan dinasti-dinasti yang termasyhur misalnya, kita akan temui panglima tertinggi ketenteraan membawa panji-panji atau bendera dalam peperangan. Selagi panji-panji itu tertegak, maka selama itu para anggota tentera akan terus berjuang bermati-matian, dan perjuangan itu akan berakhir apabila panji-panji tersungkur menyembah bumi.
Semangat juang yang ada bersama bendera dan panji dinasti-dinasti tersebutlah yang menyemarkkan perjuangan merayakan negeri Cina menjadi sebuah empayar yang besar dan luas hingga ke hari ini.
Dalam sejarah perjuangan Islam juga tidak terkecuali, bendera dan panji digunakan sebagai pembakar semangat para perjuang untuk mengejar dua kejayaan, gugur sebagai syahid atau kemenangan mengalahkan musuh.
Marilah kita renungkan sejenak satu peristiwa di zaman kegemilangan Islam iaitu ketika peristiwa perang Mu'tah pada tahun 8H/629M. Dalam peristiwa itu, kepimpinan tentera Islam telah diserahkan kepada Zaid bin Harithah ra.
Rasulullah SAW berpesan - sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju kepimpinan tentera Islam.Rasulullah seterusnya menyerahkan sebuah bendera putih ke tangan Zaid.
Di bumi Mu'tah kedua-dua kumpulan bertemu dan peperangan sengit pun bermula - 3,000 tentera Islam menghadapi serangan 200,000 tentera musuh. Panji peperangan dipegang oleh Zaid, beliau merempuh serangan musuh dengan penuh keberanian dan terus mengasak hinggalah beliau terkena tikaman musuh, lalu terkorban sebagai seorang syahid.
Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib ra. Beliau juga segagah Zaid, hingga apabila beliau terasa berat bertempur diatas kuda, beliau melompat dari kudanya dan terus bertempur di bawah, hinggalah tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya.Setelah kehilangan tangan kirinya pula, diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.Dalam keadaan begitu beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa setelah Jaafar syahid, di badannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.
Setelah Jaafar gugur maka bendera Islam diangkat pula oleh Abdullah bin Rawahah ra. Dengan itu beliau pun memecut kudanya mara ke hadapan sambil menghunus pedangnya dan terus bertarung hingga akhirnya gugur sebagai syahid.
Kemudiannya tentera Islam dipimpin pula oleh Khalid bin Al-Walid ra. Dengan memegang bendera beliau terus mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa sembilan bilah pedang telah terpatah di tangan Khalid dalam pertempuran tersebut.
Perang tersebut telah membawa kesan yang amat signifikan, kerana para pejuang Islam yang hanya seramai 3,000 anggota berjaya mencabar musuh berjumlah 200,000 orang itu tanpa mengalami korban yang besar. Peristiwa ini menunjukkan betapa hebat dan hangatnya semangat bendera yang dijulang. Sesungguhnya tentera Islam telah mendapat bantuan Allah SWT, dan ia juga membuktikan kedudukan Muhammad SAW sebagai RasulNya yang benar.
Hadis Nabi SAW merakamkan:
"Bendera perang dipegang oleh Zaid lalu dia terbunuh kemudian dipegang oleh Jaafar lalu dia terbunuh kemudian dipegang oleh Abdullah bin Rawahah namun diapun terbunuh, dan nampak kedua mata Rasulullah SAW berlinang. Akhirnya bendera dipegang oleh Khalid bin Al Walid tanpa menunggu perintah, namun akhirnya kemenangan diraihnya." (Riwayat Bukhari)
Saudara Saudari sekalian,
CABARAN SANG SETIA
Demkianlah nilai dan harga sebuah bendera dan panji...yang kita istiadatkan pengibarannya pada pagi ini. Sang Setia adalah harga sebuah perjuangan NDP dan demikian juga, bendera rasmi Negara, adalah dinilai harga sebuah Negara.
Dalam konteks parti kita, bendera dan panji parti dirangkum ke dalam sebuah perlembagaan, justeru membawa makna besar, tuntutan komitmen yang besar, tanggungjawab yang berat dan amanah teramat berat yang wajib ditanai, dipertahan dan diberigakan oleh sekalian ahli parti.
Hari ini kita membaharui ikrar bahawa Sang Setia akan terus membantu Kebawah Duli dan Kerajaan Baginda, "mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan"seperti di dalam objektif utama parti Artikel 5:3.
Hari ini juga kita membaharui ikrar untuk bersama-sama Baginda dan Zuriat Baginda, "mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan Negara Brunei Darussalam" Artikel 3:5.
Mungkin pada pandangan awam, apa yang kita sentuh ini bukannya masalah, jauh sekali ancaman kepada survival Negara. Namun hakikatnya yang kita peringatkan ini adalah mengungkap kembali akan bai'ah yang pernah kita lafazkan.
Ini perlu bagi menyedarkan ahli-ahli parti bahawa, sekarang ini kita berada dalam suasana politik dunia yang gawat sekali gus turut mencabar kekuatan, perpaduan dan kerjasama serantau. ASEAN berhadapan cabaran dan ujian ketulusan dan keikhlasan kerjasama di kalangan anggota terutama sekali di bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan keselamatan.
Brunei yang berada di tengah-tengah ASEAN tidak mungkin dapat meminggirkan diri dalam isu keselamatan misalnya, bagi menghadapi ancaman keselamatan berbagai bentuk yang datang dari berbagai arah, antaranya, kemunculan kumpulan-kumpulan ekstrimis, jenayah rentas sempadan, kegawatan ekonomi, dan kerancakan politik demokrasi yang mempunyai takrif dan keperluan berbeza-beza.
Kita perlu berhati-hati dan cermat menyambut kedatangan komuniti ASEAN 2015, terutama sekali komuniti ekonomi ASEAN. Kita bimbang, pada hakikatnya kita tidak ada apa-apa persiapan pun untuk menghadapi agenda-agenda komuniti ASEAN baru, jangan sampai kita menjadi mangsa keadaan dan kejahilan sendiri.
Saudara Saudari Sekalian,
DATA KRITIKAL
Isu serius dalam negeri yang juga mungkin bukan ditanggapi sebagai isu atau masalah bagi sesetengah kalangan ialah isu kemiskinan, isu yang kita lihat seperti tidak berkesudahan bak ombak mengejar ombak.
Menurut Ustazah Hjh Rose Abdullah, pensyarah di UNISSA, ketiadaan garis kemiskinan yang ditetapkan adalah penghalang kepada usaha pihak kerajaan dalam membasmi kemiskinan. Kata beliau, tanpa kewujudan garis kemiskinan, kita tidak dapat mengenalpasti siapa yang hendak dimasukkan dalam data kemiskinan, justeru bagaimana pula kita mengetahui siapa yang layak mendapat bantuan?
Kajian yang dijalankan di Kg Ayer mendapati 46 peratus penduduk berpendapatan di bawah $1,000 manakala 43 peratus tidak mempunyai pendapatan tetap. Faktor utama kemiskinan merupakan pengangguran dan tahap pendidikan yang rendah.
Antara masalah serius yang dikenalpasti dalam kajian tersebut ialah kesukaran menghantar anak-anak ke sekolah, di mana 71 peratus penduduk meluahkan kesukaran yang berpunca daripada ketiadaan kenderaan dan kekurangan wang.
Didorong oleh pelbagai masalah, 15 peratus terpaksa berhenti pada peringkat sekolah menengah. Secara langsung, keadaan ini tentunya memberi kesan negatif ke atas gagasan membangunkan modal insan dan rakyat berpendidikan tinggi sesuai kehendak negara maju.
Pada tahun 2010, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) mengklasifikasikan 1,457 penduduk Kg Ayer, iaitu 12.5 peratus dari jumlah keseluruhan sebagai asnaf fakir miskin. Manakala data daripada JAPEM dan MUIB pula memaparkan sejumlah 20,790 orang miskin pada 2012.
Saudara saudari sekalian,
PAPARAN STATISTIK
Oleh kerana statistik yang digunapakai oleh badan-badan kebajikan di negara ini berbeza dalam menentukan definisi kemiskinan, satu kajian oleh pihak berkenaan telah dilakukan pada tahun 2011, antara lain mendapati, sejumlah 27,360 orang daripada 5,472 keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan.
Warga Emas
Dalam isu berkaitan, kerajaan dijangka akan membelanjakan $80 juta untuk pembayaran pencen tua kepada 27,166 warga emas tahun ini. JPKE menganggarkan bilangan warga emas akan meningkat dari seramai 25,900 pada 2013 (6.4 peratus penduduk) kepada 64,158 pada 2030.
Kebarangkalian, sebahagian besar penerima pencen tua ini terdiri dari kalangan berpendapatan rendah dan mereka yang tiada mempunyai sebarang sumber pendapatan tambahan. Justeru barang sudah tentu sebahagian besar mereka itu juga jatuh dibawah asnaf fakir miskin.
Penggangguran
Menurut sumber JPKE, jumlah penganggur pada bulan Ogos sebanyak 12,275 orang meningkat 0.8 peratus berbanding 12,173 pada Julai tahun ini, mengikut laporan itu, 58 peratus daripada jumlah tersebut merupakan wanita iaitu golongan pendidik awal kanak-kanak, yang membentuk syaksiah anak-anak.
Pecahan berdasarkan umur menunjukkan jumlah penganggur yang teramai adalah mereka yang berusia di antara 20 - 29 tahun iaitu sebanyak 50.7 peratus; suatu peratusan besar yang berpotensi memainkan peranan utama dalam menggulingkan kerajaan, seperti yang sudah termaktub dalam sejarah di sebilangan negara dunia!
Dalam konteks lain, sejumlah lebih 12,000 pengganggur ini selayaknya menerima bantuan kewangan sara diri atau "unemployment benefit" seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju bagi meringankan tekanan dan bebanan kehidupan mereka dan keluarga.
Dari segi pengagihan zakat, mereka sewajarnya dikatagorikan sebagai "miskin" kerana mereka tidak mempunyai pendapatan sara diri yang cukup. Ada ulama' mengkategorikan pengganggur, terutama lepasan sekolah dan pengajian tinggi tergolong di bawah asnaf misikin yang berhak menerima zakat. Di samping itu, kita tidak tahu pula berapa jumlah mereka dibawah asnaf al gharimin (mereka yang menanggung hutang yang membebankan).
Saudara Saudari Sekalian,
KEHIDUPAN DHAIF DAN KEBANGKITAN MASSA
Keadaan ini mengingatkan kita akan dapatan sebuah teori yang telah diuji, iaitu berlaku korelasi antara kehidupan yang dhaif dengan kebangkitan massa. Antara lain perkataan, telah teruji bahawa kadar pengganguran dan kemiskinan yang tinggi adalah punca utama kebangkitan massa.
Sejarah telah merakamkan bahawa kejayaan PRB meraih sokongan massa ketika zamannya ialah kerana keadaan masyarakat Brunei yang rata-rata dalam keadaan susah dan dhaif ketika itu, justeru kehadiran PRB dengan agenda kemerdekaan, membawa harapan baru bahawa kehidupan rakyat akan berubah kepada lebih baik.
Adalah benar, dalam konteks kemerdekaan Brunei, Negara merdeka ini telah berjaya mengangkat taraf hidup rakyat berbanding kehidupan generasi terdahulu, namun tahap kemiskinan dan ketidakcukupan yang dirasai oleh sebahagian rakyat itu sama saja, cumanya berlainan wajah.
Kita bimbang, jika pengisian kemerdekaan dan pengurusan khazanah Negara merdeka terus lemah seperti yang dirasai pada hari ini, tidak mustahil sejarah kebangkitan massa akan berulang, mungkin protes dalam bentuk yang lain.
Saudara Saudari Sekalian,
PERINGATAN ALLAH DAN RASUL
Semua isu ini bak buah yang hampir ranum yang menunggu masak dijulok gugur. Apa yang kita luahkan ini pastinya didengar pahit, tapi Islam mengajar kita supaya berkata benar walaupun pahit. Kita kongsikan kebimbangan ini atas dasar politik Islam yang didorong oleh keimanan yang menuntut untuk menjalani kehidupan aman, baik dan selesa yang tidak hanya untuk dirinya sendiri tetapi juga mengambil berat terhadap permasaalahan dan kesukaran yang dialami oleh orang lain terutama sekali di kalangan orang orang mukmin.
Allah SWT berfirman, "innamalmukminuna ikhwah", maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara."
Dalam satu hadith, Baginda SAW bersabda maksudnya, "Sesiapa yang tidak memperdulikan masalah kaum muslimin maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka, sesiapa yang tidak memberi nasihat untuk Allah, Rasulullah, para pemimpin kaum muslimin dan kalangan awamnya maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka. Sesiapa yang tinggal di satu kawasan perumahan dan terdapat di dalamnya seseorang yang kelaparan, maka dia telah terlepas daripada perlindungan Allah dan RasulNya." (Riwayat at-Tabrani)
Ini membawa maksud bahawa para penguasa Negara Zikir, mesti menunaikan keperluan rakyat dan mengutamakannya ketika mereka memerlukan, dengan tidak mengelak daripada menunaikan permintaan mereka. Jika tidak berbuat sedemikian, boleh saja membawa kepada keruntuhan Negara.
Penguasa dan penjawat awam yang diamanahkan oleh Kebawah Duli hendaklah merubah segera mindset dan paradigma dari "malas tah ku ingau" kepada lebih pemedulian dengan rasa takut akan seksaan Allah dan kebencian Baginda Rasulullulah.
'Amru bin Murrah telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW maksudnya: "Sesiapa yang diberikan tugas memimpin sesuatu urusan kaum muslimin oleh Allah SWT tetapi dia mengelak daripada membantu mereka, tidak menunaikan hajat mereka serta tidak menghapuskan kemiskinan, maka Allah tidak akan menunaikan hajat keperluannya serta tidak membantunya menghadapi kemiskinan." (Hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan At-Tabrani)
Saudara Saudari Sekalian,
KEMISKINAN ANCAMAN KESELAMATAN
Bagi kita, isu kemiskinan, penggangguran dan tidak kecukupan rakyat ini adalah ancaman keselamatan nombor satu ke atas survival Institusi Kesultanan, Negara dan Bangsa. Isu yang mungkin dipandang remeh oleh sesetengah kalangan ini sebenarnya amat membimbangkan kita kerana ia sudah berada ditengah-tengah kita.
Pejuang-pejuang kemerdekaan yang masih terbuang bukannya ancaman keselamatan kepada Negara. Sh Salleh yang ternafi haknya untuk menghidu kemerdekaan sehingga mengakhiri hayatnya dalam buangan bukannya ancaman keselamatan, demikian juga Othman Latif, Yusof Ibrahim, Jais Abbas dan Sh Adnin Sh Azahari bukannya ancaman keselamatan, dan NDP juga bukannya ancaman keselamatan Negara tetapi adalah rakan strategik pembangunan negara.
Saya berseru kepada sekalian yang ada kuasa membuat keputusan, penjawat awam dan rakyat untuk saling menunaikan tanggungjawab untuk membantu Kebawah DYMM. Ingatlah akan peringatan dalam doa Rasulullah untuk para umara' dengan bersabda maksudnya:
"Ya Allah! Barangsiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk ummatku dan dia menyusahkan mereka maka Engkau sukarkanlah urusan mereka, tetapi sesiapa yang dilantik menguruskan sesuatu perkara untuk ummatku dan dia memudahkan mereka maka Engkau mudahkanlah urusannya." (Riwayat Muslim)
Takutilah akan doa Baginda Rasulullah SAW dan kutukan Allah SWT keatas kita...
Semoga kita semua termasuk dalam doa kategori orang-orang yang bekerja untuk memudahkan urusan kehidupan Ummat Nabi Muhammad dan bukannya untuk menyusahkan dan menzalimi mereka, Allah berjanji akan memudahkan urusan kita pula.
Saudara Saudari Sekalian,
KECELARUAN FIKIRAN
Dalam konteks yang lain, pada pengamatan kita, pemikiran rakyat tampak seperti celaru, ada yang bertanya kepada kita, ke mana sistem pemerintahan, pelbagai dasar dan peraturan yang dimuntahkan hendak membawa mereka seperti dasar pendidikan, dasar pembangunan hartanah, pembangunan usahawan, dasar keselamatan permakanan, kesamaran pada beberapa bahagian perundangan, apa dia dasar dan program membasmi kemiskinan, apa dia program ekonomi bagi membela peniaga di tepi jalan dan di pasar-pasar tamu, dan banyak lagi...
Kita bimbang, rakyat sudah seperti pasrah, bersyukur saja apa yang ada padanya, jika tidak kecukupan boleh meminta, lalu diberi. Fikiran rakyat sudah seperti tersekat (mental block), tidak kritis, nilai-nilai jati diri bernegara sudah pudar, masyarakat seperti longlai tidak lagi bermaya untuk mengangkat darjat diri.
Betapa sedihnya kita, masyarakat "sakit" inilah yang sentiasa berada di barisan hadapan untuk mengahadapi agenda cabaran-cabaran Negara maju 2035 dan agenda besar ASEAN komuniti bermula 2015 yang amat mencabar. Kalau kita lalai dan tidak ambil perhatian serius dan segera untuk memperbaiki keadaan pada umumnya, nescaya kita akan laboi-laboi ditengah-tengah 600 juta rakyat ASEAN.
Saudara Saudari Sekalian,
PERANAN NDP
Sebagai sebuah organisasi politik, seharusnya kita diberi ruang berperanan sewajarnya di dalam membantu Kebawah DYMM dan kerajaan, malangnya untuk memegang jawatan sebagai ahli JK MPK/MPM pun kita dihalang.
Walaupun demikian, sebagai ahli parti, hendaklah terus istiqamah dalam mendukung perjuangan parti seperti termaktub dalam perlembagaannya sambil membangunkan keupayaan kita sesuai dengan kehendak perjuangan semasa.
Parti menuntut komitmen semua ahli. Semua daripada kita mesti berkerja keras ke arah itu dan bukannya sebahagian bekerja keras sebahagian lagi jadi penonton dan pengkritik semata-mata.
Begitu juga, kita berharap dan berseru, kerja besar di hadapan kita ini akan turut mendapat suntikan semangat dari teman-teman di luar sana, terutama sekali para elit dan cendekiawan. Insya Allah jika semua pihak menyedari akan keperluan pembangunan politik sebagai kuasa ketiga yang boleh membantu Kebawah Duli, Kerajaan dan rakyat, selama itulah Sang Setia akan terus berkibar megah di bumi tercinta ini.
Saudara Saudari Sekalian,
PESANAN
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan seluruh ahli-ahli parti supaya bersiap sedia menghadapi Konges Agung Tahunan yang ada pemilihan pada tahun 2015 mendatang ini. Kemaskinikanlah organisasi di semua peringkat, lakukanlah kerja-kerja pemutihan keahlian, siapkan laporan-laporan kongres dan mesyuarat agung. Yang terpenting, rapatkan saf-saf makmum di belakang sesuai dengan bai'ah yang telah di lafazkan.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini sekalong tahniah saya ucapkan kepada Pengerusi JK Istiadat Pengibaran Sang Setia ke 10 dan seluruh keluarga JASA di atas kerjasama menjayakan majlis kita pada hari ini. Terima kasih juga kepada semua yang hadir.
Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan kepada kekanda TYT Timbalan Presiden yang selama ini menjalankan tugas-tugas Presiden sewaktu Presiden berhalangan.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahhilhamd
No comments:
Post a Comment