Posting mengikut label

Wednesday, January 7, 2015

Titah KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masehi 2015


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masehi 2015

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, kita di negara ini, disepanjang tahun Masehi 2014 telah dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan.

Insya Allah, kita akan terus melipat-gandakan usaha untuk mempertahankan keamanan tersebut di sepanjang tahun Masehi 2015 pula.

Dengan memasuki Tahun Masehi 2015, kita adalah semakin hampir kepada tempoh sasaran Wawasan Negara 2035. Dalam kira-kira 20 tahun itu, bukanlah satu tempoh yang lama.  Kita tidak mempunyai banyak ruang untuk berlengah-lengah lagi.  Kita mesti ada sikap dan pemikiran yang lebih progresif.

Dalam jentera kerajaan, Beta telahpun memperkenankan sokongan Majlis Tertinggi Wawasan 2035 untuk melantik Peneraju-Peneraju bagi strategi-strategi yang telah dikenalpasti dalam Wawasan 2035 dan beberapa tambahan strategi-strategi baru.  Peneraju-peneraju tersebut terdiri daripada Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang masing-masing.

Setiap peneraju adalah bertanggungjawab untuk mengenalpasti matlamat-matlamat strategik, menyedia dan melaksanakan pelan-pelan tindakan ke arah pencapaian Wawasan 2035, insya Allah.

Semuanya itu perlu disejajarkan melalui Majlis Tertinggi Wawasan 2035 bagi mengelakkan sebarang duplikasi serta bagi meraih impak dan keberkesanan optima.

Secara spesifik, pada misalnya di bidang pendidikan, Beta adalah mengalu-alukan rancangan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan strategi jangka sederhana dan panjang bagi mempastikan kehadiran penuh kanak-kanak ke sekolah dan juga untuk memperolehi keberkesanan berganda bagi pengajaran dan pembelajaran di peringkat rendah dan seterusnya.

Kita telah menetapkan sasaran yang tinggi dengan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pelajar kita akan mendapat gred A hingga C dalam Penilaian Sekolah Rendah tahun 2017.  Dalam masa yang sama, kita berharap usaha tersebut akan dapat membantu semua murid-murid di peringkat tersebut untuk memperolehi kejayaan yang lebih baik.

Bagi maksud ini, penguatkuasaan Akta Pendidikan Wajib, patutlah dikukuhkan lagi.  Dengan cara ini, diyakini akan dapat membantu melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan dinamik.

Dalam bidang ekonomi, Jabatan Perdana Menteri adalah sedang menyediakan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai oleh semua sektor ekonomi berdasarkan trajektori yang realistik bagi mencapai tonggak ekonomi dalam Wawasan 2035.  Matlamatnya adalah, untuk meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan dua fokus utama.

Fokus pertama masih saja tertumpu kepada usaha mempelbagaikan ekonomi daripada banyak bergantung kepada Sektor Minyak dan Gas.  Fokus kedua pula ialah untuk meningkatkan produktiviti.

Menyentuh mengenai isu produktiviti ini, kita masih saja mempunyai ruang yang sangat besar untuk memperbaikinya, samada di peringkat sektor swasta mahupun di sektor awam.  Selain berkait rapat dengan penjanaan kapasiti atau capacity building dan penggunaan teknologi, ia juga banyak bergantung kepada aspek tabiat dan disiplin semua peringkat dalam usaha menyumbang kepada peningkatan produktiviti organisasi masing-masing.

Mengenai usaha mempelbagaikan ekonomi pula, sebagai usaha berterusan untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kerajaan, melalui Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, sedang giat merancang satu badan khas bagi membantu usahawan-usahawan tempatan kita.

Badan ini akan berperanan membina kapasiti Perusahaan Mikro, Kecil dan Serderhana supaya usahawan-usahawan tempatan boleh berkembang dan bersaing dalam pasaran, di dalam mahupun luar negara.

Beta berharap, kita akan sama-sama menikmati dan meraih peluang-peluang yang ada apabila kita merealisasikan Komuniti ASEAN pada penghujung tahun 2015 nanti.

Mengenai kualiti kehidupan, Beta adalah mahu supaya pihak berwajib akan lebih tangkas dan cekap dalam menangani peningkatan bilangan jenayah, yang berlaku sejak dari beberapa tahun kebelakangan ini.  Ini termasuklah jenayah bunuh, rompak dan curi.  Tangani semuanya itu dengan bersungguh-sungguh dan tegas.  Sekat ia daripada berlaku, dan jika sudah berlaku, cari mereka sampai tertangkap.

Lagi mengenai kualiti kehidupan ialah kesihatan.  Berdasarkan hasil kajian, kesihatan di negara ini masih lagi membimbangkan.  Kanak-kanak dibawah umur lima (5) tahun pada misalnya, ramai dari mereka itu mengalami masalah berat badan (obesity). Ini, mungkin saja berpunca, dari antaranya, kerana kurang mendapatkan pemakanan sihat, seperti buah dan sayur-sayuran.  Jika ini benar, maka pihak berkenaan dan ibu bapa adalah penting untuk mengambil perhatian serta langkah bagi mengatasinya.

Kajian juga turut menunjukkan, bahawa lebih dari 50% kaum bapa adalah masih merokok, dan merokok itu pula dilakukan di dalam rumah dan di dalam kenderaan. Selain merosakkan diri sendiri, mereka yang merokok ini juga sebenarnya telah mendedahkan ahli keluarga mereka kepada bahaya sangat buruk, akibat dari asap rokok.

Ini semua memberi gambaran, bahawa kita dalam hal mengamalkan cara hidup sihat, belum lagi memuaskan.

Masyarakat masih perlu diberi pendidikan dan bimbingan, termasuk 'pendidikan pencegahan' bagi yang melanggar undang-undang dan hukum ugama, seperti terhadap  perokok-perokok yang tidak menghiraukan amaran-amaran pihak berkuasa.  Beta ingin mengingatkan kepada pihak-pihak berkenaan, supaya jangan hanya bercakap, tetapi bertindaklah dengan tegas dan konsisten sehingga tumpas kelakuan dan perbuatan melanggar undang-undang ini.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam serta Pasukan-Pasukan Keselamatan, termasuk mereka yang bertugas di luar negara; dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi kesejahteraan negara.

Beta dan kaum keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2015 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini. Beta berdo'a semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan rahmat dan perlindungan-Nya kepada kita semua dan negara.  Ameen Yaa Rabbal 'Aalameen.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



No comments: