Posting mengikut label

Wednesday, July 22, 2015

Titah Kebawah DYMM Sempena Hari Raya Aidilfitri 1436H / 2015M


BENTENGI NEGARA DENGAN SEMANGAT KEBRUNEIAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

DI saat yang penuh berkat lagi bahagia ini, tidak ada yang lebih utama untuk dilafazkan melainkan kalimat syukur jua.

Kerana apabila nikmat diterima, kita yang menerimanya adalah berkewajipan untuk mensyukurinya.

Bersyukur itu adalah sifat orang beriman. Barangsiapa yang bersyukur, akan ditambah lagi oleh Allah nikmat yang didapatinya itu.

Nikmat Allah sangatlah banyak, sehingga kita tidak dapat menghitung. Di antara nikmat paling ketara ialah nikmat kehidupan. Nikmat ini kita jalani selagi ada hayat.

Dengan kemurahan Allah jua, kehidupan di negara ini sedang berjalan dengan baik. Tidak terdapat sebarang kekusutan yang boleh mengganggu kehidupan kita.

Brunei Alhamdulillah adalah sunyi dari sebarang krisis, apa jua bentuk krisis. Kita juga tidak pernah mengalami gangguan, seperti yang lumrah dialami oleh orang lain.

Dalam bidang sosioekonomi saja, kita adalah selamanya harmoni dan stabil, berkat pengurusan yang berhemah lagi adil.

Situasi itu perlu kekal, untuk sebuah Brunei yang sejahtera lagi bahagia.

Adalah tidak mudah untuk mencapai tahap bahagia itu. Walau saiz besar dan penduduk ramai, jika negeri dibelenggu oleh krisis, maka itu tandanya tidak bahagia. Atau negeri kaya dan makmur, tetapi masih asyik bertelagah, maka itu juga tandanya belum harmoni.

Inilah yang mahu kita elakkan untuk Brunei.Tidak mengapa saiz kita kecil, tetapi bersih dari sebarang krisis dan huru-hara.
Inilah idaman semua orang, dan inilah yang sebenar-benarnya nikmat itu.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Banyak perkara yang boleh dijadikan pengajaran. Setengahnya itu berupa kejadian-kejadian tertentu di luar negara, seperti bencana-bencana alam, kemalangan dan peperangan. Dari kejadian-kejadian itu, sampai mendatangkan korban yang besar.

Terutama musibah peperangan dan pergaduhan, ia adalah dilihat semakin parah dan berlarutan. Dan lebih terkutuk lagi, korban bukan sahaja terdiri dari pihak-pihak yang bertelagah, malahan juga orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang tua.

Lain lagi, boleh menambahkan derita, apabila muncul dengan tiba-tiba anasir-anasir yang bertopengkan ugama, yang tidak diketahui dengan pasti dari mana dan siapa mereka?

Dan bersebab daripada mereka itu juga, keamanan dan keselamatan turut tergugat.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Beta merasa terpanggil untuk mengingatkan rakyat dan penduduk di negara ini, supaya bersikap lebih berhati-hati terhadap segala anasir dan pengaruh yang tidak sihat, dari mana pun datangnya mereka.

Awas! Jika pintu orang lain boleh dimasuki, mengapa kita tidak?

Kerana itu janganlah leka dan mudah terpedaya, tetapi bentengilah diri dengan semangat kebruneian yang tulen serta sikap orang-orang Brunei yang kuat berugama, tanpa perlu kita terikut-ikut atau terpesona dengan sebarang propaganda.

Yang penting di sini ialah Brunei itu sudah pun cukup bagus di mata semua orang, sehingga tidak berbangkit lagi perkara yang dipertikaikan. Oleh itu adalah wajar, kita terus memperkukuhkan situasi ini tanpa perlu untuk mencari-cari yang lebih baik, kerana kita sebenarnya telah pun berada di tahap yang terbaik.

Status terbaik itu kita miliki sudah lebih dari 600 tahun, dan ianya telah terbukti mampu untuk membawa kita berkembang dan maju.

Beta, amatlah berpuas hati dengan apa yang kita ada ini, selaku negara yang terus-menerus stabil dan aman. Kewajipan kita hanyalah untuk menjaga dan mensyukurinya.

Mesti diingat, ini semua bukanlah diperolehi semata-mata dengan titik peluh, tetapi ialah adalah kurnia khusus kepada kita. Mengapakah beta katakan demikian? Kerana bukankah semua orang di dunia ini mengimpikannya tetapi bukan semua yang memilikinya, walaupun dengan kerja keras dan belanja besar.

Ia mengingatkan kita kepada janji Allah, bahawa apabila wujud manusia-manusia beriman dan bertakwa, mereka itu akan dikurniakan dengan keberkatan yang turun dari langit dan tumbuh dari bumi. Semogalah, apa-apa yang menjadi milik kita hari ini berupa keamanan dan kestabilan itu, adalah ia suatu keberkatan daripada Allah jua.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Mengambil kesempatan di sini, beta dan keluarga beta dengan jernih hati serta sukacita mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada sekalian rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana jua mereka berada. Semoga kita semua berada dalam sihat, dapat sama-sama merayakan hari bahagia ini dengan keluarga masing-masing dan juga sahabat handai.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments: