Posting mengikut label

Thursday, September 10, 2015

Tiba masanya kaji isu-isu penuaan


BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Sudah tiba masanya Brunei Darussalam mempunyai satu penyelidikan dan analisis mengenai pelbagai dimensi isu-isu penuaan yang dianggap penting untuk menyokong dasar-dasar berasaskan bukti dan perundangan untuk melindungi dan mempromosikan hak asasi warga tua.

Menurut laporan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, seramai 28,706 orang tua menerima elaun bulanan pencen tua setakat Ogos 2015.

Sementara itu, pada 2014, penduduk Brunei mencecah 422,675 dengan 4 peratus berusia 65 ke atas, dan kadar jangka hayat ialah 76.6 bagi lelaki dan 79.8 bagi wanita.

Naib Presiden 1 Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang juga selaku penjawat kini Setiausaha Majlis Serantau bagi Kebajikan Sosial di Rantau Tenggara Asia dan Pasifik (ICSW SEAP), Dayang Nur Judy binti Abdullah dipetik sebagai berkata sedemikian dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MKM, di sini, hari ini, selepas menghadiri Forum ASEAN GO-NGO mengenai Kebajikan Sosial dan Pembangunan ke-10, yang berlangsung di Sheraton Imperial Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia, kelmarin.

Beliau berkata perlindungan undang-undang bagi warga tua daripada sebarang bentuk pengabaian dan penganiayaan fizikal, kewangan dan emosi telah diketengahkan dalam forum berkenaan.

Katanya, Klinik Penasihat dan Nasihat Perundangan MKM telah menyediakan akses kepada keadilan bagi warga emas di negara ini dan sukarelawan MKM telah mengendalikan kes-kes warga emas berkaitan dengan perbalahan harta serta menyediakan nasihat kebajikan mengenai keperluan perumahan dan pentadbiran teratur pencen tua oleh anggota keluarga.

Menurut kenyataan MKM, forum di antara agensi-agensi kerajaan (GO) dan bukan kerajaan (NGO) itu membincangkan tema Memperkasa Warga Tua di ASEAN, yang dipengerusikan bersama oleh ICSW SEAP dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Malaysia. Sementara itu, MKM merupakan ahli aktif ICSW dan menghadiri forum berkenaan menerusi tajaan ICSW.

Forum berkenaan memberikan peluang bagi delegasi-delegasi agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan memperkasa warga emas di negara-negara anggota ASEAN termasuk pekerjaan/pengambilan semula bekerja yang fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat, keselamatan pendapatan, pencen sosial, penjagaan kesihatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan program-program kebajikan sosial lain bagi warga tua.


Sumber - Media Permata

No comments: